Jika
David Moyes mahukan peralihan kuasa di Old Trafford berjalan dengan mudah,
beliau sepatutnya bermula dengan hanya satu perkara…kekalkan Javier Hernandez
dalam skuad Manchester United. The Daily
Mirror melaporkan bahawa Juventus meletakkan sasaran ke atas bintang Mexico
itu jika mereka gagal mendapatkan Gonzalo Higuain dari Real Madrid. Jadi tugas
pertama Moyes selaku pengurus United nanti bukan saja cuba mendapatkan beberapa
nama baru tetap dalam masa yang sama mengekalkan Hernandez. Sejak kehadiran
Robin Van Persie musim panas lalu, Hernandez mendapati peluang tampil dalam
kesebelasan United semakin terbatas. Untuk rekod, Hernandez hanya tampil
sebanyak 28 perlawanan dalam saingan domestik dan Liga Juara-Juara. Sekiranya
Wayne Rooney yang digembar gemburkan sebelum ini bakal berhijrah tetapi
sebaliknya kekal di Old Trafford, Hernandez dijangka cuba mencari kelab baru
yang mampu menawarkan tempat untuknya bermain setiap minggu. Salah satu
objektif utama Moyes musim panas ini bukan sahaja cuba mengekalkan Hernandez
tetapi memberikan peranan lebih besar buat sweet
little pea. Dari 22 penampilan Hernandez dalam saingan liga musim lalu, dia
menjaringkan 10 gol. Apa yang menariknya, Hernandez hanya disenaraikan dalam
kesebelasan permulaan sebanyak sembilan kali sahaja, jadi 10 gol itu tentulah statistik
yang cukup bagus bagi seorang pemain yang diletakkan di bangku simpanan
sebanyak 13 perlawanan.
Hernandez
merupakan jenis penyerang yang bijak meletakkan dirinya pada posisi terbaik
untuk menyudahkan peluang sama ada menggunakan kaki atau kepala. Bersama skuad
kebangsaan negaranya, Hernandez sudah menjaringkan 32 gol, berada di tangga
kelima penjaring terbanyak Mexico. Dengan umur yang baru mencecah 25 tahun,
rasanya tiada masalah buat Hernandez memadam rekod 46 gol milik Jared Borgetti
selaku penjaring terbanyak sepanjang masa El
Tricolor. Pada usia sekarang (25 tahun), Hernandez akan memasuki gerbang
perdana dalam kariernya. Jika anda fikir, Hernandez adalah pemain yang bagus
sekarang, jadi anda sepatutnya memikirkan juga apa yang mampu dilakukannya
dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Saya percaya, jika Hernandez diberikan
lebih peluang tampil dalam skuad utama, tidak mustahil dia akan muncul
penjaring gol tulen digeruni satu hari nanti. Semasa era Sir Alex Ferguson,
beliau lebih memberikan keutamaan kepada Wayne Rooney dan tentulah juga Van
Persie berbanding Henandez. Matt Law (dari Daily
Mirror) dalam laporannya mengatakan bahawa jika Rooney meninggalkan Old
Trafford, Hernandez pasti mendapati dirinya berada di posisi pemain penting
musim depan. Sama ada Rooney kekal di Old Trafford atau tidak, Moyes patut
memberikan peranan lebih besar buat Hernandez dalam skuad United musim depan.
Beliau boleh mula melakukannya musim panas ini…Glory Glory Manchester United!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan