06 Jun 2013

PETANDA ROONEY AKAN KEKAL...?


Semalam, Nike secara rasmi melancarkan jersi baru yang akan digunakan Manchester United musim depan. Apa yang menariknya di sini bukanlah reka bentuk jersi tersebut (kerana reka bentuknya bukan rahsia lagi selepas bocor di laman-laman sesawang lebih dua bulan lalu), tetapi sosok Wayne Rooney yang mengenakan kostum terbaru keluaran Nike itu. Apakah itu petanda bahawa Rooney akan kekal di Old Trafford selepas masa depannya menjadi mainan spekulasi media sejak kebelakangan ini? Apakah Rooney sudah bersedia menjadi salah seorang pemain daripada era baru di bawah kendalian David Moyes? Rooney dilaporkan akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Moyes selepas pengendali itu pulang dari bercuti di Amerika Syarikat bagi membincangkan masa depannya bersama United. Starsport dalam laporannya pula mengatakan bahawa Rooney berazam untuk terus kekal bersama United dan ingin membantu kelab itu menang seberapa banyak kejuaraan selepas ini. Berita yang diterbitkan Starsport itu tentunya menjadi tamparan hebat buat mana-mana kelab yang menyimpan hasrat membawa Rooney keluar dari Old Trafford. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa Paris St Germain, Juventus, Chelsea dan Arsenal menjadikan Rooney sebagai sasaran mereka musim panas ini selepas timbulnya khabar angin mengatakan bintang England itu meminta supaya pihak pengurusan United menjualnya. Rooney yang baru menimang cahaya mata dikatakan enggan membawa keluarganya keluar dari England, tetapi dalam masa yang sama tidak berminat menyertai mana-mana pesaing United di Liga Perdana. Kontrak Rooney ketika ini masih berbaki dua tahun di mana dia dibayar sebanyak 250 ribu Pound seminggu.

Segalanya kini bergantung kepada kebijaksanaan Moyes dalam menangani hal ini dan cukup menarik untuk kita lihat bagaimana beliau memulakan tugasnya nanti dan berdepan pula dengan isu yang membabitkan bekas anak didiknya di Goodison Park itu. Jika diambilkira pendapat bekas pemain-pemain United seperti Andy Cole, Gabriel Heinze dan Ruud Van Nistelrooy, Rooney  sepatutnya tahu bahawa meninggalkan United adalah satu perjudian besar buat diri dan kariernya. Lebih menarik pandangan diberikan Gary Neville dan Rio Ferdinand yang mengatakan Rooney ‘gila’ jika dia mahu meninggalkan United. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu menyebabkan peranan Rooney dalam taktikal pasukan turut sama berubah. Musim lalu Rooney lebih banyak bergerak di bahagian tengah, faktor yang dilihat ramai pemerhati bolasepak sebagai antara penyebab kekecewaannya. Dua hari lalu Rooney menegaskan bahawa dia ingin kembali bermain di bahagian hadapan dan berharap peluang itu akan hadir musim depan. “Dalam tahun-tahun mendatang, saya ingin bermain di bahagian hadapan, tetapi sekarang saya berada di tengah. Musim lalu saya beberapa kali bermain di hadapan dan ia merupakan peranan yang cukup selesa buat saya. Apabila anda bermain, anda bukan sahaja perlukan sokongan rakan-rakan tetapi anda juga perlu meletakkan sasaran untuk pasukan. Mudah-mudahan saya boleh terus melakukan yang terbaik di sana”, kata Rooney. Sebagai penyokong United, saya memang mengharapkan agar Rooney terus kekal menyarung jersi The Red Devils musim depan dan dia mengotakan janjinya untuk terus berada di Old Trafford hingga penghujung kariernya. Semoga Moyes bijak menangani isu ini dan meletakkan Rooney di tempat yang sepatutnya dia berada dalam setiap perancangan taktikalnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan