19 Ogos 2013

MUSIM PERTAMA MOYES DI OLD TRAFFORD: TANGGA KETIGA ATAU KEEMPAT SASARAN REALISTIK?


Selepas 27 tahun, musim ini adalah kali pertama United memulakan saingan liga tanpa sentuhan, percaturan taktikal dan arahan Sir Alex Ferguson sama ada dari tepi padang ataupun ketika di bilik persalinan. Jadi, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika ada di kalangan peminat-peminat United sendiri dan penganalisis bolasepak mula sangsi dengan keupayaan sebenar kelab berdepan cabaran dari pesaing-pesaing mereka musim ini. Keputusan perlawanan-perlawanan pra musim mungkin tidak menggembirakan kita, tapi kita tidak sepatutnya menjadikan itu sebagai kayu ukur keupayaan kelab dalam menghadapi saingan musim baru. Menguruskan kelab besar seperti Manchester United bukanlah satu perkara yang mudah dan David Moyes sudah tentu menyedari tentang perkara itu. Moyes diberikan kontrak selama enam tahun dan selaras dengan tradisi kelab, kedudukan selain dari empat teratas bolehlah kita anggap sebagai satu kegagalan buat beliau. Memandangkan ini adalah musim pertama Moyes di Old Trafford, tidak adil sekiranya kita meletakkan sasaran terlalu tinggi kepada beliau, malah saya berpendapat tangga ketiga atau keempat adalah sasaran yang lebih realistik berbanding memasang impian mahu melihat kelab menjulang kejuaraan liga buat kali ke-21. Bagaimanapun ini bukanlah bermakna saya tidak yakin dengan kemampuan Moyes mengendalikan pasukan selepas era Sir Alex berakhir kerana sebagai peminat, menyaksikan kelab menjulang trofi liga di penghujung musim adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan. Sepak mula liga sudahpun dimulakan kelmarin, tetapi sehingga kini kita masih lagi ternanti-nanti siapakah pemain baru yang bakal ditandatangani Moyes untuk menguatkan pasukan. Keputusan kelab yang dilihat cuba mengekalkan Wayne Rooney saya anggap sebagai usaha mengekalkan kekuatan pasukan selain amaran kepada pencabar-pencabar lain bahawa United masih lagi pasukan yang perlu dihormati biarpun kini tanpa sentuhan Sir Alex. Selepas berakhirnya perlawanan pertama menentang Swansea City awal pagi semalam, Moyes nampaknya begitu selesa menyandarkan harapan seratus peratus kepada barisan yang pernah dibina oleh Sir Alex.

Perlawanan semalam menyaksikan Moyes melakukan penampilan pertama bersama United dalam saingan liga dengan penuh berhati-hati. Ketika berdepan Wigan Athletics di Wembley minggu lalu, beliau menggunakan Wilfired Zaha selama 60 minit, tetapi Antonio Valencia kembali menjadi pilihan utama di sebelah kanan pada aksi pertama liga musim ini kerana kelebihan pengalaman yang dimiliki pemain itu. Bermain di gelanggang lawan dan berdepan pula antara kelab yang dijangka bakal menyerlah musim ini, Moyes memang memerlukan seorang pemain berpengalaman yang mampu menawarkan kepadanya disiplin taktikal tinggi berbanding semangat muda milik Zaha. Meskipun Valencia kurang menyerlah berikutan prestasi turun naik yang dipamerkannya musim lalu, keputusan Moyes menurunkan sayap Ecuador itu di Stadium Liberty saya anggap sebagai satu langkah yang cukup berani dan tepat. Paling menarik ialah percaturan Moyes yang meletakkan Danny Welbeck di belakang Robin Van Persie, sekaligus memperlihatkan persamaan formasi (4-4-1-1) yang sering digunakannya ketika membimbing Everton. Sepanjang perlawanan di Stadium Liberty, Welbeck berjaya memainkan peranannya dengan berkesan di mana dia secara berterusan berjaya memberi tekanan kepada Jose Alberto Canas dan Leon Britton di bahagian tengah, sekaligus memudahkan Van Persie bergerak bebas jauh di hadapan. Selepas berakhirnya perlawanan pembukaan menentang The Swans, kita bolehlah merumuskan bahawa Moyes lulus dengan cemerlang pada penampilan pertamanya dalam saingan liga selaku pengendali United. Walau bagaimanapun perjalanan liga masih panjang dan perlawanan di Stadium Liberty itu hanyalah aksi pertama United dalam saingan kompetitif musim ini. Barisan The Red Devils di bawah kendalian Moyes memang diakui beraksi cemerlang semalam, tetapi ujian lebih getir bakal menanti pengendali itu dan anak-anak buahnya dalam tempoh sebulan.

Berdepan tiga pencabar kejuaraan selepas ini iaitu menentang Chelsea di Old Trafford pada (27 Ogos), Liverpool di Anfield (1 September) dan Manchester City di Stadium Etihad (22 September), bakal menguji sejauh mana kekuatan dan kemampuan sebenar kelab yang setakat ini masih bergantung kepada kudrat pemain-pemain musim lalu. Kredibiliti Moyes sebagai pengendali bukan sahaja diukur menerusi kepintaran percaturan taktikalnya di atas padang tetapi juga kemampuannya mengendalikan sebarang isu di luar padang. Reaksi dan bahasa tubuh Wayne Rooney ketika di atas padang semalam bakal mencetuskan perdebatan berterusan tentang masa depannya bersama kelab. Jika pihak pengurusan sanggup melepaskan pemain yang seolah-olah tidak lagi gembira bersama kelab, Moyes selaku pengendali terpaksa berdepan pilihan terhad di barisan hadapan dalam menghadapi musim yang panjang. Sebarang 'malapetaka' yang menimpa Van Persie bakal menyaksikan Moyes hanya memiliki Javier Hernandez dan Welbeck selaku watak penggempur di mana kedua-duanya mengumpul keseluruhan 13 gol musim lalu, hanya separuh dari jaringan yang dihasilkan Van Persie (26 gol). Di bahagian tengah pula kita masih menyaksikan Anderson berada dalam senarai walaupun dia mengharungi tempoh enam musim di Old Trafford dengan prestasi sederhana. Shinji Kagawa masih belum teruji sepenuhnya berikutan beberapa siri kecederaan yang dialaminya musim lalu, manakala Tom Cleverley pula masih bergelut dalam usaha mengembalikan semula prestasi terbaiknya selepas pulih dari kecederaan hujung tahun lalu. Satu-satunya harapan saya jika Moyes tidak berjaya menandatangani sebarang nama baru musim panas ini ialah dengan mengharapkan agar beliau berjaya menggilap sepenuhnya potensi milik Anderson, Cleverley dan Kagawa bagi menampung kekurangan di bahagian tengah. Prestasi Antonio Valencia sepanjang perlawanan semalam, memberikan petanda cukup baik kerana selain kelibatnya, kita juga masih memiliki Zaha, Nani dan Ashley Young sebagai opsyen untuk mengisi posisi di sebelah kanan dan kiri.

Akhir sekali mari kita lihat pula kekuatan di bahagian belakang dengan Guillermo Varela kekal pemain tunggal di tandatangani Moyes setakat ini. Rafael da Silva dijangka menguasai posisi bek kanan untuk jangkamasa panjang di mana aksinya ketika mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo di Santiago Bernabeu dan Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu menjadi bukti bahawa posisi yang pernah dihuni Gary Neville itu akan menjadi milik mutlaknya. Pada usia 32 tahun, Evra masih kekal dominan di sebelah kiri tetapi kita sudahpun memiliki pelapis yang bakal menggantikan tempatnya jika pemain antarabangsa Perancis itu bersara atau meninggalkan kelab satu hari nanti. Selain Alexander Buttner yang ditandatangani Sir Alex musim lalu, kita juga memiliki Fabio da Silva yang menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman di Loftus Road, sementara Chris Smalling pula boleh diletakkan sebagai bek kiri jika keadaan memerlukan. Kecergasan mungkin menjadi musuh utama buat dua tonggak pertahanan tengah, terutamanya selepas melihat Nemanja Vidic baru pulih dari kecederaan lutut yang panjang manakala sukar buat Rio Ferdinand beraksi setiap minggu pada usia menjangkau 35 tahun. Jonny Evans sudah membuktikan bahawa dirinya cukup layak untuk bermain bersama Vidic atau Rio, tetapi saya kurang pasti apakah Moyes sudah bersedia meletakkan Phil Jones atau Smalling sebagai bek tengah dalam perlawanan-perlawanan besar musim ini? Secara keseluruhannya, kemenangan besar di Stadium Liberty awal pagi semalam seolah-olah memberikan gambaran awal bahawa kelab sudah bersedia mengharungi separuh perjalanan musim ini tanpa pemain baru (kecuali Varela). Sekali lagi saya katakan bahawa saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi buat kelab pada musim pertama Moyes di Old Trafford. Tempat ketiga atau keempat adalah sasaran realistik tetapi jika Moyes berjaya membawa kelab menjulang kejuaraan liga buat kali ke-21 di akhir musim, fahamlah saya mengapa Sir Alex menamakan beliau sebagai penggantinya berbanding deretan nama-nama besar lain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan