Mungkin ada pihak mengatakan kemenangan ke
atas Barcelona yang juga merupakan pemenang kejuaraan treble musim lalu bukanlah kemenangan yang penting kerana ia
hanyalah perlawanan pra musim bagi kedua-dua pasukan. Ya, saya sedikit sebanyak
bersetuju dengan hal itu.
Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita
juga perlu mengakui bahawa selaku penyandang trofi Liga Juara-Juara, Barca ada
ego yang perlu mereka pertahankan manakala United di bawah kendalian Van Gaal
perlu membuktikan bahawa mereka adalah pencabar serius dalam perebutan kejuaraan
musim hadapan.
Walaupun sekadar perlawanan pemanas badan pra
musim, pertembungan United dan Barca awal pagi tadi sebenarnya agak menarik untuk
kita saksikan. Ada aksi berbalas serangan, ada kesungguhan dari pemain
kedua-dua pasukan untuk keluar sebagai pemenang serta gol-gol menarik
dihasilkan sepanjang 90 minit permainan.
Menang tetap menang walaupun ini sekadar
perlawanan pra musim apatah lagi kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang
dilabel sebagai `Kelab Terbaik Dunia’ ketika ini. Ada juga yang mengatakan
ketiadaan Lionel Messi dan Neymar memberikan kesan kepada persembahan Barca
tapi jangan lupakan juga bahawa United dibarisi pemain-pemain muda sepanjang 30
minit terakhir perlawanan.
Paddy McNair, Jesse Lingard, Andreas Pereira,
James Wilson, Sam Johnstone dan Tyler Blackett saya harap dapat belajar sesuatu
dari perlawanan ini manakala Adnan Januzaj pula membuktikan bahawa beliau
adalah antara generasi pemain muda yang bakal menjadi tonggak kelab dimasa
hadapan.
Selain kemenangan serta gol yang dihasilkan Wayne
Rooney, Lingard dan Januzaj, ada beberapa sisi menarik yang dapat kita ambil
dari perlawanan United/Barca awal pagi tadi. Paling menarik ialah kehadiran
semula sepasang tangan milik David de Gea di gawang United.
Selepas dua perlawanan pra musim di Amerika
Syarikat, inilah kali pertama De Gea beraksi mengawal gawang United selepas
pulih dari kecederaan. Aksinya menentang Barca membuktikan kepada kita betapa
pentingnya sosok bernama David de Gea ini di gawang.
Di sebalik khabar angin bahawa beliau bakal
meninggalkan Old Trafford, De Gea sebaliknya berjaya menggagalkan beberapa
percubaan bahaya lawan terutamanya menerusi Sergi Roberto di minit awal
permainan dan Luis Suarez. Sepanjang 60 minit permainan, gawang United yang
dikawal De Gea gagal ditembusi hinggalah beliau digantikan Sam Johnstone di
babak kedua.
Kita tidak pasti apakah kesudahan masa depan
De Gea bersama United tetapi melihat kepada sumbangan beliau sejak beberapa
musim kebelakangan ini, kelab pada pandangan saya perlu melakukan apa yang
terdaya untuk memujuk beliau supaya meletakkan tandatangannya di atas kontrak
baharu.
Selain De Gea, saya juga cukup tertarik
dengan prestasi yang ditunjukkan Ashley Young dalam perlawanan ini. Mengingatkan
kepada prestasi Young sepanjang musim lalu, siapa sangka bahawa beliau pernah
dilabel pemain paling flop oleh
penyokong-penyokong United ketika kelab di bawah era David Moyes.
Jika setahun lalu ramai di antara kita mahukan
agar Young diletakkan dalam senarai pemain yang bakal dijual, tetapi kini kita
terpaksa mengakui bahawa sumbangan dan kehadirannya dalam pasukan memang
diperlukan. Kehadiran Van Gaal saya anggap berjaya menyelamatkan karier Young
di Old Trafford dan tidak keterlaluan juga jika saya katakan selain Rooney
serta De Gea, Young adalah pemain terbaik United musim lalu.
Ketika beberapa nama besar yang didatangkan
Van Gaal musim panas tahun lalu seperti Angel Di Maria dan Radamel Falcao gagal
menyerlah, Young sebaliknya pantas menyesuaikan diri dan cepat faham dengan
falsafah bolasepak yang diterapkan Van Gaal.
Awal pagi tadi kehadirannya di sebelah kiri
bersama-sama Luke Shaw sering memberikan masalah kepada benteng Barca terutamanya
menerusi larian-larian dan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya. Meskipun
masih dilanda dengan ketidak tentuan berhubung kontraknya yang hanya berbaki
setahun, saya yakin Van Gaal akan melakukan apa yang perlu untuk mengekalkan
pemain ini di Old Trafford.
Perlawanan-perlawanan pra musim adalah waktu
terbaik untuk pemain-pemain muda menikmati peluang penampilan bersama skuad
senior dan itulah yang dinikmati Blackett, Lingard, McNair, Johnstone, Pereira,
Januzaj dan Wilson sepanjang berada di Amerika Syarikat kali ini.
Semoga generasi pemain-pemain muda United ini
boleh belajar sesuatu dari aksi mereka ketika menentang Club America, San Jose
Earthquake dan Barca manakala Paris St Germain pula menanti selepas ini. Walaupun
ini bukanlah perlawanan kompetitif, peluang berdepan pemain-pemain kelas dunia terutamanya
dari Barca dan PSG saya anggap satu fasa pembelajaran yang cukup bagus buat
mereka.
Pertembungan menentang lawan seperti Barca
tetap menarik untuk disaksikan walaupun ini sekadar perlawanan pra musim. Jadi
atas sebab itulah mengapa ramai penyokong-penyokong United sanggup mengorbankan
kuota internet mereka dan berjaga diawal pagi bagi menyaksikan perlawanan ini.
Selain aksi menentang kelab terbaik dunia
seperti Barca, ada faktor lain sebenarnya yang mendorong saya menyaksikan
perlawanan ini dan mungkin ada di kalangan anda juga begitu. Faktor yang saya
maksudkan ialah sosok pemain bernama Pedro Rodriguez.
Menyaksikan gerakan-gerakan licik dan
bijaknya dari sebelah kiri, fahamlah saya mengapa United tiba-tiba sahaja
dikaitkan dengan pemain ini. Jika benar Pedro mahu meninggalkan Nou Camp dan United
berjaya mendapatkan khidmatnya, saya yakin beliau mampu meletakkan dirinya
sebagai key player dalam barisan Van Gaal.
Jika diberikan pilihan, saya lebih memilih
Pedro berbanding Zlatan Ibrahimovic untuk ditandatangani kelab musim panas ini
dan selepas menyaksikan aksi beliau awal pagi tadi mungkin anda juga bersetuju dengan
pilihan saya. Adakah ini aksi terakhir Pedro bersama Barca? Ya, saya harap
begitu.
Kemenangan keatas Barca adalah satu petanda
baik sebelum bermulanya musim baharu dan bagus untuk moral para pemain.
Kemenangan ini mungkin tidak begitu penting tetapi siapa tahu perlawanan ini
juga satu permulaan kepada pertembungan lebih penting antara kedua-dua kelab
selepas ini. Jika itu terjadi, saya berharap biarlah ianya berlaku di San Siro
28 Mei nanti…Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan