Selepas dihidangkan dengan spekulasi demi
spekulasi, perpindahan Juan Mata dari Stamford Bridge ke Old Trafford akhirnya
disahkan secara rasmi semalam. £37 juta nilai perpindahan Mata adalah satu
rekod baru bagi kelab dan sudah tentu saya berharap kehadiran pemain tengah
Sepanyol ini akan memberikan inspirasi kepada barisan The Red Devils untuk bangkit memperbaiki kedudukan mereka dalam
carta liga selepas ini. David Moyes sering mengeluh tentang kurangnya
kreativiti di bahagian tengah United setiap kali anak-anak buahnya berdepan
kekalahan, jadi kehadiran Mata diharapkan mampu menyelesaikan masalah utama
yang dihadapi beliau selama ini. Saya mengagumi Mata sejak dia masih menyarung
jersi Valencia lagi dan kekaguman saya terhadapnya semakin bertambah ketika melihat
sumbangan dan peranan yang dimainkannya di bahagian tengah Chelsea selepas
menyertai kelab London itu pada 2011. Tidak syak lagi Mata antara playmaker kelas atas bolasepak moden dan
sudah tentu 28 assist serta 32 gol
yang dijaringkannya ketika bersama Chelsea adalah bukti terbaik menilai
kemampuannya. Mata antara pemain yang saya harap tidak diturunkan setiap kali
United berdepan Chelsea, maka atas sebab itulah saya agak teruja mendengar
berita bahawa pemain yang paling saya 'takuti' itu kini sah menjadi milik
United. The Red Devils di bawah
kendalian Moyes sedang berjuang mengembalikan semula maruah mereka selepas
terperosok di tangga ketujuh liga, tetapi satu hakikat yang perlu diakui ialah
bahawa United masih lagi antara kelab terbesar di dunia. Walau apapun yang
berlaku ke atas kelab ketika ini, saya masih percaya bahawa Old Trafford tetap
destinasi impian yang ingin dituju mana-mana pemain ternama dunia dan Mata
tidak terkecuali. Mata bukan pemain buangan cuma nasibnya agak kurang baik
kerana gaya permainannya tidak sesuai dengan perancangan taktikal Jose
Mourinho. Meninggalkan Chelsea bukanlah langkah ke belakang kerana United
sendiri adalah kelab yang besar dan saya percaya dengan bakat serta kebolehan
yang ada pada dirinya, Mata mampu menjadi pemain yang lebih besar di Old
Trafford. Keperluan untuk mendapatkan seorang midfielder baru bukanlah isu yang dibangkitkan sehari dua, malah
sejak Paul Scholes bermain buat kali terakhir di final Liga Juara-Juara 2011
(Scholes kemudiannya kembali dari persaraan pada Januari 2012).
Kembalinya Scholes selepas enam bulan beliau
mengumumkan persaraannya jelas menunjukkan bahawa United memang ketandusan
seorang pemain tengah berwibawa dan situasi bertambah buruk apabila pemain yang
diharapkan mampu mengisi kekosongan lagenda itu seperti Tom Cleverley dan
Anderson (kini menyertai Fiorentina secara pinjaman) terus bergelut dengan
prestasi semasa. Pembelian musim panas yang dilakukan Moyes ke atas Marouane
Fellaini pula masih belum menampakkan hasil dan sehingga kini bekas pemain
Everton itu masih cuba menyesuaikan diri bersama kelab baru disamping bergelut
dengan masalah kecederaan. Dalam tempoh lima bulan, United sudah berdepan tujuh
kekalahan dalam saingan liga dan sepanjang tempoh itu jugalah penyokong serta
penganalisa menjadikan kelemahan di bahagian tengah sebagai fokus utama untuk
dibahaskan. Kehadiran Fellaini masih belum mampu memberikan kesan maksimum di
bahagian tengah jadi tidak hairanlah sepanjang Disember hingga sekarang ada
beberapa nama yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford. Selain Mata,
antara paling disebut-sebut ialah Ander Herrera dan Koke, dua bakat muda dari Sepanyol
yang dikatakan turut menarik minat Moyes. Dari sekadar berita spekulasi kini
perpindahan Mata menjadi kenyataan dan dalam masa yang sama sudah tentu kita
berharap pemain itu akan membuktikan bahawa Jose Mourinho melakukan kesilapan
besar dengan membenarkan dia menyertai United. Selepas kekalahan kepada
Chelsea, dan kemudiannya disingkir Sunderland dari slot final Piala Liga, kita jangkakan suasana 'kurang baik' sedang
melanda kem United ketika ini. Jadi tindakan pantas Moyes dalam pasaran
perpindahan pemain kali ini (berbanding musim panas lalu) dilihat sesetengah
pihak sebagai tindakan terdesak. Benarkah Mata satu pembelian panik yang
dilakukan Moyes terutamanya selepas beliau melihat dirinya kian dihimpit
tekanan berterusan akibat dua kekalahan terbaru yang dialami skuad kendaliannya?
Saya boleh katakan “ya”, tetapi keputusan menandatangani Mata adalah 'pembelian
panik yang berkualiti'. United seperti kata Moyes memang memerlukan suntikan
dari seorang midfielder berkualiti
bagi menghidupkan kembali kreativiti di bahagian tengah dan Mata adalah pilihan
tepat jika dinilai sumbangannya ketika bersama Valencia dan Chelsea. Sebagai
perbandingan dalam dua musim terakhir, Mata mencipta peluang jaringan lebih banyak
berbanding mana-mana pemain United yang ada sekarang.
Sepanjang dua musim Mata adalah pemain
terbaik Chelsea tetapi sejak kembalinya semula Jose Mourinho ke Stamford
Bridge, pemain itu mula kehilangan tempat dalam kesebelasan utama The Blues. Chelsea di bawah kendalian
Mourinho lebih cenderung menggunakan Oscar sebagai pilihan utama memainkan
peranan 'nombor 10' berbanding Mata, dan sudah tentu selepas dua musim diangkat
sebagai pemain terbaik kelab, sukar buat dirinya menerima hakikat bahawa dia
kini sekadar pilihan kedua. Mata mahukan aksi menentang United, City, Arsenal,
Liverpool atau Spurs dalam perlawanan liga bukannya sekadar digunakan ketika
menentang Stoke City dalam saingan Piala FA. Ketika United begitu memerlukan
suntikan tenaga baru di bahagian tengah, Mata pula melihat United adalah
destinasi terbaik yang mampu menawarkan peluang buat dirinya beraksi setiap
minggu disamping kembali memperagakan kualiti sebenarnya. Mungkin akan timbul
sedikit persoalan di posisi manakah Mata akan diletakkan selepas menyaksikan
sejak beberapa musim terakhir ini Wayne Rooney beroperasi dengan baik di
belakang penyerang. Lupakan dulu tentang teori penjualan Mata adalah satu
rancangan licik Mourinho, tetapi saya lebih gemar melihat kejayaan
menandatangani pemain dengan kualiti seperti Mata merupakan satu amaran bahawa
United masih sebuah kelab besar yang mampu mendapatkan mana-mana pemain
ternama. Andre Villas-Boas adalah individu yang bertanggungjawab membawa Mata
ke England dan di bawah kendalian beliau, fungsi Mata bukan hanya terbatas
selaku perancang tengah malah kerap kali digunakan di sebelah kiri. Dua musim
diangkat sebagai pemain terbaik Chelsea, itu sudah cukup membuktikan kualiti
yang ada pada diri Mata dan saya berharap dia mampu terus cemerlang di Old
Trafford pula selepas ini. Cuma apa yang kita harapkan agar Moyes bijak
mengeksploitasi segala kualiti dan potensi yang ada pada diri Mata dengan
meletakkan dia di posisi yang betul, jika tidak nilai yang dibelanjakan ke atas
pemain itu akan menjadi pelaburan yang sia-sia. Nilai £37 juta yang terpaksa
dibelanjakan mungkin sedikit mahal jika diambil kira kelab tidak boleh
menggunakan khidmatnya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini (kerana sudah
terlebih dahulu didaftarkan Chelsea). Dengan hampir semua kejuaraan yang yang
ditawarkan musim ini sudah terlepas dari jangkauan, slot Liga Juara-Juara musim
depan adalah ganjaran terbaik sebaik musim 2013-14 berakhir. Jika kehadiran
Mata mampu memberikan impak kepada kekuatan United sekaligus membantu kelab
layak ke kelompok empat teratas, itulah (£37 juta) nilai yang terpaksa dibayar
untuk satu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. Saya tidak pernah ragu tentang
kualiti milik Mata, cuma saya agak bimbang kesilapan yang dilakukan Moyes ke
atas Shinji Kagawa turut menimpa Mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J