Manchester United sudahpun memenangi gelaran
liga ke-13 di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan 20 secara keseluruhannya.
Kejuaraan musim lalu (2012/13) dicapai kerana persembahan konsisten pasukan
sepanjang 38 perlawanan sekaligus membolehkan skuad ini mencipta sejarah
tersendiri biarpun pada awalnya diramalkan bakal diberikan tentang sengit oleh
juara bertahan Manchester City yang akhirnya ketinggalan 11 mata di belakang.
Selain mampu menampilkan aksi konsisten, kejayaan United ini juga sebenarnya
banyak bergantung kepada faktor penampilan hebat beberapa pemain utama.
Sebenarnya semua pemain dalam skuad utama United musim lalu sudah menyumbang
apa yang termampu mereka lakukan tetapi saya hanya memilih lima pemain terbaik
yang banyak memainkan peranan di sebalik kejayaan menjulang kejuaraan ke-20
ini. Berikut adalah lima pemain terbaik yang beraksi cemerlang sepanjang
sepanjang musim lalu hingga membolehkan United merampas semula trofi liga dari
seteru setempat mereka, Manchester City:
ROBIN
VAN PERSIE: Siapa sangka pada penampilan musim pertamanya di Old Trafford, Van Persie mampu menghasilkan 30 gol buat United (dalam semua kejohanan). Memang tidak syak lagi, Van Persie merupakan pembelian
berbaloi yang dilakukan Sir Alex musim lalu selepas kegagalan United mempertahankan kejuaraan liga musim sebelumnya menerusi hanya perbezaan gol kepada Manchester City. Van Persie menjaringkan gol-gol
penting sepanjang musim lalu hingga membolehkan beberapa keputusan memihak
kepada United. Secara keseluruhannya, Van Persie menjaringkan 26 gol dalam
saingan liga dan muncul penjaring terbanyak buat dua musim
berturut-turut. Bukan hanya hebat ketika di dalam petak penalti, tetapi Van
Persie juga menyumbangkan 15 assist,
sekaligus membuktikan dia adalah penyerang terbaik di England ketika ini. Keputusannya berpindah ke Old Trafford dari Stadium Emirates disebabkan mahu
memburu trofi liga sulungnya, jadi impiannya kini sudahpun tercapai.
MICHAEL
CARRICK: Carrick bermain sebanyak 36 perlawanan liga musim lalu
dan menjaringkan hanya satu gol. Jangan menilai Carrick menerusi jumlah gol
yang dihasilkannya tetapi lihat sumbangan yang diberikan bekas pemain Spurs itu
kepada United dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini. Carrick bukanlah defensive midfielder yang biasa anda
saksikan, tetapi Carrick adalah pemain tengah yang istimewa. Selain memiliki
hantaran-hantaran berbisa, Carrick juga memiliki kemampuan membaca permainan
dan bijak memintas gerakan lawan sekaligus memberikan perlindungan tambahan
yang diperlukan benteng pertahanan. Karakternya yang agak pendiam tidak pernah
membataskan kemampuannya ketika mengemudi bahagian tengah pasukan.
RIO
FERDINAND: Rio menepiskan segala kritikan yang dilemparkan
kepadanya sebelum ini dengan aksi hebat sebagai pemimpin di bahagian belakang.
Pada usia mencecah 34 tahun, Rio membuktikan dia masih lagi antara pertahanan
tengah terbaik di England, tidak kira pemain mana yang digandingkan bersamanya
dalam skuad United. Kapten pasukan, Nemanja Vidic tidak bermain hampir separuh
musim kerana masalah kecederaan, jadi Rio terpaksa memikul beban besar selaku
pemimpin benteng pertahanan sepanjang ketiadaan Vidic. Ketika Sir Alex berdepan
krisis kecederaan barisan pertahanannya di awal musim, tenaga Rio terpaksa dikerah
bermain setiap minggu. Sumbangan besar Rio di bahagian belakang tidak boleh
dipertikaikan biarpun gawang United mudah dibolosi, terutama sepanjang pusingan
pertama liga berlangsung (kerana faktor kecederaan pemain-pemain pertahanan).
Musim ini Rio bermain sebanyak 28 perlawanan kerana faktor usia tetapi dia adalah
pemain pertahanan tengah terbaik dimiliki kelab. Tiga lagi rakannya di bahagian
belakang kelihatan tenang apabila melihat Rio berada di sisi mereka.
RAFAEL
DA SILVA: Rafa semakin bagus musim demi musim, dan musim lalu
merupakan musim terbaiknya. Rafa pemain yang memiliki tubuh kecil, jadi faktor
itu banyak membantunya bergerak pantas untuk naik ke atas melaklukan overlapping ketika pasukan melancarkan
serangan. Meskipun bertubuh kecil, itu tidak pernah menghalang Rafa melakukan
bentesan-bentesan keras kepada penyerang lawan yang jauh lebih besar
daripadanya. Rafa bermain sebanyak 28 perlawanan musim lalu dan menjaringkan 3
gol penting buat United. Tidak keterlaluan jika saya katakan, penampilan Rafa
musim lalu menyebabkan saya sudah mula melupakan bekas kapten pasukan yang juga
merupakan lagenda United, Gary Neville.
DAVID
DE GEA: Musim lalu De Gea bermain sebanyak 28 perlawanan dan
melepaskan 26 gol. Musim pertamanya di Old Trafford, De Gea teruk dikritik
penyokong dan pemerhati bolasepak kerana melepaskan gol-gol mudah akibat
kesilapan sendiri. Ada suara-suara nakal menyamakan pembelian De Gea ini
mengulangi kesilapan Sir Alex ketika menandatangani penjaga gol Itali, Massimo
Taibi 14 tahun lalu. Bagaimanapun De Gea pantas bertindak balas terhadap
kritikan-kritikan yang diterimanya apabila menampilkan aksi cemerlang musim
lalu selaku pewaris sepasang glove kepada
lagenda penjaga gol United, Edwin Van der Sar. Walaupun di awal musim, De Gea
terpaksa bersaing dengan Anders Lindegaard bagi merebut slot penjaga gawang
utama, tetapi dia akhirnya berjaya meletakkan dirinya selaku penjaga gol nombor
satu United berkat tindakan-tindakan menyelamat hebat yang dipamerkannya.
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan