06 April 2022

PILIHAN NOMBOR SATU

 


Tugas Ralf Rangnick sebagai pengurus interim Manchester United akan tamat sebaik musim ini berakhir. Selepas itu beliau akan memainkan peranannya di belakang tabir selaku konsultan kelab. Meskipun saingan kompetitif musim 2021/22 masih rancak berlangsung, United sudah dikaitkan dengan beberapa nama bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Rangnick.

 

Paling hangat, terdapat tiga nama yang sering disebut-sebut selaku calon paling berpotensi untuk memikul tanggungjawab bagi mengemudi United musim depan. Mereka ialah Erik Ten Hag, Mauricio Pochettino dan Luis Enrique. Sejak persaraan Sir Alex Ferguson sembilan tahun lalu, kelab nampaknya terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang dalam usaha mereka mencari pengganti individu paling berjaya sepanjang 27 tahun karier pengurusan Fergie di Old Trafford. 

 

David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer, semuanya kecundang serta gagal bertahan lama, dan kini usaha sedang diteruskan bagi mendapatkan pengendali baharu. Menurut laporan The Athletic, misi kelab bagi mendapat pengendali baharu sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu dan empat nama sudah diletakkan dalam senarai pendek bagi menggantikan posisi Rangnick. Mereka ialah tiga nama yang saya sebutkan di atas serta Julen Loptegui.

 

Berbanding Loptegui yang sangat dikenali kerana kecenderungan beliau dengan gaya permainan `possession football’, gaya dan pendekatan permainan Ten Hag, Pochettino dan Enrique pula lebih `direct’. Skema `direct football’ bukanlah asing bagi United, kerana gaya permainan sebegitu sudah diterapkan ketika era Solskjaer dan kini diteruskan pula oleh Rangnick. Bezanya United kini bermain dengan struktur `pressing’ yang lebih tersusun berbanding ketika mereka ditangani Solskjaer.

 

Pilihan Nombor satu

 

Di antara tiga nama (Ten Hag, Pochettino dan Enrique) yang sering disebut-sebut sangat berpotensi menggantikan tempat Rangnick, saya secara peribadi meletakkan Ten Hag sebagai pilihan nombor satu sebagai pengendali baharu United musim depan. Kenapa? Mudah saja, kerana saya sangat tertarik melihat penampilan impresif Ajax di bawah kendalian Ten Hag dalam saingan Liga Juara-Juara meskipun skuadnya tidak dibarisi bintang ternama.   

 

Ketika Ajax terperosok di tangan Marcel Keizer, Marc Overmars yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah Bolasepak Ajax, sudah tahu siapa individu paling sesuai untuk beliau bawa masuk sebagai pengganti Keizer. Ya…Ten Hag adalah orangnya. Siapa Ten Hag, dan kenapa Overmars berani berjudi dengan membawa beliau ke Johan Cryuff Arena untuk memperbaiki kerosakkan yang ditinggalkan Keizer?

 

Ten Hag tidak pernah mengendalikan kelab ternama, tetapi pada Disember 2017, Overmars menghubungi beliau untuk menawarkan tugas sebagai pengendali Ajax. Overmars memilih individu yang tepat, kerana pada musim penuh pertama (2018/19) beliau di Johan Cryuff Arena, Ten Hag berjaya mengemudi Ajax menjulang trofi Eredivisie buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.

 

Total Football 2.0

 

Kisah kecemerlangan Ten Hag tidak terhenti setakat itu, kerana pada musim yang sama, Ajax mencuri tumpuan apabila mereka mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak musim 2005/06. Paling menarik, mereka menyingkirkan Real Madrid di pusingan kalah mati 16 pasukan menerusi kelebihan agregat (5-3), hasil dari kemenangan besar (4-1) yang dilakar mereka ke atas juara bertahan itu di Santiago Bernabeu.

 

Di kota Amsterdam, Ten Hag bukan sahaja berjaya membawa trofi Eredivisie pulang ke Johan Cryuff Arena, tetapi di bawah kendalian beliau juga, Ajax kembali memperagakan permainan menarik. Ada yang melabelkan gaya bolasepak yang diterapkan Ten Hag sebagai `Total Football 2.0’. Malah Edwin van der Sar yang juga merupakan CEO Ajax pernah menyebut bahawa jika Johan Cryuff masih hidup, beliau akan gembira melihat gaya permainan Ajax ketika ini.

 

Sebagaimana Total Football ciptaan Cryuff, Ten Hag juga mementingkan penguasaan bola sebagai asas permainan skuad kendaliannya. Bagaimana pun terdapat tiga elemen penting yang diterapkan Ten Hag dalam `Total Football 2.0’ ini, iaitu pergerakan tanpa bola, penempatan posisi dan pergerakan orang ketiga (third man run). Kerana penempatan posisi yang tepat dan larian-larian tanpa bola yang bijaklah, anda dapat melihat skema penguasaan bola yang dimainkan Ajax begitu `fluid’.

 

“Lakukan hantaran dan terus ke hadapan”, itu antara petikan ringkas dari Ten Hag tentang skema permainan Ajax. Musim ini Ajax terus membuktikan bahawa mereka antara kesebelasan yang menarik untuk anda saksikan aksinya di Liga Juara-Juara. Sepanjang saingan peringkat kumpulan, Ajax muncul kesebelasan ketiga paling tinggi mencatatkan purata penguasaan bola (62.5%) dalam setiap perlawanan selepas Bayern Munich dan Manchester City. Manakala peratus ketepatan hantaran mereka pula mencapai angka 87.8%.

 

Bolasepak yang dimainkan Ajax bukan tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi lihat juga bagaimana dominasi mereka dalam mengawal permainan. Dari enam aksi di peringkat kumpulan, Ajax mencatatkan `expected goal’ (xG) sebanyak 18.3…dan dari catatan ini mereka berhasil meledak 20 gol. Catatan ini juga menunjukkan bahawa Ajax sangat klinikal dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.

 

Kunci utama mengapa mereka begitu sukses mencipta peluang ialah `positioning’ (kedudukan) dan pergerakan-pergerakan bijak tanpa bola yang dilakukan pemain. Untuk melakukannya, Ten Hag akan mengarahkan para pemainnya menguasai tiga zon utama di atas padang (sayap, tengah dan `half space’). Tujuannya hanya satu, iaitu memperbanyakkan opsyen sebelum hantaran-hantaran dilakukan ketika mereka sudah memasuki zon bahaya lawan.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa pada musim ini anda melihat terdapat 19 pemain Ajax yang berjaya menyumbangkan sekurang-kurangnya satu `assist’ dalam saingan Eredivisie. Itu dalam situasi `offensive’, tetapi bagaimana pula skema Ajax dalam situasi `defensive’? Ketika bertahan, Ten Hag menerapkan `peraturan tiga saat’, iaitu bola perlu direbut kembali dalam masa tiga saat selepas mereka hilang penguasaan bola.

 

Peraturan `three seconds rule’ ini tampak seperti sukar dilaksanakan tetapi menerusi peraturan inilah pintu gol Ajax begitu sukar ditembusi. Jadi tidak hairanlah mengapa dari 14 aksi awal mereka di Eredivisie dan Liga Juara-Juara, pintu gol Ajax cuma dibolosi sebanyak empat kali. Dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, peratus kejayaan mereka ketika melakukan `pressing’ mencapai angka 30.3%.

 

Statistik ini jauh di belakang Liverpool (38.5%), tetapi sekurang-kurangnya catatan ini juga sebenarnya lebih baik berbanding apa yang dilakukan Manchester City, Bayern Munich dan Manchester United sendiri. Satu lagi ciri kepada corak permainan Ajax dalam situasi `defensive’ ialah kedudukan antara pemain yang begitu rapat ketika bertahan, hinggakan mereka begitu mudah melakukan `overload’ saat lawan menguasai bola.

 

Di Eredivisie, Ten Hag menggunakan sistem berbeza dalam skema permainan FC Utrecht ataupun Ajax, kerana seperti Pep Guardiola yang juga merupakan idolanya, Ten Hag mahukan para pemainnya tampil lebih fleksibel di atas padang. Itulah yang dilakukan kelab seperti Manchester City atau Bayern Munich, kerana mereka adakalanya memainkan tiga atau empat sistem berbeza hanya dalam satu perlawanan.  

 

Penutup

 

Kehadiran Ten Hag di Johan Cryuff Arena setidak-tidaknya menghadirkan kembali `bayangan silam’ Ajax selaku kuasa besar Eropah suatu ketika dahulu. Kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19 tidaklah sebanding ketika mereka menjulang trofi tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut (1971 hingga 1973) atau ketika Louis van Gaal mengemudi Ajax membenam Milan pada edisi final 1995.

 

Tetapi satu hal paling menarik yang dapat anda saksikan di sebalik kejayaan Ajax mara begitu jauh pada edisi 2018/19 ialah bagaimana impresifnya penampilan pemain-pemain muda mereka seperti Matthijs de Ligt, Frenkie de Jong, Hakim Ziyech dan Donny Van de Beek. Di belakang mereka, tentunya ada sosok Erik Ten Hag yang peranannya sangat penting dalam mencorakkan karakter permainan Ajax hinggakan mereka kelihatan begitu `fluid’, menyerang dan atraktif. Glory Glory Manchester United!!!



14 Mac 2022

G.O.A.T

 


Cara terbaik membalas kritikan…itulah yang dilakukan Cristiano Ronaldo menerusi hatrik yang dihasilkannya dalam aksi menentang Tottenham Hotspurs pada awal pagi Ahad lalu. Jika ada sebarang keraguan tentang kualiti kerjanya, sikapnya di atas padang serta ketajaman penyudahnya…Ronaldo sudah menjawab segala keraguan itu dengan cukup baik dalam perlawanan ini.

 

Sepanjang karier profesionalnya, Ronaldo sudah merakam pelbagai rekod peribadi. Sebelum hatrik ke gawang Spurs ini terhasil, Ronaldo juga sudah merakam 58 jaringan hatrik sepanjang kariernya, manakala ini pula merupakan hatrik keduanya bersama United. Yang pertama berlaku pada 12 Januari 2008, ketika United menewaskan Newcastle United (6-0) dalam saingan liga. Dan yang kedua, sudah anda saksikan kelmarin.

 

Penantian 14 Tahun

 

Selepas itu anda terpaksa menunggu selama 14 tahun untuk melihat Ronaldo kembali meledak hatrik untuk United. Itu pun berlaku selepas kepulangan semula beliau ke Old Trafford pada musim panas tahun lalu. Selepas mengharungi penantian yang cukup panjang, Ronaldo akhirnya kembali meletakkan namanya sebanyak tiga kali di `scoreboard’, dan ini juga menandakan bahawa beliau sudah merakamkan 59 jaringan hatrik sepanjang kariernya.

 

Apa yang paling menariknya ialah tentang bagaimana proses ketiga-tiga gol itu terhasil. Tiga gol yang sebenarnya menepati reputasi Ronaldo selaku peledak ulung pernah anda saksikan dalam dunia bolasepak. Gol pertama dijaringkan beliau menerusi rembatan dari luar petak penalti, gol kedua menerusi `tap in’ dari proses `build up’ yang sangat bijak…manakala gol ketiga pula memang antara kekuatan Ronaldo ketika di depan gawang lawan, iaitu menerusi tandukan.

 

Sebenarnya inilah yang anda sering dambakan, ketika melihat beliau kembali menyarung jersi merah United buat kali kedua. Iaitu seorang peledak yang sentiasa bijak meletakkan dirinya di posisi yang tepat ketika menyudahkan peluang terhidang. Paling ketara dan apa yang patut anda perhatikan ialah gol-gol itu tidak akan terhasil jika Ronaldo tidak menerima hantaran-hantaran yang berkualiti dari rakan sepasukan, kerana musim ini beliau sering dianggap sebagai `beban’ oleh segelintir penyokong United.

 

Perosak?

 

Ada juga yang menyebut bahawa Ronaldo adalah punca mengapa United begitu sukar mendapatkan gol sejak kebelakangan ini kerana beliau dilabel sebagai `perosak’ kepada skema permainan `direct’ United yang sudah diterapkan Ole Gunnar Solskjaer sejak tiga musim sebelum itu. Di sisi lain, apa yang menariknya ialah penyudah Ronaldo di depan gawang Spurs juga sangat efektif meskipun angka keseluruhan `expected goal’ (xG) yang dimiliki United cuma sebesar 0.90 berbanding 1.70 oleh Spurs.

 

Tiga gol yang diledak Ronaldo ke gawang Spurs itu juga menyaksikan beliau kini muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman menerusi 807 gol yang sudah dihasilkan sepanjang kariernya setakat ini. Menurut rekod FIFA, catatan ini melangkaui 805 jumlah gol yang pernah dihasilkan Josef Bican selaku pemegang gelaran penjaring gol terbanyak sepanjang zaman sebelum ini. Bican melakukannya menerusi 530 penampilan dari 1931 hingga 1956.  

 

Menurut Ralf Rangnick, penampilan Ronaldo di Old Trafford pada awal pagi Ahad lalu merupakan penampilan terbaik pernah disaksikan beliau sejak mengambilalih tugas selaku pengurus interim United. “Dia memberikan perbezaan dalam perlawanan ini. Bukan cuma tentang tiga gol yang dijaringkannya, tetapi peranan yang dimainkannya ketika kami tidak menguasai bola. Mari berharap agar dia tetap cergas untuk baki saingan musim ini”, kata Rangnick selepas tamat perlawanan.

 

Aksi cemerlang Ronaldo menerusi hatrik yang dihasilkan beliau akhirnya menjadi penyelamat kepada buruknya penampilan barisan belakang United. Bolos enam kali hanya dari dua penampilan terakhir mendedahkan fakta bahawa Rangnick sebenarnya masih belum menemui kuartet yang tepat untuk beliau letakkan bagi membarisi benteng pertahanan United. Masalah yang perlu diselesaikan beliau menjelang aksi kedua peringkat `round of 16’ Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid pada awal pagi Rabu nanti.

 

Penutup

 

Hatrik ini cumalah hatrik kedua yang dihasilkan Ronaldo untuk United. Mungkin juga hatrik ini tidak sepenting hatrik yang beliau hasilkan ke gawang Sweden pada November 2013, sekaligus mengesahkan kemaraan Portugal ke pusingan akhir Piala Dunia 2014. Mungkin juga hatrik ini tidak sepenting hatrik beliau ke gawang Wolfsburg pada April 2016. Kerana hatrik inilah, Real Madrid berjaya memadam kelebihan dua gol yang dimiliki Wolfsburg untuk mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara edisi 2015/16.

 

Akhirnya pada edisi kali ini, Real berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-11 dalam sejarah kelab. Atau mungkin juga hatrik ini tidaklah sepenting hatrik yang beliau hasilkan ke gawang Bayern Munich dan Atletico Madrid pada 18 April dan 2 Mei 2017. Kerana menerusi dua hatrik inilah Ronaldo mencipta sejarah selaku pemain pertama menjaringkan hatrik dalam dua perlawanan berturut-turut di Liga Juara-Juara.

 

Hatrik ke-59 Ronaldo ini mungkin tidaklah sepenting mana, tetapi menerusi hatrik inilah, beliau meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman, sekaligus menolak Josef Bican dari singgahsana yang dihuninya selama 66 tahun. Untuk seorang pemain yang sudah mencecah  usia 37 tahun, tetapi masih mampu mencetak hatrik dalam liga yang dianggap paling kompetitif di dunia, hanya ada satu perkataan paling tepat untuk beliau…`GOAT’. Glory Glory Manchester United!!! 

08 Mac 2022

JENAKA PALING MAHAL

 


Manchester United membayar harga yang sangat tinggi untuk seorang pemain pertahanan berbanding ketika Liverpool mendapatkan Virgil Van Dijk, atau ketika Juventus menandatangani Matthijs de Ligt. Jadi dengan nilai sebanyak £80 juta yang dibayar kelab kepada Leicester City demi mendapatkan tandatangan Harry Maguire pada Ogos 2019, penyokong tentunya mahu melihat impak diberikan beliau kepada benteng pertahanan United.

 

Hakikatnya tidak begitu…kerana lama kelamaan, Maguire yang sebelumnya didambakan penyokong-penyokong United mampu menjadi tembok kebal di benteng pertahanan kini lebih cenderung menjadi bahan jenaka hampir setiap minggu. Mengapa pada Ogos 2019, Ole Gunnar Solskjaer lebih memilih menandatangani Magurie berbanding Kalidou Koulibaly, sedangkan pertahanan Napoli sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak penghujung musim 2018/19 lagi?

 

Mungkin ketika itu Solskjaer mahukan seorang pertahanan tengah yang sudah terbukti kemampuannya beraksi di Liga Perdana. Manakala dalam skuad kebangsaan pula, Maguire antara tiga pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan utama England selain Jordan Pickford dan Harry Kane pada kempen pusingan akhir Piala Dunia 2018 dan UEFA Nations League.

 

Termahal Di Dunia

 

Sejak hari pertama beliau menyarung jersi United, prestasi Maguire sudah mula dijadikan sorotan, baik dari penyokong United sendiri mahupun penyokong lawan. Selaku penyandang gelaran `pemain pertahanan termahal dunia’, suka atau tidak…Maguire tidak dapat mengelak dari dijadikan sasaran kritikan setiap kali benteng pertahanan United yang diterajuinya bermain di bawah tahap sebenar.

 

Semusim sebelum ketibaan Maguire di Old Trafford, pintu gol United dibolosi sebanyak 54 kali sepanjang saingan liga. Berbanding lima lagi pasukan yang berada di kelompok enam teratas, United muncul kesebelasan yang pintu golnya paling banyak dibolosi. Catatan ini sebenarnya banyak disumbangkan oleh faktor buruknya koordinasi para pemain pertahanan United ketika bertahan, hinggakan mereka begitu mudah di eksploitasi lawan.

 

Pada musim panas 2019, United secara serius mula memburu pertahanan tengah baharu, dan Maguire adalah sasarannya. Ketika itu, Maguire dilihat bukan sahaja pertahanan yang mampu menambah kualiti di barisan belakang, tetapi juga seorang `ball playing defender’ yang memiliki kemampuan untuk melakukan `build up’ dari belakang. Dengan kualiti yang beliau perlihatkan sepanjang kariernya di Leicester, United sepatutnya memilih pemain yang tepat untuk mengetuai benteng pertahanan mereka.

 

Sasaran Kritikan

 

Kegembiraan penyokong-penyokong United menyambut kehadiran `pertahanan termahal dunia’ itu tidak bertahan lama. Impian mereka yang mahu menyaksikan Maguire menjadi bintang dan tulang belakang di Theatre of Dream secara perlahan-lahan mula kabur. Jauh dari `jelmaan Rio Ferdinand’ sepertimana yang digembar-gemburkan sebelumnya, Maguire sebaliknya melakukan kesilapan-kesilapan mudah persis seorang pertahanan yang beraksi di liga amatur.

 

Imbas kembali bagaimana Junior Stanislas melakukan `nutmeg’ ke atas beliau untuk gol pertama Bournemouth dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 4 Julai 2020. United menang (5-2) dalam perlawanan itu, tetapi Maguire menjadi bahan ketawa kerana kesilapan mudah yang dilakukannya hingga menyebabkan gol itu terhasil. Sepuluh hari selepas itu, `blunder’ Maguire sekali lagi menyebabkan pintu gol United dibolosi lawan…kali ini lebih parah dan merugikan pasukan.

 

`Marking’ yang dilakukan beliau ke atas rakan sepasukan sendiri (Aaron Wan-Bissaka) membuka ruang buat Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan Southampton di penghujung perlawanan yang mengakibatkan United terlepas tiga mata berharga. Hampir setahun sebelum itu, Maguire juga mempamerkan skill bertahan seperti bek amatur. Dan kali ini dalam saingan Liga Europa pula.

 

Partizan Belgrade tidak perlukan pemain dengan skill sehebat Lionel Messi, tetapi memadai dengan Seydouba Soumah untuk `menghancurkan’ reputasi Maguire. Lihat bagaimana mudahnya pemain kebangsaan Guinea itu menewaskan beliau, sebelum melepaskan percubaan berbahaya ke arah gawang United. Mujurlah rembatan itu berjaya diselamatkan Sergio Romero dan di akhir perlawanan, United keluar sebagai pemenang.  

 

Tiada Kompromi

 

Ada yang mengatakan bahawa kesilapan merupakan lumrah dalam kehidupan, dan bolasepak juga tidak terkecuali. Jika begitu, cuba kenang semula betapa dahsyatnya `hair dryer treatment’ Sir Alex Ferguson ketika para pemainnya melakukan kesilapan mudah hingga merugikan pasukan. Jika kesilapan juga mudah untuk dikompromi, Chelsea tidak akan menukar pengurus sebanyak 16 kali hanya dalam tempoh 19 tahun `pemerintahan’ Roman Abramovich di Stamford Bridge.

 

Maguire bukanlah pertahanan tengah yang memiliki kualiti `tackle’ sebagus Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Jaap Stam atau Steve Bruce. Tetapi untuk berlaku adil, beliau merupakan pertahanan United yang sangat efektif melakukan `clearance’ dan `intercept’. Secara purata, beliau melakukan 3.6 `clearance’ dan 1.9 `intercept’ per perlawanan dalam saingan liga musim lalu…angka terbanyak berbanding mana-mana pertahanan United.

 

Satu lagi kelebihan dimiliki beliau yang gagal ditandingi oleh mana-mana pertahanan United ialah kemampuan dalam perebutan bola di udara. Musim lalu, Maguire menang purata 4.2 `duel’ bola tinggi per perlawanan, dan kualiti tersebut jugalah menyaksikan beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk United. Bagaimana pula statistik beliau dalam melakukan kerja-kerja bertahan musim ini?

 

Dari 23 penampilan dalam saingan liga setakat ini, menyaksikan Maguire melakukan 1.25 `tackle’, 1.65 `intercept’, 5.11 `clearance’ dan memenangi 3.63 `duel’ bola tinggi per perlawanan. Sekali lagi antara tiga pertahanan tengah yang sering digunakan United musim ini, Maguire lebih unggul dalam melakukan duel bola tinggi berbanding Victor Lindelof dan Raphael Varane.

 

Penutup

 

Bolasepak adalah dunia yang memuja kemenangan serta kemahsyuran, jadi dalam dunia yang `kejam’ seperti ini, tiada tempat untuk perkara-perkara bodoh dilakukan pemain di atas padang, apatah lagi seorang individu yang diamanahkan memakai `armband’ di lengan. Maguire bukanlah seorang komedian, tetapi penampilan beliau sejak kebelakangan ini sering mengundang tawa akibat `jenaka’ yang dilakukannya di atas padang.

 

Tanda harga kini cumalah tinggal tanda harga, dan reputasi beliau selaku pertahanan termahal dunia menjadikan Maguire lebih terdedah kepada kritikan dan cemuhan. Lebih dua tahun yang lalu, saya antara yang bersorak gembira di sebalik kejayaan United menandatangani Maguire. Tetapi sejak akhir-akhir ini saya mula berfikir, adakah ini `jenaka’ paling mahal di dunia yang dibayar oleh United untuk seorang `komedian’ bernama Harry Maguire? Glory Glory Manchester United!!! 



27 Februari 2022

KENAPA UNITED TUMPUL?

 


Sebagai pengendali, Ralf Rangnick sudah melakukan apa yang mampu beliau lakukan di luar padang. Dari menyusun taktik dan strategi hinggalah menentukan pemain mana yang patut beliau turunkan dalam satu-satu perlawanan, manakala selebihnya terserah kepada pemain yang beraksi di atas padang. Jika mahu keluar sebagai pemenang dalam satu-satu perlawanan, matematiknya mudah sahaja, pastikan pintu gol anda tidak dibolosi dan jaringkan seberapa banyak gol ke gawang lawan.

 

Nampak mudah, tapi pelaksanaannya cukup sukar, apatah lagi untuk kesebelasan seperti Manchester United terutamanya dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Entah kenapa, barisan hadapan United cukup sukar menjaringkan gol sejak kebelakangan ini, hinggakan David De Gea pernah menyatakan secara terbuka bahawa United seolah-olah seperti terkena `sumpahan’. Kenyataan beliau kepada El Pais itu adalah impretasi dari kebingungan De Gea tentang masalah `penyelesaian akhir’ United ketika berada di hadapan gawang lawan.

 

Penyelesaian Akhir

 

Penyelesaian akhir di hadapan gawang lawan sekali lagi menjadi sorotan selepas aksi United menentang Watford di Old Trafford semalam. Entah kali keberapa, United gagal meraih kemenangan meskipun mereka begitu dominan menguasai permainan, dan kegagalan kali ini bukanlah disebabkan Watford bermain dengan baik, tetapi kerana kegagalan barisan hadapan The Red Devils menyempurnakan peluang terhidang.

 

Sepanjang aksi menentang Watford, United berjaya melepaskan 22 percubaan, tetapi malangnya dari 22 percubaan tersebut, mereka cuma mampu melepaskan tiga percubaan tepat. Dalam perlawanan tersebut, United juga sebenarnya memiliki angka xG (expected goals) sebanyak 2.53. Dengan catatan sebegini, mereka sepatutnya mampu menjaringkan dua atau tiga gol ke gawang lawan. Malahan pada babak pertama sahaja, United memiliki dua peluang terbaik menerusi Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes.

 

Pada babak kedua, United terus memberikan tekanan hingga memaksa lawan kerap hilang penguasaan bola. Bagaimanapun tidak seperti pada babak pertama, tidak banyak peluang-peluang terbaik berjaya dicipta, apatah lagi bila lawan pula mengamalkan pendekatan `low block’ dalam corak permainan mereka. Aksi menentang Middlesbourgh (dalam saingan Piala FA) dan Burnley (di Liga Perdana) sebenarnya memperlihatkan bahawa United sebenarnya tidak berdepan masalah dalam mencipta peluang jaringan gol.

 

Ketika mereka disingkir Middlesbrough dari saingan Piala FA, United memiliki sekurang-kurangnya tujuh `big chances’, manakala catatan xG mereka pula ketika berdepan Burnley mencapai angka 1.83.  Setidak-tidaknya dengan catatan xG sebegini selain peratusan penguasaan bola sebanyak 65% dan 22 percubaan yang dilakukan mereka, United sepatutnya tidak berdepan masalah untuk pulang dari Turf Moor dengan tiga mata penuh.

 

Apa yang berlaku ketika mereka terikat di Turf Moor dan ketika berdepan Watford semalam adalah masalah `penyelesaian akhir’ di hadapan gawang lawan. Bukan cuma Rangnick yang bingung, tetapi penyokong United juga kehairanan dengan masalah yang dihadapi kelab ketika ini. Kegagalan menjaringkan gol meskipun mereka berjaya mencipta begitu banyak peluang menimbulkan persoalan tentang kapasiti barisan hadapan United.

 

Untuk sebuah kesebelasan yang memiliki pemain-pemain dengan kualiti seperti Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho, Edinson Cavani, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford, menjaringkan gol sepatutnya bukanlah masalah yang terlalu besar bagi mereka. Bagaimanapun kualiti di atas kertas tidak semestinya mampu diterjemahkan mereka ketika beraksi di atas padang. Sebagai contoh, dalam aksi menentang Watford, Ronaldo cuma memiliki catatan xG sebanyak 0.25 sahaja.

 

Ronaldo Puncanya?

 

Jika anda bercakap tentang Ronaldo, ada dua fakta yang tidak boleh anda ketepikan. Pertama, `naluri membunuh’ beliau masih lagi bagus. Dan kedua, Ronaldo adalah seorang `clutch player’ yang mampu memberikan perbezaan dalam satu-satu perlawanan. Jaringan kemenangan yang dihasilkan beliau ketika berdepan Villareal dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada September tahun lalu antara contoh terbaik.

 

Bagaimanapun saya berpendapat, kehadiran Ronaldo menyebabkan barisan hadapan United kini memiliki titik fokus, tidak sepertimana sebelum kehadiran beliau. Ketika era Ole Gunnar Solskjaer, pergerakan pemain-pemain seperti Bruno Fernandes, Mason Greenwood atau Marcus Rashford lebih `fluid’, malahan Edinson Cavani yang juga merupakan penyerang tengah tulen memiliki pergerakan tanpa bola yang sangat bagus serta sering melakukan pertukaran posisi ketika dalam permainan.

 

Hal inilah (pertukaran posisi) yang menyaksikan mengapa Bruno memiliki catatan gol dan bantuan gol yang sangat impresif ketika era Solskjaer kerana beliau bebas untuk masuk ke dalam petak penalti lawan dari belakang atau melepaskan percubaan menerusi ruang yang tercipta dari pergerakan yang dilakukan rakan-rakan sepasukannya. Adakah ini bermakna kehadiran Ronaldo sebenarnya memberikan masalah kepada barisan hadapan United?

 

Tidak dinafikan bahawa kehadiran Ronaldo menyebabkan pemain-pemain lain `terpaksa’ menjadikan beliau sebagai titik fokus di hadapan, tetapi untuk berlaku adil, kita juga perlu mengakui bahawa kualiti hantaran yang diterimanya juga bukanlah terlalu bagus. Selain dari itu, pemain seperti Rashford dan Greenwood pula memiliki mentaliti `shoot first’ ketika mereka memiliki peluang berbanding melakukan hantaran kepada rakan yang lebih berpotensi menghasilkan gol. Lihat sahaja apa yang dilakukan Greenwood pada aksi menentang West Ham pada Januari lalu.

 

Ronaldo masih mampu menghasilkan purata 4.01 percubaan per perlawanan, manakala dari sembilan gol yang sudah dijaringkannya dalam saingan liga, beliau memiliki xG 10.51. Bruno dan Rashford juga boleh dianggap pemain hadapan yang agresif menerusi catatan 2.91 dan 2.35 percubaan per perlawanan, malah Bruno juga mampu melakukan purata 3.52 `key passes’ dalam setiap perlawanan. Selain dari itu, jangan lupakan juga Sancho yang prestasinya semakin baik di bawah kendalian Rangnick. Jadi United sebenarnya tidak ketandusan kualiti di barisan hadapan mereka.

 

Penutup

 

“Bukan Manchester United namanya jika tidak menyukarkan diri sendiri”…frasa ini nampaknya tepat bagi mendefinisikan penampilan mereka dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Dan aksi menentang Watford semalam sekadar mengesahkan lagi cakap-cakap tersebut. Sama sepertimana situasinya di Turf Moor, Watford juga tidak bermain dengan baik dalam perlawanan ini, cuma United sahaja yang `kebingungan’ dalam melakukan penyelesaian akhir. Glory Glory Manchester United!!!



29 Oktober 2021

KARAKTER YANG SUDAH LAMA HILANG



Selepas tamat aksi menentang Leicester City di King Power Stadium pada 16 Oktober lalu, laman WhoScored memberikan Harry Maguire rating 5.8. Rating yang diterima Maguire itu merupakan angka paling rendah diterima beliau berbanding mana-mana pemain yang beraksi dalam perlawanan tersebut. Kegagalan beliau mengawal bola dengan baik menjadi punca kepada gol penyamaan lawan yang dihasilkan Youri Tielemans. `Blunder’ Maguire tidak terhenti setakat itu, apabila di penghujung permainan, kawalan longgarnya membolehkan Patson Daka menjaringkan gol keempat tuan rumah.

 

Kelibat Maguire terus dijadikan sorotan pada aksi menentang Liverpool di Old Trafford, yang menyaksikan barisan The Red Devils diaibkan menerusi kekalahan besar 0-5 kepada seteru domestik mereka itu. Dan sekali lagi WhoScored `menghadiahkan’ Maguire rating 5.8. Angka ini bukanlah rating terendah yang diterimanya berbanding mana-mana pemain yang beraksi dalam `North West Derby’ tersebut, tetapi Maguire tetap tidak dapat mengelak dari dijadikan sasaran kritikan. Sudah tentu kapasiti beliau sebagai kapten pasukan terus diperdebatkan dan dipertanyakan ramai pihak.

 

Kapten Kontroversi

 

Di era Liga Perdana, Maguire merupakan kapten ke sebelas United. Tugas mengetuai rakan-rakan sepasukan itu diambilalih Maguire dari Ashley Young pada 2020 selepas pemain veteran Aston Villa itu menyertai Inter Milan. Tugas seorang kapten bukanlah mudah, tatkala jurulatih cuma mampu memberikan arahan dari tepi padang, kapten pula adalah individu yang bertanggungjawab memimpin sepuluh lagi rakannya sepanjang perlawanan. Ringkasnya, pengaruh seorang kapten sangat penting dalam dalam satu-satu perlawanan, kerana `armband’ bukan sekadar hiasan di lengan.

 

Sepanjang sejarah kelab terutamanya di era Liga Perdana, United sentiasa memiliki individu-individu unik yang memiliki keterampilan tersendiri untuk diberikan tanggungjawab selaku kapten pasukan. Dari sebelas pemain United yang pernah memikul tugas sebagai kapten pasukan (di era Liga Perdana), anda pastinya tidak akan pernah melupakan sosok bernama Roy Maurice Keane, atau Roy Keane atau juga lebih akrab dengan panggilan `Keano’. Keane bukan sahaja merupakan pemain United yang sangat disegani, tetapi juga seorang kapten yang penuh karismatik penampilannya.

 

Untuk rekod, Keane menggalas tugas selaku kapten pasukan selama lapan tahun, dari 1997 hingga 2005. Dan sepanjang tempoh tersebut, beliau membina reputasinya selaku pemain yang memiliki corak permainan keras, berdisiplin, penuh kontroversi dan tonggak tengah United yang sangat dominan. Kontroversi dan Keane memang sangat akrab, dan jika elemen tersebut dicabut keluar dari tubuh beliau, Keane mungkin sekadar pemain yang biasa-biasa saja. Perseteruan dengan Patrick Vieira, menghantar Alf-Inge Haaland ke alam persaraan hinggalah kritikan pedasnya kepada rakan sepasukan antara kontroversi besar yang pernah dicetuskan Keane.

 

Perubahan Karakter

 

Pada 1990, Keane berpindah ke England dengan menyertai Nottingham Forest dari Cobh Ramblers, dan di bawah kendalian Brian Clough beliau dididik sebagai pemain dengan cara yang sangat keras. Kerasnya disiplin dan corak latihan yang diterapkan Clough bukanlah penyebab utama Keane menjadi pemain yang sangat menggerunkan sepertimana yang anda lihat ketika eranya di Old Trafford. Menurut Keane, momen sebenar yang mengubah karakter beliau ialah perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas 1993.

 

“Saya menyertai United selepas mereka menjuarai liga. Ketika itu mereka dalam momentum, mereka ada pemain-pemain yang berkualiti dan paling penting mereka ada karakter yang sangat bagus. Saya sukakan tekanan, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar dan tentunya penyokong mereka”, kata Keane dalam satu wawancara dengan Belfast Telegraph. Sepanjang tempoh 12 musim bersama United, Keane berjaya memenangi 17 medal kejuaraan, sekaligus meletakkan beliau sebagai kapten paling berjaya di Old Trafford.

 

Keajaiban Di Turin

 

Jika anda bercakap tentang karakter Keane sebagai kapten United, momen di Turin pada malam 22 April 1999 sepatutnya tidak terlepas dari topik perbincangan anda. Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer merupakan wira di Camp Nou ketika United menundukkan Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 99. Tetapi `turning point’ paling penting di sebalik kejayaan United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka berlaku pada perlawanan sebelumnya. Lebih tepat lagi pada aksi separuh akhir kedua menentang Juventus di Turin.

 

Bagaimanapun, dua minggu sebelum aksi di Stadium Delle Alpi itu berlangsung, Juventus berjaya mengikat United (1-1) pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir. Paling penting, Juventus yang dikendalikan Carlo Ancelotti ketika itu pulang ke Turin dengan keyakinan cukup tinggi selepas mereka berjaya menjaringkan satu gol di gelanggang lawan. Berbekalkan pemain-pemain kelas dunia yang mereka miliki seperti Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Antonio Conte, Edgar Davids dan Alessandro Del Piero, Juventus adalah pasukan pilihan untuk mara ke final.

 

Segalanya tampak mudah buat Juventus di Delle Alpi apabila Filippo Inzaghi, pemain yang dilabel Sir Alex Ferguson sebagai `dilahirkan offside’ berjaya meledak dua gol dalam tempoh sebelas minit pertama permainan. Tugas United semakin sukar, kerana apa yang diperlukan mereka ketika itu ialah menjaringkan dua gol dan mara ke final menerusi peraturan gol di gelanggang lawan. Tetapi untuk melakukannya di Delle Alpi dan menentang kesebelasan seperti Juventus adalah tugas yang hampir mustahil untuk dilakukan. 

 

Tatkala api perjuangan di kota Turin semakin malap, Keane menghidupkan kembali harapan United menerusi gol yang dihasilkannya diminit ke-24 menerusi tandukan. Gol itu bukanlah antara gol yang indah pernah dijaringkan Keane, tetapi gol itu menjadi momen kebangkitan United dalam perlawanan tersebut. Ketika David Beckham melepaskan tendangan sudut, Keane memandang tepat ke arah bola, berlari melepasi kawalan Gianluca Pessotto dan menewaskan Zinedine Zidane dalam duel di udara. Bola tandukan itu melepasi jangkauan Angelo Peruzzi dan menuju tepat ke sebelah kiri pintu gol lawan.

 

Sepuluh minit selepas menjaringkan gol tersebut, Keane dilayangkan kad kuning, yang menyebabkan beliau terlepas aksi final. Meskipun menyedari bahawa beliau tidak akan bermain di pentas final sekiranya United mara ke Camp Nou, hakikat tersebut tidak membuatkan Keane `mengendurkan’ permainannya. Selaku kapten, Keane terus menjadikan dirinya inspirasi kepada rakan-rakan sepasukan. Hasilnya di babak kedua, ego Juventus direntap sehabisnya menerusi dua gol yang dijaringkan Andy Cole dan Dwight Yorke, sekaligus mengesahkan kemaraan United ke pentas final.

 

Dalam autobiografi beliau, Fergie turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Keane di sebalik kejayaan United mara ke final dan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab. “Pengaruh yang dimainkannya cukup besar untuk pasukan dan di Stadium Delle Alpi adalah contoh terbaik. Dia tahu yang dia tidak akan bermain selepas itu, tetapi dia meningkatkan usahanya untuk membawa pasukan ke final. Dia seolah-olah lebih sanggup mati dari menerima kekalahan dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan disekelilingnya. Satu penghormatan bagi saya untuk dikaitkan dengan pemain seperti dia” kata Fergie

 

Penutup

 

Apa yang terjadi antara Keane dan Fergie selepas itu cumalah sejarah. Keceluparan beliau ketika mengkritik rakan sepasukan hingga menyebabkan Keane terpaksa disingkirkan antara titik hitam dalam kariernya. Bagaimanapun fakta yang tidak mampu anda nafikan ialah, Keane antara kapten United terhebat pernah anda saksikan aksinya di atas padang. Saya yakin, Fergie juga tahu bahawa Keane merupakan kapten terbaik yang pernah dimilikinya. Jika anda mencari definisi sebenar seorang `pejuang’, lihat dalam diri Keane kerana di sana ada jawapannya.

 

Sepanjang era pengurusan Fergie di Old Trafford, beliau memiliki begitu ramai pemain berbakat. Akan sentiasa ada perdebatan siapa pemain `nombor 7’ terhebat, siapa pemilik jersi `nombor 1’ paling kebal mengawal gawang, siapa pertahanan paling sukar dilepasi lawan, siapa `flanker’ paling mempesonakan atau siapa penyerang paling tajam dalam menyudahkan peluang. Tetapi sangat mudah untuk memilih siapa kapten terbaik United sepanjang zaman, kerana nama Keane sentiasa berada di posisi nombor satu.

 

Aksi kompetitif terakhir Keane bersama United berlaku pada 18 September 2005 ketika berdepan Liverpool. Selepas itu anda tidak lagi melihat kelibat seorang lelaki garang berjersi nombor 16 dengan semangat meluap-luap memimpin rakan-rakan sepasukan United-nya di atas padang. Keane bukan sekadar seorang kapten di atas padang, tetapi juga pemimpin yang meletakkan standard sebenar tentang dedikasi dan disiplin kepada rakan-rakan sepasukannya. Dan selepas September 2005 itu, United masih tercari-cari karakter seorang kapten seperti Keane, yang sebenarnya tidak pernah pun mereka temui hingga ke hari ini. Glory Glory Manchester United!!!

22 Oktober 2021

TIGA REKOD PALING BERPOTENSI UNTUK RONALDO CIPTA MUSIM INI

 


Cristiano Ronaldo sekali lagi meletakkan dirinya selaku pemain yang memberikan perbezaan kepada Manchester United di Liga Juara-Juara. Ketika menentang Villareal pada 29 September lalu, gol penghujung permainan Ronaldo memberikan United tiga mata berharga, dan pada awal pagi Khamis beliau sekali lagi melakukannya. Kali ini gol menerusi tandukan yang dilakukannya ketika tempoh permainan sebenar berbaki sembilan minit sebelum ditamatkan memaksa Atalanta pulang ke Bergamo dengan tangan kosong meskipun mereka berjaya mendahului dua gol pada babak pertama.

 

Selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua aksi sebelum ini (ketika berdepan Everton dan Leicester), Ronaldo kembali menemui sentuhan jaringan, dan lebih manis Atalanta muncul kesebelasan ke-38 yang gawang mereka berjaya ditembusi beliau dalam saingan Liga Juara-Juara. Angka ini meletakkan Ronaldo selaku pemain paling banyak menjaringkan gol ke gawang pasukan berbeza dalam sejarah kejohanan. Kemenangan ini turut meletakkan United selaku pendahulu Kumpulan F selepas mereka mengumpul enam mata dari tiga perlawanan. Dua mata mengatasi Atalanta dan Villareal yang menghuni tangga kedua dan ketiga.

 

Liga Juara-Juara seolah-olah pentas yang dicipta untuk Ronaldo memperagakan kehebatannya, kerana di pentas inilah beliau mencipta pelbagai rekod peribadi. Sejak melakukan debut di Liga Juara-Juara pada 1 Oktober 2003, Ronaldo sudah melakukan 179 penampilan disaingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini. Jumlah ini meletakkan beliau selaku pemain paling banyak melakukan penampilan di Liga Juara-Juara. Dalam tempoh tujuh bulan kehadapan, tumpuan akan terus diberikan kepada Ronaldo, dan berikut adalah tiga rekod yang paling berpotensi untuk beliau pecahkan pada penampilan keduanya di Old Trafford.

 

100 Gol Di Liga Perdana dan La Liga

 

Bukan mudah menjaringkan lebih 100 gol di dua liga berbeza, apatah lagi melakukannya di dua liga yang diiktiraf selaku liga bolasepak terbaik dunia seperti Liga Perdana dan La Liga. Gonzalo Higuain melakukannya di La Liga dan Serie A, manakala Zlatan Ibrahimovic dan Edinson Cavani pula di Serie A dan Ligue 1. Bagaimanapun masih belum ada seorang pemain yang mampu menjaringkan 100 gol atau lebih ketika mereka beraksi di Liga Perdana dan La Liga. Ronaldo menjaringkan 311 gol dari 292 penampilan untuk Real Madrid di La Liga, tetapi di Liga Perdana beliau masih belum melepasi angka 100 gol.

 

Untuk rekod, setakat ini Ronaldo sudah menjaringkan 87 gol untuk United di Liga Perdana, 84 gol dihasilkannya semasa fasa pertama beliau di Old Trafford dan tiga lagi selepas beliau kembali ke pangkuan kelab musim ini. Untuk itu, Ronaldo cuma perlukan 13 lagi gol untuk beliau meletakkan dirinya selaku pemain pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol di Liga Perdana dan La Liga. Apakah Ronaldo mampu melakukannya? Tiada kesangsian untuk soalan ini, kerana Ronaldo masih lagi seorang pemain yang memiliki penyudah klinikal meskipun usianya kini sudah menjangkau 36 tahun.

 

Pemenang `Golden Boot’ Tertua

 

Menang anugerah `golden boot’ pada usia 36 tahun? Untuk pemain lain saya tak pasti, tapi ada pengecualian buat Ronaldo. Sebelum melakukan kepulangan semula ke Old Trafford, beliau sudah berjanji mahu menghasilkan banyak gol. Gol adalah alasan utama mengapa Ronaldo masih mampu bertahan hingga kini, kerana menjaringkan gol membuatkan beliau sentiasa `kelihatan muda’. Keghairahan beliau ketika berada di hadapan gawang lawan tidak pernah pudar dan lihat sahaja apa yang Ronaldo lakukan ketika berdepan Villareal dan Atalanta.

 

Dari lima penampilan untuk United di Liga Perdana musim ini, Ronaldo sudah menjaringkan tiga gol, sekaligus meletakkan beliau dalam kelompok 20 penjaring terbanyak liga setakat ini. Dalam situasi sekarang, Ronaldo mungkin tidak mampu menjaringkan 42 gol semusim, sepertimana ketika beliau melalui musim terbaiknya di Old Trafford (pada musim 2007/08). Bagaimanapun satu fakta yang tidak boleh anda nafikan ialah, kualiti penyudah Ronaldo masih antara yang terbaik berbanding mana-mana penyerang yang lebih muda darinya.

 

Jadi bukanlah satu perkara mustahil jika Ronaldo mampu memadam rekod Jamie Vardy selaku pemenang anugerah `golden boot’ paling tua. Penyerang Leicester itu muncul penjaring terbanyak liga musim 2019/20 pada usia 33 tahun. Sebenarnya sudah agak lama kita tidak melihat mana-mana penyerang United menjaringkan lebih 20 gol dalam saingan liga semusim sejak Robin Van Persie melakukannya pada musim 2012/13. Adakah musim ini anda bakal melihat ada penyerang United yang mampu melepasi angka lebih 20 gol semusim di Liga Perdana?

 

Melepasi Angka 800 Gol

 

Menurut catatan dari laman International Federation of Football History and Statistics, Ronaldo ketika ini muncul pemain paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah bolasepak dunia menerusi 794 jaringan yang sudah beliau ledak ke gawang lawan. Catatan ini menyaksikan Ronaldo jauh melangkaui statistik jaringan gol pemain-pemain terhebat sebelumnya seperti Pele, Romario, Ferenc Puskas, Gerd Muller atau Eusebio. Kini beliau cuma perlukan enam sahaja lagi gol untuk koleksi jaringan sepanjang karier profesionalnya mencecah angka 800. 

 

Enam gol sahaja lagi yang diperlukan beliau bukanlah masalah besar untuk pemain yang memiliki produktiviti penghasilan gol seperti Ronaldo, kerana kualiti penyudahnya sudah teruji ketika beliau beraksi di England, Sepanyol mahupun Itali. Satu-satunya pesaing paling berpotensi menyamai pencapaian Ronaldo ialah Lionel Messi, tetapi jika bintang sensasi Argentina itu berjaya melakukannya sekalipun, Ronaldo akan sentiasa diingati sebagai `manusia pertama yang berjaya menjaringkan 800 gol sepanjang sejarah dunia bolasepak profesional’.

 

Penutup

 

Aksi menentang Atalanta di Liga Juara-Juara adalah satu lagi bukti betapa pentingnya peranan Ronaldo untuk United meskipun pada awalnya ramai yang skeptikal bila bercakap tentang kemampuan beliau selepas kembali semula ke Old Trafford pada usia 36 tahun. Disebalik `drama’ dipamerkan benteng pertahanan United yang cuma sekali gagal dibolosi lawan dari 20 penampilan terakhir, Ronaldo sekali lagi meletakkan dirinya sebagai wira menerusi gol kemenangan yang dihasilkannya di penghujung permainan. Gol itu bukan sekadar gol yang memberikan United tiga mata berharga, tetapi gol itu juga menunjukkan kualiti sebenar penyudah yang dimiliki Ronaldo.

 

Memilih posisi yang tepat sebelum Luke Shaw melakukan hantaran, dan `timing’ yang sempurna ketika melakukan lompatan sekadar mengesahkan lagi pendapat bahawa Ronaldo berada dalam kelas berbeza berbanding mana-mana pemain dalam menyempurnakan peluang menerusi tandukan. Selain catatan rekod di atas yang saya fikir paling realistik mampu dilakar Ronaldo musim ini, beliau juga sebenarnya mampu memecah rekodnya sendiri selaku penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dalam semusim. Pada musim 2013/14, Ronaldo menjaringkan 17 gol di Liga Juara-Juara, rekod jaringan paling banyak dalam semusim yang hingga kini masih belum mampu diatasi oleh mana-mana pemain.

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain menjaringkan lebih 15 gol semusim di Liga Juara-Juara, tetapi bagi Ronaldo beliau berjaya melakukannya sebanyak tiga kali. Bagaimanapun kali ini saya tidak fikir beliau mampu melakukannya buat kali keempat. Begitu juga dengan prospek untuk beliau muncul pemain United pertama menjulang kejuaraan liga di bawah kendalian dua pengurus berbeza, kerana United berdepan isu konsistensi yang masih belum mampu mereka atasi. Jadi `100 gol di Liga Perdana dan La Liga, `Pemenang Golden Boot Tertua’ dan `800 Gol Sepanjang Karier’ adalah rekod paling berpotensi untuk Ronaldo cipta musim ini. Glory Glory Manchester United!!!

18 Oktober 2021

KESABARAN YANG SEMAKIN TIPIS

 


Kekalahan 2-4 kepada Leicester City di King Power Stadium memang menyakitkan, dan ini juga bermakna Manchester United cuma mampu meraih satu mata dari tiga aksi terakhir liga mereka. Dua aksi sebelum itu menyaksikan United tewas (0-1) kepada Aston Villa dan seri (1-1) ketika berdepan Everton. Kekalahan ini juga turut menamatkan rekod 29 perlawanan tanpa kalah United ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan liga. Menurut catatan Opta, kali terakhir United tewas ketika beraksi di gelanggang lawan pada saingan liga ialah pada Januari 2020 dalam aksi menentang Liverpool di Anfield.

 

Banyak aspek yang diperdebatkan selepas tamat perlawanan, dari kesilapan individu ketika bertahan hinggalah kepada strategi permainan yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer sejak kebelakangan ini. Paling ketara bila menyaksikan perjudian beliau menurunkan Harry Maguire yang masih belum 100% cergas mengundang padah. Dalam perlawanan ini, kesilapan Maguire membolehkan Youri Tielemans menjaringkan gol penyamaan, manakala sepanjang perlawanan beliau cuma mampu memenangi lima dari sepuluh perebutan bola tinggi, selain hilang penguasaan bola sebanyak sembilan kali.  

 

Fasa Kritikal

 

Melihat kepada satu lagi persembahan buruk yang dipamerkan United, majoriti penyokong nampaknya sudah mula hilang sabar dengan cara Solskjaer mengendalikan pasukan dan taktikal permainan yang digunakannya di atas padang. Sudah tentu kem #OleOut ini nampaknya semakin tidak sabar mahu menyaksikan Solskjaer dipecat dan perubahan drastik segera berlaku menerusi `regim’ baharu yang bakal menggantikan posisi beliau sebagai pengurus. Kekalahan ini meletakkan Solskjaer dibawah tekanan dan jadual sukar sepanjang Oktober dan November bakal menguji sejauh mana lagenda hidup ini mampu bertahan.  

 

Awal pagi 21 Oktober ini (Khamis), Atalanta bakal menguji sejauh mana kemampuan Solskjaer memacu kebangkitan semula United, dan tiga hari selepas itu mereka bakal menerima kunjungan Liverpool pula dalam aksi liga. Jika satu lagi aksi lesu dipamerkan United ketika berdepan Atalanta, anda bayangkan apa yang bakal berlaku ketika mereka berdepan Liverpool nanti. Selepas itu, pada penghujung Oktober pula, lawan seterusnya yang bakal dihadapi United ialah Tottenham Hotspurs. Apa yang boleh anda jangkakan ialah satu lagi aksi sukar terpaksa dihadapi United di kota London berdepan skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu.

 

United akan memulakan aksi bulan November menerusi kunjungan mereka ke Bergamo untuk berdepan Atalanta dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November. Tiga hari selepas itu, keberadaan Solskjaer selaku pengendali akan diuji lagi menerusi aksi derbi Manchester yang ke-163. United mungkin boleh menarik nafas lega buat seketika, tetapi selepas aksi menentang Watford di gelanggang lawan pada 20 November, mereka akan berdepan dua aksi sukar menentang Villareal dan Chelsea di gelanggang lawan.

 

Kredibiliti Solskjaer Diragui

 

Tiga aksi selepas ini (menentang Atalanta, Liverpool dan Spurs), bakal menguji sejauh mana tahap kesabaran pihak pengurusan kelab terhadap kemampuan Solskjaer di kerusi pengurus. Masalah yang sering melanda United sejak mereka ditangani Solskjaer ialah kesukaran ketika berdepan kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga. Musim ini, mereka gagal menewaskan Southampton, Aston Villa, Everton dan terbaru Leicester City. Dalam empat aksi menentang kelab-kelab ini, United cuma mengutip dua mata, dan paling tragis tentunya kekalahan mengejutkan kepada Villa di gelanggang sendiri.   

 

Tidak mampu memanfaatkan kualiti pemain yang dimilikinya? Itu antara kritikan paling popular yang sering dilemparkan oleh para pengkritiknya kepada Solskjaer. Melihat kepada tambahan nama-nama baharu dalam skuad United seperti Raphael Varane, Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo, apa yang boleh anda bayangkan pada permulaannya ialah Solskjaer sudah memiliki skuad yang mampu bersaing dengan mana-mana pencabar kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Tetapi hakikatnya setakat ini, ia tidak kelihatan seperti yang kita impikan dan ramalkan.

 

Donny Van de Beek yang begitu menyinar ketika bersama Ajax Amsterdam masih bergelut selama lebih semusim dalam usahanya merebut tempat dalam kesebelasan utama United. Sancho yang digembar-gemburkan bakal memberikan dimensi berbeza kepada bentuk serangan-serangan United masih belum mampu digilap potensinya oleh Solskjaer. Begitu juga dengan kehadiran Varane yang sepatutnya mampu menjadikan benteng pertahanan lebih kebal, tetapi sehingga setakat ini United cuma mampu mencatatkan satu `clean sheet’ dari 11 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

 

Selepas hampir tiga musim beliau mengemudi United, strategi, elemen dan falsafah permainan yang digunakan Solskjaer turut dipersoalkan ramai pihak. Jika Jurgen Klopp sangat terkenal dengan falsafah `gegenpressing’ beliau bersama Liverpool, Chelsea bermain dengan pendekatan `ball possession’ sambil disuntik elemen intensiti tinggi oleh Thomas Tuchel, manakala Pep Guardiola pula terus setia dengan gaya tiki-taka beliau bersama Manchester City, United pula bermain tanpa identiti bolasepak yang jelas di era Solskjaer.

 

Ada juga pendapat mengatakan bahawa Solskjaer tidak memiliki `plan B’ jika skuadnya berada dalam situasi ketinggalan. Apa yang sering dapat anda lihat ketika United ketinggalan ialah, mereka banyak melancarkan gerakan-gerakan dari sisi sayap, strategi yang sebenarnya sangat mudah diramal lawan. Meskipun Solskjaer diakui mampu mewujudkan suasana yang harmoni di bilik persalinan berbanding Jose Mourinho, hakikat yang perlu kita akui ialah United di era beliau bermain tanpa identiti, visi dan idea yang jelas.

 

Penutup

 

Kekalahan kepada Leicester City mendedahkan kelemahan sebenar United, iaitu mereka tiada seorang pemain tengah bertahan yang dominan, `kalis tekanan’ dan mampu mengawal tempo permainan dengan baik. Ketiadaan pemain tengah yang mampu memberikan tekanan kepada lawan membolehkan para `midfielder’ Leicester bebas melakukan hantaran-hantaran ke zon yang mereka kehendaki. United bermain dengan agresif tetapi kurang disiplin dalam hal `positioning’ ketika menyerang mahupun ketika bertahan. Ini antara faktor yang menyebabkan United seringkali gagal memenangi bola kedua.

 

Apa yang menanti beliau selepas ini sangat mengerikan kerana Atalanta, Liverpool dan Spurs berpotensi meletakkan Solskjaer dalam kedudukan yang sangat berbahaya. Jika masih tiada perubahan drastik kepada prestasi dan corak permainan United, percayalah paling lewat November nanti Solskjaer akan ditunjukkan jalan keluar. Ketika United memiliki himpunan pemain yang mempesonakan, apa yang dimahukan penyokong ialah Solskjaer mampu menukar potensi besar ini kepada sebuah realiti…sudah tentu `realiti’ yang saya maksudkan ialah sebuah kejuaraan. “Jika gagal, lebih baik pergi saja Ole”…Glory Glory Manchester United!!!