12 Mac 2021

JOHN `THE FIXER' MURTOUGH...DoF PERTAMA DI OLD TRAFFORD

 


Manchester United akhirnya `menemui jalan yang benar’ selepas mereka mengumumkan perlantikan John Murtough sebagai Pengarah Bolasepak atau Director of Football (DoF) kelab. Meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan kelab merupakan langkah yang sepatutnya sudah lama United ambil dalam menangani cabaran pengurusan bolasepak moden. Tidak cukup dengan itu, berita gembira ini turut disusuli dengan perlantikan Darren Fletcher selaku Pengarah Teknikal.

 

Berbanding Fletcher yang memang sudah kita ketahui merupakan bekas pemain dan legenda kelab, siapa sebenarnya John Murtough ini? Nama Murtough sebenarnya bukanlah terlalu asing buat penyokong-penyokong United kerana pada 2013 beliau antara individu yang ada dalam pasukan staf kejurulatihan David Moyes ketika beliau dilantik selaku pengganti Sir Alex Ferguson. Di Goodison Park pula, Murtough merupakan bekas Ketua Akademi Everton dan juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Program Prestasi Tinggi Liga Perdana.

 

Meskipun jodoh Moyes bersama United tidak sampai semusim, Murtough bagaimanapun terus kekal di Old Trafford menerusi tugasnya sebagai Ketua Pembangunan Bolasepak United. Apa yang dilakukan Murtough sebelum beliau dilantik sebagai DoF pertama United? Murtough merupakan individu yang dipertanggungjawabkan bagi mengstruktur semula akademi United dan juga pencetus kepada wujudnya skuad wanita pada 2018. Jadi dengan segala pengalaman yang dimilikinya, beliau akhirnya melakar sejarah selaku DoF pertama kelab.

 

Kurang kompetennya Ed Woodward setiap kali bursa perpindahan pemain dibuka memacu tekanan dari penyokong-penyokong United yang mahukan agar kelab meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan mereka. Sebelum Murtough, sudah ada beberapa nama yang dicanangkan bakal mengisi jawatan tersebut, dan diantaranya ialah Edwin Van der Sar, Ralph Ragnick dan Luis Campos. Bagaimanapun kelab melihat Murtough sebagai calon yang lebih relevan memandangkan beliau sudah berada di Old Trafford dan terlibat dalam projek pembangunan kelab selama lebih tujuh tahun.

 

Faham dengan struktur yang cuba dibina dan budaya bolasepak United, Murtough memiliki kelebihan berbanding calon-calon yang saya sebutkan di atas. Kemampuan beliau dalam menganalisa potensi seseorang pemain banyak membantu Murtough ketika melakukan rundingan bagi mendapatkan pemain baharu. Sejak persaraan Fergie pada 2013, rata-rata pembelian yang dilakukan kelab dalam bursa perpindahan pemain menjadi bahan kritikan.

 

Bagaimanapun seiring dengan ketibaan Ole Gunnar Solskjaer pada penghujung 2018, Murtough turut diberikan tanggungjawab untuk melakukan pembaharuan dan memperbaiki struktur serta polisi kelab dalam urusan pengambilan pemain baharu. Apa yang berlaku selepas itu, anda dapat melihat Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka, Daniel James, Bruno Fernandes, Alex Telles, Edinson Cavani, Facundo Pellistri dan Amad Diallo di rekrut ke dalam skuad senior dan juga remaja.

 

Solskjaer turut menyambut baik perlantikan Murtough selaku DoF pertama United. Menurut beliau, Murtough merupakan seorang genius bolasepak yang bekerja di sebalik tabir. Tugas berat bakal dipikul Murtough untuk mengembalikan semula kegemilangan kelab, manakala penyokong pula mahu melihat progres yang bakal dilakukannya di Old Trafford sepanjang tempoh tiga tahun kontrak beliau.

 

Cabaran besar buat Murtough selepas ini bukan sekadar memenuhi ambisi penyokong yang mahu melihat kelibat Erling Haaland, Jadon Sancho atau Sergio Ramos musim depan, tetapi lebih kepada bagaimana beliau menggunakan `instinct’nya bagi merekrut pemain yang tepat dengan keperluan pasukan. Anda mungkin dambakan kelibat Edwin Van der Sar, tetapi United percaya bahawa Murtough adalah insividu yang tepat untuk tanggungjawab tersebut menerusi `eksperimen’ selama tiga tahun yang dilakukan kelab ke atas beliau.

 

Amat mengujakan untuk melihat maneuver kelab pada bursa perpindahan musim panas nanti kerana ia bakal menjadi ujian pertama kepada Murtough selaku DoF sulung di Old Trafford. Sentuhan beliau dalam struktur pembangunan menyaksikan United melakukan pendekatan yang lebih global menerusi kejayaan kelab mendapatkan `rising star’ seperti Facundo Pellistri, Amad Diallo, Hannibal Mejbri dan Alvaro Fernandez.

 

Melihat kepada `trend’ pembelian pemain yang dilakukan United dalam tempoh dua musim terakhir, anda mungkin sudah boleh meramal bahawa kelab tidak akan lagi menyasarkan pemain bertaraf `superstar’. Fokus utama sekarang lebih terarah kepada plan jangkamasa panjang dengan membina skuad berteraskan kekuatan pemain-pemain muda. Jadi kita mahu melihat langkah apa yang bakal dilakukan `The Fixer’ pada bulan Julai nanti kerana menurut beliau tumpuan utamanya adalah melakukan evolusi…bukan revolusi. Glory Glory Manchester United!!!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan