Dalam tempoh beberapa minggu terakhir ini, situasi
seolah-olah memperlihatkan bahawa Cristiano Ronaldo akan kembali semula ke Old
Trafford. Peminat-peminat Manchester United sudah tentu kelompok paling teruja
jika Ronaldo memang mahu kembali menyarung jersi United. Di laman-laman sosial,
berita ini menjadi tajuk utama yang dibincangkan (oleh penyokong-penyokong
United) biarpun presiden Real Madrid, Florentino Perez yakin Ronaldo akan terus
kekal di Santiago Bernabeu. Berdasarkan sumbangan yang diberikan Ronaldo,
terutamanya dalam tempoh dua musim terakhir bersama Los Blancos, hampir pasti Real akan meletakkan harga tidak masuk
akal jika bintang antarabangsa Portugal itu nekad mahu meninggalkan Bernabeu. Tanpa ragu, Ronaldo adalah salah seorang
pemain terbaik dunia ketika ini dan secara konsisten menjadi penyumbang utama
kepada gol-gol yang dihasilkan Real. Musim lalu, Ronaldo menjaringkan 34 gol
dari 30 perlawanan liga selain 23 gol lagi dalam pelbagai kejohanan untuk Real.
Jika pihak pengurusan berjaya membawa pulang semula Ronaldo ke Old Trafford dan
menggandingkannya dengan Robin Van Persie, tidak syak lagi bahawa Manchester
United akan muncul salah satu pasukan terbaik di dunia dan tentunya menjadi
pilihan utama dalam saingan Liga Juara-Juara. Walau bagaimanapun jika
diambilkira kenyataan Perez baru-baru ini yang menegaskan bahawa Real tidak
akan sekali-kali membiarkan pemain terbaiknya pergi, impian penyokong-penyokong
United mungkin sekadar tinggal impian. Bagi membuktikan Real benar-benar serius
mahu mengekalkan Ronaldo di Bernabeu, Perez sanggup meletakkan pemain itu
sebagai “pemain dengan bayaran tertinggi di dunia”. Dengan Jose Mourinho yang sudahpun sah kembali semula ke Stamford
Bridge, Perez berharap Ronaldo akan dapat menjalinkan hubungan lebih baik
bersama jurulatih Real berikutnya. Cuba mengekalkan Ronaldo di Bernabeu menjadi
agenda besar buat Perez musim panas ini, tambahan pula selepas seteru domestik mereka,
Barcelona berjaya menandatangani pemain berbakat Brazil, Neymar minggu lalu.
Apa yang menariknya jika dilihat pada laporan
oleh ESPN, kenyataan Perez itu tidak sesekali memadamkan hasrat United untuk
mendapatkan semula khidmat Ronaldo. Menurut ESPN, United sendiri dikatakan akan
meletakkan tawaran yang mungkin “sukar ditolak” oleh Real, di tambah pula dengan
situasi Ronaldo yang ketika ini dilihat seperti sudah tiada hati untuk terus
bermain di Sepanyol apabila menolak tawaran kontrak baru. Apakah Ronaldo memang
mahu meninggalkan Real atau ini sekadar permainannya untuk cuba memancing
tawaran kontrak baru lebih lumayan dari Real? Biar apa situasi Ronaldo
sekalipun, sebagai penyokong United, kita berharap agar pihak pengurusan tidak
terlalu obses mengejar pemain itu hingga melupakan misi mendapatkan pemain baru
yang lain. Tindakan pertama yang harus dilakukan ialah menyelesaikan kemelut masa
depan Wayne Rooney dan kemudiannya melihat sama ada mereka mampu mendapatkan
pemain-pemain kelas dunia yang lain seperti Luka Modric ataupun Gareth Bale.
Ada banyak sasaran yang sudah tersedia musim panas ini dan kuncinya terletak di
tangan mereka (pihak pengurusan) sendiri untuk menyelesaikan proses perpindahan
itu. Setiap penyokong sudah tentu mahu melihat Ronaldo kembali menyarung jersi
United, tetapi jika ditakdirkan pemain kesayangan mereka itu memilih kekal di
Bernabeu, The Red Devils sebenarnya
masih memiliki pilihan lain dalam senarai pemain yang ingin mereka buru. United
ketika ini memiliki pemain-pemain berbakat dalam skuad yang mampu membantu
mereka mempertahankan kejuaraan liga musim depan selain berjuang di pentas Liga
Juara-Juara. Jika berjaya mendapatkan beberapa lagi pemain baru yang mampu memberikan
kekuatan tambahan kepada skuad sedia ada, tidak mustahil The Red Devils di bawah kendalian David Moyes akan terus menjadi
pasukan yang dicemburui lawan musim depan. Apa yang penting, pihak pengurusan
United tidak terlalu leka dalam usaha mereka membawa Ronaldo pulang semula ke
Old Trafford hingga mengabaikan usaha memburu pemain-pemain berbakat lain. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan