"Lega", itulah perkataan pertama yang keluar
dari mulut saya selepas berakhirnya pertemuan Manchester United dan West Ham
Sabtu lalu. Sebelum berdepan West Ham, United mengharungi lima perlawanan liga
dengan hanya satu kemenangan, dua keputusan seri serta dua kekalahan dan lebih
memedihkan apabila anak-anak buah Louis Van Gaal disingkirkan MK Dons (kelab
Divisyen 3) dari saingan Piala Liga dengan cara yang cukup mengaibkan.
Kemenangan ke atas West Ham pada saya cukup penting tatkala parut ketika
ditewaskan Leicester City masih lagi berbekas. Sudah saya katakan sejak awal
lagi bahawa jangan memandang rendah kepada keupayaan The Hammers
melakukan kejutan dan Sabtu lalu mereka hampir sahaja mengejutkan United atau
setidak-tidaknya membawa pulang satu mata berharga dari Old Trafford.
Kejayaan menundukkan West Ham amat penting bagi
melonjakkan semula moral pemain-pemain United selepas Leicester City `merampas'
kemenangan yang hampir mereka capai di Stadium King Power selain melonjakkan
kembali kelab ke kedudukan lebih baik dalam carta liga. Benteng pertahanan
nampaknya sekali lagi membuat jantung kita berdegup kencang dan meskipun Van
Gaal mengubah posisi Marcos Rojo dari sebelah kiri ke bahagian tengah
pertahanannya selepas beliau kehilangan Tyler Blackett dan Jonny Evans, itu
saya anggap hanyalah penyelesaian jangka pendek dari beliau. Di peringkat awal
perlawanan, Rojo tampak bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan peranan
sebagai centre back yang beliau mainkan biarpun posisi tersebut
sebenarnya bukanlah terlalu asing buat beliau.
Selain dari benteng pertahanan, prestasi David de Gea di
gawang juga perlu diberikan perhatian dan selepas selesa mendahului lawan
dengan dua gol, kebimbangan saya akhirnya menjadi kenyataan. Kesilapan De Gea
yang gagal menangani situasi bola tinggi dari sepakan sudut membolehkan Diafra
Sakho merapatkan kedudukan. Walaupun mungkin ada sedikit kekasaran yang
dilakukan pemain lawan terhadap De Gea ketika perebutan bola di udara hingga
terhasilnya jaringan tersebut, kita juga perlu mengakui bahawa prestasi beliau
dalam enam perlawanan agak membimbangkan. Setakat ini De Gea boleh saya katakan
bermain di bawah tahap sebenar dan dari enam perlawanan liga, beliau sudah
sembilan kali mengutip bola di gawang sendiri.
Sepanjang 30 minit awal permainan, United sebenarnya
bermain dengan cukup menyakinkan, memberikan tekanan demi tekanan kepada lawan
hingga terhasilnya dua gol menerusi Wayne Rooney dan Robin Van Persie. Selepas
lawan berjaya merapatkan kedudukan, saya mula terfikir adakah musibah di
Stadium King Power bakal berulang kembali, ditambah pula dengan layangan kad
merah yang diterima Rooney ketika masa sebenar perlawanan berbaki 30 minit
untuk ditamatkan. Kekurangan seorang pemain ketika lawan pula begitu bernafsu
memburu gol penyamaan menyebabkan anak-anak buah Van Gaal terpaksa bermain
secara defensif bagi mempertahan kelebihan satu gol milik mereka, dan saya juga
perlu mengakui bahawa ini adalah antara tempoh 30 minit paling panjang dalam
hidup saya.
Walaupun ini bukanlah permainan terbaik United dan bukan
juga satu kemenangan yang menyakinkan, tetap ada sisi positif sebaik sahaja Lee
Mason meniup wisel penamat perlawanan. Pertama, saya gembira melihat Robin Van
Persie sudah kembali menjaringkan gol walaupun dalam masa yang sama juga saya
masih menunggu sentuhan pemusnah sebenar dari Radamel Falcao. Kedua, saya juga
gembira menyaksikan seorang lagi bakat muda dari akademi berjaya diketengahkan
dalam saingan liga selepas Tyler Blackett dan pemain yang saya maksudkan sudah
tentulah remaja yang baru berusia 19 tahun bernama Paddy McNair. Krisis kecederaan
yang melanda benteng pertahannya memaksa Van Gaal membuat panggilan kecemasan
kepada Warren Joyce dengan mendatangkan McNair dari skuad remaja United.
Terus terang saya katakan bahawa sebelum ini saya
sebenarnya tidak pernah menyaksikan aksi McNair di atas padang (mungkin
disebabkan kurang mengikuti perkembangan skuad remaja United) berbanding
rakan-rakan seangkatannya seperti Michael Keane, Reece James, Tom Thorpe, James
Wilson dan Will Keane yang terlebih dahulu diberikan peluang tampil bersama skuad
senior terutamanya dalam perlawanan-perlawanan pra musim sebelum ini. Keputusan
Van Gaal memberikan peluang kepada McNair tampil dalam kesebelasan utama Sabtu
lalu memeranjatkan saya, kerana pada mulanya saya menyangka bahawa beliau akan
meletakkan pemain yang lebih berpengalaman (Marcos Rojo dan Daley Blind) di
benteng tengah berikutan ketiadaan Evans dan Blackett.
Keputusan Van Gaal mengubah posisi Rojo sudah boleh
dihidu sejak awal tetapi menggandingkan pemain antarabangsa Argentina itu
dengan seorang pemain remaja yang tampil buat pertama kali di pentas Liga
Perdana benar-benar memeranjatkan saya. Selain McNair, Van Gaal juga sebenarnya
memiliki Tom Thorpe, seorang lagi pemain pertahanan tengah muda yang lebih
`berpengalaman' berbanding remaja dari Ireland itu. Ketika pasukannya
benar-benar memerlukan kemenangan, keputusan Van Gaal memberikan penampilan
pertama kepada McNair dalam saingan Liga Perdana adalah satu perjudian berani
dan di akhir perlawanan, beliau menikmati hasil dari perjudian berani yang
dilakukannya. Kehadiran McNair menerusi persembahan menyakinkan yang dipamerkan
remaja ini sepanjang 90 minit aksinya Sabtu lalu sekurang-kurangnya menjadi
penawar di sebalik masalah kecederaan demi kecederaan melanda pemain-pemain
utama ketika ini.
Meskipun beliau tidak melakukan sebarang tackle
sepanjang 90 minit permainan, McNair melakukan clearance paling banyak
(13 kali) berbanding mana-mana pemain United dalam perlawanan itu. Bagi seorang
remaja berusia 19 tahun yang pertama kali merasai hangatnya perlawanan Liga
Perdana, beraksi selama 90 minit di benteng pertahanan, berdepan pula dengan
lawan yang mementingkan aspek permainan fizikal dan ditambah dengan tiga mata
penuh yang berjaya diraih, saya anggap ini adalah debut sempurna buat
McNair. Seperti yang kita tahu, Van Gaal antara jurulatih yang berani
memberikan peluang kepada pemain-pemain muda berbakat tampil dalam skuad
utamanya. Beliau sudah membuktikan ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ
Alkmaar, Bayern Munich, skuad kebangsaan Belanda dan kini Manchester United.
Ketika berlangsungnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 yang lalu, Van Gaal
mempertaruhkan kelibat Bruno Martins Indi dan Stefan de Vrij (kedua-duanya
berusia 22 tahun) di benteng pertahanan De Oranje, dan di Old Trafford
beliau memperkenalkan pula kepada penyokong-penyokong The Red Devils
siapa itu Tyler Blackett dan Paddy McNair.
Di sebalik isu kecederaan dan penggantungan, masih ada
sisi positif yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong United) tersenyum
terutamanya selepas melihat bakat muda seperti Blackett dan McNair berjaya
diketengahkan. Ketika rakan-rakan saya dari kalangan penyokong Arsenal serta
Liverpool bangga menyebut Calum Chambers dan Jon Flanagan sebagai bintang masa
depan kelab masing-masing, saya juga mampu mencelah sama kerana kita turut
memiliki bintang dalam pembikinan seperti Blackett dan McNair. Selain dari
McNair, kelibat Luke Shaw juga wajar diberikan pujian walaupun ini juga
merupakan penampilan pertama beliau untuk United dalam perlawanan liga sejak
berpindah dari Southampton musim panas lalu. Shaw cukup berani menyusup ke
kawasan lawan dengan bola dikakinya ketika melakukan serangan dan pantas turun
ke bawah ketika bertahan. Masih terlalu jauh untuk kita membandingkan
persembahan Shaw dengan Rafael da Silva, rakan sepasukannya yang berada di
posisi berlawanan, tetapi bagi seorang pemain muda yang melakukan penampilan
pertama liga untuk pasukan baharu, prestasi keseluruhan Shaw saya anggap lebih
daripada memuaskan.
Meskipun diselubungi kelegaan selepas The Red Devils
berjaya memungut tiga mata penuh Sabtu lalu, saya agak terkilan dengan layangan
kad merah yang diterima Wayne Rooney. Dalam keadaan kelab kehilangan begitu
ramai pemain-pemain akibat kecederaan, penggantungan tiga perlawanan yang bakal
dilalui Rooney kerana kesilapan yang sepatutnya tidak beliau lakukan pastinya
memeningkan lagi kepala Van Gaal. Sebagai pemain berpengalaman dan kini
memegang pula peranan kapten pasukan, Rooney sepatutnya lebih berhati-hati
dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan pasukan. Selepas bermain
baik di babak pertama, memimpin rakan-rakan sepasukan ketika bertahan mahupun
ketika menyerang dan berjaya menambah koleksi golnya musim ini, Rooney terpaksa
menamatkan perlawanan lebih awal akibat kekasaran tidak sepatutnya yang
dilakukan beliau ke atas Stewart Downing. Rooney sudahpun memohon maaf,
manakala Van Gaal pula menegaskan walaupun kesilapan Rooney hampir menyebabkan
kemenangan terlepas dari genggaman, beliau memberi jaminan lilitan lengan kapten
pasukan tetap menjadi milik pemain itu.
Melihat kepada deretan pemain-pemain utamanya yang berada
di bilik rawatan selain penggantungan yang diterima Rooney dan Blackett, Van
Gaal kini perlu bijak mencari jalan bagaimana mahu memaksimakan kekuatan skuadnya
bersandarkan kepada pemain-pemain yang ada. Walaupun ada pihak secara sinis
mempertikaikan kemenangan ke atas West Ham, saya tetap gembira dengan tiga mata
yang berjaya diraih biarpun seperti yang saya katakan mula-mula tadi, ini
bukanlah permainan terbaik United terutamanya apabila mengingatkan kepada
krisis kecederaan yang melanda kelab ketika ini. Kemenangan ke atas West Ham
tetap penting kerana selepas ini United akan berdepan empat perlawanan sukar
(menentang Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City) yang bakal
menguji sejauh mana watak sebenar barisan The Red Devils kendalian Van
Gaal. Meskipun mencatat kemenangan menyakinkan ketika berdepan Queens Park
Rangers, dua perlawanan terakhir menentang Leicester City dan West Ham
membuktikan bahawa United masih lagi berada di bawah tahap yang boleh
meletakkan mereka sebagai antara pencabar kejuaraan musim ini.
Di awal musim, segalanya seperti tidak berpihak kepada
Van Gaal, bermula dari kehilangan seorang demi seorang pemain utamanya akibat kecederaan
hinggalah kepada dua layangan kad merah yang diterima Blackett dan Rooney.
Faktor ini boleh menjejaskan segala perancangan beliau, tetapi saya yakin
selaku pengendali berpengalaman, Van Gaal mampu menangani situasi sulit seperti
ini. Kemenangan yang diraih ke atas West Ham bukan sekadar kemenangan biasa,
tetapi saya melihat kemenangan ini sebagai dorongan kepada anak-anak buah Van
Gaal untuk kembali membuktikan bahawa mereka adalah antara pencabar serius
kejuaraan liga musim ini. Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City
adalah lawan sukar yang perlu dihadapi United selepas ini berdasarkan kepada
prestasi semasa mereka. Walau bagaimanapun, saya masih percaya jika Van Gaal
terpaksa membawa skuad yang tempang sekalipun ketika berdepan mereka, Roberto
Martinez, Alan Irvine, Manuel Pellegrini dan Jose Mourinho sedar bahawa mereka sebenarnya sedang
berdepan dengan harimau yang sedang terluka. Oktober menjanjikan tempoh yang lebih sukar dan sama ada suka ataupun tidak, United terpaksa mengharungi fasa sukar ini. Semoga kemenangan yang dicapai
Sabtu lalu bakal menjadi turning point kepada kebangkitan barisan The
Red Devils selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J