Sepak mula Liga Perdana akan dimulakan dalam
tempoh 17 hari lagi, kelab pula baru
sahaja menamatkan rangka lawatan jelajah pra musim mereka di Asia dan Australia
manakala kita pula masih lagi menunggu 'nafas' baru mana yang akan di bawa
masuk untuk menguatkan pasukan. Ketika tajuk-tajuk utama akhbar didominasi
pesaing-pesaing lain yang berjaya menandatangani pemain-pemain sasaran mereka,
Guillermo Varela pula masih lagi kekal sebagai pemain tunggal ditandatangani Manchester
United setakat ini. Bos baru Manchester City, Manuel Pellegrini antara pengurus
paling aktif dalam pasaran perpindahan pemain apabila beliau dengan bangganya memperkenalkan
Stevan Jovetic, Alvaro Negredo, Jesus Navas dan Fernandinho sebagai 'tentera'
barunya. Keempat-empat 'tentera' baru Pellegrini merupakan bekas tonggak utama kepada
beberapa kelab utama Eropah (Shakhtar Donetsk, Sevilla dan Fiorentina) dan
kehadiran mereka di Stadium Etihad sudah tentu mengukuhkan lagi barisan The Citizens musim depan. Andres
Villas-Boas menandatangani pemenang Piala Konfederasi dan Copa Libertadores,
Paulinho manakala Jose Mourinho pula sudah memiliki Andre Schuerrle dan bintang
muda Belanda, Marco Van Ginkel dalam senarainya. La Liga, Ligue 1 dan Serie A
sudah menyaksikan beberapa perpindahan besar berlaku, tetapi peminat-peminat
Liga Perdana masih lagi ternanti-nanti kedatangan nama besar yang bakal
menggemparkan bolasepak England. Paris St Germain mendaratkan Edinson Cavani,
AS Monaco memiliki Radamel Falcao, penggempur yang dianggap antara paling
berbisa di dunia ketika ini, Napoli memintas hasrat Arsene Wenger selepas mereka
menandatangani Gonzalo Higuain dari Real Madrid manakala bahang di Nou Camp
masih belum reda dengan perpindahan Neymar dari Santos. Kita kembali semula
kepada isu berkaitan aktiviti kelab dalam pasaran perpindahan musim panas ini.
Moyes mengatakan bahawa wang bukan lagi masalah buat dirinya dalam mendapatkan
pemain baru, dan dengan dana yang banyak untuk dibelanjakan, beliau nampaknya
masih lagi mampu bertenang ketika pesaing-pesaing domestik lain sibuk dengan
urusan jual beli pemain. Adakah kita juga mampu setenang Moyes terutamanya
apabila memikirkan ada usaha secara serius dari Chelsea untuk membawa keluar
Wayne Rooney dari Old Trafford? Selepas 'kegagalan' mendapatkan Thiago
Alcantara, kini kita ternanti-nanti bagaimanakah kesudahannya pemburuan kelab
ke atas Cecs Fabregas pula. Spekulasi pemburuan Fabregas masih lagi berterusan
walaupun pengendali baru Barca, Gerardo Martino menegaskan bahawa pemain itu
tidak akan dijual. Selepas dua tawaran awal ditolak kem Barca, adakah kelab
patut menamatkan sahaja buruan mereka terhadap Fabregas dan fokus mencari
alternatif lain pula? Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Fabregas bahawa dia
mahu kekal di Nou Camp sambil cuba merebut tempat dalam kesebelasan utama Barca
musim depan saya anggap sebagai petanda awal bahawa kita sepatutnya melupakan
sahaja kelibat pemain itu dan cuba mencari alternatif lain.
Secara peribadi, saya memang berharap agar
Fabregas menyertai United kerana pemain itu masih lagi antara playmaker terbaik di dunia selain
pengalaman yang pernah dimilikinya dalam saingan bolasepak Inggeris. Paling
penting Fabregas pernah bergandingan bersama Van Persie ketika di Arsenal dan
tentunya amat menarik untuk menyaksikan kedua-dua pemain ini bergabung kembali
dalam satu pasukan. Pengalaman bermain bersama untuk tempoh yang panjang ketika
di Arsenal sudah pasti menyebabkan mereka berdua faham dengan gaya permainan
dan kehendak masing-masing ketika di atas padang. Opsyen lain sudah tentu Luka
Modric tetapi saya lebih gemar menyaksikan cara Fabregas mengendalikan bahagian
tengah berbanding pemain Croatia itu. Posisi tengah memang memerlukan tambahan
tenaga baru terutamanya selepas melihat hanya Michael Carrick tampil konsisten
sepanjang musim lalu. Persaraan Paul Scholes pula menyebabkan kita semakin jauh
ketinggalan (di posisi tengah) berbanding Chelsea dan Manchester City,
kebenaran yang memang cukup pahit untuk kita telan. Fabregas sebenarnya masih
lagi antara pemain utama di Nou Camp tetapi agak malang baginya kerana dalam
masa yang sama Blaugrana juga memiliki
nama-nama besar seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Javier Mascherano dan
Sergio Busquets hingga menyebabkan bahagian tengah mereka agak 'sesak'. Sekadar
mengimbas kembali sumbangan Fabregas dalam dua musim terakhirnya bersama
Arsenal, di mana dia menjaringkan 18 gol dan mencipta 24 assist dari 52 perlawanan. Di Nou Camp, Fabregas mungkin sekadar
pilihan ketiga atau keempat untuk mengisi posisi tengah tetapi saya masih
percaya pemain berusia 26 tahun itu adalah calon terbaik untuk menampung ruang
kosong yang ditinggalkan lagenda kita, Paul Scholes. Lihatlah apa yang sudah
dan sedang dilakukan pesaing-pesaing United setakat ini. Manchester City
sudahpun berbelanja besar dan saya masih percaya bahawa mereka tidak akan
berhenti dengan empat pemain sahaja (Navas, Negredo, Jovetic dan Fernandinho)
di mana Pellegrini khabarnya sedang mengintai seorang atau dua lagi pemain baru
untuk dibawa masuk. Chelsea masih berusaha keras memburu Rooney selepas mereka
berjaya menandatangani Schuerrle dan Van Ginkel. Arsene Wenger seperti
musim-musim sebelumnya masih berhati-hati ketika berbelanja tetapi Arsenal
diberitakan sedang meningkatkan usaha mereka untuk menandatangani Luis Suarez.
Tottenham Hotspurs dan Liverpool kelihatan 'perlahan' tetapi kedua-dua kelab
ini dikhabarkan amat memerlukan penyerang baru yang mungkin menyebabkan mereka
juga berbelanja besar. Selepas melihat aktiviti-aktiviti pesaing lain dalam
pasaran perpindahan pemain, saya sedikit risau dengan apa yang sudah dilakukan
kelab setakat ini. Bagaimanapun saya tetap yakin ada berita baik bakal menanti
kita dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang. Jika Moyes tidak
berjaya menandatangani Fabregas sekalipun, saya yakin beliau memiliki calon
lain yang difikirkan sesuai dengan taktikal dan formasi yang bakal digunakannya
nanti. Modric ataupun Marouane Fellaini juga pilihan yang bagus, tetapi membawa
pulang Fabregas ke Liga Perdana semula saya anggap satu kejayaan besar dan bonus
tambahan kepada kita. Pilihan anda bagaimana? Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan