Setiap kali jendela perpindahan pemain musim
panas dibuka, United selaku kelab besar sudah pasti tidak dapat mengelak dari
menjadi sasaran spekulasi-spekulasi perpindahan yang dimainkan media saban
tahun. Bermula pada bulan Januari hingga sekarang sudah berderet nama-nama
pemain yang dikaitkan berada dalam radar United antaranya ialah James
Rodriguez, Victor Wanyama, Christian Eriksen, Robert Lewandowski, Kevin
Strootman, Frank Lampard (saya hanya mampu ketawa bila membaca spekulasi
Lampard), Cristiano Ronaldo, Mario Goetze, Angel de Maria, Cecs Fabregas,
Thiago Alcantara dan terbaru pula ialah Gareth Bale. Selepas 'kegagalan'
mendapatkan Alcantara, kini kita disajikan pula dengan spekulasi bahawa United
berminat melabur besar bagi membawa keluar Gareth Bale dari White Hart Lane.
Berita sensasi ini memang mengujakan kerana saya cukup meminati gaya permainan
Bale dan berharap spekulasi perpindahan saga ini akan menjadi kenyataan. Mari
kita ketepikan dulu spekulasi dan lihat laporan Oliver Holt dari Mirror Football yang mengatakan bahawa
United sedia berbelanja hingga 60 juta Pound bagi mendapatkan khidmat Bale.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ini adalah satu fenomena luar biasa
bukan saja di Old Trafford malah England sendiri kerana belum pernah ada kelab
dari Liga Perdana yang sanggup mengeluarkan lebih dari 60 juta Pound hanya
untuk mendapatkan khidmat seorang pemain. Jika United berjaya memaksa Spurs
menjual Bale, ini adalah satu permulaan yang bagus buat pemerintahan Moyes
selaku pengurus baru di Old Trafford. Menurut Holt, Bale menjadi penyebab utama
mengapa Ed Woodward (Naib Pengerusi Eksekutif)
'dipaksa' meninggalkan skuad yang dalam rangka lawatan ke Australia dan
Asia sempena jelajah pra musim 2013, khusus bagi menangani perpindahan bintang
Wales itu. Selepas memenangi kejuaraan liga musim lalu, Moyes selaku pengganti
Sir Alex Ferguson terpaksa berdepan beberapa isu besar yang terpaksa
diselesaikannya dengan berhati-hati. Isu pertama yang terpaksa dihadapi Moyes
membabitkan kemelut masa depan Wayne Rooney selepas pemain itu menuntut supaya
dia dijual. Rooney tidak boleh kita
nafikan antara pemain ikon di Old Trafford dan penjualannya (jika itu berlaku)
pasti meninggalkan kesan kurang baik dari sudut pandangan umum. Selain itu
kegagalan mendapatkan pemain-pemain ternama sehingga kini selepas
pesaing-pesaing domestik lain seperti Manchester City dan Chelsea ghairah
'mendaratkan' beberapa bintang baru mereka menimbulkan sedikit keresahan. Saya
tidak meragui kemampuan kesebelasan terbaik yang dimiliki Moyes ketika ini
kerana sebagai juara bertahan kita mampu bersaing dan punya pemain terbaik.
Bagaimanapun kekuatan keseluruhan skuad dalam
mengharungi musim yang panjang amat diperlukan dan kita jelas jauh ketinggalan
dalam aspek ini jika dibandingkan dengan City mahupun Chelsea. Jika digabungkan
faktor kegagalan mendapatkan pemain baru (setakat ini) dan kemungkinan Rooney
meninggalkan Old Trafford, itu bukanlah sesuatu yang bagus di mata
peminat-peminat bagi permulaan kerjaya Moyes bersama United. Walau bagaimanapun
saya percaya persepsi negatif kebanyakan peminat akan berubah 360 darjah jika
kelab berjaya mendapatkan Bale dan sudah tentu juga mereka (peminat) tidak akan
ambil kisah jika kelab bertindak melepaskan Rooney. Sudah tentu Bale akan
menjadi pertaruhan besar di tengah padang musim depan, apatah lagi selepas
melihat pemain itu bukan saja berjaya menjaringkan 21 gol musim lalu tetapi
juga kemampuannya membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan di Spurs.
Kebolehan Bale menjaringkan gol menerusi percubaan jarak jauh menambahkan lagi
nilai pemain itu kepada mana-mana pasukan yang disertainya. Secara
keseluruhannya prestasi Bale musim lalu adalah antara yang terbaik di England
dan juga Eropah jika diukur menerusi statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored.com.
Bale mencatatkan purata rating 7.89
dalam setiap perlawanan yang juga merupakan catatan tertinggi berbanding
pemain-pemain lain dari lima liga utama Eropah. Menambah pemain dengan
kebolehan seperti Bale dalam pasukan sudah tentu menjadikan United lebih
digeruni sekaligus meletakkan barisan kendalian Moyes sebagai pilihan utama
baik di pentas domestik mahupun Eropah. Wang bukanlah masalah utama United jika
diambilkira kenyataan Moyes yang mengatakan bahawa pihak pengurusan membekalkan
dana besar kepadanya untuk dibelanjakan musim panas ini. Membelanjakan banyak
wang untuk pemain seperti Bale adalah sesuatu yang berbaloi berdasarkan
sumbangan besarnya di atas padang, dan jika Moyes mahukan pemain dengan kualiti
hebat seperti Bale berada dalam skuadnya, keluarga Glazer perlulah berkorban
memecahkan 'tabung simpanan' mereka demi memperkuatkan pasukan. Andres
Villas-Boas mengatakan Bale tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan pada
sebarang harga, tetapi saya yakin Daniel Levy (Pengerusi Spurs) pasti tergiur
jika cek berjumlah 60 juta Pound diletakkan di atas mejanya. Walaupun laporan
Holt ini begitu mengujakan, saya tetap berharap agar peminat-peminat United
tidak terlalu teruja dengan mainan spekulasi media. Lebih baik tunggu sahaja
pengumuman rasmi dari manutd.com. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan