29 Julai 2015

LUPAKAN RONALDO

“Cristiano Ronaldo Sasaran United Seterusnya”? Tajuk berita ini memang enak didengar tetapi saya berharap anda tidak mudah terpesona dan kembali berpijak di bumi nyata. Saya akui sesiapapun dikalangan penyokong United (termasuk saya) pasti mengharapkan pemenang Ballon d’Or ini kembali menyarung jersi The Red Devils selepas meninggalkan Old Trafford enam tahun yang lalu.

Ronaldo dan Lionel Messi adalah pemain terbaik di planet ini, di mana kehadiran mereka mampu memberikan kesan besar kepada prestasi mana-mana pasukan yang mereka wakili. Real Madrid dan Barca beruntung kerana memiliki dua pemain ini dalam pasukan mereka manakala kita sendiri pernah menyaksikan impak yang diberikan Ronaldo sepanjang beliau bermain untuk United selama enam musim.

Saya akui bolasepak merupakan permainan berpasukan tetapi adakah Real atau Barca pasukan yang sama jika mereka beraksi tanpa kelibat Ronaldo dan Messi? Tanpa ragu-ragu saya akan katakan tidak. Tanpa Ronaldo dan Messi, Real serta Barca masih dominan di La Liga tetapi saya yakin mereka tidak mampu melakukan hal yang sama ketika beraksi di pentas Eropah.

Jadi mana mungkin Florentino Perez mahupun Josep Maria Bartomeu sanggup melepaskan aset paling berharga mereka kepada mana-mana pasukan biar ditawarkan dengan harga setinggi mana sekalipun. Pada usia mencecah 30 tahun, Ronaldo masih lagi sukar disekat, memiliki sepasang kaki yang pantas, bijak menghidu peluang dan naluri pembunuh yang masih tajam.

Saya yakin Ronaldo akan kekal di Santiago Bernabeu dua atau tiga musim lagi sebelum prstasinya mula merosot akibat faktor usia. Ketika itu, barulah Perez (jika beliau masih kekal di kerusi presiden) sanggup melafazkan `talak’ kepada beliau sepertimana nasib yang menimpa Raul Gonzalez dan Iker Casillas sebelum ini.

Meskipun Louis Van Gaal mengatakan beliau memerlukan seorang penyerang berkualiti bagi menggantikan tempat Robin Van Persie dan Radamel Falcao, saya yakin Ronaldo bukanlah pemain yang beliau maksudkan. Misi membawa keluar Ronaldo dari Santiago Bernabeu adalah misi mustahil sekalipun David De Gea dijadikan sebagai pertukaran.

Mengapa? Kerana seperti yang saya sebutkan tadi Ronaldo merupakan aset paling berharga di Santiao Bernabeu sama seperti Messi di Nou Camp. Jadi beliau bukanlah pemain yang Real mahu letakkan dalam pasaran perpindahan pemain. Sebab kedua sudah tentu tentang wang. Berapa banyak yang perlu United belanjakan seandainya Real mahu melepaskan Ronaldo?

Saya tidak fikir kelab akan memecahkan rekod perpindahan dunia hanya semata-mata mahu membawa Ronaldo pulang semula ke Old Trafford. Meskipun Ronaldo masih pemain terbaik di planet ini, adalah sesuatu yang kurang berbaloi jika kelab terpaksa membayar £80 atau £90 juta untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 30 tahun.

United pada pandangan saya sudah memiliki barisan pemain hampir lengkap selepas Van Gaal membawa masuk Bastian Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin, Memphis Depay, Matteo Darmian dan Sergio Romero. Cuma apa yang kurang ialah kreativiti dalam permainan mereka sepertimana yang diakui Van Gaal baru-baru ini.

Walaupun menang kesemua tiga perlawanan pra musim mereka setakat ini, Van Gaal mengakui beliau perlu menambah kreativiti dalam skuadnya. Untuk itu saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian yang bakal beliau lakukan bagi menambah apa yang kurang dalam pasukan sebelum bermulanya cabaran musim baharu.

Pemain mana yang bakal beliau sasarkan selepas ini? Yang pastinya bukan Ronaldo kerana buat masa ini bukan hanya Van Gaal tetapi mana-mana pengurus/jurulatih tidak memiliki peluang walau 1% pun membawa beliau keluar dari Santiago Bernabeu.

Meskipun terdapat beberapa laporan kebelakangan ini yang menyebut tentang rasa tidak puashati Ronaldo terhadap Benitez mahupun Perez, saya nasihatkan anda supaya jangan terbawa-bawa dengan laporan ini kerana akhirnya nanti beliau akan tetap kekal sebagai pemain Real. Apa yang berlaku kepada Sergio Ramos adalah contoh terdekat dan paling baik.

Kesimpulannya, impian mahu menyaksikan Ronaldo kembali ke Old Trafford sebagai pemain United mustahil direalisasikan bukan hanya kerana faktor wang tetapi juga disebabkan keinginan Perez untuk terus mengekalkan beliau di Bernabeu. Biar apa pun yang dilaporkan media, saya percaya Ronaldo tidak akan kemana-mana kerana beliau gembira di sana.

Jika ditakdirkan satu hari nanti Ronaldo meninggalkan Real, itu bukanlah disebabkan kerana beliau memang mahu menyertai pasukan lain tetapi kerana khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan Perez. Persoalannya sekarang adakah ketika itu beliau masih relevan membarisi kesebelasan utama United? Saya rasa tidak…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 Julai 2015

BUKAN SEKADAR AKSI PEMANAS BADAN

Mungkin ada pihak mengatakan kemenangan ke atas Barcelona yang juga merupakan pemenang kejuaraan treble musim lalu bukanlah kemenangan yang penting kerana ia hanyalah perlawanan pra musim bagi kedua-dua pasukan. Ya, saya sedikit sebanyak bersetuju dengan hal itu.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa selaku penyandang trofi Liga Juara-Juara, Barca ada ego yang perlu mereka pertahankan manakala United di bawah kendalian Van Gaal perlu membuktikan bahawa mereka adalah pencabar serius dalam perebutan kejuaraan musim hadapan.

Walaupun sekadar perlawanan pemanas badan pra musim, pertembungan United dan Barca awal pagi tadi sebenarnya agak menarik untuk kita saksikan. Ada aksi berbalas serangan, ada kesungguhan dari pemain kedua-dua pasukan untuk keluar sebagai pemenang serta gol-gol menarik dihasilkan sepanjang 90 minit permainan.

Menang tetap menang walaupun ini sekadar perlawanan pra musim apatah lagi kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang dilabel sebagai `Kelab Terbaik Dunia’ ketika ini. Ada juga yang mengatakan ketiadaan Lionel Messi dan Neymar memberikan kesan kepada persembahan Barca tapi jangan lupakan juga bahawa United dibarisi pemain-pemain muda sepanjang 30 minit terakhir perlawanan.

Paddy McNair, Jesse Lingard, Andreas Pereira, James Wilson, Sam Johnstone dan Tyler Blackett saya harap dapat belajar sesuatu dari perlawanan ini manakala Adnan Januzaj pula membuktikan bahawa beliau adalah antara generasi pemain muda yang bakal menjadi tonggak kelab dimasa hadapan.

Selain kemenangan serta gol yang dihasilkan Wayne Rooney, Lingard dan Januzaj, ada beberapa sisi menarik yang dapat kita ambil dari perlawanan United/Barca awal pagi tadi. Paling menarik ialah kehadiran semula sepasang tangan milik David de Gea di gawang United.

Selepas dua perlawanan pra musim di Amerika Syarikat, inilah kali pertama De Gea beraksi mengawal gawang United selepas pulih dari kecederaan. Aksinya menentang Barca membuktikan kepada kita betapa pentingnya sosok bernama David de Gea ini di gawang.

Di sebalik khabar angin bahawa beliau bakal meninggalkan Old Trafford, De Gea sebaliknya berjaya menggagalkan beberapa percubaan bahaya lawan terutamanya menerusi Sergi Roberto di minit awal permainan dan Luis Suarez. Sepanjang 60 minit permainan, gawang United yang dikawal De Gea gagal ditembusi hinggalah beliau digantikan Sam Johnstone di babak kedua.

Kita tidak pasti apakah kesudahan masa depan De Gea bersama United tetapi melihat kepada sumbangan beliau sejak beberapa musim kebelakangan ini, kelab pada pandangan saya perlu melakukan apa yang terdaya untuk memujuk beliau supaya meletakkan tandatangannya di atas kontrak baharu.

Selain De Gea, saya juga cukup tertarik dengan prestasi yang ditunjukkan Ashley Young dalam perlawanan ini. Mengingatkan kepada prestasi Young sepanjang musim lalu, siapa sangka bahawa beliau pernah dilabel pemain paling flop oleh penyokong-penyokong United ketika kelab di bawah era David Moyes.

Jika setahun lalu ramai di antara kita mahukan agar Young diletakkan dalam senarai pemain yang bakal dijual, tetapi kini kita terpaksa mengakui bahawa sumbangan dan kehadirannya dalam pasukan memang diperlukan. Kehadiran Van Gaal saya anggap berjaya menyelamatkan karier Young di Old Trafford dan tidak keterlaluan juga jika saya katakan selain Rooney serta De Gea, Young adalah pemain terbaik United musim lalu.

Ketika beberapa nama besar yang didatangkan Van Gaal musim panas tahun lalu seperti Angel Di Maria dan Radamel Falcao gagal menyerlah, Young sebaliknya pantas menyesuaikan diri dan cepat faham dengan falsafah bolasepak yang diterapkan Van Gaal.

Awal pagi tadi kehadirannya di sebelah kiri bersama-sama Luke Shaw sering memberikan masalah kepada benteng Barca terutamanya menerusi larian-larian dan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya. Meskipun masih dilanda dengan ketidak tentuan berhubung kontraknya yang hanya berbaki setahun, saya yakin Van Gaal akan melakukan apa yang perlu untuk mengekalkan pemain ini di Old Trafford.

Perlawanan-perlawanan pra musim adalah waktu terbaik untuk pemain-pemain muda menikmati peluang penampilan bersama skuad senior dan itulah yang dinikmati Blackett, Lingard, McNair, Johnstone, Pereira, Januzaj dan Wilson sepanjang berada di Amerika Syarikat kali ini.

Semoga generasi pemain-pemain muda United ini boleh belajar sesuatu dari aksi mereka ketika menentang Club America, San Jose Earthquake dan Barca manakala Paris St Germain pula menanti selepas ini. Walaupun ini bukanlah perlawanan kompetitif, peluang berdepan pemain-pemain kelas dunia terutamanya dari Barca dan PSG saya anggap satu fasa pembelajaran yang cukup bagus buat mereka.

Pertembungan menentang lawan seperti Barca tetap menarik untuk disaksikan walaupun ini sekadar perlawanan pra musim. Jadi atas sebab itulah mengapa ramai penyokong-penyokong United sanggup mengorbankan kuota internet mereka dan berjaga diawal pagi bagi menyaksikan perlawanan ini.

Selain aksi menentang kelab terbaik dunia seperti Barca, ada faktor lain sebenarnya yang mendorong saya menyaksikan perlawanan ini dan mungkin ada di kalangan anda juga begitu. Faktor yang saya maksudkan ialah sosok pemain bernama Pedro Rodriguez.

Menyaksikan gerakan-gerakan licik dan bijaknya dari sebelah kiri, fahamlah saya mengapa United tiba-tiba sahaja dikaitkan dengan pemain ini. Jika benar Pedro mahu meninggalkan Nou Camp dan United berjaya mendapatkan khidmatnya, saya yakin beliau mampu meletakkan dirinya sebagai key player dalam barisan Van Gaal.

Jika diberikan pilihan, saya lebih memilih Pedro berbanding Zlatan Ibrahimovic untuk ditandatangani kelab musim panas ini dan selepas menyaksikan aksi beliau awal pagi tadi mungkin anda juga bersetuju dengan pilihan saya. Adakah ini aksi terakhir Pedro bersama Barca? Ya, saya harap begitu.

Kemenangan keatas Barca adalah satu petanda baik sebelum bermulanya musim baharu dan bagus untuk moral para pemain. Kemenangan ini mungkin tidak begitu penting tetapi siapa tahu perlawanan ini juga satu permulaan kepada pertembungan lebih penting antara kedua-dua kelab selepas ini. Jika itu terjadi, saya berharap biarlah ianya berlaku di San Siro 28 Mei nanti…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

22 Julai 2015

13 TAHUN YANG LALU....

Pada 22 Julai, 13 tahun yang lalu Sir Alex Ferguson berjaya menandatangani salah seorang prospek bintang masa depan England yang akhirnya muncul lagenda di barisan belakang The Red Devils. Pemain yang dimaksudkan sudah tentu idola saya, Rio Ferdinand.

Rio bukan sekadar pemain pertahanan yang tugasnya mengawal mana-mana penyerang berbahaya pasukan lawan atau melakukan bentesan-bentesan keras bagi mematikan gerakan serangan lawan, tetapi lebih dari itu beliau antara pemain pertahanan penuh karisma ketika beraksi di atas padang.

Dianugerahkan dengan susuk tubuh yang tegap dan tinggi, kekuatan fizikal mengagumkan, unggul dalam perebutan bola di udara dan bijak meletakkan dirinya di posisi yang betul ketika mematahkan serangan lawan, Rio adalah pertahanan idaman buat mana-mana pasukan ketika zaman emasnya.

Akademi West Ham antara akademi bolasepak yang sentiasa berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk bolasepak England, dan Rio salah seorang dari  produk yang dilahirkan dari akademi tersebut selain Tony Cottee, Paul Ince, Michael Carrick, Jermain Defoe, Joe Cole, Glenn Johnson dan sudah tentu Frank Lampard.

Pada usia 16 tahun, Rio memulakan karier profesionalnya bersama West Ham United di mana beliau melakukan penampilan sulungnya bersama skuad senior The Hammers pada 5 Mei 1996 selepas masuk menggantikan Tony Cottee ketika berdepan Sheffield Wednesday di gelanggang sendiri.

Ketika itu Rio antara pemain muda berbakat di England jadi tidak hairanlah mengapa kelibatnya sering sahaja diintai oleh pencari bakat dari kelab-kelab ternama Liga Perdana. United sebenarnya pernah menunjukkan minat terhadap Ferdinand sebelum mereka akhirnya beralih kepada Henning Berg pada musim panas 1997.

Prestasi cemerlang Rio bersama West Ham menarik minat Leeds United yang ketika itu sering diletakkan antara pencabar kejuaraan Liga Perdana. Pada Januari 2000, Leeds terpaksa membayar €26 juta untuk membawa Rio beraksi di Elland Road sekaligus mencipta rekod perpindahan England.

Bukan itu sahaja, wang sebanyak €26 juta yang dibelanjakan Leeds menyaksikan Rio muncul pemain pertahanan termahal dunia ketika itu. Bagaimanapun karier Rio hanya bertahan satu setengah musim sahaja di Elland Road apabila United melancarkan percubaan kali kedua untuk mendapatkan tandatangannya pada 2002.

Selepas lima tahun, Rio bukan lagi pemain yang sama sejak kali pertama United menunjukkan minat mereka terhadap beliau dan Sir Alex mengakui akan hakikat itu. Jika beliau mahukan salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia mengawal barisan belakang skuadnya, jalan terbaik ialah dengan berbelanja besar.

€46 juta yang dibelanjakan United menyaksikan Rio sekali lagi muncul pemain termahal England dan juga pertahanan termahal dunia. Akhirnya pada 22 Julai 2002 Rio secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain United. Rekod sebagai pemain termahal dunia yang dipegang Rio bertahan selama 12 tahun sebelum akhirnya dipecahkan David Luiz.

Walaupun keputusan Sir Alex berbelanja besar untuk seorang pemain pertahanan dikritik ramai pihak ketika itu, Rio akhirnya berjaya membuktikan bahawa nilai €46 juta yang dibelanjakan kelab untuk khidmatya lebih daripada berbaloi.

Di Old Trafford, Rio bertahan selama 12 musim dan selama itu jugalah beliau menjadi tonggak di benteng pertahanan serta berjaya membantu kelab memenangi kejuaraan demi kejuaraan.

Sepanjang kariernya bersama United, Rio bermain sebanyak 455 perlawanan, menjaringkan lapan gol, menjulang enam kejuaraan Liga Perdana, satu kejuaraan Piala FA, enam kejuaraan Perisai Komuniti, satu kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Kelab-kelab Dunia.

Selama tempoh 12 musim itu jugalah kita disajikan dengan aksi dari seorang pemain pertahanan penuh bergaya, memiliki keyakinan cukup tinggi ketika bola berada dikakinya, berkemahiran dan langsung tiada simpati kepada mana-mana penyerang lawan.

Walaupun gaya permainan Rio agak keras namun beliau bukanlah seorang pemain pertahanan yang gemar melakukan terjahan secara membabi buta. Rio bijak menunggu detik terbaik ketika melakukan terjahan, jadi tidak hairanlah mengapa hanya sekali beliau dilayangkan kad merah sepanjang 312 penampilannya di Liga Perdana untuk United.

Atas sebab itu jugalah mengapa Sir Alex menamakan Rio dan bukannya Nemanja Vidic sebagai pilihan bersama Jaap Stam di benteng pertahanan dalam kesebelasan terbaik United pilihan beliau.

Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya dan begitulah juga halnya dengan Rio. Selepas 12 musim mengerah keringat dan menabur bakti untuk United, beliau akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada khalayak di Old Trafford pada 2014 dan menyertai Queens Park Rangers sebelum bersara dari karier profesionalnya.

Jika 13 tahun lalu ramai yang mempertikaikan tindakan Sir Alex memecahkan rekod perpindahan England saat beliau menandatangani Rio, tapi akhirnya mereka terpaksa mengakui bahawa Rio adalah antara pembelian terbaik pernah dilakukan pengendali lagenda itu.

Walaupun sudah setahun meninggalkan kelab dan baru-baru ini beliau mengumumkan persaraanya, saya tidak akan pernah melupakan kelibat dan sumbangannya ketika bersama United. Tidak sekali-kali juga saya akan melupakan aksinya `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri ketika zaman kemuncaknya.

Keras, lantang, licik, klinikal, bergaya dan penuh karisma dalam permainannya, hanya itulah perkataan paling tepat untuk saya berikan kepada Rio Gavin Ferdinand. Salah seorang pemain pertahanan terbaik pernah saya saksikan bermain untuk The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

20 Julai 2015

`PEMBELIAN MENGEJUTKAN'...SIAPAKAH PEMAIN YANG DIMAKSUDKAN VAN GAAL?

“Pembelian Mengejutkan”, dua perkataan ringkas yang keluar dari mulut Louis Van Gaal beberapa hari lalu tetapi sudah cukup membuatkan ramai penyokong-penyokong Manchester United gelisah, teruja atau apa sahaja perkataan yang sesuai bagi menggambarkan betapa tidak sabarnya mereka menanti siapakah `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan beliau.

Meskipun sudah berbelanja £80 juta untuk empat pemain baharu setakat ini (Bastian Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin, Memphis Depay dan Matteo Darmian), Van Gaal sebaliknya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau sudah berpuashati dengan skuad dimilikinya dan mahu berhenti dari berbelanja.

Selepas bertahun-tahun terbiasa dengan polisi pembelian pemain yang diamalkan Sir Alex Ferguson sepanjang eranya selaku bos di Old Trafford, terus terang saya katakan bahawa saya agak janggal apabila menyaksikan begitu banyaknya wang yang dibelanjakan Van Gaal untuk membawa nama-nama besar seperti Angel Di Maria, Radamel Falcao, Marcos Rojo, Daley Blind dan kini Bastian Schweinsteiger ke Theatre of Dreams.

Berbalik kepada `Pembelian Mengejutkan’ yang bakal dilakukan Van Gaal, saya tertanya-tanya pemain yang bermain di posisi mana bakal beliau bawa masuk nanti sebagai kejutan kepada kita. United pada pandangan saya sudah memiliki kekuatan yang diperlukan di bahagian tengah dengan tambahan midfielder baharu seperti Schweinsteiger dan Schneiderlin.

Walau bagaimanapun penyokong-penyokong United melihat kekuatan di bahagian tengah perlu diseimbangkan dengan kekebalan di benteng pertahanan dan bahagian hadapan pula perlu lebih tajam bagi memburu gol.

Sejak era David Moyes, benteng pertahanan United sering dijadikan sasaran kritikan manakala bahagian hadapan pula semakin hilang ketajaman walaupun musim lalu Van Gaal memiliki trio penyerang berprofil tinggi dalam pasukannya seperti Van Persie, Falcao dan Rooney selaku penggempur.

Dengan perkhabaran bahawa Jonny Evans sudah diberikan lampu hijau untuk meninggalkan kelab manakala Robin Van Persie serta Radamel Falcao pula sudah menyertai Fenerbahce dan Chelsea, saya percaya fokus utama Van Gaal selepas ini ialah menguatkan dua posisi tersebut (pertahanan dan serangan).

Paling kritikal ialah di bahagian serangan kerana selepas Van Persie dan Falcao melangkah keluar, kita hanya memiliki Rooney selaku penyerang paling berpengalaman dan boleh diharapkan bagi memburu gol, manakala James Wilson pula perlukan beberapa tahun lagi untuk menjadi penyerang yang lebih matang.

Kembalinya Javier Hernandez ke pangkuan kelab selepas semusim menyertai Real Madrid sebagai pemain pinjaman tidak langsung meredakan kebimbangan saya tentang masalah ketajaman di bahagian hadapan.

Jadi sudah tentu saya berharap `Pembelian Mengejutkan’ yang bakal dilakukan Van Gaal nanti ialah seorang penyerang berprofil tinggi yang boleh menggantikan tempat Van Persie serta Falcao selain boleh membentuk kombinasi ampuh bersama Rooney di bahagian serangan.

Menerusi laporan-laporan media yang dibaca saban hari, kita sekurang-kurang boleh meramal siapa `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan Van Gaal sambil berharap jika benar rundingan sudah pun dilakukan dengan kelab pemain terbabit, urusan perpindahan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Siapakah sebenarnya `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan Van Gaal? Untuk itu mari kita lihat senarai pemain yang paling berpotensi untuk menjawab teka teki tersebut berdasarkan laporan-laporan yang diterbitkan media sejak kebelakangan ini.


PEDRO RODRIGUEZ

Di kedudukan pertama, saya memilih penyerang ini sebagai pemain paling berkemungkinan bagi menjawab teka teki `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal. Di bawah kendalian Luis Enrique, Rodriguez jarang diberikan kesempatan untuk tampil dalam kesebelasan utama apabila beliau hanya bermula sebagai starter sebanyak 15 kali dari 35 penampilan keseluruhan dalam saingan liga musim lalu.

Dengan kejohanan Euro bakal berlangsung dalam tempoh tidak sampai setahun, situasi ini sebenarnya boleh menjejaskan peluang Rodriguez disenaraikan dalam skuad kebangsaan Sepanyol ke Perancis nanti. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau kini mahukan agar pihak pengurusan Barca meletakkan dirinya dalam pasaran perpindahan pemain.

Jangan lupakan juga bahawa Rodriguez sebenarnya memiliki klausa perpindahan £22 juta dalam kontraknya dan jika benar Van Gaal mahu membawa pemain ini beraksi di Old Trafford, United hanya perlu membayar jumlah tersebut untuk membawanya keluar dari Nou Camp.

Selepas melihat kepada semua situasi yang saya sebutkan tadi, maka atas sebab itulah mengapa Rodriguez saya senaraikan di kedudukan teratas sebagai pemain paling berpotensi bagi `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal musim panas ini. Kehadiran Rodriguez yang sudah memenangi pelbagai medal kejuaraan bersama Barca dan skuad kebangsaan Sepanyol saya anggap pelengkap kepada barisan hadapan United.

EDINSON CAVANI

Cavani antara pemain yang sering disebut-sebut menjadi perhatian utama Van Gaal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun berjaya menjaringkan 31 gol dalam semua kejohanan musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay ini nampaknya masih belum mampu keluar dari bayang-bayang Zlatan Ibrahimovic di kota Paris.

Musim hadapan saya percaya Ibrahimovic akan terus memikul tanggungjawab sebagai penggempur utama Paris St Germain manakala Cavani pula kekal dengan status selaku `Penyerang Nombor Dua’. Jika beliau mahu keluar dari bayang-bayang Ibrahimovic, Cavani tiada pilihan lain selain meninggalkan juara Ligue 1 itu dan United boleh menawarkan tempat kepada beliau selaku penyerang utama.

Faktor Angel Di Maria juga sebenarnya turut memainkan peranan jika perpindahan Cavani mahu direalisasikan. Seperti yang kita tahu, musim lalu Di Maria pernah mendedahkan bahawa kelab yang beliau ingin sertai sebaik meninggalkan Real Madrid ialah PSG dan bukannya United.

Dengan perkhabaran terbaru bahawa PSG berminat mendapatkan tandatangan Di Maria, Van Gaal boleh menggunakan kesempatan ini dengan menjadikan Cavani sebagai pertukaran. Jika ini berlaku `impian’ Di Maria akhirnya tercapai manakala Van Gaal pula berjaya meletakkan salah seorang penyerang terbaik dunia di barisan hadapan skuadnya.

HARRY KANE

Selepas mempamerkan aksi memukau dengan menjaringkan gol secara konsisten untuk Tottenham Hotspurs musim lalu, nama Harry Kane tiba-tiba menjadi sasaran beberapa kelab besar di Liga Perdana dan United tidak terkecuali. Melihat kepada jumlah wang yang terpaksa dibayar Manchester City ke atas Raheem Sterling, saya percaya nilai Kane juga sudah tentu melepasi paras £40 juta.

Jika diambil kira kenyataan Kane sebelum ini bahawa beliau gembira berada di White Hart Lane dan mahu kekal di sana, peluang United mendapatkan khidmat bintang kelahiran akademi Spurs ini tipis. Ditambah pula dengan polisi Daniel Levy berkaitan penjualan bintang-bintang terbaiknya kepada pesaing domestik bakal menyukarkan lagi usaha Van Gaal jika beliau mahu mendapatkan khidmat Kane.

Dalam hal Kane, wang £40 juta bukanlah masalah buat United, tetapi polisi dan sentimen Spurs serta para penyokongnya terhadap pemain ini bakal menyukarkan usaha mana-mana kelab gergasi di Liga Perdana membawa Kane keluar dari White Hart Lane.

ALEXANDRE LACAZETTE

Olympique Lyon memang tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu menjual Lacazette tetapi Herbert Fournier juga pernah menyebut jika ada mana-mana kelab sanggup membayar €50 atau €60 juta, beliau sedia mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berusia 24 tahun ini.

27 gol dari 31 penampilan liga membolehkan beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu sekaligus mengetepikan nama-nama besar lain seperti Zlatan Ibrahimovic dan Edinson Cavani. Jadi tidak hairanlah mengapa Lacazette muncul antara nama paling `panas’ sepanjang pasaran perpindahan kali ini.

Saya meminati gaya permainan Lacazette, terpesona dengan kelicikannya menyusup di belakang pertahanan lawan dan cara bagaimana beliau menjaringkan gol. Atas sebab itulah saya berharap ada usaha dari Van Gaal untuk mendapatkan khidmat pemain ini. Jika berjaya, Lacazette adalah `Pembelian Mengejutkan’ bagi saya.

THOMAS MULLER

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Bastian Schweinsteiger, fokus United sekali lagi terarah kepada Bayern Munich apabila kini giliran Thomas Muller pula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Jika benar apa yang dilaporkan media tentang pemburuan United ke atas Muller, ia saya anggap satu berita yang memang mengejutkan.

Meskipun Muller diberitakan kurang berpuas hati dengan peranan yang dimainkannya dalam pasukan sejak Pep Guardiola menggantikan Jupp Heynckes, kita juga terpaksa mengakui bahawa beliau masih lagi aset berharga buat juara Bundesliga itu.

Atas sebab itulah mengapa saya melihat peluang membawa pemain ini menyarung jersi United cukup tipis (jika benar ada usaha mendapatkan khidmat beliau) meskipun Bayern sebelumnya `bermurah hati’ melepaskan Schweinsteiger ke Old Trafford.

Walaupun peluang mendapatkan khidmat pemain sebagus Muller saya anggap tipis, namun saya masih berharap ada keajaiban dan kejutan bakal berlaku. Sepertimana Schweini, Muller juga ada hubungan yang baik dengan Van Gaal ketika beliau mengendalikan Bayern pada 2009.

Saya berharap faktor (hubungan baik antara Van Gaal dan Muller) ini boleh membantu selain laporan bahawa United juga sedia membayar berapa sahaja nilai yang diletakkan Bayern ke atas pemain ini. Adakah wang sebanyak £120 juta mampu memaksa Bayern melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka ke Old Trafford?

Akhir sekali mungkin ada yang mengatakan mengapa saya tidak meletakkan Karim Benzema sebagai pemain berpotensi dalam `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal sedangkan pemain ini juga antara nama `panas’ yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

Jawabnya mudah kerana Benzema sudah dikaitkan dengan minat United ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex Ferguson lagi. Bukan rahsia juga bahawa Sir Alex merupakan peminat Benzema sejak beliau masih bersama Lyon sebelum akhirnya memilih berpindah ke Santiago Bernabeu berbanding Old Trafford.

Perancangan Rafa Benitez yang mahu meletakkan Cristiano Ronaldo sebagai penyerang tengah juga seolah-olah isyarat bahawa tempoh keemasan Benzema bersama Los Blancos bakal berakhir. Jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika musim panas ini Real meletakkan beliau dalam senarai pemain yang ingin dijual.

Cuma apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kelab mana bakal dipilih Benzema jika beliau meninggalkan Santiago Bernabeu nanti. Arsene Wenger antara pengendali yang diberitakan serius mahu mendapatkan tandatangan Benzema, tetapi jika kali ini beliau memilih Old Trafford selepas 6 tahun lalu pernah menolak tawaran Sir Alex, perpindahan ini bagi saya bukanlah satu `Pembelian Mengejutkan’…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

16 Julai 2015

SELAMAT JALAN DAN TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA

Tandatanya tentang masa hadapan Robin Van Persie di Old Trafford akhirnya terjawab kerana sepertimana yang kita tahu beliau sudahpun secara rasmi menyertai Fenerbahce di Liga Bolasepak Turki (Super Lig).

Agak menyedihkan apabila memikirkan penyerang hebat seperti beliau hanya menikmati tempoh singkat bersama kelab selepas ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Arsenal pada musim panas 2012.

Tidak perlu dinafikan bahawa Van Persie antara penyerang terbaik pernah kita saksikan beraksi di Liga Perdana tetapi malangnya beliau hanya mampu menjulang 4 trofi kejuaraan sepanjang 11 musim memperagakan aksi di England.

Di Highbury (kemudiannya Stadium Emirates), Van Persie hanya memenangi kejuaraan Piala FA (musim 2004/05) dan Perisai Komuniti (2004), faktor utama yang mendorong beliau mengucapkan selamat tinggal kepada The Gunners selepas lapan musim bersama mereka.

Dua medal kejuaraan yang dimenangi beliau bersama Arsenal selain pengiktirafan individu yang diraihnya selaku Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana dan Anugerah Kasut Emas 2011/12 tetap gagal memberikan kepuasan kepada Van Persie.

Meskipun sudah diiktiraf sebagai lagenda oleh penyokong-penyokong The Gunners, Van Persie mengejutkan dunia bolasepak di England apabila mengambil keputusan meninggalkan Arsenal dan menyertai United yang juga merupakan seteru domestik mereka.

Juga agak mengejutkan bagi saya kerana Sir Alex ketika eranya jarang benar mengeluarkan cek untuk mendapatkan seorang pemain yang sudah berumur seperti Van Persie walaupun pemain ini memiliki reputasi hebat bersama Arsenal.

Keputusan Van Persie (meninggalkan Arsenal) pada 2012 agak mengejutkan tetapi mudah difahami. Selepas lapan musim bermain di England dan dengan usia beliau pula yang sudah menjangkau 29 tahun, Van Persie kian terdesak untuk memenuhi impiannya mahu menjulang trofi Liga Perdana.

Van Persie faham jika beliau mahu merealisasikan impiannya (menjulang trofi Liga Perdana), jalan terbaik ialah dengan meninggalkan Stadium Emirates di mana beliau melihat United adalah kelab paling realistik yang dapat memenuhi impian besarnya itu.

Hadir di Old Trafford dengan reputasi selaku penjaring terbanyak (musim 2011/12), gandingan beliau bersama Wayne Rooney ketika itu saya anggap jelmaan kepada kombinasi pembunuh Andy Cole dan Dwight Yorke di era 90an.

Kebimbangan awal lawan tentang kehadiran Van Persie di Old Trafford nyata berasas apabila gol demi gol dihasilkan beliau sepanjang musim 2012/13 hingga berjaya membuka laluan buat The Red Devils mempertahankan kejuaraan Liga Perdana yang juga merupakan kejuaraan ke-20 dalam sejarah kelab

Impian peribadi Van Persie untuk mengucup trofi sulung Liga Perdananya tercapai selepas lapan musim berkelana di England sejak beliau meninggalkan Fayernoord pada 2004. Lebih manis, Van Persie turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak musim tersebut dengan 26 gol.

Persaraan Sir Alex bukan sahaja mendatangkan kesan besar kepada prestasi keseluruhan United musim berikutnya tetapi juga emosi Van Persie. Van Persie di katakan pemain United paling kecewa sebaik maestro itu mengumumkan bahawa musim 2012/13 adalah musim terakhirnya selaku pengendali kelab.

Di bawah kendalian David Moyes, United bukan lagi pasukan yang digeruni meskipun sebelum itu mereka menang kejuaraan liga dua musim berturut-turut (2011/12 dan 2012/13). Bukan hanya prestasi kelab terjejas malah ketajaman Van Persie juga turut menurun apabila beliau hanya mampu menjaringkan 12 gol dari 21 penampilan liga.

Saya akui bahawa kecederaan antara penyumbang utama mengapa Van Persie kurang produktif dalam menghasilkan gol buat United. Bagaimanapun kita juga perlu mengakui bahawa aksinya di atas padang sepanjang era Moyes tidak menggambarkan bahawa inilah penyerang yang pernah menjaringkan 56 gol dalam tempoh dua musim.

Kehadiran Louis Van Gaal pada mulanya diharapkan mampu menggilap kembali naluri pembunuh Van Persie, apatah lagi beliau juga merupakan penyerang kepercayaan pengendali itu ketika melatih skuad kebangsaan Belanda.

Bagaimana kecederaan sekali lagi menjadi musuh utama beliau hingga menganggu dan membataskan penampilannya di atas padang. Musim lalu Van Persie hanya mampu menjaringkan 10 gol dan menyumbang 2 assist dari 27 penampilan.

Jika diambilkira statistik jaringan Van Persie sepanjang musim lalu, saya berpendapat beliau sebenarnya cukup bernasib baik kerana masih berpeluang tampil sebanyak 27 perlawanan liga.

Semuanya disebabkan United ketika itu tiada pilihan lain di barisan serangan selepas Danny Welbeck dilepaskan ke Arsenal manakala Radamel Falcao yang didatangkan dari Monaco secara pinjaman turut bergelut dengan prestasi sendiri.

Menyaksikan sumbangan dan persembahan Van Persie sepanjang dua musim terakhir, saya percaya ramai di antara kita sudah boleh menghidu bahawa jodoh pemain ini bersama United tidak akan berpanjangan.

Mungkin disebabkan faktor umur dan beberapa siri kecederaan yang beliau alami, Van Persie seperti yang kita lihat musim lalu mula hilang kelajuan, sering teragak-agak ketika bola berada dikakinya manakala gelecekannya mudah dibaca pertahanan lawan.

Ketika Sir Alex menandatangani beliau pada 2012, ramai percaya bahawa United merupakan kelab terakhir buat Van Persie sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada karier bolasepak profesionalnya.

Bagaimanapun itu semua tidak berlaku, hubungan antara Van Persie dan United kini tinggal sejarah untuk diingati selepas Van Gaal memutuskan bahawa penyerang berusia 31 tahun itu terkeluar dari perancangannya untuk musim 2015/16.

Meskipun hanya tiga musim bersama kelab, tetap ada momen menarik yang ditinggalkan Van Persie sebagai tanda kehadiran beliau di Old Trafford. Sudah tentu sepakan percuma beliau yang menewaskan Joe Hart di penghujung permainan ketika pertemuan dramatik derby Manchester pada 9 Disember 2012 di Old Trafford akan sentiasa segar dalam ingatan kita.

Jangan lupakan juga jaringan hatriknya ke gawang Aston Villa pada April 2013 yang memberikan kejuaraan liga ke-20 buat United. Sepanjang tiga musim bersama kelab, Van Persie bermain sebanyak 86 perlawanan (liga) dan menjaringkan 48 gol.

Agak malang buat kita kerana hanya sempat menyaksikan penyerang hebat ini menyarung jersi United untuk tiga musim sahaja. Saya berharap Şükrü Saracoğlu Stadium adalah destinasi yang tepat untuk beliau tujui bagi meneruskan kariernya selepas meninggalkan Theatre of Dreams.

Melihat kepada sambutan yang diberikan penyokong-penyokong Fenerbahce terhadap beliau sebaik menjejakkan kaki di bumi Turki, tahulah kita bahawa beliau memang sentiasa dihargai dan berada di tempat yang tepat. Untuk tiga musim, 86 penampilan dan 48 gol yang beliau hasilkan, terima kasih atas segalanya Robin Van Persie. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

13 Julai 2015

SELAMAT DATANG KE OLD TRAFFORD...JUARA DUNIA!!!

Akhirnya impian selama bertahun-tahun saya menjadi kenyataan selepas Manchester United mengesahkan secara rasmi bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Bastian Schweinsteiger dari Bayern Munich.

Pada mulanya saya tidak begitu menghiraukan rumour tentang perpindahan  kapten Jerman ini ke Old Trafford memandangkan berita yang sama juga pernah dimainkan oleh media beberapa tahun dulu ketika kelab masih di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Jadi apabila kali ini timbul sekali lagi desas desus yang mengatakan minat Louis Van Gaal terhadap pemain yang pada zaman remajanya hampir menyertai sukan ski ini, saya tidak lagi mahu `terjebak’ dan menaruh harapan tinggi.

Walau bagaimanapun kelmarin, penantian saya selama bertahun-tahun mahu menyaksikan Schweini berpindah ke Old Trafford menemui noktah selepas United dan Bayern mencapai kesepakatan berkaitan isu perpindahan bintang tengah ini.

Perpindahan Schweini agak mengejutkan tetapi tidak menghairankan. Mengejutkan kerana saya tidak menyangka betapa mudahnya Bayern membenarkan pemenang medal Piala Dunia 2014 ini meninggalkan Allianz Arena hanya selapas setahun mereka kehilangan Toni Kroos.

Dan tidak menghairankan juga jika kita melihat hubungan baik antara Van Gaal dan Schweini sebenarnya antara faktor yang membuka jalan perpindahan beliau ke Old Trafford berjaya direalisasikan.

Van Gaal adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk bakat-bakat muda Bayern seperti Holger Badstuber, Thomas Muller dan Schweini sendiri ke skuad utama mereka ketika beliau menggantikan Jurgen Klinsmann pada 2009.

Akhirnya percaturan Van Gaal terhadap bintang-bintang muda Jerman ketika itu berhasil apabila beliau berjaya mengemudi Bayern menjulang kejuaraan berganda dengan memenangi trofi Bundesliga dan DFB Pokal (musim 2009/10).

Seperti yang saya sebutkan tadi, Schweini merupakan sasaran lama United, sejak kelab masih di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson lagi. Bagaimanapun musim lalu akibat dari masalah kecederaan, penampilan Schweini bersama Bayern juga terbatas.

Musim lalu Schweini hanya tampil sebagai starter sebanyak 15 kali dari 20 penampilan keseluruhannya dalam saingan Bundesliga. Mungkin atas faktor (kecederaan) inilah mengapa Pep Guardiola mudah membenarkan Schweini berpindah ke pasukan lain tambahan pula beliau hanya memiliki baki setahun kontrak bersama juara Bundesliga itu.

Franck Ribery dan Arjen Robben merupakan idola di Allianz Arena tetapi populariti mereka tidak akan pernah sekali-kali mengatasi Schweini di mata penyokong-penyokong Bayern. Kehilangan fussballgott (dewa bolasepak) ini sebenarnya begitu dirasai penyokong-penyokong Bayern apatah lagi mereka sudah melihat Schweini membesar dan matang bersama Die Roten sejak usia remaja.

Hal sama pernah dirasai para Madridista ketika mereka ditinggalkan Raul Gonzalez (dan terbaru Iker Cassillas), khalayak di Turin menangis ketika Allesandro del Piero mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus atau saat penyokong-penyokong Liverpool menyaksikan aksi terakhir Steven Gerrard bersama The Reds.

Jadi tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong Bayern melancarkan `perang’ terhadap Guardiola sebaik mengetahui secara rasmi bahawa idola mereka bakal menyertai pasukan lain musim hadapan.

#DankeBasti dan #PepOut di Twitter adalah respons pantas betapa kecewanya mereka terhadap pemergian Schweini, malah lebih daripada itu ada yang menganggap bahawa kebodohan Guardiola bakal membawa Bayern menuju kehancuran.

Sama seperti penyokong-penyokong Bayern, saya juga pada mulanya percaya Schweini tidak akan kemana-mana, yakin yang beliau akan kekal di Allianz Arena hingga hari terakhir aksinya sebagai pemain sepertimana yang pernah dilakukan Ryan Giggs untuk United.

Bagaimanapun apa yang ditakuti mereka (penyokong-penyokong Bayern) benar-benar berlaku, rumour yang pada mulanya hanya diangap mainan media berakhir kepada realiti dan penamatnya, Schweini rasmi meninggalkan Allianz Arena.

Kini banyak persoalan yang timbul mengapa Bayern begitu mudah melepaskan antara pemain terbaik mereka kepada pasukan lain. Seperti yang saya sebutkan tadi, penyokong-penyokong Bayern menunding kepada Guardiola sebagai penyebab paling utama perginya Schweini dari Allianz Arena.

Secara kasarnya kita melihat keputusan Guardiola melepaskan Schweini mungkin disebabkan limpahan pemain tengah yang beliau miliki selain faktor kecergasan Schweini sendiri hingga membataskan penampilannya bersama Die Roten musim lalu.

Benarkah begitu? Ya, dari sudut kecergasan saya sendiri agak bimbang dengan situasi Schweini. Saya pernah sebutkan pada artikel sebelum ini bahawa saya tidak yakin Van Gaal akan melaburkan sejumlah wang membawa masuk pemain yang sudah mencecah usia 30 tahun manakala kecergasannya pula diragui.

Van Gaal sendiri sudah berdepan pengalaman ketika beliau mendapatkan Radamel Falcao dari Monaco secara pinjaman musim lalu. Falcao yang baru pulih dari kecederaan lutut teruk gagal memberikan sumbangan terbaiknya kepada kelab.

Walaupun pada mulanya kita begitu teruja berbicara tentang kedatangan Falcao ke Old Trafford, tetapi sebaik musim berakhir kita terpaksa menelan hakikat bahawa pemain yang memiliki reputasi tinggi seperti El Tigre juga adakalanya gagal memenuhi jangkaan.

Adakah Schweini akan berdepan nasib yang sama sepertimana apa yang pernah dilalui Falcao musim lalu? Saya berharap Schweini tidak akan menjadi `Falcao ke-2’ dan saya juga berharap di Theatre of Dreams nanti, Schweini akan sekali lagi mempamerkan aksi heroic nya sepertimana ketika beliau membantu Jerman memenangi Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

Pemain kelas dunia seperti Schweini sepatutnya tidak berdepan masalah menyertai mana-mana kelab terbaik di dunia dan saya berharap kualiti yang ada pada beliau mampu meletakkan United kembali ke landasan kejuaraan pada saingan musim 2015/16 ini.

Pemain tengah seperti Schweini saya anggap cukup cocok dengan falsafah possession football Van Gaal. Baik ketika bersama skuad kebangsaan mahupun Bayern, Schweini bermain sedikit kedalam tetapi faktor itu tidak pernah membataskan kemampuan beliau ketika menyerang.

Musim lalu, Schweini menjaringkan 5 gol dan menyumbang 4 assist dari 20 perlawanan liga. Walaupun Ander Herrera dan Marouane Fellaini mengatasi Schweini dari segi jumlah jaringan (6 gol), tetapi dengan hanya 20 perlawanan yang dimainkan Schweini musim lalu, nisbah assist dan jaringan yang dihasilkan beliau lebih baik berbanding Herrera dan Fellaini.

Dalam hal melakukan umpanan pula, Schweini jelas lebih unggul berbanding Herrera dan Fellaini yang bermain sebanyak 26 dan 27 perlawanan musim lalu. Schweini melakukan 1136 umpanan tepat sepanjang musim 2014/15 sementara Fellaini pula 939 dan Herrera 1071.

Ada sedikit persamaan corak permainan antara Schweini dan Michael Carrick kerana kedua-dua mereka tidak terlalu bergantung kepada keupayaan melakukan tackle bagi menghentikan pergerakkan lawan. Musim lalu Schweini hanya melakukan 24 takle bersih manakala Carrick pula 19.

Bagaimanapun United memiliki pemain seperti Fellaini dan Herrera yang memiliki kekuatan dari sudut itu (melakukan tackle) bagi mengimbangi kehadiran Schweini di atas padang. Atau mungkin juga jika segalanya berjalan lancar, kehadiran Morgan Schneiderlin dengan 79 tackle bersihnya boleh menjadi pasangan ideal buat Schweini. Siapa tahu?

Kini impian saya selama bertahun-tahun mahu menyaksikan Schweini menyarung jersi United menjadi kenyataan. Sudah tentu sebagai peminat pasukan kebangsaan Jerman dan United, kehadiran pemain dengan kualiti seperti Schweini adalah hadiah terbaik buat saya sebelum berlangsungnya sepakmula musim baharu nanti.

Bagi penyokong-penyokong Bayern, mereka berasa janggal menyaksikan tiada lagi kelibat Schweini bersama Die Roten selepas 17 tahun beliau menabur bakti bersama gergasi Bundesliga itu. Saya faham perasaan mereka kerana Schweini bukan sahaja lagenda di sana tetapi juga pemain yang hebat. Mereka berasa janggal dengan ketiadaan Schweini tetapi kita gembira menyambut kedatangannya di Old Trafford. Danke Basti kerana menyertai kami...Glory Glory Manchester United!!! - AJ