15 September 2014

DEBUT SEMPURNA DALEY BLIND

Angel Di Maria dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan Manchester United menentang Queens Park Rangers semalam dan berdasarkan prestasi yang tunjukkan pemain itu sepanjang 82 minit aksinya di atas padang, anugerah tersebut memang selayaknya diberikan kepada beliau. Walaupun ini merupakan perlawanan kedua Di Maria bersama United sejak kehadirannya dari Santiago Bernabeu yang memecahkan rekod perpindahan British, kehadiran pemain antarabangsa Argentina ini memberikan kesan besar kepada bahagian tengah United terutamanya ketika mereka melakukan gerakan-gerakan serangan dari sebelah tepi. Persembahan yang dipamerkan Di Maria semalam seolah-olah satu isyarat bahawa beliau sudah bersedia membayar balik pelaburan besar yang dilakukan kelab ke atas dirinya. Secara keseluruhannya saya berpuashati melihat corak permainan yang dipamerkan anak-anak buah Louis Van Gaal semalam walaupun masih lagi ada kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan benteng pertahanan.

Di Maria memang pemain paling menonjol tetapi lebih daripada itu saya melihat ada perubahan besar berlaku di benteng, bahagian tengah dan serangan berikutan kehadiran pemain-pemain baharu seperti Daley Blind, Marcos Rojo serta kembalinya Ander Herrera dan Rafael da Silva yang baru pulih dari kecederaan. Pergerakan licik Di Maria memecah pertahanan lawan mencuri tumpuan tetapi saya berharap anda juga tidak lupakan sumbangan Daley Blind di bahagian tengah. Melihat kepada keseluruhan aksi bekas pemain Ajax Amsterdam ini semalam, siapa menyangka bahawa ini adalah penampilan pertama Blind bersama kelab baharunya itu. Sepanjang perlawanan, Blind melakukan 112 hantaran dan daripada jumlah itu 107 menemui sasaran. Jadi tidak hairanlah mengapa musim lalu Blind muncul pemain paling banyak menyempurnakan hantaran di Eredivisie dalam tempoh semusim.

Purata peratusan kejayaan beliau dalam menyempurnakan hantaran pada setiap perlawanan di Eredivisie mencapai 89.5% dan untuk perlawanan semalam Blind mencatatkan 96%. Seperti yang dijangkakan sejak awal, peranan sebagai pemain tengah bertahan diberikan kepada Blind dan sepanjang perlawanan beliau menjalankan tugasnya dengan cukup baik di posisi tersebut. Mengingatkan kepada komen Van Gaal selepas tamat perlawanan menentang Swansea City bulan lalu (United tewas 1-2) bahawa pemain-pemainnya perlu memiliki visi permainan yang lebih luas ketika di atas padang selain bijak membuat keputusan pantas pada waktu yang tepat, maka fahamlah saya mengapa pemain seperti Blind amat diperlukan beliau dalam skuadnya. Selaku bekas pengendali skuad kebangsaan Belanda, Van Gaal juga sudah tentu faham benar dengan potensi dan kemampuan yang dimiliki Blind, dan biarpun pada awalnya diberitakan tiada sebarang tawaran dibuat kelab bagi mendapatkan pemain ini, Blind akhirnya tiba di Old Trafford sehari sebelum pintu perpindahan pemain ditutup.

Walaupun saya tidak mengikuti perkembangan Ajax Amsterdam secara dekat, saya tahu kelab ini sudah melahirkan begitu ramai pemain-pemain handalan dalam sejarah bolasepak dunia. Bakat-bakat hebat seperti Johan Cryuff, Marco Van Basten, Frank Rijkaard, Edgar Davids, Patrick Kluivert, Michael Reiziger, Wesley Sneijder, Dennis Bergkamp, Frank de Boer dan ramai lagi semuanya lahir dari akademi kelab tersebut, menimba pengalaman bersama skuad utama dan akhirnya potensi mereka mula menarik perhatian kelab-kelab ternama Eropah. Meskipun Ajax sudah lama tidak menggegar pentas Eropah sejak kali terakhir mereka memenangi trofi Liga Juara-Juara pada 1995, gergasi Belanda itu nampaknya masih tidak henti-henti membekalkan pemain-pemain berbakat mereka kepada skuad kebangsaan Belanda dan juga kepada kelab-kelab besar sekitar Eropah. Blind adalah salah satu contoh produk terbaharu keluaran mereka.

Di pusingan akhir Piala Dunia yang lalu, Blind antara tonggak penting skuad Oranje pimpinan Van Gaal, juga antara pemain yang digemari pengendali itu kerana boleh memikul peranan dengan berkesan sama ada sebagai bek kiri ataupun di bahagian tengah sekiranya Van Gaal mahu melakukan perubahan taktikal segera. Semalam, Blind sekali lagi menunjukkan kepada kita mengapa beliau antara pemain yang disukai bosnya itu ketika mereka bekerjasama dalam skuad kebangsaan Belanda. Sepanjang 90 minit aksi di Old Trafford, Blind antara pemain United yang paling sibuk ketika lawan menguasai bola, sentiasa berada pada kedudukan yang tepat bagi mematahkan gerakan lawan di samping tugasnya melindungi benteng pertahanan. Tempo permainan Eredivisie dan Liga Perdana begitu jauh berbeza, jadi apa yang dipamerkan Blind semalam tentunya agak mengejutkan saya. Adakalanya aksi Blind semalam mengingatkan saya kepada Darren Fletcher ketika zaman kemuncaknya yang sering ditugaskan Sir Alex Ferguson bagi menganggu tempo permainan lawan.

Untuk beraksi seperti Blind, seseorang pemain memerlukan stamina cukup tinggi, fizikal yang kuat untuk merampas bola dari penguasaan lawan dan paling penting ketajaman berfikir ketika bola berada di kaki sebelum digerakkan ke arah kawasan lawan. Paling menarik apabila melihat peranan yang dimainkan Blind dalam menyekat gerakan-gerakan awal lawan sebelum mereka mara lebih jauh, sekaligus mengurangkan tekanan kepada backline United yang dibarisi Evans, Blackett, Rojo dan Rafael. Tidak banyak peluang terbaik yang mampu dicipta lawan kecuali menerusi Matt Phillips di babak pertama dan percubaan Niko Kranjcar yang diselamatkan David de Gea di babak kedua, sekaligus memberikan petanda baik sebelum kelab berdepan lawan yang lebih sukar selepas ini. Dengan adanya Blind juga membolehkan Di Maria, Mata dan Herrera lebih bebas dan fokus mencipta gerakan kerana di belakang mereka sudah ada pemain tengah dengan kualiti bertahan yang bagus untuk melindungi benteng pertahanan ketika lawan memberikan tekanan.

Masih terlalu awal untuk kita membandingkan Blind dengan lagenda pemain-pemain tengah United seperti Bryan Robson, Roy Keane ataupun Paul Scholes tetapi beliau sebenarnya memiliki sedikit persamaan dengan gaya permainan Michael Carrick. Ketiadaan Carrick yang masih dibelenggu kecederaan adalah satu kehilangan dan kekurangan besar buat bahagian tengah United, tetapi kehadiran Blind menerusi persembahan yang dipamerkannya semalam memberikan petanda bahawa kelab kini memiliki pilihan lain kepada bekas pemain Tottenham Hotspurs itu. Sepertimana Carrick, Blind juga memiliki kemampuan membaca permainan dengan baik selain berperanan sebagai penghubung antara benteng pertahanan dan bahagian tengah. Cuma apa yang patut dilakukan Blind selepas ini ialah mempertajamkan lagi kemahirannya dalam  membuka permainan dan aspek ini sebenarnya boleh beliau pelajari dari Carrick.

Blind pada pandangan saya seorang tackler yang agak bagus tetapi sedikit kurang dari segi kepantasan yang mana kelemahan ini boleh dieksploitasi lawan yang lebih pantas berbanding Charlie Austin atau Matt Phillips semalam. Blind juga sebenarnya perlu berani untuk mara lebih jauh ke kawasan lawan berbanding 'permainan selamat' yang diamalkan beliau semalam di mana beliau dilihat lebih gemar berlegar-legar di kawasan sendiri terutamanya di babak pertama. Mungkin disebabkan adanya Herrera, Di Maria dan Mata yang memiliki naluri menyerang dalam lineup Van Gaal menyebabkan Blind lebih selesa dan fokus untuk melindungi kawasan sendiri berbanding naik ke atas bagi mencipta peluang jaringan gol. Hanya di penghujung permainan barulah saya dapat melihat Blind mara menghampiri petak penalti lawan dan kemudiannya melepaskan satu percubaan tepat ke sebelah kiri gawang lawan hingga memaksa Robert Green bekerja keras menyelamatkan gawangnya dari dibocori buat kali kelima.

Melihat kepada keseluruhan sumbangan yang diberikan Blind semalam, saya cukup berpuashati dengan apa yang sudah dipamerkan pemain berusia 24 tahun ini, apatah lagi ini adalah penampilan pertamanya untuk United dan Liga Perdana. Apa yang dipamerkan Di Maria ketika berdepan QPR menunjukkan bahawa beliau memang seorang pemain kelas dunia, tetapi Blind juga tidak kurang hebatnya. Dengan kualiti bertahan yang dimilikinya, saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan bahawa Blind adalah pemain yang dicari-cari United selama ini bagi menggalas tugas sebagai pemain tengah bertahan. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa QPR bukanlah ujian sebenar buat barisan bernilai ratusan juta Pound United, tetapi kemenangan besar semalam saya anggap satu isyarat bahawa jentera perang Van Gaal kini semakin panas dan sudah mula mendapatkan rentaknya. Ketika gendang perang sudahpun dipalu oleh armada Van Gaal sebagai amaran kepada lawan-lawan mereka, kehadiran Blind pula sebenarnya memberikan keseimbangan kepada permainan United. Tanpa ragu saya mengatakan bahawa perlawanan semalam adalah debut sempurna buat Blind dan tidak lupa juga buat Rojo. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

2 ulasan:

  1. mungkin daley blind lebih memahami corak permainan van gaal dan paham perangai van gaal mcm mana.. bukan senang nak suai kan diri di kelab baru.. tapi tengok daley blind ni boleh pergi jauh.. kita dah lama menanti permainan tengah yg berbakat seperti daley blind dan harera ni... sejak paul scholes gantung kasut bola.. tengah kita begitu lemah sekali...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harap dia boleh sesuaikan diri sebagai defensive midfielder. Masa main dengan QPR dia antara yang cemerlang & masa lawan dengan Leicester dia antara pemain yang paling sibuk. Kesian tengok dia berlari ke sana kemari tutup kebocoran di benteng pertahanan terutamanya selepas Evans keluar & Blackett kena red card.

      Padam