Akhirnya impian selama bertahun-tahun saya
menjadi kenyataan selepas Manchester United mengesahkan secara rasmi bahawa
mereka berjaya mendapatkan khidmat Bastian Schweinsteiger dari Bayern Munich.
Pada mulanya saya tidak begitu menghiraukan rumour tentang perpindahan kapten Jerman ini ke Old Trafford
memandangkan berita yang sama juga pernah dimainkan oleh media beberapa tahun
dulu ketika kelab masih di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.
Jadi apabila kali ini timbul sekali lagi
desas desus yang mengatakan minat Louis Van Gaal terhadap pemain yang pada
zaman remajanya hampir menyertai sukan ski ini, saya tidak lagi mahu `terjebak’
dan menaruh harapan tinggi.
Walau bagaimanapun kelmarin, penantian saya selama
bertahun-tahun mahu menyaksikan Schweini berpindah ke Old Trafford menemui
noktah selepas United dan Bayern mencapai kesepakatan berkaitan isu perpindahan
bintang tengah ini.
Perpindahan Schweini agak mengejutkan tetapi
tidak menghairankan. Mengejutkan kerana saya tidak menyangka betapa mudahnya
Bayern membenarkan pemenang medal Piala Dunia 2014 ini meninggalkan Allianz
Arena hanya selapas setahun mereka kehilangan Toni Kroos.
Dan tidak menghairankan juga jika kita
melihat hubungan baik antara Van Gaal dan Schweini sebenarnya antara faktor
yang membuka jalan perpindahan beliau ke Old Trafford berjaya direalisasikan.
Van Gaal adalah individu yang
bertanggungjawab membawa masuk bakat-bakat muda Bayern seperti Holger
Badstuber, Thomas Muller dan Schweini sendiri ke skuad utama mereka ketika
beliau menggantikan Jurgen Klinsmann pada 2009.
Akhirnya percaturan Van Gaal terhadap
bintang-bintang muda Jerman ketika itu berhasil apabila beliau berjaya
mengemudi Bayern menjulang kejuaraan berganda dengan memenangi trofi Bundesliga
dan DFB Pokal (musim 2009/10).
Seperti yang saya sebutkan tadi, Schweini
merupakan sasaran lama United, sejak kelab masih di bawah bimbingan Sir Alex
Ferguson lagi. Bagaimanapun musim lalu akibat dari masalah kecederaan,
penampilan Schweini bersama Bayern juga terbatas.
Musim lalu Schweini hanya tampil sebagai starter sebanyak 15 kali dari 20
penampilan keseluruhannya dalam saingan Bundesliga. Mungkin atas faktor (kecederaan)
inilah mengapa Pep Guardiola mudah membenarkan Schweini berpindah ke pasukan
lain tambahan pula beliau hanya memiliki baki setahun kontrak bersama juara
Bundesliga itu.
Franck Ribery dan Arjen Robben merupakan
idola di Allianz Arena tetapi populariti mereka tidak akan pernah sekali-kali
mengatasi Schweini di mata penyokong-penyokong Bayern. Kehilangan fussballgott (dewa bolasepak) ini
sebenarnya begitu dirasai penyokong-penyokong Bayern apatah lagi mereka sudah
melihat Schweini membesar dan matang bersama Die Roten sejak usia remaja.
Hal sama pernah dirasai para Madridista ketika mereka ditinggalkan
Raul Gonzalez (dan terbaru Iker Cassillas), khalayak di Turin menangis ketika
Allesandro del Piero mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus atau saat
penyokong-penyokong Liverpool menyaksikan aksi terakhir Steven Gerrard bersama The Reds.
Jadi tidak hairanlah mengapa
penyokong-penyokong Bayern melancarkan `perang’ terhadap Guardiola sebaik
mengetahui secara rasmi bahawa idola mereka bakal menyertai pasukan lain musim
hadapan.
#DankeBasti dan #PepOut di Twitter adalah respons pantas betapa kecewanya mereka
terhadap pemergian Schweini, malah lebih daripada itu ada yang menganggap
bahawa kebodohan Guardiola bakal membawa Bayern menuju kehancuran.
Sama seperti penyokong-penyokong Bayern, saya
juga pada mulanya percaya Schweini tidak akan kemana-mana, yakin yang beliau
akan kekal di Allianz Arena hingga hari terakhir aksinya sebagai pemain
sepertimana yang pernah dilakukan Ryan Giggs untuk United.
Bagaimanapun apa yang ditakuti mereka
(penyokong-penyokong Bayern) benar-benar berlaku, rumour yang pada mulanya hanya diangap mainan media berakhir kepada
realiti dan penamatnya, Schweini rasmi meninggalkan Allianz Arena.
Kini banyak persoalan yang timbul mengapa
Bayern begitu mudah melepaskan antara pemain terbaik mereka kepada pasukan lain.
Seperti yang saya sebutkan tadi, penyokong-penyokong Bayern menunding kepada Guardiola
sebagai penyebab paling utama perginya Schweini dari Allianz Arena.
Secara kasarnya kita melihat keputusan
Guardiola melepaskan Schweini mungkin disebabkan limpahan pemain tengah yang
beliau miliki selain faktor kecergasan Schweini sendiri hingga membataskan
penampilannya bersama Die Roten musim
lalu.
Benarkah begitu? Ya, dari sudut kecergasan
saya sendiri agak bimbang dengan situasi Schweini. Saya pernah sebutkan pada
artikel sebelum ini bahawa saya tidak yakin Van Gaal akan melaburkan sejumlah wang
membawa masuk pemain yang sudah mencecah usia 30 tahun manakala kecergasannya pula
diragui.
Van Gaal sendiri sudah berdepan pengalaman
ketika beliau mendapatkan Radamel Falcao dari Monaco secara pinjaman musim
lalu. Falcao yang baru pulih dari kecederaan lutut teruk gagal memberikan
sumbangan terbaiknya kepada kelab.
Walaupun pada mulanya kita begitu teruja
berbicara tentang kedatangan Falcao ke Old Trafford, tetapi sebaik musim
berakhir kita terpaksa menelan hakikat bahawa pemain yang memiliki reputasi
tinggi seperti El Tigre juga
adakalanya gagal memenuhi jangkaan.
Adakah Schweini akan berdepan nasib yang sama
sepertimana apa yang pernah dilalui Falcao musim lalu? Saya berharap Schweini
tidak akan menjadi `Falcao ke-2’ dan saya juga berharap di Theatre of Dreams nanti, Schweini akan sekali lagi mempamerkan aksi
heroic nya sepertimana ketika beliau
membantu Jerman memenangi Piala Dunia di Brazil tahun lalu.
Pemain kelas dunia seperti Schweini
sepatutnya tidak berdepan masalah menyertai mana-mana kelab terbaik di dunia
dan saya berharap kualiti yang ada pada beliau mampu meletakkan United kembali
ke landasan kejuaraan pada saingan musim 2015/16 ini.
Pemain tengah seperti Schweini saya anggap
cukup cocok dengan falsafah possession
football Van Gaal. Baik ketika bersama skuad kebangsaan mahupun Bayern,
Schweini bermain sedikit kedalam tetapi faktor itu tidak pernah membataskan
kemampuan beliau ketika menyerang.
Musim lalu, Schweini menjaringkan 5 gol dan
menyumbang 4 assist dari 20
perlawanan liga. Walaupun Ander Herrera dan Marouane Fellaini mengatasi
Schweini dari segi jumlah jaringan (6 gol), tetapi dengan hanya 20 perlawanan
yang dimainkan Schweini musim lalu, nisbah assist
dan jaringan yang dihasilkan beliau lebih baik berbanding Herrera dan Fellaini.
Dalam hal melakukan umpanan pula, Schweini
jelas lebih unggul berbanding Herrera dan Fellaini yang bermain sebanyak 26 dan
27 perlawanan musim lalu. Schweini melakukan 1136 umpanan tepat sepanjang musim
2014/15 sementara Fellaini pula 939 dan Herrera 1071.
Ada sedikit persamaan corak permainan antara
Schweini dan Michael Carrick kerana kedua-dua mereka tidak terlalu bergantung
kepada keupayaan melakukan tackle
bagi menghentikan pergerakkan lawan. Musim lalu Schweini hanya melakukan 24 takle bersih manakala Carrick pula 19.
Bagaimanapun United memiliki pemain seperti Fellaini
dan Herrera yang memiliki kekuatan dari sudut itu (melakukan tackle) bagi mengimbangi kehadiran
Schweini di atas padang. Atau mungkin juga jika segalanya berjalan lancar, kehadiran
Morgan Schneiderlin dengan 79 tackle
bersihnya boleh menjadi pasangan ideal buat Schweini. Siapa tahu?
Kini impian saya selama bertahun-tahun mahu
menyaksikan Schweini menyarung jersi United menjadi kenyataan. Sudah tentu sebagai
peminat pasukan kebangsaan Jerman dan United, kehadiran pemain dengan kualiti
seperti Schweini adalah hadiah terbaik buat saya sebelum berlangsungnya
sepakmula musim baharu nanti.
Bagi penyokong-penyokong Bayern, mereka berasa
janggal menyaksikan tiada lagi kelibat Schweini bersama Die Roten selepas 17 tahun beliau menabur bakti bersama gergasi
Bundesliga itu. Saya faham perasaan mereka kerana Schweini bukan sahaja lagenda
di sana tetapi juga pemain yang hebat. Mereka berasa janggal dengan ketiadaan
Schweini tetapi kita gembira menyambut kedatangannya di Old Trafford. Danke Basti kerana menyertai kami...Glory
Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan