16 Jun 2013

POSISI MANA PALING SESUAI BUAT ZAHA?


Wilfried Zaha mungkin gagal di Kejuaraan Euro U-21, tetapi itu tidak pernah menghalang penyokong-penyokong Manchester United untuk meletakkan harapan tinggi di bahunya musim depan. Bekas pemain Crystal Palace itu menandatangani kontrak bersama United Januari lalu, tetapi segera kembali menyertai Palace untuk membantu kelab itu melayakkan diri ke saingan Liga Perdana musim depan. Zaha adalah ancaman buat Watford dalam perlawanan akhir playoff hingga berjaya membantu The Eagles layak kesaingan elit Liga Perdana. Tidak kira apapun alasan disebalik kegagalannya bersama skuad U-21 England, Zaha tetap pemain muda dengan potensi cukup besar untuk menjadi bintang utama di masa hadapan. United kini sudahpun memiliki bintang masa depan di tangan mereka dan terpulang kepada David Moyes untuk mengembangkan lagi bakat milik Zaha. Sekarang situasi sudah jauh berbeza, di mana Zaha mendapati dirinya berada di antara kelab terbesar di dunia. Zaha perlu berusaha dan berlatih lebih keras untuk memancing perhatian Moyes sekaligus membolehkan dirinya disenaraikan dalam skuad utama United. Kehadiran Zaha pastinya memberikan lebih banyak pilihan buat Moyes terutamanya disebelah kiri di mana dia dijangka bakal memberikan saingan hebat buat Ashley Young. Berbanding Young, Zaha adalah pemain yang jauh lebih pantas sesuai dengan peranan yang dimainkannya selaku pemain sayap. Ketika bersama Palace, Zaha bukan saja digunakan ketika pasukan melancarkan serangan tetapi kepantasannya turut digunakan bagi membantu Joel Ward ketika bertahan. Apakah dengan adanya Zaha nanti, tugas Patrice Evra menjadi sedikit ringan? Meskipun Zaha bukan pemain kidal tetapi dia cukup fleksibel ketika memainkan peranan di kedua-dua posisi (sayap kiri dan kanan). Satu-satunya masalah Zaha yang perlu dibaikinya ialah kemampuan ketika melakukan hantaran lintang. Buat masa ini Zaha bukanlah seorang crosser yang baik tetapi kelemahan itu diatasinya menerusi larian-larian pantas dari kedua-dua belah sayap bagi menewaskan bek lawan sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang. Ringkasnya, kemampuan Zaha bermain di kedua-dua bahagian (sayap kiri dan kanan) bakal memberikan ancaman kepada senior-seniornya seperti Nani (itupun jika dia masih kekal di Old Trafford), Antonio Valencia dan Ashley Young.

Bersama-sama skuad U-21 England pula, Stuart Pearce sering menggunakan Zaha sebagai penyerang tetapi itu tidak bermakna Moyes turut akan bereksperimen dalam taktikalnya dengan mengikuti langkah Pearce. Zaha tidak memiliki finishing yang bagus di udara selain United sendiri sudah memiliki Robin Van Persie, Javier Hernandez, Danny Welbeck dan Wayne Rooney. Apakah itu bermakna peluang untuk Zaha merasai nikmat sebagai penyerang bersama The Red Devils turut berakhir? Di padang latihan Carrington segalanya kemungkinan boleh berlaku kerana Moyes sendiri boleh mengembangkan lagi naluri menyerang milik Zaha untuk menjadikannya lebih tajam ketika berada dalam kotak penalti. Ketika ini ramai pihak mula membandingkan kemampuan Zaha dengan Cristiano Ronaldo, tetapi untuk berlaku adil biarlah kita membiarkan Zaha merintis jalannya sendiri untuk mencipta nama selaku pemain hebat satu hari nanti. Melihat pada fizikalnya, Zaha tidak berdepan masalah untuk menjadi pemain bolasepak yang bagus. Dengan ketinggian 1.80m, berat badan 66 kg, dianugerahkan tubuh dan sepasang kaki yang kuat bagi membolehkannya bergerak dengan pantas. Ketika beraksi bersama Palace, Zaha sering menggunakan kelebihannya itu untuk menewaskan lawan. Penyokong-penyokong United meletakkan harapan tinggi terhadap Zaha tetapi kita juga perlu bersedia menerima hakikat kegagalan seorang rookie pada penampilan pertamanya di divisyen utama. Zaha tidak akan menjaringkan banyak gol untuk United pada musim pertamanya tetapi percayalah dia mampu memberikan sesuatu yang berbeza pada permainan pasukan. Meskipun berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20, United dilihat sedikit hilang pengaruh di bahagian sayap. Prestasi tidak menentu Antonio Valencia, Nani dan siri kecederaan yang membelenggu Ashley Young menyebabkan barisan serangan kurang dibekalkan dengan hantaran-hantaran berkualiti dari kedua-dua sisi. Jadi kehadiran Zaha sebenarnya memberikan kita harapan untuk menyaksikan barisan The Red Devils kembali menemui kekuatan mereka di sebelah sayap ketika melancarkan serangan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan