31 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn BLACKBURN ROVERS



Kemenangan ke atas Blackburn Rovers dan kejayaan merampas semula kedudukan sebagai pendahulu takhta Liga Perdana pastinya merupakan hadiah terbaik sempena ulang tahun ke-70 Sir Alex Ferguson minggu ini.  Di atas kertas, United dilihat tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tatkala berdepan Rovers yang kini menghuni dasar liga.  Statistik empat perlawanan teakhir United juga cukup menggerunkan apabila skuad The Red Devils itu berjaya menghasilkan 16 gol dengan sepuluh daripadanya dicipta pada dua perlawanan terakhir mereka.  Berita gembira turut di terima Ferguson menjelang kunjungan Rovers nanti apabila Rio Ferdinand dan Phil Jones bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas pulih dari kecederaan.  Kehadiran kedua-dua pemain pertahanan tengah ini pastinya amat ditagih Ferguson yang sudahpun kehilangan kapten pasukan, Nemanja Vidic sepanjang baki saingan musim ini, Jonny Evans perlu direhatkan selama dua minggu manakala Chris Smalling pula hanya akan kembali minggu hadapan.  Ketika krisis kecederaan melanda pasukan, Ferguson perlu berterima kasih kepada jadual perlawanan yang tampak memihak kepada pasukannya apabila United hanya perlu berdepan kelab-kelab bawahan sepanjang jadual padat musim cuti Krismas.   Untuk rekod, sepanjang era Liga Perdana, Rovers hanya sekali berjaya menewaskan United di Old Trafford iaitu pada 24 September 2005 (2-1) hasil jaringan kemenangan Morten Gamst Pedersen manakala sepuluh pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di dominasi United (menang 7 dan seri 3).  Barisan penggempur United nyata berada pada prestasi terbaik mereka terutama selepas menyaksikan Dimitar Berbatov mula menemui keyakinan diri ketika merakam hatrik saat berdepan Wigan Athletic Isnin lalu.  Javier Hernandez, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam keadaan cergas manakala prestasi mantap yang dipamerkan Luis Antonio Valencia dan Michael Carrick  pastinya menambah keresahan buat Steve Kean yang berdepan desakan dari penyokong-penyokong Rovers supaya beliau meletak jawatan. Walau bagaimanapun, United tidak seharusnya memandang rendah keupayaan anak-anak buah Kean dalam perlawanan ini jika mengambilkira semangat juang mereka ketika berjaya mengikat Liverpool di Anfield tempohari.  Apapun pastinya, Rovers akan cuba sedaya upaya mengelak aib tewas 1-7 di gelanggang yang sama musim lalu dari berulang.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Luis Antonio Valencia, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov

27 Disember 2011

UNITED IKAT CITY DI PUNCAK LIGA


Manchester United meneruskan momentum kemenangan besar mereka menjelang permulaan tahun baru apabila berjaya menewaskan Wigan Athletic 5-0. Dimitar Berbatov muncul wira apabila hatriknya memastikan United terus memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City yang sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan West Bromwich Albion di The Hawthorns.  Park Ji-Sung menjaringkan gol pendahuluan buat United seawal minit ke-8 apabila bijak menyudahkan hantaran Patrice Evra di dalam petak penalti.  Tugas pelawat untuk mencari gol penyamaan semakin sukar apabila penyerang mereka Connor Sammon dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Phil Dowd kerana menyiku Michael Carrick diminit ke-40.  Selang seminit selepas itu,  Bebatov menjaringkan gol kedua United hasil gerakan Darron Gibson.  Bersambung di babak kedua, United semakin selesa di depan apabila Berbatov menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini di minit ke-58 dan selepas itu giliran Luis Antonio Valencia pula memaksa Ali Al-Habsi mengutip bola di gawang sendiri buat kali keempat.  Diminit ke-78, Berbatov melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini hasil sepakan penalti selepas Ji-Sung dikasari Antolin Alcaraz. Kemenangan bergaya ini juga menyaksikan barisan The Red Devils berjaya membolosi gawang lawan sebanyak 16 kali dari empat perlawanan terakhir mereka sekaligus berkongsi mata dengan Manchester City di tangga teratas.  United dan City terikat 45 mata tetapi skuad bimbingan Roberto Mancini itu yang sekadar mengutip satu mata di The Hawthorns kekal sebagai pendahulu liga dengan perbezaan jaringan.  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod buruk Wigan ketika berdepan United berpanjangan kepada 14 perlawanan dan mereka juga gagal menjaringkan sebarang gol di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya lima tahun lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

26 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WIGAN ATHLETIC



Manchester United menanti kunjungan Wigan Athletic di Old Trafford malam nanti dengan misi meneruskan rekod cemerlang 13 perlawanan tanpa kalah mereka ke atas skuad bimbingan Roberto Martinez itu.  Di samping perlu berdepan hakikat kebangkitan United sejak tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah, skuad The Latics itu juga perlu mengakui hakikat bahawa mereka berdepan kesukaran menembusi benteng United di Old Trafford sejak kali terakhir Leighton Baines melakukannya pada 2006 melalui sepakan penalti.  Walau bagaimanapun, Wigan tewas 1-3 dalam perlawanan itu. Ketika United dilihat tidak berdepan kesukaran mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan ini, misi sebenar skuad The Red Devils ialah terus memberi tekanan kepada jiran mereka yang juga pendahulu takhta liga ketika ini, Manchester City.  United hanya ketinggalan dua mata dari jiran mereka itu dan perlawanan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan Sir Alex Ferguson sambil berharap ada kejutan besar berlaku di The Hawthorns.  United bagaimanapun tidak seharusnya dibuai keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan besar ke atas Fulham pertengahan minggu lalu, sebaliknya perlu berhati-hati terutamanya melalui ancaman pemain tengah lawan Jordi Gomez.  Pemain tengah berasal dari Sepanyol itu sudah menjaringkan empat gol dari lima perlawanan terakhir mereka dan prestasi baik Gomez pastinya ditagih Martinez untuk membantu Wigan terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan.  Selepas mencatat kemenangan ke atas West Bromwich di gelanggang lawan serta berjaya mengikat Chelsea dan Liverpool di gelanggang sendiri, Martinez berharap anak-anak buahnya meneruskan momentum mereka di Old Trafford.  Sementara itu, ada berita gembira menyelubungi kem United apabila Phil Jones yang terpaksa dikeluarkan di Craven Cottage bakal disenaraikan Ferguson dalam perlawanan malam nanti.  Jones disahkan cergas dan bakal bergandingan semula dengan Michael Carrick menjana jentera tengah United manakala Rio Ferdinand dan Javier Hernandez bakal memperkuatkan kembali pasukan selepas direhatkan ketika United berdepan Fulham tempohari. Glory Glory Manchester United!!!  

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Nani, Phil Jones, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez.

25 Disember 2011

CARRICK ANTARA WATAK UTAMA KEBANGKITAN UNITED


Di awal musim, nama Michael Carrick hampir dilupakan sebilangan besar penyokong Manchester United akibat penampilan hebat Tom Cleverley dan Anderson menjana bahagian tengah.  Ramai juga yang beranggapan masa depan Carrick bersama United semakin kelam selepas melihat kelibat bekas pemain Tottenham Hotspurs itu sering memanaskan bangku simpanan United.  Walau bagaimanapun Carrick akhirnya membuktikan bahawa dia masih lagi pemain tengah terbaik dalam skuad Sir Alex Ferguson ketika ramai yang mungkin mula melupakan namanya.  Nama Carrick tiba-tiba muncul semula menjadi sebutan bukan saja di kalangan penyokong setia United, malah pemerhati bolasepak kerana prestasi hebatnya sejak kebelakangan ini.  Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan menjadi kunci disebalik keupayaan United bangkit memberikan cabaran dalam saingan liga domestik selepas kejutan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.  Carrick antara watak penting disebalik kemenangan besar 4-1 United ke atas Wolves dan kemudiannya menjaringkan gol hasil gerakan solo menarik ketika United menewaskan Queens Park Rangers 2-0.  Carrick sekali lagi membuktikan kehebatannya menjana jentera tengah United ketika skuad The Red Devils itu merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas Fulham pertengahan minggu lalu.  Ini diakui sendiri Phil Jones, yang juga merupakan gandingan `sementara' Carrick di bahagian tengah selepas United kehilangan khidmat Darren Fletcher, Anderson dan Tom Cleverley.  Menurut Jones, Carrick adalah pemain yang cukup luar biasa walaupun sebelumnya kelibat pemain berpengalaman itu seolah-olah dipandang sepi dan kurang diberi perhatian.  "Ramai yang tidak memberikan perhatian kepadanya tetapi ketika anda bermain bersamanya, anda akan merasainya.  Dia seperti memiliki deria keenam dan tahu di mana dia perlu berada untuk menerima hantaran.  Dia sering berada di tempat dan masa yang tepat sama ada ketika bertahan ataupun ketika merancang serangan", kata Jones.  Aset paling berharga milik Carrick sebenarnya adalah kualiti hantaran-hantaran jauhnya kepada barisan serangan serta cukup berdisiplin ketika bertahan.  Selepas agak lama diketepikan, Carrick seolah-olah ingin melontarkan amaran kepada pengkritiknya bahawa dia masih lagi yang terbaik di Old Trafford dan sentuhannya menjana bahagian tengah masih belum pudar.  Lihat saja pada prestasinya ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Wolves, QPR dan Fulham, hakikatnya Carrick masih lagi yang terbaik buat The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!

16 Disember 2011

ROONEY INGINKAN KEJUARAAN LIGA EUROPA


Andai ada yang mengatakan bahawa Manchester United sudah hilang selera memburu gelaran di Eropah selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah, mereka sebenarnya silap.  Wayne Rooney sebaliknya menegaskan Kejuaraan Liga Europa adalah kejohanan yang mereka perlu menangi musim ini dan berazam membantu United membawa pulang trofi itu ke Old Trafford.  Walaupun mengakui taraf Liga Europa tidaklah sehebat Liga Juara-Juara, Rooney berjanji pasukannya tidak akan memandang ringan kempen mereka di kejohanan tersebut tambahan pula jiran mereka, Manchester City turut sama bersaing.  "Memang merugikan apabila kami tersingkir dari Liga Juara-Juara kerana kami sentiasa ingin bersaing dalam kejohanan itu.  Namun kami harus melupakan kegagalan tersebut dan kembali menumpukan perhatian kepada kejohanan yang bakal kami sertai.  Pengurus (Sir Alex Ferguson) belum pernah memenangi trofi ini jadi saya yakin dia juga pasti ingin memenanginya", kata Rooney.  Menurut Rooney lagi, dalam setiap kejohanan yang mereka sertai, Manchester United pastinya ingin memenangi sesuatu dan berharap kempen mereka di Liga Europa akan berjalan dengan lancar. Glory Glory Manchester United!!!

15 Disember 2011

AGEN NAFIKAN RUMOUR VALENCIA KE JUVENTUS


Menjelang jendela perpindahan musim sejuk Januari ini, nama Luis Antonio Valencia tidak terlepas dari spekulasi bakal berhijrah keluar dari Old Trafford.  Pendahulu Serie A ketika ini, Juventus dikatakan menunjukkan minat yang cukup tinggi mendapatkan khidmat Valencia malah sanggup  menjadikan Milos Krasic sebagai pertukaran.  Walau bagaimanapun, spekulasi perpindahan Valencia ke Juventus Arena segera dinafikan Diego Herrera  Larrea, agen pemain antarabangsa Ecuador itu.  Menurut Herrera, sekalipun terdapat khabar angin mengaitkan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap Valencia, namun tiada sebarang perbincangan rasmi antara pihak pengurusan kedua-dua pasukan.  "Saya ada mendengar khabar tentang minat yang ditunjukkan Juventus, tapi bagi pihak kami itu hanyalah sekadar spekulasi.  Tiada perbincangan rasmi antara kedua-dua pasukan tentang hal ini, jadi saya berani mengatakan ianya hanya sekadar spekulasi", kata Herrera.  Menurut Herrera lagi, kemungkinan untuk Valencia meninggalkan Old Trafford terlalu kecil memandangkan dia baru saja menyambung kontrak selama empat tahun bersama United, selain faktor keluarganya yang cukup gembira di Manchester.  Bagaimanapun Herrera menegaskan, dalam bolasepak segala kemungkinan bakal berlaku. Glory Glory Manchester United!!!

13 Disember 2011

JETRO WILLEMS PELAPIS PATRICE EVRA?


Sir Alex Ferguson memulakan rancangan membentuk skuad masa depannya apabila diberitakan  meletakkan sasaran untuk mendapatkan pemain muda Belanda dan juga PSV Eindhoven, Jetro Willems.  Ferguson bercadang membentuk Willems yang baru berusia 17 tahun sebagai pelapis dan pengganti kepada Patrice Evra yang kini sudahpun menjangkau usia 30 tahun.  Willems sebenarnya baru menyertai Eindhoven dari Sparta Rotterdam Ogos lalu namun Ferguson sudah pun menetapkan sasaran inilah masa terbaik untuknya mendapatkan khidmat pemain muda tersebut.  Selain minat yang ditunjukkan Ferguson, beberapa kelab pesaing United di Liga Perdana dikhabarkan turut berjaya menghidu potensi besar yang ada pada diri Willems.  Ferguson dikatakan telahpun menghantar seorang pencari bakat ke Belanda untuk memantau prestasi Willems bersama Eindhoven di Eredivisie.  Menyedari beliau (Ferguson) mempunyai pemain pelapis yang agak terhad untuk menggantikan Evra satu hari nanti, kemungkinan untuk Willems menjejakkan kakinya ke Old Trafford dilihat agak besar.  Selain faktor harga yang masih rendah, Willems juga boleh digunakan United untuk menghadapi saingan di Liga Europa.  Glory Glory Manchester United!!!

12 Disember 2011

NANI SASARKAN TIGA KEJUARAAN



Selepas terpaksa melupakan aksi saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, pemain sayap United, Nani meletakkan sasaran untuk memenangi baki kejuaraan yang ada.  Masih pedih untuk menelan kepahitan tewas 1-2 kepada FC Basel, sekaligus melenyapkan hasrat pasukannya untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, bintang antarabangsa Portugal itu berharap United mampu memenangi tiga lagi kejuaraan yang ada untuk musim ini.  United berpeluang memenangi Liga Europa dan Piala FA selain cuba mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang mereka menangi musim lalu.  Sekalipun mengakui sukar menerima hakikat kegagalan United layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, Nani optimis barisan The Red Devils mampu menyapu bersih tiga lagi gelaran yang ada.  "Sukar untuk menerima hakikat kegagalan tersingkir di peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara) namun kami masih memiliki peluang untuk menjuarai baki kejohanan yang kami sertai musim ini", kata Nani.  


11 Disember 2011

FERGIE PUASHATI SUMBANGAN PEMAIN SAYAP


Manchester United kembali mencatat kemenangan besar selepas beberapa minggu sebelumnya hanya mampu menjaringkan satu gol pada setiap perlawanan. Kejayaan menumpaskan Wolverhampton Wanderers 4-1 seolah-olah mengimbas kembali prestasi hebat United di awal musim.  Serentak dengan itu, Sir Alex Ferguson pantas melemparkan pujian terhadap prestasi dua pemain sayapnya, Luis Antonio Valencia dan Nani.  "Kami gembira dengan kemenangan ini sambil mampu menampilkan permainan yang menarik.  Gol kedua menjadikan permainan kami lebih rileks dan kami kemudiannya berjaya mengembangkan permainan dengan lebih baik lagi", kata Ferguson.  Sekalipun mengakui Wolves memberikan mereka sedikit masalah di awal babak kedua selepas mereka berjaya merapatkan jurang gol melalui Sebastian Fletcher, Ferguson gembira para pemainnya mampu menguasai permainan terutama menerusi dua pemain sayap mereka.  Menurut Ferguson, Nani dan Valencia berjaya mengembalikan semula rentak serangan United yang memang sudah sinonim melalui gerakan-gerakan dari bahagian sayap, dan berharap barisan pemain-pemainnya kembali menemui rentak permainan sebenar mereka untuk terus memberikan ancaman kepada Manchester City di takhta liga. Glory Glory Manchester United!!!




NANI & ROONEY BERIKAN TIGA MATA BUAT UNITED


Nani dan Wayne Rooney masing-masing menyumbangkan dua gol buat United disebalik kemenangan 4-1 skuad The Red Devils itu ke atas Wolverhampton Wanderers sebentar tadi.  United pantas melupakan kekecewaan mereka di pentas Eropah Khamis lalu apabila merakamkan kemenangan ke-12 mereka dalam liga setakat ini.  Ini juga adalah kali pertama United berjaya menjaringkan lebih dari dua gol sejak kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Chelsea di Old Trafford 18 September lalu.  Wolves yang berjaya memberikan tentangan sengit buat United musim lalu di gelanggang yang sama bagaimanapun terpaksa akur United kali ini lebih unggul. Nani membuka tirai jaringan buat United hasil rembatan dari luar petak penalti diminit ke-17 dan sepuluh minit kemudian, Rooney menggandakan pendahuluan buat United hasil gerakan yang hampir sama.  Biarpun Sebastian Fletcher berjaya merapatkan kedudukan kepada 1-2 hasil tandukan diminit ke-47, Nani terus menjadi ancaman kepada pertahanan lawan apabila dia bijak menyambar hantaran silang Antonio Valencia diminit ke-56 untuk meletakkan United selesa mendahului 3-1 di hadapan.  Diminit ke-66, Wayne Hennessey tewas buat kali keempat selepas Rooney menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini melalui rembatan voli yang menuju terus ke sebelah kanan pintu gol.  Tempo permainan selepas itu sedikit menurun dan biarpun memperolehi beberapa peluang untuk menambah jaringan kedudukan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.  Kemenangan ini menyaksikan United berjaya merapatkan kedudukan mereka dari pendahulu liga ketika ini Manchester City dengan perbezaan hanya dua mata.  Glory Glory Manchester United!!!

10 Disember 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn WOLVES


Pertembungan liga hujung minggu ini menjadi pentas terbaik buat Manchester United menebus kehampaan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu. Barisan Sir Alex Ferguson perlu melupakan segera kekalahan kepada FC Basel hingga menyebabkan mereka terpaksa bersaing di Liga Europa, sebaliknya menggunakan kesempatan untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga ketika ini, Manchester City.  Ini adalah kesempatan terbaik buat The Red Devils yang akan menerima kunjungan Wolverhampton Wanderers untuk memberi tekanan kepada City yang berdepan tugas getir di Stamford Bridge.  Kemenangan United ke atas Wolves tentunya akan menghadirkan tekanan buat City yang perlu berdepan kebangkitan Chelsea di gelanggang lawan.  Ramai pemerhati menganggap United berdepan detik sukar sejak mereka kehilangan khidmat dua perancang utama,  Anderson dan Tom Cleverley akibat kecederaan, hinggakan prestasi hebat  di awal musim sukar untuk mereka kekalkan.  Langkah Ferguson menggunakan Wayne Rooney sebagai pemain tengah nampaknya masih belum membuah hasil dan kecederaan yang dialami Javier Hernandez dan Nemanja Vidic tambah memburukkan lagi keadaan.  Hernandez bakal terlepas aksi selama sebulan manakala Vidic yang diusung keluar di St Jakob Park, Khamis lalu bakal diketepikan hingga akhir musim.  Hernandez dan Vidic menyertai  kembar da Silva, Michael Owen, Dimitar Berbatov, Darren Fletcher, Anderson dan Cleverley dalam senarai pemain di bilik rawatan United, situasi yang tentunya menggembirakan bos Wolves, Mick McCarthy.  Wolves yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Sunderland minggu lalu pastinya mahu mengulangi pencapaian musim lalu ke atas United.  Untuk rekod, Wolves merupakan pasukan pertama yang berjaya menamatkan rentetan rekod tanpa kalah United musim lalu apabila mereka mencatatkan kemenangan 2-1 di Molineux.  Sementara itu, pertahanan United, Rio Ferdinand mahukan rakan-rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan di Liga Juara-Juara dengan menjadikan pertemuan ini sebagai medan kebangkitan semula.  Ferdinand memberi amaran Wolves bakal menjadi mangsa pertama kekecewaan pasukannya akibat tersingkir dari saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Patrice Evra, Phil Jones, Michael Carrick, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

08 Disember 2011

TERIMA DENGAN HATI TERBUKA


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara musim ini memang sesuatu yang cukup mengecewakan tambahan pula bila mengingatkan kembali status Manchester United sebagai finalis musim lalu.  Walaupun dibelenggu kekecewaan, Sir Alex Ferguson menganggap keputusan seperti ini adalah salah satu keunikan yang ada pada Liga Juara-Juara.  Kekalahan 1-2 kepada FC Basel awal pagi tadi meletakkan United di tangga ketiga Kumpulan C dan bakal bersaing di kancah Europa League, saingan yang dianggap sebagai kelas dua di peringkat Eropah.  United yang hanya perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke pusingan kalah mati sebaliknya ketinggalan seawal minit ke-9 hasil jaringan Marco Streller.  Biarpun berterusan mengasak untuk mencari gol penyamaan, taktik bertahan yang diamalkan Basel menyukarkan Nani dan Wayne Rooney yang diturunkan sebagai penggempur utama untuk menembusi gawang lawan.  Memburukkan lagi keadaan, kapten pasukan Nemanja Vidic terpaksa diusung keluar padang akibat kecederaan lutut di penghujung babak pertama perlawanan.  Kedudukan United tambah parah di separuh masa kedua selepas tuan rumah menggandakan kedudukan mereka menerusi jaringan Alexander Frei diminit ke-84.  Biarpun Phil Jones berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-89 ianya sudah terlambat buat United untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.  Mengulas keputusan yang dicapai pasukannya pagi tadi, Ferguson jelas kecewa namun mahukan anak-anak buahnya menjadikan kekalahan ini sebagai motivasi.  "Pasukan muda kami tentunya kecewa dengan kekalahan ini, tapi mereka harus bangkit selepas ini.  Keputusan yang kami capai sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu luarbiasa.  Kami kalah di dalam kejohanan terbaik di dunia, ia kejohanan yang cukup luarbiasa.  Saya belum pernah merasai saingan Europa League bersama United dan ia bukanlah pencapaian yang baik.  Ini adalah hadiah buat kami kerana gagal layak ke pusingan seterusnya", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

07 Disember 2011

PREVIEW: FC BASEL lwn MANCHESTER UTD



Manchester United membawa misi berganda ketika kunjungan mereka ke St Jakob Park dalam kempen Liga Juara-Juara mereka awal pagi nanti.  Bukan saja perlu menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke peringkat 16 pasukan, ketibaan United di Basel juga berbekalkan misi mempertaruhkan imej kelab-kelab England di peringat Eropah.  Hanya Arsenal berjaya mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan seterusnya manakala Chelsea terpaksa bergelut hingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan kemaraan mereka.  Nasib United dan jiran mereka, Manchester City pula bakal ditentukan pada perlawanan terakhir kumpulan masing-masing awal pagi nanti.  Sedar tanggungjawab besar yang dipikul mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris, United perlu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang FC Basel nanti atau mereka bakal menjadi juara Inggeris pertama yang gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dalam tempoh satu dekad.  Kali terakhir United gagal mara ke peringkat kalah mati dengan status sebagai juara Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 1994/95.  Selepas kegagalan itu, mereka muncul sebagai juara di liga domestik sebanyak sembilan kali dan tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Juara liga-liga utama Eropah yang lain sudah pun lolos ke pusingan seterusnya dengan Barcelona mewakili La Liga dan AC Milan pula mengibarkan bendera Serie A.  Keputusan seri akan menempatkan United di tangga kedua Kumpulan C (jika Benfica menang ke atas Otelul Galati) dan mengakibatkan mereka bakal diundi bertemu gergasi Eropah di pusingan kalah mati nanti, namun keputusan itu adalah lebih baik berbanding mereka tersingkir lebih awal.  Untuk itu, Sir Alex Ferguson perlu merangka strategi dengan tepat untuk memerangkap Basel yang berjaya mengikat United 3-3 di Old Trafford dalam pusingan pertama.  Basel juga memiliki skuad yang lebih segar tanpa sebarang penggantungan atau krisis kecederaan pemain manakala United pula kehilangan khidmat Michael Carrick (penggantungan) dan Javier Hernandez (cedera).  Danny Welbeck yang tampil pada perlawanan liga hujung minggu lalu dijangka bakal diletakkan bersama Wayne Rooney sebagai penggempur utama awal pagi nanti. Glory Glory Manchester United!!

Barisan Kemungkinan:  

David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Ashley Young, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

05 Disember 2011

KOMEN JONES TENTANG GOL PERTAMA KARIERNYA


Gol jaringan Phil Jones di Villa Park kelmarin bukan saja menghadiahkan tiga mata berharga buat United malah jaringan itu juga adalah gol pertama Jones sepanjang kariernya.  "Saya gembira dengan jaringan itu kerana sebelumnya beberapa staf dan rakan-rakan sepasukan sempat bergurau dengan mengatakan bila agaknya saya akan menjaringkan gol", kata Jones.  Menurut Jones, gol sendiri yang dijaringkannya ketika United bertemu Benfica di Liga Juara-Juara Eropah bukanlah sesuatu yang ideal untuk memulakan musim bersama kelab barunya namun kini dia gembira selepas berjaya membantu United meraih tiga mata penuh di Villa Park. Jones yang dibeli dari Blackburn Rovers  mengatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah bermain di mana-mana posisi bersama United dan terbukti ketika menentang Villa, Ferguson meletakkan pemain muda itu di bahagian tengah bersama Michael Carrick. "Saya masih muda dan perkara seperti ini tidak menjadi masalah. Saya melihatnya sebagai satu proses pembelajaran dan saya mahu menikmatinya bersama United". Glory Glory manchester United!!!

DERBY MANCHESTER DI PUSINGAN KETIGA PIALA FA


Undian pusingan ketiga Piala FA bakal menemukan dua pasukan Manchester pada 7 Januari nanti dengan Manchester City bakal menjadi tuan rumah perlawanan tersebut.  Musim lepas, kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir dan City berjaya menyingkirkan United melalui gol tunggal Yaya Toure.  Mereka akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 33 tahun selepas muncul  juara kejohanan kalah mati tertua di dunia itu apabila menewaskan Stoke City di perlawanan akhir.  Musim ini kedua-dua pasukan berjiran itu sudah dua kali bertemu iaitu di perlawanan merebut Perisai Komuniti (United menang 3-2) dan perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford (City menang 6-1).  Sementara itu, juara Piala FA 2010, Chelsea akan bertemu lawan mereka diperlawanan akhir musim tersebut, Portsmouth manakala satu lagi kelab Liga Perdana, Arsenal akan berdepan lawan yang tidak boleh dipandang mudah, Leeds United.  Berikut adalah undian peringkat ketiga Piala FA 2011/12.

Reading - Stevenage
West Bromwich - Cardiff City
Peterborough - Sunderland
Watford - Bradford
Chelsea - Portsmouth
Gilingham - Stoke City
Liverpool - Southend/Oldham
Sheffield United - Salisbury/Grimsby
Everton - Tamworth
Newcastle - Blackburn
Chelmsford/Macclesfield - Bolton
Barnsley - Swansea
Sindon - Wigan
Fleetwood/Yeovil - Blackpool
Dervy - Crystal Palace
Arsenal - Leeds
Norwich - Burnley
Birmingham - Wolves
Fulham - Charlton
Brighton - Wrexham
Coventry - Southampton
Hull - Ipswich
MK Dons - QPR
Sheffield Wednesday - West Ham
Tottenham - Cheltenham
Bristol Rovers - Aston Villa
Doncaster - Sutton/Notts County
Crawley - Bristol City
Dag & Red - Walsall/Millwall
Manchester City - Manchester United
Nottingham Forest - Liecester
Middlesbrough - Shrewsbury

03 Disember 2011

PREVIEW: ASTON VILLA lwn MANCHESTER UTD



Meskipun prestasi terkini Manchester United agak menggusar penyokong-penyokong mereka, Aston Villa tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan anak-anak buah Sir Alex Ferguson itu.  United yang mencatat keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United di gelanggang sendiri hujung minggu lalu menerima tamparan hebat apabila disingkirkan pula Crystal Palace di peringkat suku akhir Piala Carling di Old Trafford.  Villa memang patut memasang angan-angan untuk mengejutkan United awal pagi nanti mengambilkira rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Villa Park pada tiga musim terakhir apabila mereka berjaya mengekang United dari membawa pulang tiga mata penuh.  Tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Villa Park berakhir dengan keputusan seri dan Villa mungkin boleh berharap ketumpulan jentera serangan United sejak akhir-akhir ini bakal dimanfaatkan mereka.  Dalam enam perlawanan terakhir, United hanya menjaringkan nisbah satu jaringan pada setiap perlawanan manakala penjaring terbanyak United, Wayne Rooney pula mengalami kemarau jaringan dalam lapan perlawanan.  Selepas tewas kepada Manchester City, United mencatat empat kemenangan berturut-turut namun rentak kemenangan United tersentak selepas mereka di paksa berkongsi mata dengan Newcastle United di Old Trafford Sabtu lalu.  Empat perlawanan terakhir Villa/United sering menyaksikan tuan rumah unggul mendahului jaringan namun akhirnya terpaksa berkongsi mata hasil jaringan lewat United.  Ramai yang meramalkan mana-mana pasukan yang berjaya menjaringkan gol awal dalam perlwanan ini bakal keluar sebagai pemenang.  Faktor kecergasan mungkin menjadi masalah buat United selepas mereka diheret bermain sehingga masa tambahan dalam kempen Piala Carling pertengahan minggu lalu.  Kehadiran Ashley Young dalam skuad United yang menyarung jersi Villa musim lalu bakal digunakan sepenuhnya oleh Sir Alex Ferguson untuk mencari titik kelemahan  tuan rumah. Apapun, The Red Devils harus segera melupakan kekecewaan mereka dalam dua perlwanan terakhir untuk kembali mencatat kemenangan bagi memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Phil Jones, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez

02 Disember 2011

JUAL HIGUAIN...BELI ROONEY


Gonzalo Higuain
Gergasi Sepanyol, Real Madrid diberitakan bakal menawarkan penyerang mereka Gonzalo Higuain kepada Chelsea.  Presiden Real, Florentino Perez dikatakan bersetuju melepaskan Higuain kepada Chelsea dengan nilai 40 juta Pound bagi mengumpul dana membawa Wayne Rooney keluar dari United.  Perez ghairah memburu tandatangan penyerang antarabangsa England itu dan beliau dikatakan akan menawarkan sebanyak 60 juta Pound kepada United bagi merealisasikan hasratnya membawa Rooney ke Bernabeu.

01 Disember 2011

FERGIE MINTA MAAF KEPADA PENYOKONG



Sir Alex Ferguson mengakui dia kehilangan kata-kata selepas menyaksikan pasukannya tersingkir dari saingan separuh akhir Piala Carling kepada Crystal Palace awal pagi tadi.  Sebaik tamat perlawanan, Ferguson pantas memohon maaf kepada penyokong-penyokong United di Old Trafford atas kegagalan anak-anak buahnya mara ke peringkat separuh akhir.  Jaringan Glenn Murray dibabak pertama masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh 90 minit permainan memastikan Palace menempah tempat ke separuh akhir dan bakal berdepan Cardiff City.  Pelawat berjaya mendahului melalui jaringan cantik Darren Ambrose dari jarak jauh diminit ke-66 namun Federico Macheda berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil sepakan penalti.  Glenn Murray muncul wira pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan diminit ke-98 masa tambahan dan biarpun diasak hebat, Palace akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan mereka hingga tamat 120 minit permainan.  Ferguson yang menurunkan hampir keseluruhan pemain-pemain mudanya dalam perlawanan itu mengakui begitu kecewa dengan persembahan yang dipamerkan skuadnya. "Secara jujurnya, saya tidak tahu di mana untuk memulakannya.  Saya meminta maaf kepada penyokong kerana ini bukanlah prestasi Manchester United.  Saya sangat kecewa", kata Ferguson.  Disebalik kekecewaan itu, Ferguson tetap merakamkan penghargaan buat Palace dan berharap anak-anak buah Dougie Freedman berjaya mara ke perlawanan akhir.  Glory Glory Manchester United!!!