Berdepan West Ham United malam ini merupakan perlawanan
yang sukar dan penting buat Manchester United. Sukar kerana West Ham bukanlah
lawan yang boleh diambil mudah dan mereka sudahpun membuktikan kualiti mereka
ketika menundukkan Liverpool 3-1 di gelanggang sendiri minggu lalu. Perlawanan
ke-108 antara kedua-dua pasukan ini saya anggap penting kerana United perlu
mengelak kekalahan kedua berturut-turut selepas ditewaskan pendatang baharu
Liga Perdana, Leicester City walaupun pada awalnya dilihat hampir pasti membawa
pulang tiga mata penuh ke Old Trafford. Seri perlu dielakkan manakala kekalahan
adalah bencana buat barisan Louis Van Gaal, jadi tiada jalan lain buat mereka
selain perlu menang perlawanan ini.
Selepas ditewaskan Leicester City, tekanan tentunya
semakin bertambah, tetapi saya berharap Van Gaal tidak panik walaupun baru-baru
ini beliau mengakui bahawa mengendalikan United adalah tugas paling sukar
sepanjang karier kejurulatihannya. Dari lima perlawanan liga, United di bawah
kendalian Van Gaal hanya mampu menang sekali, seri dua kali dan tewas dua kali,
sekaligus menyaksikan mereka kini terperosok di tangga ke-12 liga. Misi United
untuk mencari kemenangan kedua malam ini diganggu dengan kecederaan yang
dialami Jonny Evans dan penggantungan Tyler Blackett akibat layangan kad merah
yang diterimanya minggu lalu. Menarik untuk kita saksikan bagaimanakah agaknya
perubahan yang bakal dilakukan Van Gaal di benteng pertahanannya berikutan
ketiadaan Evans dan Blackett.
Ketiadaan Evans dan Blackett juga mungkin membolehkan
kita menyaksikan penampilan pertama pemain remaja Paddy McNair bersama skuad
senior. McNair lebih dikenali sebagai pemain tengah tetapi remaja ini juga
berkemampuan untuk bertindak sebagai centre back jika keadaan
memerlukan. Bagaimanapun saya yakin kekosongan di bahagian pertahanan tengah
akan diisi Marcos Rojo dan Daley Blind manakala Rafael da Silva serta Luke Shaw
pula akan bergerak di posisi bek kanan dan kiri. Jika itu berlaku (Rojo dan
Blind bermain sebagai centre back), Darren Fletcher akan kembali semula
dalam kesebelasan utama mengambilalih peranan Blind sebagai pemain tengah
bertahan.
Selain dari kehadiran semula Fletcher, tidak banyak
perubahan bakal berlaku di bahagian tengah dengan dua tempat lagi bakal
diperkuatkan Angel Di Maria dan Ander Herrera sementara Wayne Rooney pula
bertindak sebagai pengumpan kepada Radamel Falcao dan Robin Van Persie selaku
penggempur. Pemain manapun dan perubahan apapun yang bakal dilakukan Van Gaal
dalam perlawanan ini, tiada jalan lain selain United perlu bangkit kembali
mencari kemenangan selepas mimpi buruk yang dialami mereka minggu lalu. Hanya
kemenangan akan mengembalikan semula keyakinan pemain-pemain dan mengurangkan
sedikit tekanan di bahu Van Gaal meskipun beliau terpaksa berdepan krisis
kecederaan dalam skuadnya.
Melihat kepada prestasi terkini United ditambah pula
dengan masalah kecederaan yang terpaksa dihadapi Van Gaal, tidak hairanlah
mengapa Sam Allardyce sudah berkira-kira mencari kemenangan pertamanya ke atas
United sejak 2007. Saya percaya The Hammers hadir ke Old Trafford dengan
kayakinan tinggi sejak kejayaan mereka menundukkan Liverpool minggu lalu, jadi
saya berharap Van Gaal sudah memiliki cara bagaimana mahu `membunuh' permainan
anak-anak buah Big Sam malam nanti. Ketika The Hammers hadir dengan
keyakinan tinggi, saya juga berharap agar barisan The Red Devils sudah
bersedia untuk memberikan mereka `pukulan' sekaligus mencari kemenangan kedua.
Ramai yang berkata bahawa United boleh bangkit tetapi saya lebih gemar
mengatakan bahawa United perlu bangkit dan saya juga mengharapkan agar
perlawanan ini menjadi permulaan kepada kebangkitan semula mereka. Glory Glory
Manchester United!!! - A.J
Tahukah Anda?:
1. Lima mata yang dikutip United dari lima perlawanan
awal mereka merupakan yang terendah sejak musim 1989/90.
2. West Ham menjaringkan sembilan gol dari 18 perlawanan
mereka di Old Trafford, tetapi dari jumlah itu mereka sebenarnya tidak pernah
membolosi gawang United lebih dari satu gol.
3. United berjaya memungut 31 mata dari 11 perlawanan
terakhir mereka menentang West Ham.
4. West Ham berjaya menjaringkan empat gol dari luar
petak penalti dan itu merupakan jumlah tertinggi berbanding mana-mana pasukan
setakat ini.
5. Gawang United sudahpun dibolosi sebanyak lapan kali
dari lima perlawanan setakat ini. Jumlah tersebut merupakan catatan kedua
terburuk sejak musim 2001/02 di mana ketika itu gawang United dibolosi sepuluh
kali dari lima perlawanan.
6. Dari lima perlawanan, West Ham muncul pasukan paling
tinggi mencatatkan peratusan ketepatan hantaran lintang (24.36%).
7. United menerima hukuman sepakan penalti sebanyak enam
kali dari 15 perlawanan terakhir liga mereka. Sebelum itu mereka tidak pernah
menerima hukuman sepakan penalti dari 85 perlawanan di semua kejohanan peringat
tinggi.
8. Wayne Rooney menjaringkan dua gol dan dua assist dari
lima penampilannya musim ini.
9. United tewas sepuluh kali dari 25 perlawanan (liga) di
gelanggang sendiri. Sepuluh kekalahan sebelum itu mereka catatkan dari 148
perlawanan.
10. West Ham menjaringkan lima gol dari dua perlawanan
terakhir mereka di gelanggang lawan. Jumlah ini melebihi catatan yang mereka
lakukan sebelumnya dalam enam perlawanan digelanggang lawan (4 gol).
Misi terlaksana biarpun Rooney di buang padang. McNair nampak composed dan punyai prospek yang baik dibahagian pertahanan. GGMU!
BalasPadamSelepas Blackett kini seorang lagi bakat muda yang berjaya diketengahkan Van Gaal. Walau pun ini penampilan pertama tapi dia tak kekok dan cuma perlukan lebih bimbingan dari senior2 dan banyak perlawanan untuk pengalaman.
PadamSuccess!
BalasPadamDalam keadaan sekarang yang penting 3 mata. Cara macam mana kemenangan tu dicapai soal kedua...Success!!!
Padamberdebor-debor jugak tengok game west ham ni... nasib baik offside kalau tak.. adoii..... saya tak salah kan rooney... tindakan rooney tu betul... bila tengok balik semasa player west ham tu serang.. defance kita kat bahagian belakang kosong.. tapi banyak penyokong salah kan rooney... mereka mungkin lupa tindakan solskjaer... cantona.. pada masa dahulu... tapi takpa.. kita ada banyak lagi permain serang yang berkualiti
BalasPadam