Louis Van
Gaal, Jurgen Klopp, Antonio Conte malah Jose Mourinho antara nama yang sentiasa
disebut-sebut bakal tiba di Old Trafford musim panas ini bagi menggantikan
tempat David Moyes selaku pengurus Manchester United. Moyes dipecat, manakala
posisi beliau pula diambilalih Ryan Giggs buat sementara waktu pada baki empat
perlawanan United bermula ketika berdepan Norwich City Ahad lalu. Giggs lulus
ujian pertamanya di bangku pengurus selepas United mencatat kemenangan besar
4-0 ke atas The Canaries hingga
menyebabkan lagenda hidup itu diberikan pujian melangit atas kejayaan sulungnya
itu. Kita gembira melihat ada perubahan kepada corak permainan United di bawah
kendalian Giggs dan sudah tentu beliau layak diberikan pujian atas apa yang
telah beliau lakukan ketika berdepan Norwich tempohari. Giggs meraih kesuksesan
pada perlawanan pertamanya sebagai pengurus, jadi tidak hairanlah mengapa sudah
ada cadangan yang mahukan beliau dilantik secara tetap sekaligus menerajui
United untuk musim hadapan. Cara United bermain ketika berdepan Norwich
terutamanya di babak kedua memang menghiburkan tetapi saya tetap berpegang
kepada kata-kata saya sebelum ini bahawa melantik seseorang yang masih belum
membuktikan apa-apa dalam bidang kejurulatihan sebagai pengurus tetap ada
risikonya. Mungkin ada yang mengatakan bahawa Pep Guardiola sukses membimbing
Barcelona walaupun sebelumnya beliau tiada pengalaman melatih mana-mana kelab,
jadi mengapa peluang yang sama tidak diberikan kepada Giggs. Ya saya bersetuju,
tetapi Guardiola memulakan karier kejurulatihan beliau dengan mengendalikan
skuad Barcelona B selama semusim sebelum diminta menggantikan Frank Rijkaard
pada 2008. Apapun sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, saya tidak
akan sekali-kali menolak kemungkinan perlantikan Giggs secara tetap sebagai
pengurus, kerana selagi tiada nama yang diumumkan secara rasmi, peluang buat
mana-mana jurulatih untuk meletakkan diri mereka di pejabat pengurus United musim
hadapan tetap terbuka.
Keputusan
Giggs membawa masuk tiga rakan karib beliau dari generasi Class of 92 (Phil Neville, Paul Scholes dan Nicky Butt) bagi
membantunya mengendalikan pasukan saya anggap satu langkah yang cukup bijak.
Empat perlawanan memang tidak memadai untuk menilai kemampuan sebenar Giggs di
kerusi pengurus, tetapi empat perlawanan akan memberikan Giggs merasai peluang
mengetuai sesi latihan, merangka strategi permainan sebelum berdepan satu-satu
perlawanan dan bagaimana menangani pihak media yang rakus memburu berita.
Walaupun Gary Neville yang juga merupakan salah seorang dari anggota Class of 92 agak vokal dengan keputusan
kelab memecat Moyes, beliau dalam masa yang sama tetap percaya bahawa Giggs
antara calon paling ideal mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan warga
Scotland itu. Jika mahu melihat kepada perspektif yang lebih luas, apakah
dengan adanya Giggs di bangku pengurus sambil dibantu Phil, Scholes dan Butt,
Gary tidak tergoda untuk kembali semula ke Old Trafford dan bersama-sama
bergabung tenaga membangunkan kelab? Saya yakin jika semboyan dibunyikan
memanggil beliau pulang, Gary tidak akan teragak-agak meninggalkan tugasnya
sebagai pengulas untuk bersama-sama anggota Class
of 92 yang lain dalam barisan staf kejurulatihan United. Cuba bayangkan
potensi yang mampu dijelmakan Giggs sambil dibantu rakan-rakan Class of 92 nya, manakala Sir Alex Ferguson
pula sentiasa bersedia di belakang sebagai mentor dalam memberikan panduan,
nasihat dan tunjuk ajarnya. Setakat ini pihak pengurusan United masih kekal
dengan keputusan mereka mahu memancing jurulatih berprofil tinggi bagi
menggantikan tempat Moyes tetapi saya tidak akan terkejut jika mereka melakukan
pusingan 'U' dengan memberikan jawatan pengurus tetap kepada Giggs. Selain
Giggs, ada beberapa calon favourite
yang saya yakin anda sendiri sudah mengetahuinya kerana sering dispekulasikan
oleh media bakal memegang peranan sebagai bos United musim hadapan.
Walaupun
diberitakan ada minat yang cukup tinggi ditunjukkan pihak pengurusan United
untuk melantik Louis Van Gaal sebagai pengganti Moyes, kita juga tidak
sepatutnya meletakkan ketepi sebarang kemungkinan ada individu lain bakal
menerajui United musim 2014/15 nanti. Sudah seminggu Moyes meninggalkan
pejabatnya di Old Trafford dan dalam tempoh itu jugalah kita masih berteka-teki
dalam mencari jawapan siapa yang paling layak dan sesuai menggantikan tempat
beliau. Di senarai paling atas tentunya Van Gaal kerana jika diambilkira
spekulasi-spekulasi yang kita dengar terutamanya dari media di England sejak
kebelakangan ini, warga Belanda berusia 62 tahun ini seolah-olah hampir pasti mengendalikan
United musim hadapan. Kemampuan beliau sebagai jurulatih sudah terbukti di mana
Van Gaal pernah memenangi medal kejuaraan liga di tiga negara, Liga
Juara-Juara, Piala UEFA (sekarang Liga Europa) dan Piala Super UEFA selain
pernah mengemudi kelab hebat seperti Barcelona dan Bayern Munich. Adanya Robin
Van Persie juga menjadi sebab mengapa Van Gaal diletakkan sebagai calon pilihan
utama memandangkan beliau dikatakan individu paling berkemampuan membangkitkan
kembali motivasi penyerang Belanda itu. Selepas berakhirnya Piala Dunia 2014 di
Brazil nanti, Van Gaal akan menjadi agen bebas dan beliau secara terbuka
sudahpun mengatakan minat untuk ke England sebelum bersara. Pada usia 62 tahun,
Van Gaal bukanlah pilihan jangka panjang buat United tetapi kebolehan dan
pengalaman yang ada pada beliau amat diperlukan bagi meletakkan kembali The Red Devils sebagai pasukan digeruni
musim hadapan. Secara peribadi Jurgen Klopp adalah calon pilihan saya kerana
falsafah bolasepaknya selain kemampuan beliau mengembangkan bakat muda dalam pasukannya.
Di bawah kendalian Klopp, Dortmund akhirnya bangkit dari tidur yang panjang
apabila kembali menjulang kejuaraan Bundesliga pada musim 2010/11 dan 2011/12, selepas
kali terakhir melakukannya pada musim 2001/02. Musim lalu, Klopp berjaya
mengemudi Dortmund ke pentas final Liga
Juara-Juara tetapi terpaksa akur dengan kehebatan Bayern Munich yang akhirnya
menamatkan musim 2012/13 dengan empat kejuaraan.
Musim ini
walaupun Klopp kehilangan khidmat Mario Gotze yang berhijrah ke Bayern
disamping terpaksa berdepan krisis kecederaan beberapa pemain utamanya, beliau
masih mampu meletakkan Dortmund di tangga kedua Bundesliga. Saya jarang
berkesempatan mengikuti perlawanan-perlawanan Dortmund, tetapi aksi mereka
ketika menentang Real Madrid di perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga
Juara-Juara musim ini sungguh mempesonakan. Lihatlah bagaimana Klopp merangka
strategi permainan Dortmund hingga menyebabkan barisan penuh bintang milik Real
kelihatan seperti pasukan pertengahan La Liga. Melihat kepada kecenderungan
Bayern mendapatkan pemain-pemain terbaik Dormund, keupayaan Klopp membangunkan
pasukannya cukup mengagumkan dan saya pasti bukan sedikit penyokong-penyokong
United yang memasang harapan agar beliau berpindah ke Old Trafford. Peluang
melihat Klopp mengendalikan United bagaimanapun sedikit sukar jika diambilkira
kata-kata beliau sebelum ini bahawa beliau tidak akan menerima sebarang
'panggilan' hingga 2018 (tahun di mana kontrak beliau bersama Dortmund berakhir).
Saya tidak pernah menganggap apa yang dikatakan Klopp itu sebagai penamat usaha
United mendapatkan sentuhannya kerana saya percaya tradisi dan sejarah gemilang
yang panjang di Old Trafford boleh membuatkan Klopp pada bila-bila masa menarik
semula kata-katanya itu. Selain Giggs, Van Gaal dan Klopp yang saya rasakan
paling berkemungkinan mengisi kekosongan Moyes, ada beberapa lagi nama yang tidak
boleh kita ketepikan begitu sahaja. Di Turin umpamanya, kejayaan Antonio Conte
membawa Juventus memenangi kejuaraan Scudetto
dua musim berturut-turut (dan diambang hatrik musim ini) menyebabkan pengendali
itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Kemampuan Conte sebagai
jurulatih bukan hanya berkisar dalam mengatur strategi permainan tetapi beliau
juga adalah pakar motivasi yang hebat dalam membangkitkan moral
pemain-pemainnya. Juve di ambang kehancuran selepas mereka disingkir ke Serie B
(musim 2006/07) akibat skandal mengatur perlawanan dan kehilangan pemain-pemain
terbaik mereka, tetapi kini muncul kembali selaku gergasi Serie A di bawah
kendalian Conte.
Seorang lagi
jurulatih muda yang begitu sukses menangani kelabnya musim ini ialah Diego Simeone
dari Atletico Madrid. Nama Simeone tidak mungkin boleh dilupakan
penyokong-penyokong United kerana insiden yang berlaku di Piala Dunia 1998 hingga
menyebabkan David Beckham dilayangkan kad merah. Lupakan cerita silam Simeone
sebagai pemain kerana kini beliau adalah antara jurulatih muda terbaik muncul
dalam kancah bolasepak Eropah. Di Vincente Calderon, Simeone berjaya menanamkan
mental juara ke dalam skuad Atletico hingga mereka muncul pencabar di pentas domestik
dan Eropah musim ini. Di Eropah, Simeone sudah membawa Atletico ke peringkat
separuh akhir Liga Juara-Juara manakala di pentas domestik pula Los Rojiblancos berjaya memecah monopoli
Real Madrid dan Barcelona sejak sekian lama untuk berada di puncak La Liga.
Dengan baki tiga perlawanan liga yang perlu diharungi dan memiliki kelebihan
empat mata di tangga teratas, Simeone berpeluang menamatkan kemarau 17 tahun kejuaraan
La Liga di Vincente Calderon selepas kali terakhir Radomir Antic melakukannya
pada musim 1995/96. Jika 16 tahun dulu Simeone dibenci penyokong-penyokong
United kerana menjadi penyebab layangan kad merah kepada Beckham, ironinya kini
beliau tersenarai sebagai antara calon pengurus United musim hadapan. Giggs,
Van Gaal, Klopp, Conte dan Simeone adalah calon paling berkemungkinan (dipilih
menerajui United musim hadapan), manakala Carlo Ancelotti, Pep Guardiola, Laurent
Blanc, Carlos Quieroz, Jose Mourinho dan Frank De Boer mungkin hanya sekadar
spekulasi mainan akhbar untuk melariskan jualan mereka. Bagaimanapun sekali
lagi saya tegaskan bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku selagi kem United
tidak mengumumkan secara rasmi siapa yang bakal mengendalikan kelab musim
hadapan. Boleh jadi Van Gaal, Giggs, Klopp, Conte, Simeone, Ancelotti,
Guardiola, Blanc, Quieroz, Mourinho dan De Boer atau siapa tahu Sir Alex akan
keluar dari persaraan walaupun pada hakikatnya perkara itu nampak seperti
mengarut. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan