Undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara
musim ini telah dilangsungkan semalam di mana empat kelab England sudahpun
mengetahui dalam kumpulan mana mereka bakal bersaing. Sebaik sahaja undian
selesai di jalankan, Arsene Wenger mendapati beliau bakal memikul tugas berat dalam
misi membawa pasukannya ke pusingan kalah mati nanti apabila Arsenal diletakkan
sekumpulan dengan Olympique Marseille, naib juara tahun lalu Borussia Dortmund
dan SS Napoli yang dikendalikan Rafa Benitez. Timbul persoalan apakah Arsenal
mampu melepasi halangan peringkat kumpulan kali ini di mana Dortmund dan Napoli
saya anggap sebagai pasukan pilihan Kumpulan F. Manchester United pula
diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Bayern Leverkusen, Shaktar Donetsk dan
Real Sociedad. Jika dinilai dari segi kekuatan tiga kelab ini berbanding
United, saya tidak nampak sebarang masalah untuk kelab mara ke pusingan
seterusnya. Bagaimanapun kegagalan di pentas Eropah musim 2011/12 patut
dijadikan pengajaran dan kita tidak sepatutnya memandang rendah pada cabaran
yang bakal diberikan Leverkusen, Donetsk dan Sociedad. Dua tahun lalu kita
diaibkan kerana muncul juara Liga Perdana pertama dalam tempoh sedekad gagal melepasi
saingan peringkat kumpulan. Walaupun pada awalnya kita dijangka mudah melepasi
halangan Benfica, Basel dan Otelul Galati di peringkat kumpulan, anak-anak buah
Sir Alex Ferguson akhirnya sekadar menduduki tangga ketiga, sekaligus
membenarkan Benfica dan Basel mara kepusingan seterusnya. Sebagai peminat, saya
dan anda juga tentu berharap agar memori pahit itu tidak berulang kembali. Kelab
Ukraine, Donetsk saya anggap sebagai pencabar utama jika diambilkira prestasi
mereka dipentas Eropah musim lalu. Mereka menduduki tangga kedua peringkat
kumpulan musim lalu sekaligus berjaya menyingkirkan Chelsea untuk mengiringi
Juventus ke pusingan seterusnya. Dalam Kumpulan E pula, Chelsea mungkin antara
kelab England yang mendapat laluan paling mudah selepas mereka diundi
bersama-sama Schalke 04, FC Basel dan bekas juara Eropah 1986, Steaua
Bucharest. Dari tiga pencabar ini, mungkin kelab Bundesliga, Schalke 04 yang bakal
memberikan masalah kepada anak-anak buah Mourinho. Bagaimanapun kemampuan Basel
untuk melakukan kejutan tidak harus diketepikan memandangkan mereka pernah
menyingkirkan United di peringkat kumpulan pada musim 2011/12.
Berbanding United dan Chelsea, Manchester
City diundi dalam kumpulan yang agak 'ketat' kerana diletakkan bersama-sama
juara bertahan, Bayern Munich, CSKA Moscow dan Viktoria Plzen. Bukan mahu
memperkecilkan kemampuan Plzen tetapi saya anggap mereka boleh melupakan
sebarang peluang layak ke pusingan seterusnya sebaik sahaja undian selesai
dilakukan semalam. Amat menarik untuk melihat saingan tiga penjuru antara
Munich, City dan CSKA dalam kumpulan ini dan saya pasti selepas berbelanja
besar, Manuel Pallegrini tentunya tidak mahu aib yang menimpa Roberto Mancini
musim lalu berulang kembali. Selepas menang kejuaraan treble musim lalu, Munich sudah pasti diletakkan sebagai pilihan
utama menjuarai kumpulan ini dan saya tidak sabar untuk menyaksikan apakah Pep
Guardiola mampu mengulangi pencapaian gemilangnya ketika bersama Barcelona
sebelum ini. Selain Kumpulan F yang diisi Arsenal, Napoli, Dortmund dan
Marseille, Kumpulan H juga dijangka bakal menyaksikan persaingan sengit selepas
Barcelona, AC Milan, Ajax Amsterdam dan Glasgow Celtic diletakkan bersama. Neil
Lennon sekali lagi mendapati pasukannya diletakkan sekumpulan bersama Barcelona
yang pernah ditewaskan mereka menerusi kemenangan bersejarah 2-1 di Celtic Park
musim lalu. Pertembungan Real Madrid, Juventus, Galatasaray dan FC Copenhagen
dalam Kumpulan B juga tidak kurang menariknya. Selepas melihat tiga gergasi (Madrid,
Juve dan Galatasaray) diletakkan dalam kumpulan ini, Stale Solbakken mungkin
melihat saingan Liga Europa adalah sasaran realistik buat anak-anak buahnya
berbanding impian layak ke pusingan kalah mati. Madrid adalah pilihan utama
manakala Galatasaray yang diperkuatkan Didier Drogba dan Wesley Sneijder bakal
memberikan saingan sengit kepada Juve untuk satu lagi slot. Secara
keseluruhannya, saya agak lega melihat keputusan undian semalam. Masih terlalu
jauh untuk kita memikirkan kelab manakah lawan yang bakal kita temui di
peringkat kalah mati nanti kerana Donetsk, Sociedad dan Leverkusen adalah
pencabar yang perlu dihadapi terlebih dahulu. Jika tidak mahu aib musim 2011/12
berulang, kita tidak sepatutnya memandang mudah kemampuan tiga kelab ini yang
menjadi lawan kita dalam Kumpulan A. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan