Walaupun sudah hampir seminggu sejak kekalahan kepada
Leicester City, saya masih bingung memikirkan apa sebenarnya yang berlaku ke
atas anak-anak buah Louis Van Gaal di Stadium King Power, Ahad lalu. Sebelum
perlawanan menentang Leicester City, kita mengharapkan agar The Red Devils
meneruskan kebangkitan mereka selepas aksi terpuji yang dipamerkan saat
berdepan Queens Park Rangers (QPR) seminggu sebelum itu. Tidak perlu menuding
jari ke arah Mark Clattenburg (pengadil perlawanan) atas kekalahan yang dialami
United kepada pendatang baharu Liga Perdana itu, kerana apa yang saya harapkan
selepas ini agar Van Gaal memperbaiki beberapa `kerosakan' di dalam skuadnya
jika beliau berhasrat mahu meletakkan kelab selaku antara pencabar kejuaraan
musim ini. Kemenangan besar yang diraih ketika berdepan QPR memberikan kita
harapan tetapi kekalahan kepada Leicester City menyebabkan kita kembali
berfikir adakah perbelanjaan besar yang dilaburkan kelab musim panas lalu bagi
mendapatkan pemain-pemain baharu satu jaminan bahawa skuad kendalian Van Gaal
akan kembali digeruni? Sebagai penyokong, saya hanya mampu berharap agar
kekalahan kepada Leicester City itu menjadi pengajaran dan panduan berguna
kepada Van Gaal bahawa masih banyak lagi 'kerja-kerja' yang perlu beliau
lakukan ke atas skuad yang dimilikinya walaupun beliau sudah berbelanja besar
dengan membawa masuk enam pemain baharu. Van Gaal membelanjakan hampir 160 juta
(Pound) bagi memantapkan skuadnya tanpa membawa seorangpun pemain pertahanan
tengah baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rio Ferdinand dan
Nemanja Vidic.
Ramai pihak sebenarnya musykil dengan tindakan yang
dilakukan Van Gaal ini kerana kelab boleh saya katakan kekurangan pemain
berpengalaman di posisi tersebut selepas pemergian Ferdinand dan Vidic. Jonny
Evans satu-satunya pemain pertahanan tengah paling berpengalaman yang dimiliki
kelab tetapi prestasi turun naik pemain ini sering membimbangkan saya setiap
kali melihat beliau beraksi. Itu belum lagi mengambilkira masalah kecederaan
yang sering melanda Evans, dan terbaharu beliau hanya mampu beraksi selama 30
minit ketika berdepan Leicester City sebelum diusung keluar padang. Melihat
kepada prestasi yang ditunjukkan benteng pertahanan menerusi aksi dalam lima
perlawanan (liga) setakat ini, kebimbangan ramai pihak tentang keputusan Van
Gaal tidak mendapatkan seorang pun pemain pertahanan tengah baharu memang ada
asasnya. Selepas menyaksikan bagaimana kucar-kacirnya pertahanan United pada
aksi mereka di Stadium King Power Ahad lalu, kesimpulan mudah yang dapat saya
buat ialah kelab kini tidak lagi memiliki pemain pertahanan tengah yang mampu
menggerunkan mana-mana penyerang lawan. Pemergian Ferdinand dan Vidic
meninggalkan ruang kosong yang cukup besar untuk diisi dan walaupun saya
mengagumi penampilan Tyler Blackett, beliau masih memerlukan masa untuk menimba
pengalaman sebelum berkembang menjadi seorang pemain pertahanan yang lebih
bagus di masa hadapan.
Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa kelab kini
tidak lagi memiliki pemain pertahanan tengah berpengaruh seperti Ferdinand
ataupun Vidic yang bukan sahaja boleh bertindak sebagai pemimpin di benteng
tetapi juga mampu menghadirkan rasa gerun kepada barisan penyerang lawan. Atas
sebab itu jugalah spekulasi membabitkan minat United terhadap Ron Vlaar kini
timbul kembali selain perkhabaran bahawa kelab juga berminat membawa kembali
Gerard Pique ke Old Trafford walaupun pintu perpindahan pemain (musim sejuk)
akan hanya dibuka dalam tempoh lebih kurang tiga bulan lagi. Seperti yang anda
tahu, musim panas lalu kelab melepaskan tiga pertahanan senior mereka
(Ferdinand, Vidic dan Evra) ke pasukan lain dan sebagai gantinya Van Gaal
membawa masuk Daley Blind, Luke Shaw dan Marcos Rojo (ketiga-tiganya bek kiri)
manakala Blackett pula dinaikkan pangkat
dari skuad remaja ke skuad senior. Ditambah dengan kehadiran Ander Herrera,
Angel Di Maria dan Radamel Falcao, Van Gaal seolah-olah seperti sudah memiliki
barisan yang lengkap, tambahan pula selepas mereka berjaya mencatat kemenangan
bergaya ke atas QPR, yang juga merupakan kemenangan pertama dari empat
perlawanan liga mereka. Walau bagaimanapun panas rupanya tidak berpanjangan
buat kem United dan ketika kita masih lagi membicarakan tentang betapa
lancarnya permainan anak-anak buah Van Gaal ketika berdepan QPR, barisan
Leicester City pula membuatkan kita kembali berpijak di bumi nyata.
Saya sebolehnya tidak lagi mahu bercakap tentang
perlawanan di Stadium King Power itu, tetapi perlawanan menentang Leicester
City adalah pelajaran dan pengajaran terbaik buat Van Gaal kerana selain dari
memiliki rangkaian pemain tengah kreatif dan barisan penggempur menggerunkan,
usaha menguatkan benteng pertahanan juga sepatutnya tidak terlepas dari
perhatian beliau. Ketika ramai pihak meletakkan kelemahan benteng pertahanan
sebagai punca kekalahan di Stadium King Power, pemain-pemain tengah United juga
sepatutnya tidak terlepas daripada sebarang kritikan. Di separuh masa pertama,
barisan tengah United kerap kehilangan bola dan situasi sama berterusan di
babak kedua hingga menyebabkan saya mula terfikir di manakah hilangnya kualiti
kelas dunia yang dimiliki Daley Blind, Angel Di Maria, Ander Herrera dan Juan
Mata? Walaupun perit, saya terpaksa mengakui bahawa Esteban Cambiasso, James
Vardy dan Leonardo Ulloa bermain dengan sangat baik, manakala Nigel Pearson
pula membuktikan bahawa beliau tidak memerlukan pemain-pemain bertaraf bintang
dalam skuadnya, cukup dengan kerja keras ketika di atas padang. Saya berharap
persembahan di bawah tahap sebenar barisan tengah United di Stadium King Power
cuma bersifat sementara dan dengan begitu banyak pilihan yang dimiliki Van Gaal
di posisi tersebut, bahagian tengah saya kira bukanlah masalah yang boleh
memeningkan kepala beliau. Perkara pokoknya kini kembali semula kepada
pembelian pemain yang dilakukan beliau sepanjang musim panas lalu kerana dalam
kesibukan berbelanja, beliau terlupa bahawa benteng pertahanannya juga perlu
diperkuatkan terutamanya dengan kehadiran centre back berpengalaman bagi
mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic.
Ironinya ketika United muncul kelab Eropah paling boros
berbelanja musim panas lalu, mereka pula seolah-olah terlupa untuk melaburkan
wang mereka bagi mendapatkan seorang atau dua centre back baharu bagi
menambah kekuatan di benteng pertahanan. Atau mungkin juga dalam kesibukan
berbelanja, mereka terlupa bahawa Ferdinand serta Vidic kini tidak lagi berada
di Old Trafford dan pengganti dua lagenda itu perlu segera dicari. Selepas
begitu banyak wang dilaburkan, sukar untuk saya mempercayai bagaimana pihak
pengurusan boleh terlepas pandang tentang betapa pentingnya mendapatkan centre
back baharu selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic. Jika Van Gaal
sanggup melakukan pelaburan besar ketika mendapatkan Herrera dan Di Maria bagi
menambah kreativiti bahagian tengah skuadnya serta menambah sengat barisan
penggempurnya dengan mendatangkan Falcao, mengapa beliau seolah-olah berkira
untuk melakukan pelaburan bagi mendapatkan centre back tulen bagi
menambah kekebalan benteng pertahanannya? Adakah sebelum ini Van Gaal yakin
bahawa Jonny Evans, Tyler Blackett, Chris Smalling dan Phil Jones mampu memikul
beban yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic manakala pembelian baharu seperti
Marcos Rojo boleh memikul tugas sebagai centre back jika keadaan
memerlukan beliau mengubah posisi bekas pemain Sporting Lisbon itu?
Membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan pemain-pemain baharu tanpa
menandatangani seorangpun centre back gred A ketika berlakunya
kekosongan di posisi tersebut adalah satu kesilapan besar.
Saya tidak pernah meragui senarai pemain-pemain baharu
yang di tandatangani Van Gaal musim panas lalu, cuma saya berharap keputusan
beliau untuk tidak mendapatkan seorangpun centre back tidak menjejaskan
misi kelab untuk berada di kelompok empat teratas di penghujung musim nanti.
Musim kompetitif baru sahaja bermula dan perjalanan juga masih panjang untuk
diharungi. Semoga Van Gaal cepat belajar dari pengalaman dan salah satunya
ialah mendapatkan centre back kelas atas ketika pintu perpindahan pemain
musim ini bakal dibuka buat kali kedua Januari nanti. Agak merugikan melihat
sebuah pasukan yang memiliki rangkaian pemain tengah kreatif dan barisan
penggempur menggerunkan tetapi benteng pertahanannya pula bocor dan mudah
dibolosi lawan. Bolasepak bukan hanya tentang soal menyerang dan menjaringkan gol
tetapi lebih daripada itu ialah perlunya sebuah pasukan yang solid di
semua posisi bagi mendapatkan kemenangan. "Attack wins you games, defence
wins you titles", masih ingatkah lagi anda dengan kata-kata yang
dilontarkan Sir Alex Ferguson ini? Apa yang diucapkan oleh lagenda ini memang
ada kebenarannya dan selepas United mengharungi lima perlawanan liga, entah
mengapa saya masih merindui kelibat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng
pertahanan United. Mengapa? Kerana The Red Devils ketika ini tidak
memiliki seorangpun commander di bahagian belakang dan centre back
yang boleh menyebabkan rasa gerun kepada mana-mana penyerang lawan sepertimana
yang pernah diberikan oleh Ferdinand dan Vidic selama bertahun-tahun mereka
menyarung jersi kelab. Glory Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan