Meskipun
berjaya menjuarai liga buat kali ke-20 musim lalu, Manchester United melepaskan
43 gol ke dalam gawang mereka, kurang dua gol berbanding kelab di tangga ke-13,
Stoke City (45 gol). Krisis kecederaan yang melanda Nemanja Vidic, Chris
Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans di awal musim menjadi penyumbang utama
kepada 'prestasi buruk' back four
United musim lalu. Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic masih pilihan utama Sir Alex
di posisi pertahanan tengah (jika kedua-duanya cergas) dan saya yakin, kelibat
kedua-dua veteran itu tetap akan membarisi bahagian belakang United musim
depan. Pada usia 34 tahun, Rio masih lagi antara pertahanan tengah terbaik di
England tetapi untuk memaksa dia bemain setiap minggu adalah sesuatu yang agak
keterlaluan. Vida pula bakal mencecah usia 32 tahun Oktober ini, dan
sepertimana Rio dia juga masih lagi igauan buat mana-mana penyerang lawan.
Bagaimanapun, beberapa siri kecederaan panjang yang dialami Vida sejak Disember
2011 hingga pertengahan musim lalu sedikit membimbangkan kita. Walaupun kita
masih memiliki tiga lagi pemain pertahanan (Evans, Jones dan Smalling) yang
mampu beraksi sebagai bek tengah, hanya Evans pada pandangan dan saya yakini
boleh diletakkan dalam line up untuk
perlawanan-perlawanan besar. Smalling dan Jones pula perlukan
sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk mengutip pengalaman sebelum benar-benar
bersedia mengambil alih posisi yang sekarang ini dihuni Rio dan Vida. Benteng
pertahanan antara posisi yang memeningkan kepala Sir Alex musim lalu dan kini
David Moyes pula bakal mewarisinya. Bagaimanapun 'penyakit' di bahagian
pertahanan mungkin boleh diubati sekiranya perpindahan Ezequiel Garay dari
Benfica menjadi kenyataan. Sebenarnya gosip perpindahan Garay ke Old Trafford
sudah bermula sejak Januari 2012 lagi tetapi hingga kini masih belum menjadi
kenyataan. Pemain antarabangsa Argentina itu pada pandangan saya adalah calon
yang tepat untuk digandingkan bersama Vida atau Rio, selain prospek menjadi key player dalam kesebelasan utama musim
depan. Hampir sebulan lalu, espn.co.uk dalam laporannya menyebut bahawa United
sudah menawarkan £ 17 juta bagi mendapatkan tandatangan Garay manakala Moyes pula
dalam laman yang sama sudah memberikan gambaran awal pemain yang bakal
ditandatanganinya. Adakah Garay pilihan tepat memperkuatkan posisi pertahanan
tengah United musim depan? Selepas sering saja keluar masuk dalam kesebelasan
utama skuad kebangsaan Argentina, Garay mula membuktikan bahawa dia kini adalah
pilihan utama bersama Federico Fernandez sebagai tonggak pertahanan tengah di
bawah kendalian Alejandro Sabella. Jika tiada sebarang 'kecelakaan' atau
penurunan prestasi secara mendadak menimpa kedua-dua pemain ini, Garay dan
Fernandez pasti menjadi sandaran utama benteng Albiceleste pada pusingan akhir Piala Dunia 2014 nanti. Bakat
produk keluaran Newell Old Boys ini pantas menarik perhatian kelab Eropah dan
akhirnya mengikat kontrak bersama kelab Sepanyol, Racing Santander pada
Disember 2005.
Musim
berikutnya (2006/07), Garay menunjukkan bahawa kualitinya tidak terbatas ketika
bertahan sahaja tetapi turut berkemampuan meledak gawang lawan. Dari 31
penampilan musim tersebut, Garay menjaringkan sembilan gol, sekaligus
meletakkan namanya sebagai penjaring kedua terbanyak Eropah (di posisinya), di
belakang Marco Materazzi yang menjaringkan sepuluh gol. Sepanjang hampir tiga
musim di Cantabria, Garay adalah antara pertahanan tengah terbaik di La Liga
dan sandaran utama Los Racinguistas.
Garay dilabel sebagai pemain pertahanan elegan kerana kebolehannya 'menyimpan'
bola selain mampu melakukan lorongan-lorongan kepada midfielder pasukan dari bawah. Meskipun posisi dan kemahirannya
ialah sebagai pertahanan tengah, Racing semasa di bawah kendalian Miguel Angel
Portugal dan Marcelino Garcia Toral, memberikan kebebasan sepenuhnya kepada
Garay untuk naik ke atas ketika pasukan melancarkan serangan. Seperti yang saya
sebutkan tadi, Garay bukan sahaja dianugerahkan bakat sebagai pemain pertahanan
tetapi juga punya kualiti menyerang. Jadi tidak hairanlah mengapa dia mampu
menjaringkan sembilan gol pada musim keduanya bersama Racing. Kebolehannya
melancarkan gerakan dari belakang menerusi hantaran-hantaran tepat ke bahagian
hadapan cukup berguna terutamanya untuk kelab yang bermain seperti United.
Dengan ketinggian 1.9 meter, Garay dianugerahkan fizikal lengkap bagi seorang
pemain pertahanan, kuat ketika perebutan bola di udara dan watak penting
pasukan dalam menangani ancaman set
pieces lawan. Penghijrahannya ke Real Madrid adalah satu kesilapan tetapi
mujurlah Garay cepat bertindak keluar dari Santiago Bernabeu dan menyertai
Benfica. Bersama Benfica, Garay menemui semula sentuhan yang pernah meletakkan
namanya antara pemain pertahanan tengah berbakat di Eropah, kembali konsisten
dan paling penting menjadi pilihan utama di benteng tengah skuad kebangsaan.
Pada usia 26 tahun, Garay sedang memasuki gerbang puncak kariernya dan secara
perlahan-lahan mula menunjukkan bahawa dia antara pertahanan tengah terbaik
dunia ketika ini. Dengan situasi Rio yang kian dihambat usia, Vida pula sudah mula
dihantui beberapa siri kecederaan panjang, Garay boleh meletakkan dirinya
sebagai pemain pilihan Moyes di benteng pertahanan United musim depan (itupun
jika penghijrahannya menjadi kenyataan). Garay memiliki gaya permainan
tersendiri dan karakter untuk membantunya muncul pertahanan utama United
selepas era Rio dan Vida berakhir nanti. Peluang berlatih dan bermain bersama
pertahanan hebat seperti Rio dan Vida boleh membantu Garay menuju ke arah itu
dan menjadi pemain pertahanan yang lebih lengkap. Saya berharap jika Rio
bersara satu hari nanti, ada pemain hebat sehebatnya boleh mengisi tempat
lagenda itu, pemain yang saya maksudkan sudah tentu Ezequiel Garay. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan