Menggantikan tempat pengurus berjaya seperti
Sir Alex Ferguson bukanlah satu tugas yang mudah. Selepas beliau mengumumkan
persaraannya Mei lalu, sesiapa pun yang bakal menggantikan tempatnya di Old
Trafford pasti tidak dapat lari dari bayang-bayang kejayaan yang dicipta
lagenda itu selama lebih dua dekad. Selepas mengucapkan perkataan “Misi saya
ialah mahu menamatkan dominasi Liverpool”, kira-kira 27 tahun lalu, Sir Alex akhirnya
menamatkan kariernya sebagai pengurus paling berjaya di England Mei lalu, di mana
beliau secara keseluruhannya menghadiahkan 38 kejuaraan utama ke dalam almari
trofi di Old Trafford. Selepas lebih dua dekad beliau menjadikan United kelab
paling dicemburui, mesin kemenangan dan barisan yang perlu ditewaskan oleh
mana-mana pasukan, Sir Alex akhirnya mengambil keputusan berundur secara
dramatik tapi penuh bergaya dengan menghadiahkan trofi liga ke-20 kepada kelab.
Kini tampuk 'pemerintahan' beralih tangan dan David Moyes sepatutnya merasa
bertuah kerana dipilih menggantikan tempat lagenda itu berbanding beberapa
lagi nama besar yang pada awalnya kita ramalkan akan memimpin skuad The Red Devils. United adalah juara
bertahan Liga Perdana sekaligus meletakkan mereka sebagai kelab nombor satu di
England. Walau bagaimanapun status nombor satu itu tidak meletakkan Moyes dalam
kedudukan yang mudah musim panas ini selepas kelab dilihat masih 'bergelut'
dalam usaha mendapatkan pemain baru. Sepak mula liga hanya berbaki 12 hari saja
lagi, manakala jendela perpindahan pemain musim panas bakal ditutup tidak
sampai sebulan. Dengan kurang beberapa minggu sahaja lagi yang tinggal sebelum
saingan kompetitif bermula dan jendela perpindahan pemain ditutup, Moyes perlu
menyelesaikan beberapa isu utama sebelum beliau berdepan cabaran musim baru. Mengendalikan
kelab besar seperti Manchester United, tentulah cabarannya juga besar. Berbanding
ketika di Goodison Park, setiap apa yang dilakukan Moyes kali ini menjadi
perhatian ramai pihak termasuk kawan dan lawan. Saya melihat isu masa depan Wayne
Rooney masih lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan dan perlu
diselesaikan dengan segera. Rooney adalah nama besar di Old Trafford dan
sebarang spekulasi membabitkan masa depannya bersama kelab atau hubungannya
dengan pengurus boleh mengundang perhatian yang bukan sedikit dari peminat
mahupun pihak luar terutamanya media. Hubungan Moyes dan Rooney sebenarnya tidak
menunjukkan petanda akan pulih selepas pengendali itu secara terbuka meletakkan
kedudukan Rooney di belakang Robin Van Persie selaku penyerang utama United
musim depan. Kelab sudahpun menolak tawaran kedua Chelsea bagi mendapatkan
Rooney dan perkara itu saya yakin tidak akan terhenti begitu sahaja. Bagaimana
agaknya jika Chelsea meningkatkan lagi bidaan mereka, manakala Rooney pula
sekali lagi menggesa kelab supaya menjualnya? Saya berharap sebelum saingan
liga dimulakan nanti, isu masa depan penyerang itu dapat diselesaikan, tidak
kiralah sama ada kelab memutuskan untuk menjualnya atau Rooney sendiri mahu
terus kekal di Old Trafford. Entah apa sebabnya, musim panas kali ini kita lihat
kelab sedikit 'bergelut' dalam usaha mereka mendapatkan pemain baru.
Semalam, Fox Sports dalam laporannya
mengatakan bahawa Andoni Zubizarreta (Pengarah Bolasepak Barcelona),
mengumumkan bahawa United sudahpun menghentikan usaha mereka memburu Cecs
Fabregas, sekaligus melengkapkan satu lagi siri kegagalan kelab dalam pasaran
perpindahan pemain kali ini. Bahagian tengah sering disebut-sebut sebagai titik
paling lemah, terutamanya selepas melihat hanya Michael Carrick satu-satunya midfielder paling konsisten sepanjang
musim lalu. Jadi keperluan untuk mendapatkan pemain baru bagi menguatkan posisi
tersebut sepatutnya diletakkan di tempat paling atas. Selepas kegagalan mendapatkan
Thiago Alcantara dan Fabregas, pemain tengah manakah yang akan menjadi buruan
terbaru kelab ataupun Moyes pasrah dan berpaling kepada aset sedia ada yang
dimilikinya dalam pasukan. Selepas isu Rooney dan kekurangan kualiti di
bahagian tengah, Moyes terpaksa berdepan dengan satu lagi masalah iaitu
konsistensi di bahagian sayap. Musim lalu Antonio Valencia tidak dapat
mengekalkan prestasi yang pernah menyebabkan peminat memilihnya sebagai pemain
terbaik kelab (pada musim 2011/12). Ashley Young hadir dua tahun lalu dengan
harapan tinggi tetapi lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan
berbanding aksi di atas padang, manakala Nani muncul pemain sayap paling
mengecewakan saya musim lalu. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan
Chelsea di pusingan keempat Piala Liga (Capital One Cup) hingga membolehkan
lawan menyamakan kedudukan di penghujung permainan adalah kemuncak kekecewaan
saya terhadap pemain itu. Saya akui jika pada prestasi terbaiknya, Nani adalah
pemain sayap yang cukup berbahaya tetapi jika anda mengharapkan dia mampu
bermain baik setiap minggu, anda sepatutnya padamkan sahaja harapan itu.
Konsistensi adalah musuh utama Nani sejak dia menyertai United dari Sporting
Lisbon enam tahun lalu. Selepas melihat prestasi turun naik pemain senior di
kedua-dua sayap, adakah kita patut mengalihkan tumpuan kepada pemain muda
seperti Wilfired Zaha dan Jesse Lingard? Moyes sudahpun mula memberikan
pendedahan kepada kedua-dua pemain muda itu melalui perlawanan-perlawanan
jelajah pra musim, tetapi untuk kita mengharapkan kedua-duanya mencetuskan
impak pada musim pertama mereka di Liga Perdana adalah keterlaluan. Zaha antara
nadi Crystal Palace musim lalu tetapi aksi Liga Kejuaraan jauh berbeza
berbanding Liga Perdana, manakala Lingard pula tiada pengalaman bermain bersama
skuad utama United sebelum ini. Cristiano Ronaldo khabarnya (jika benar laporan Marca) sudahpun bersetuju
untuk terus kekal di Santiago Bernabeu hingga 2018 manakala sebarang kemungkinan
untuk kita 'merampas' Gareth Bale dari buruan Real Madrid cumalah khayalan. Jadi
apakah tindakan yang bakal dilakukan Moyes selepas ini terutamanya dalam
menyelesaikan isu Rooney, kekurangan kualiti di bahagian tengah dan masalah
konsistensi pemain-pemain sayapnya sebelum berdepan musim baru? Kredibiliti
Moyes sebenarnya sudah mula diuji sebelum sepak mula liga berlangsung, dan saya
yakin ada sebab mengapa Sir Alex menamakan beliau sebagai penggantinya
berbanding nama-nama besar lain. Moyes sudah membuktikan kemampuannya selama
sebelas tahun di Goodison Park dan kini masanya untuk beliau membuktikan pula
kemampuannya berdepan cabaran lebih besar di Old Trafford. Selamat berjaya
David Moyes. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan