1. Pertemuan pertama membabitkan kedua-dua
pasukan berlaku pada Hari Natal 1905 di mana berkesudahan dengan seri 0-0. Di
akhir musim United berada di tangga kedua Divisyen 2 sekaligus layak ke
Divisyen 1 musim berikutnya.
2. United mendominasi era Liga Perdana sejak
diperkenalkan pada 1992 dengan memenangi kejuaraan liga sebanyak 13 kali tetapi,
Chelsea adalah saingan paling sukar ditewaskan The Red Devils. Peratus kemenangan United ketika berdepan Chelsea
dalam saingan liga hanyalah 31% sekaligus peratusan paling rendah berbanding
lawan-lawan mereka yang lain.
3. Masih tiada mana-mana pemain dari
kedua-dua pasukan yang berjaya menjaringkan hatrik dalam sejarah pertemuan (Liga
Perdana) mereka. Hanya Paul Scholes, David Beckham, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Andy
Cole, Eric Cantona, Gianluca Vialli, Tore Andre Flo, Gustavo Poyet dan Michael
Ballack hampir melakukannya apabila masing-masing menjaringkan 2 gol. Adakah
pertemuan awal pagi Selasa nanti menyaksikan ada pemain menjaringkan hatrik
buat pertama kali dalam sejarah pertemuan (Liga Perdana) United-Chelsea?
4. Kedua-dua kelab bertemu sebanyak 5 kali
musim lalu dalam semua kejohanan domestik. United menang sekali dan seri sekali
manakala 3 pertemuan lagi memihak kepada Chelsea.
5. Chelsea memiliki peluang untuk muncul kelab
pertama dalam sejarah Liga Perdana yang berjaya menewaskan United dalam tahun
yang sama selepas mereka menang di Old Trafford (1-0), 5 Mei lalu.
6. David Moyes sudah berdepan Jose Mourinho
sebanyak 8 kali dalam semua kejohanan tetapi gagal menewaskan Special One walau sekalipun. Chelsea
ketika di bawah kendalian Mourinho menang sebanyak 5 kali ketika berdepan
Everton (di bawah kendalian Moyes) dalam saingan liga. Tiga lagi pertemuan
berakhir dengan keputusan seri. Walau bagaimanapun Moyes berjaya mengemudi
Everton menewaskan Chelsea sebanyak 3 kali dalam tempoh 4 musim terakhir.
7. Kemenangan terbesar United ke atas Chelsea
berlaku pada Boxing Day tahun 1960.
United yang ketika itu di bawah kendalian Sir Matt Busby menang 6-0 di Old
Trafford. Kemenangan terbesar Chelsea ke atas United pula berlaku pada 3
Oktober 1999 di mana mereka menang 5-0 di Stamford Bridge selepas Nicky Butt di
buang padang.
8. Sebanyak 5 kad merah sudah dilayangkan
dalam 12 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan. Ramires, Branislav Ivanovic dan
Fernando Torres untuk Chelsea manakala Nemanja Vidic dan Rafael da Silva pula
mengumpul kad merah untuk United.
9. Dengan segala kemungkinan pertukaran Wayne
Rooney dan Juan Mata masih lagi terbuka sebelum jendela perpindahan pemain
ditutup, berikut adalah lima pemain yang pernah bermain untuk kedua-dua kelab.
Bekas pengurus Arsenal, George Graham pernah bermain untuk Chelsea pada tahun
1962-1964 sebelum menyertai United pada 1972-1974 selepas berpindah dari
Arsenal. Bekas pemain United, Mickey Thomas pula menyertai Chelsea pada tahun
1984 dan berjaya membantu kelab naik ke Divisyen 1. Ray Wlikins berpindah ke
Old Trafford dari Stamford Bridge pada 1979 dan kemudiannya muncul pemain yang
pernah dilantik sebagai kapten untuk kedua-dua kelab. Juan Sebastian Veron
dijual United ke Chelsea dengan harga £13 juta pada 2003 manakala Mark Hughes
pula meninggalkan Old Trafford untuk berpindah ke Stamford Bridge pada 1995.
10. Robin Van Persie menjaringkan 6 gol di
Stamford Bridge sekaligus menjadikannya pemain paling banyak membolosi gawang The Blues di gelanggang mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan