Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan
bahawa nama Darren Fletcher (Fletch) mungkin kurang popular dan jarang disebut
peminat-peminat Manchester United. Perkembangan Fletch kurang diikuti malah
ketiadaannya selama ini kerana mengalami masalah usus tidak langsung 'ditangisi'
kebanyakkan peminat berbanding jika kita kehilangan Nemanja Vidic ataupun Wayne
Rooney. Tetapi tahukah anda bahawa Fletch antara tonggak utama di bahagian
tengah, terutamanya selepas penghijrahan Roy Keane ke Glasgow Celtic pada 2005.
Pada peringkat awal kariernya bersama skuad utama, ramai yang mempertikaikan
kebolehannya malah ada yang melabel Fletch sebagai anak emas Sir Alex Ferguson.
Saya sendiri pada mulanya agak hairan bagaimana nama Fletch tiba-tiba muncul
dalam skuad senior dan kerap diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama, sedangkan
ketika itu kita memiliki bakat-bakat lain seperti Eric Djemba-Djemba, Quinton
Fortune, Kleberson, Liam Miller dan David Jones di posisi tersebut.
Bagaimanapun Fletch berjaya menutup mulut para pengkritiknya apabila dia secara
perlahan-lahan mula memperlihatkan kemampuannya mengemudi bahagian tengah
terutamanya selepas Keane meninggalkan pasukan. Fletch membuktikan kepada semua
bahawa tempatnya dalam skuad utama diperolehi secara merit dan bukan melalui
'pintu belakang'. Reputasi Fletch mula melonjak sekaligus mengesahkan bahawa
label sebagai pengganti jangka panjang Keane yang diberikan kepadanya bukanlah satu
bahan jenaka. Pada tahun 2009, Fletch dilayangkan kad merah ketika berdepan
Arsenal di peringkat separuh akhir (kedua) Liga Juara-Juara hingga mengakibatkannya
terlepas aksi final menentang
Barcelona. Sebaik sahaja United tewas 0-2 kepada Barca di Stadium Olimpik Rome,
ada pendapat dari kalangan penganalisis bolasepak yang mengatakan bahawa United
pasti pasukan berbeza jika Sir Alex mampu menurunkan Fletch ketika itu. Sama
ada pendapat itu menang benar atau sebaliknya masih terbuka untuk dibahaskan,
tetapi saya cukup tertarik dengan komen Jose Mourinho dalam preview perlawanan akhir di Daily Mail. Mourinho ketika itu secara
bersahaja mengatakan bahawa Andres Iniesta dan Xavi Hernandez pastinya pemain
paling gembira berikutan ketiadaan Fletch di bahagian tengah United. Musim
berikutnya (2009/10), Fletch terus mengukuhkan cengkaman di posisinya hingga
diberikan kepercayaan memakai lilitan kapten buat pertama kalinya, selain
disenaraikan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan (PFA). Saya cukup gemar
melihat cara Fletch menganggu kelancaran permainan lawan menerusi hadangan dan
terjahan kemas yang dilakukannya, selain kemampuan membuka permainan ketika
pasukan dalam mode menyerang.
Bagaimanapun sejak November 2011, akibat dari
masalah kesihatan yang berpanjangan, kita semakin jarang menyaksikan kelibat
Fletch di tengah padang. Ulser menjadi penyebab mengapa kapten skuad kebangsaan
Scotland itu kerap keluar masuk ke dalam bilik rawatan sepanjang tempoh dua
tahun terakhir. Sedar atau tidak, dalam tempoh itu juga kita sebenarnya
kehilangan sentuhan seorang pemain tengah yang saya anggap antara nadi utama pasukan, terutamanya jika mengambilkira peranan dan sumbangan yang diberikannya
sepanjang musim 2005/06 hingga 2010/11. Seperti yang saya sebutkan tadi, Fletch
merupakan nadi pasukan dan Sir Alex faham benar tentang perkara itu. Jadi bukanlah
sesuatu yang menghairankan apabila beliau masih berharap agar pemain itu segera
sembuh dan kembali bermain semasa menyampaikan ucapan perpisahan pada
perlawanan terakhir beliau di Old Trafford, 12 Mei lalu. Fletch merasai aksi
kompetitif pertamanya sejak November 2011 apabila masuk menggantikan Paul
Scholes ketika berdepan Galatasaray dalam saingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara di Old Trafford, 20 September lalu. Dua bulan kemudian dia
menjaringkan gol menerusi tandukan ketika berdepan Queens Park Rangers dalam saingan
liga, sebelum kelab mengumumkan pemain tengah itu terpaksa menjalani satu lagi
pembedahan pada 17 Januari. Selepas menjalani pembedahan buat kali kedua, ramai
pihak percaya peluang Fletch untuk kembali bermain terlalu tipis, tetapi pihak
pengurusan kelab berpendapat sebaliknya. Masalah kesihatan dan rehat yang
panjang tidak pernah memudarkan semangat Fletch dan sikap agresifnya ketika di
atas padang. Atas sebab itu jugalah ada pihak menggambarkan bahawa Fletch
ibarat pemain baru yang ditandatangani Sir Alex selepas dia kembali bermain semula
musim lalu. Walau bagaimanapun kelibat Fletch hanya dapat kita saksikan
dalam sembilan perlawanan sebelum dia memutuskan menjalani pembedahan buat kali
kedua. Fletch dikecualikan daripada program jelajah pra musim kelab dengan
harapan dia cukup bersedia untuk menghadapi permulaan saingan musim ini.
Selepas melihat tiada nama-nama baru yang berjaya di bawa masuk untuk
menguatkan jentera tengah setakat ini, saya secara tiba-tiba teringat dan
merindui kelibat Fletch. Dengan segala pengalaman serta kualiti yang
dimilikinya, saya benar-benar berharap agar Fletch dapat memainkan semula
peranannya di bahagian tengah. Jika Sir Alex semasa di penghujung kariernya pun
masih berharap Fletch kembali sihat dan mampu bermain, saya juga begitu. Fletch
mungkin terlepas beberapa perlawanan di awal musim, tetapi saya percaya kita
akan dapat menyaksikan kelibatnya dengan lebih kerap di atas padang musim ini
berbanding dua musim terakhir. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan