29 September 2014

FASA LEBIH SUKAR MENANTI UNITED SELEPAS INI

"Lega", itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut saya selepas berakhirnya pertemuan Manchester United dan West Ham Sabtu lalu. Sebelum berdepan West Ham, United mengharungi lima perlawanan liga dengan hanya satu kemenangan, dua keputusan seri serta dua kekalahan dan lebih memedihkan apabila anak-anak buah Louis Van Gaal disingkirkan MK Dons (kelab Divisyen 3) dari saingan Piala Liga dengan cara yang cukup mengaibkan. Kemenangan ke atas West Ham pada saya cukup penting tatkala parut ketika ditewaskan Leicester City masih lagi berbekas. Sudah saya katakan sejak awal lagi bahawa jangan memandang rendah kepada keupayaan The Hammers melakukan kejutan dan Sabtu lalu mereka hampir sahaja mengejutkan United atau setidak-tidaknya membawa pulang satu mata berharga dari Old Trafford.

Kejayaan menundukkan West Ham amat penting bagi melonjakkan semula moral pemain-pemain United selepas Leicester City `merampas' kemenangan yang hampir mereka capai di Stadium King Power selain melonjakkan kembali kelab ke kedudukan lebih baik dalam carta liga. Benteng pertahanan nampaknya sekali lagi membuat jantung kita berdegup kencang dan meskipun Van Gaal mengubah posisi Marcos Rojo dari sebelah kiri ke bahagian tengah pertahanannya selepas beliau kehilangan Tyler Blackett dan Jonny Evans, itu saya anggap hanyalah penyelesaian jangka pendek dari beliau. Di peringkat awal perlawanan, Rojo tampak bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan peranan sebagai centre back yang beliau mainkan biarpun posisi tersebut sebenarnya bukanlah terlalu asing buat beliau.

Selain dari benteng pertahanan, prestasi David de Gea di gawang juga perlu diberikan perhatian dan selepas selesa mendahului lawan dengan dua gol, kebimbangan saya akhirnya menjadi kenyataan. Kesilapan De Gea yang gagal menangani situasi bola tinggi dari sepakan sudut membolehkan Diafra Sakho merapatkan kedudukan. Walaupun mungkin ada sedikit kekasaran yang dilakukan pemain lawan terhadap De Gea ketika perebutan bola di udara hingga terhasilnya jaringan tersebut, kita juga perlu mengakui bahawa prestasi beliau dalam enam perlawanan agak membimbangkan. Setakat ini De Gea boleh saya katakan bermain di bawah tahap sebenar dan dari enam perlawanan liga, beliau sudah sembilan kali mengutip bola di gawang sendiri.

Sepanjang 30 minit awal permainan, United sebenarnya bermain dengan cukup menyakinkan, memberikan tekanan demi tekanan kepada lawan hingga terhasilnya dua gol menerusi Wayne Rooney dan Robin Van Persie. Selepas lawan berjaya merapatkan kedudukan, saya mula terfikir adakah musibah di Stadium King Power bakal berulang kembali, ditambah pula dengan layangan kad merah yang diterima Rooney ketika masa sebenar perlawanan berbaki 30 minit untuk ditamatkan. Kekurangan seorang pemain ketika lawan pula begitu bernafsu memburu gol penyamaan menyebabkan anak-anak buah Van Gaal terpaksa bermain secara defensif bagi mempertahan kelebihan satu gol milik mereka, dan saya juga perlu mengakui bahawa ini adalah antara tempoh 30 minit paling panjang dalam hidup saya.

Walaupun ini bukanlah permainan terbaik United dan bukan juga satu kemenangan yang menyakinkan, tetap ada sisi positif sebaik sahaja Lee Mason meniup wisel penamat perlawanan. Pertama, saya gembira melihat Robin Van Persie sudah kembali menjaringkan gol walaupun dalam masa yang sama juga saya masih menunggu sentuhan pemusnah sebenar dari Radamel Falcao. Kedua, saya juga gembira menyaksikan seorang lagi bakat muda dari akademi berjaya diketengahkan dalam saingan liga selepas Tyler Blackett dan pemain yang saya maksudkan sudah tentulah remaja yang baru berusia 19 tahun bernama Paddy McNair. Krisis kecederaan yang melanda benteng pertahannya memaksa Van Gaal membuat panggilan kecemasan kepada Warren Joyce dengan mendatangkan McNair dari skuad remaja United.

Terus terang saya katakan bahawa sebelum ini saya sebenarnya tidak pernah menyaksikan aksi McNair di atas padang (mungkin disebabkan kurang mengikuti perkembangan skuad remaja United) berbanding rakan-rakan seangkatannya seperti Michael Keane, Reece James, Tom Thorpe, James Wilson dan Will Keane yang terlebih dahulu diberikan peluang tampil bersama skuad senior terutamanya dalam perlawanan-perlawanan pra musim sebelum ini. Keputusan Van Gaal memberikan peluang kepada McNair tampil dalam kesebelasan utama Sabtu lalu memeranjatkan saya, kerana pada mulanya saya menyangka bahawa beliau akan meletakkan pemain yang lebih berpengalaman (Marcos Rojo dan Daley Blind) di benteng tengah berikutan ketiadaan Evans dan Blackett.

Keputusan Van Gaal mengubah posisi Rojo sudah boleh dihidu sejak awal tetapi menggandingkan pemain antarabangsa Argentina itu dengan seorang pemain remaja yang tampil buat pertama kali di pentas Liga Perdana benar-benar memeranjatkan saya. Selain McNair, Van Gaal juga sebenarnya memiliki Tom Thorpe, seorang lagi pemain pertahanan tengah muda yang lebih `berpengalaman' berbanding remaja dari Ireland itu. Ketika pasukannya benar-benar memerlukan kemenangan, keputusan Van Gaal memberikan penampilan pertama kepada McNair dalam saingan Liga Perdana adalah satu perjudian berani dan di akhir perlawanan, beliau menikmati hasil dari perjudian berani yang dilakukannya. Kehadiran McNair menerusi persembahan menyakinkan yang dipamerkan remaja ini sepanjang 90 minit aksinya Sabtu lalu sekurang-kurangnya menjadi penawar di sebalik masalah kecederaan demi kecederaan melanda pemain-pemain utama ketika ini.

Meskipun beliau tidak melakukan sebarang tackle sepanjang 90 minit permainan, McNair melakukan clearance paling banyak (13 kali) berbanding mana-mana pemain United dalam perlawanan itu. Bagi seorang remaja berusia 19 tahun yang pertama kali merasai hangatnya perlawanan Liga Perdana, beraksi selama 90 minit di benteng pertahanan, berdepan pula dengan lawan yang mementingkan aspek permainan fizikal dan ditambah dengan tiga mata penuh yang berjaya diraih, saya anggap ini adalah debut sempurna buat McNair. Seperti yang kita tahu, Van Gaal antara jurulatih yang berani memberikan peluang kepada pemain-pemain muda berbakat tampil dalam skuad utamanya. Beliau sudah membuktikan ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar, Bayern Munich, skuad kebangsaan Belanda dan kini Manchester United. Ketika berlangsungnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 yang lalu, Van Gaal mempertaruhkan kelibat Bruno Martins Indi dan Stefan de Vrij (kedua-duanya berusia 22 tahun) di benteng pertahanan De Oranje, dan di Old Trafford beliau memperkenalkan pula kepada penyokong-penyokong The Red Devils siapa itu Tyler Blackett dan Paddy McNair.

Di sebalik isu kecederaan dan penggantungan, masih ada sisi positif yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong United) tersenyum terutamanya selepas melihat bakat muda seperti Blackett dan McNair berjaya diketengahkan. Ketika rakan-rakan saya dari kalangan penyokong Arsenal serta Liverpool bangga menyebut Calum Chambers dan Jon Flanagan sebagai bintang masa depan kelab masing-masing, saya juga mampu mencelah sama kerana kita turut memiliki bintang dalam pembikinan seperti Blackett dan McNair. Selain dari McNair, kelibat Luke Shaw juga wajar diberikan pujian walaupun ini juga merupakan penampilan pertama beliau untuk United dalam perlawanan liga sejak berpindah dari Southampton musim panas lalu. Shaw cukup berani menyusup ke kawasan lawan dengan bola dikakinya ketika melakukan serangan dan pantas turun ke bawah ketika bertahan. Masih terlalu jauh untuk kita membandingkan persembahan Shaw dengan Rafael da Silva, rakan sepasukannya yang berada di posisi berlawanan, tetapi bagi seorang pemain muda yang melakukan penampilan pertama liga untuk pasukan baharu, prestasi keseluruhan Shaw saya anggap lebih daripada memuaskan.

Meskipun diselubungi kelegaan selepas The Red Devils berjaya memungut tiga mata penuh Sabtu lalu, saya agak terkilan dengan layangan kad merah yang diterima Wayne Rooney. Dalam keadaan kelab kehilangan begitu ramai pemain-pemain akibat kecederaan, penggantungan tiga perlawanan yang bakal dilalui Rooney kerana kesilapan yang sepatutnya tidak beliau lakukan pastinya memeningkan lagi kepala Van Gaal. Sebagai pemain berpengalaman dan kini memegang pula peranan kapten pasukan, Rooney sepatutnya lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan pasukan. Selepas bermain baik di babak pertama, memimpin rakan-rakan sepasukan ketika bertahan mahupun ketika menyerang dan berjaya menambah koleksi golnya musim ini, Rooney terpaksa menamatkan perlawanan lebih awal akibat kekasaran tidak sepatutnya yang dilakukan beliau ke atas Stewart Downing. Rooney sudahpun memohon maaf, manakala Van Gaal pula menegaskan walaupun kesilapan Rooney hampir menyebabkan kemenangan terlepas dari genggaman, beliau memberi jaminan lilitan lengan kapten pasukan tetap menjadi milik pemain itu.

Melihat kepada deretan pemain-pemain utamanya yang berada di bilik rawatan selain penggantungan yang diterima Rooney dan Blackett, Van Gaal kini perlu bijak mencari jalan bagaimana mahu memaksimakan kekuatan skuadnya bersandarkan kepada pemain-pemain yang ada. Walaupun ada pihak secara sinis mempertikaikan kemenangan ke atas West Ham, saya tetap gembira dengan tiga mata yang berjaya diraih biarpun seperti yang saya katakan mula-mula tadi, ini bukanlah permainan terbaik United terutamanya apabila mengingatkan kepada krisis kecederaan yang melanda kelab ketika ini. Kemenangan ke atas West Ham tetap penting kerana selepas ini United akan berdepan empat perlawanan sukar (menentang Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City) yang bakal menguji sejauh mana watak sebenar barisan The Red Devils kendalian Van Gaal. Meskipun mencatat kemenangan menyakinkan ketika berdepan Queens Park Rangers, dua perlawanan terakhir menentang Leicester City dan West Ham membuktikan bahawa United masih lagi berada di bawah tahap yang boleh meletakkan mereka sebagai antara pencabar kejuaraan musim ini.

Di awal musim, segalanya seperti tidak berpihak kepada Van Gaal, bermula dari kehilangan seorang demi seorang pemain utamanya akibat kecederaan hinggalah kepada dua layangan kad merah yang diterima Blackett dan Rooney. Faktor ini boleh menjejaskan segala perancangan beliau, tetapi saya yakin selaku pengendali berpengalaman, Van Gaal mampu menangani situasi sulit seperti ini. Kemenangan yang diraih ke atas West Ham bukan sekadar kemenangan biasa, tetapi saya melihat kemenangan ini sebagai dorongan kepada anak-anak buah Van Gaal untuk kembali membuktikan bahawa mereka adalah antara pencabar serius kejuaraan liga musim ini. Everton, West Bromwich, Chelsea dan Manchester City adalah lawan sukar yang perlu dihadapi United selepas ini berdasarkan kepada prestasi semasa mereka. Walau bagaimanapun, saya masih percaya jika Van Gaal terpaksa membawa skuad yang tempang sekalipun ketika berdepan mereka, Roberto Martinez, Alan Irvine, Manuel Pellegrini dan Jose Mourinho  sedar bahawa mereka sebenarnya sedang berdepan dengan harimau yang sedang terluka. Oktober menjanjikan tempoh yang lebih sukar dan sama ada suka ataupun tidak, United terpaksa mengharungi fasa sukar ini. Semoga kemenangan yang dicapai Sabtu lalu bakal menjadi turning point kepada kebangkitan barisan The Red Devils selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

2 ulasan:

  1. Setiap masa dan ketika ada harga tersendiri, Dan akan ternilai pada suatu hari nanti. Kota Rom tidak dibina dalam sehari GGMU!

    BalasPadam