Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya dilanda krisis kecederaan pemain menjelang pertemuan menentang Blackburn Rovers di Old Trafford awal pagi nanti. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Gary Neville, Ryan Giggs dan Danny Welbeck menyertai senarai terbaru bilik rawatan United. Tahap kecergasan Vidic dan Ferdinand untuk diturunkan dalam perlawanan hari ini masih belum dapat dipastikan akibat kecederaan betis. Welbeck pula mengalami kecederaan lutut semasa membantu United menewaskan Barnsley dalam kempen Piala Carling Rabu lalu. "Kami agak sangsi menghadapi perlawanan hari ini. Tahap kecergasan Ryan Giggs masih belum meyakinkan tetapi kami berharap dia cukup cergas untuk disenaraikan. Keadaan Ferdinand dan Vidic juga merisaukan kami, tetapi kami akan lihat keadaan mereka hari ini. Mudah-mudahan kami akan dapat menyenaraikan seorang atau dua daripada mereka nanti", kata Ferguson.
Tambah memburukan keadaan, Park Ji Sung yang mengalami kecederaan lutut masih belum sembuh sepenuhnya dan perlu direhatkan untuk beberapa minggu lagi. Sementara itu Darren Fletcher sudah kembali menjalani latihan bersama skuad utama United, tetapi Ferguson tidak akan mengambil risiko dengan menurunkan tonggak tengahnya itu dalam perlawanan hari ini. Ferguson dijangka hanya bersedia menurunkan Fletcher pada perlawanan menentang Chelsea minggu hadapan. Selepas mengalami mimpi buruk di Anfield, Ahad lalu, United harus bangkit semula di Old Trafford hari ini dengan menjadikan kunjungan Blackburn nanti sebagai medan kebangkitan semula skuad Red Devils. Ketika ini United menduduki tangga kedua liga dengan ketinggalan dua mata kepada Chelsea dan perlu menang hari ini untuk terus memberi tekanan kepada anak-anak buah Carlo Ancelotti.