Menjaringkan
hanya satu gol dari 27 penampilan liga merupakan satu statistik yang cukup
mengecewakan buat seorang penyerang. Bagaimanapun kekecewaan musim lalu
seolah-olah mahu segera dilupakan Danny Welbeck apabila dia menjaringkan dua
gol pada aksi pertama liga menentang Swansea City di Stadium Liberty hujung
minggu lalu. Welbeck bekerja keras sepanjang perlawanan dan usahanya berbayar
dengan dua gol yang dihasilkannya sekaligus membuktikan kepada pengkritiknya
bahawa dia masih lagi pemain berharga buat kelab. Prestasi Welbeck pada aksi
pertama liga musim ini membuatkan kita terlupa bahawa David Moyes masih
bergantung kepada keseluruhan tenaga musim lalu sedangkan beberapa pesaing lain
sudahpun memiliki nama baru dalam kesebelasan utama mereka. Aksi Welbeck di
Stadium Liberty memang cukup memberangsangkan sekaligus menyebabkan
pengkritik-pengkritiknya terdiam sejenak. Cabaran Patrice Evra sebelum
perlawanan yang mahukan agar Welbeck menjaringkan gol buat kelab sepertimana
yang dilakukannya ketika menyarung jersi England akhirnya dijawab oleh pemain
berusia 22 tahun itu. Dua gol Welbeck hujung minggu lalu menyaksikan dia
menggandakan jaringannya berbanding hanya satu yang disumbangkannya sepanjang
musim lalu. Selain Robin Van Persie, Welbeck menjadi tumpuan utama pemerhati
dan peminat-peminat United selepas berakhirnya aksi menentang The Swans. Sebaik saja pulang semula ke
Old Trafford selepas menamatkan tempoh semusim di Stadium of Light sebagai
pemain pinjaman, Welbeck membuktikan potensinya sebagai penyerang masa hadapan
United apabila menjaringkan sembilan gol dari 30 penampilan liga pada musim
2011/12. Bagaimanapun prestasi Welbeck menjunam (jika diukur pada jumlah gol
yang dihasilkannya) musim lalu, tetapi beruntung kerana masih diberi kesempatan
oleh Sir Alex Ferguson tampil lebih banyak perlawanan berbanding Javier
Hernandez yang menjaringkan 10 gol. Dua gol pada aksi pertama liga sudah tentu
satu permulaan fantastis buat Welbeck, tetapi apa yang lebih penting ialah persembahannya
sepanjang 90 minit ketika menentang skuad kendalian Michael Laudrup bakal
menyuntik semula keyakinan penyerang muda ini ketika di depan gawang lawan.
Saya percaya Welbeck sebenarnya memilih waktu yang tepat untuk melonjakkan
semula namanya ketika persaingan merebut slot di bahagian hadapan begitu
sengit. Tidak perlu saya sebutkan lagi bahawa tugas seorang penyerang ialah
menjaringkan gol, jadi saya berharap selepas ini Welbeck akan terus
menjaringkan gol secara konsisten sepertimana yang dilakukannya pada
perlawanan-perlawanan pra musim dan aksi pertama liga hujung minggu lalu.
Semoga selepas ini kita tidak terlalu bergantung kepada ketajaman Van Persie
sepertimana musim lalu, sambil berharap pemain seperti Welbeck, Wayne Rooney
dan Hernandez mampu meringankan beban yang dipikul penjaring terbanyak dua
musim berturut-turut itu. Sepertimana yang saya sebutkan di atas, Welbeck hanya
menjaringkan satu gol musim lalu yang juga merupakan gol keduanya dari 40
penampilan terakhir liga. Statistik ini sebenarnya saya anggap tidak langsung
mencerminkan sumbangan seorang penyerang dari skuad utama yang menyarung jersi
Manchester United.
Bagaimanapun
untuk menghukum Welbeck berdasarkan jumlah gol yang dijaringkannya sepanjang
musim lalu bukanlah sesuatu yang adil. Dalam formasi 4-2-3-1 yang sering
digunakan Sir Alex musim lalu, Welbeck biasanya digunakan untuk bergerak jauh di
sebelah kanan. Antara aksinya yang paling diingati musim lalu ialah ketika
berdepan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara di mana dia menjaringkan
gol di Santiago Bernabeu dan kemudiannya meneruskan prestasi cemerlang pada
perlawanan kedua di Old Trafford. Meskipun United disingkir Madrid, percaturan
Sir Alex meletakkan Welbeck di sebelah kanan dalam (formasi 4-2-3-1) memberikan
masalah kepada Fabio Coentrao sepanjang perlawanan. Aksinya ketika menentang
Liverpool di Old Trafford pada 13 Januari lalu juga mengundang pujian daripada
peminat dan pengkritiknya. Ketika ramai pihak menjangkakan Rooney atau
Hernandez bakal digunakan Sir Alex dalam perlawanan itu, beliau sebaliknya
melakukan kejutan dengan memilih Welbeck dan meletakkannya di sebelah kanan.
Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, Welbeck memberikan tekanan hebat
kepada benteng pertahanan lawan dengan memaksa mereka bekerja keras sepanjang
perlawanan. Prestasi Welbeck pada aksi pertama musim ini memberikan petanda yang
cukup bagus buat kelab. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada
Welbeck agar mampu menyaingi Van Persie untuk anugerah kasut emas, cuma prestasi
baik yang ditunjukkannya di awal musim bakal menghadirkan persaingan sihat di
barisan hadapan pasukan, atau setidak-tidaknya memaksa Hernandez dan Rooney
bekerja lebih keras. Faktor mengapa Welbeck begitu cemerlang ketika berdepan
Swansea City tempohari ialah kerana kemampuannya menjalankan tugas dengan
berkesan sebagai 'penyambung' antara bahagian tengah dan Van Persie di hadapan.
Peranan ini sebenarnya sering dimainkan Rooney musim lalu dan peranan ini
jugalah yang menyebabkan penyerang England itu tidak 'gembira' berada di Old
Trafford. Ketika Rooney tidak gembira memainkan peranan watak pembantu kepada
Van Persie, Welbeck pula dilihat begitu selesa sepanjang 90 minit permainan di
Stadium Liberty. Selain berjaya membuka peluang buat Van Persie bergerak bebas
dalam kawasan lawan, apa yang lebih penting ialah kemampuan Welbeck
menghasilkan jaringan untuk dirinya. Kesilapan yang dilakukannya di penghujung
permainan hingga membenarkan Wilfried Bony menjaringkan gol tunggal tuan rumah
segera dipadamkannya menerusi gol menarik di masa kecederaan. Mungkin kesilapan
mudah seperti ini yang dilakukan pemain muda sepertinya menyebabkan mana-mana
pengurus beralih kepada pemain lebih berpengalaman, tetapi saya lebih gemar
melihat pada sudut positif. Kesilapan-kesilapan kecil seperti inilah sebenarnya
yang bakal mematangkan lagi permainan Welbeck. Saya tertarik melihat reaksi
balas Welbeck yang segera bangkit selepas melakukan kesilapan di mana dia
begitu tenang melambungkan bola melepasi jangkauan Michel Vrom untuk gol kedua
peribadinya dan gol keempat United. Gol itu menyebabkan saya terlupa bahawa inilah pemain
yang kelihatan agak gugup dan sering melepaskan peluang terbaik ketika di
hadapan gawang lawan musim lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan