“Pembelian Mengejutkan”, dua perkataan
ringkas yang keluar dari mulut Louis Van Gaal beberapa hari lalu tetapi sudah
cukup membuatkan ramai penyokong-penyokong Manchester United gelisah, teruja
atau apa sahaja perkataan yang sesuai bagi menggambarkan betapa tidak sabarnya
mereka menanti siapakah `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan beliau.
Meskipun sudah berbelanja £80 juta untuk
empat pemain baharu setakat ini (Bastian Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin,
Memphis Depay dan Matteo Darmian), Van Gaal sebaliknya tidak langsung
menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau sudah berpuashati dengan skuad
dimilikinya dan mahu berhenti dari berbelanja.
Selepas bertahun-tahun terbiasa dengan polisi
pembelian pemain yang diamalkan Sir Alex Ferguson sepanjang eranya selaku bos
di Old Trafford, terus terang saya katakan bahawa saya agak janggal apabila
menyaksikan begitu banyaknya wang yang dibelanjakan Van Gaal untuk membawa
nama-nama besar seperti Angel Di Maria, Radamel Falcao, Marcos Rojo, Daley
Blind dan kini Bastian Schweinsteiger ke Theatre
of Dreams.
Berbalik kepada `Pembelian Mengejutkan’ yang
bakal dilakukan Van Gaal, saya tertanya-tanya pemain yang bermain di posisi
mana bakal beliau bawa masuk nanti sebagai kejutan kepada kita. United pada
pandangan saya sudah memiliki kekuatan yang diperlukan di bahagian tengah
dengan tambahan midfielder baharu
seperti Schweinsteiger dan Schneiderlin.
Walau bagaimanapun penyokong-penyokong United
melihat kekuatan di bahagian tengah perlu diseimbangkan dengan kekebalan di
benteng pertahanan dan bahagian hadapan pula perlu lebih tajam bagi memburu
gol.
Sejak era David Moyes, benteng pertahanan
United sering dijadikan sasaran kritikan manakala bahagian hadapan pula semakin
hilang ketajaman walaupun musim lalu Van Gaal memiliki trio penyerang berprofil
tinggi dalam pasukannya seperti Van Persie, Falcao dan Rooney selaku
penggempur.
Dengan perkhabaran bahawa Jonny Evans sudah
diberikan lampu hijau untuk meninggalkan kelab manakala Robin Van Persie serta
Radamel Falcao pula sudah menyertai Fenerbahce dan Chelsea, saya percaya fokus
utama Van Gaal selepas ini ialah menguatkan dua posisi tersebut (pertahanan dan
serangan).
Paling kritikal ialah di bahagian serangan
kerana selepas Van Persie dan Falcao melangkah keluar, kita hanya memiliki
Rooney selaku penyerang paling berpengalaman dan boleh diharapkan bagi memburu
gol, manakala James Wilson pula perlukan beberapa tahun lagi untuk menjadi
penyerang yang lebih matang.
Kembalinya Javier Hernandez ke pangkuan kelab
selepas semusim menyertai Real Madrid sebagai pemain pinjaman tidak langsung
meredakan kebimbangan saya tentang masalah ketajaman di bahagian hadapan.
Jadi sudah tentu saya berharap `Pembelian
Mengejutkan’ yang bakal dilakukan Van Gaal nanti ialah seorang penyerang
berprofil tinggi yang boleh menggantikan tempat Van Persie serta Falcao selain
boleh membentuk kombinasi ampuh bersama Rooney di bahagian serangan.
Menerusi laporan-laporan media yang dibaca
saban hari, kita sekurang-kurang boleh meramal siapa `Pembelian Mengejutkan’
yang dimaksudkan Van Gaal sambil berharap jika benar rundingan sudah pun
dilakukan dengan kelab pemain terbabit, urusan perpindahan dapat diselesaikan
dalam tempoh terdekat.
Siapakah sebenarnya `Pembelian Mengejutkan’
yang dimaksudkan Van Gaal? Untuk itu mari kita lihat senarai pemain yang paling
berpotensi untuk menjawab teka teki tersebut berdasarkan laporan-laporan yang
diterbitkan media sejak kebelakangan ini.
PEDRO
RODRIGUEZ
Di kedudukan pertama, saya memilih penyerang
ini sebagai pemain paling berkemungkinan bagi menjawab teka teki `Pembelian
Mengejutkan’ Van Gaal. Di bawah kendalian Luis Enrique, Rodriguez jarang
diberikan kesempatan untuk tampil dalam kesebelasan utama apabila beliau hanya
bermula sebagai starter sebanyak 15
kali dari 35 penampilan keseluruhan dalam saingan liga musim lalu.
Dengan kejohanan Euro bakal berlangsung dalam
tempoh tidak sampai setahun, situasi ini sebenarnya boleh menjejaskan peluang Rodriguez
disenaraikan dalam skuad kebangsaan Sepanyol ke Perancis nanti. Jadi tidak
hairanlah mengapa beliau kini mahukan agar pihak pengurusan Barca meletakkan
dirinya dalam pasaran perpindahan pemain.
Jangan lupakan juga bahawa Rodriguez
sebenarnya memiliki klausa perpindahan £22 juta dalam kontraknya dan jika benar
Van Gaal mahu membawa pemain ini beraksi di Old Trafford, United hanya perlu
membayar jumlah tersebut untuk membawanya keluar dari Nou Camp.
Selepas melihat kepada semua situasi yang
saya sebutkan tadi, maka atas sebab itulah mengapa Rodriguez saya senaraikan di
kedudukan teratas sebagai pemain paling berpotensi bagi `Pembelian Mengejutkan’
Van Gaal musim panas ini. Kehadiran Rodriguez yang sudah memenangi pelbagai
medal kejuaraan bersama Barca dan skuad kebangsaan Sepanyol saya anggap pelengkap
kepada barisan hadapan United.
EDINSON
CAVANI
Cavani antara pemain yang sering
disebut-sebut menjadi perhatian utama Van Gaal dalam tempoh beberapa bulan
kebelakangan ini. Walaupun berjaya menjaringkan 31 gol dalam semua kejohanan
musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay ini nampaknya masih belum mampu
keluar dari bayang-bayang Zlatan Ibrahimovic di kota Paris.
Musim hadapan saya percaya Ibrahimovic akan
terus memikul tanggungjawab sebagai penggempur utama Paris St Germain manakala
Cavani pula kekal dengan status selaku `Penyerang Nombor Dua’. Jika beliau mahu
keluar dari bayang-bayang Ibrahimovic, Cavani tiada pilihan lain selain
meninggalkan juara Ligue 1 itu dan United boleh menawarkan tempat kepada beliau
selaku penyerang utama.
Faktor Angel Di Maria juga sebenarnya turut
memainkan peranan jika perpindahan Cavani mahu direalisasikan. Seperti yang
kita tahu, musim lalu Di Maria pernah mendedahkan bahawa kelab yang beliau
ingin sertai sebaik meninggalkan Real Madrid ialah PSG dan bukannya United.
Dengan perkhabaran terbaru bahawa PSG
berminat mendapatkan tandatangan Di Maria, Van Gaal boleh menggunakan
kesempatan ini dengan menjadikan Cavani sebagai pertukaran. Jika ini berlaku
`impian’ Di Maria akhirnya tercapai manakala Van Gaal pula berjaya meletakkan
salah seorang penyerang terbaik dunia di barisan hadapan skuadnya.
HARRY
KANE
Selepas mempamerkan aksi memukau dengan
menjaringkan gol secara konsisten untuk Tottenham Hotspurs musim lalu, nama Harry
Kane tiba-tiba menjadi sasaran beberapa kelab besar di Liga Perdana dan United
tidak terkecuali. Melihat kepada jumlah wang yang terpaksa dibayar Manchester
City ke atas Raheem Sterling, saya percaya nilai Kane juga sudah tentu melepasi
paras £40 juta.
Jika diambil kira kenyataan Kane sebelum ini
bahawa beliau gembira berada di White Hart Lane dan mahu kekal di sana, peluang
United mendapatkan khidmat bintang kelahiran akademi Spurs ini tipis. Ditambah
pula dengan polisi Daniel Levy berkaitan penjualan bintang-bintang terbaiknya
kepada pesaing domestik bakal menyukarkan lagi usaha Van Gaal jika beliau mahu
mendapatkan khidmat Kane.
Dalam hal Kane, wang £40 juta bukanlah
masalah buat United, tetapi polisi dan sentimen Spurs serta para penyokongnya
terhadap pemain ini bakal menyukarkan usaha mana-mana kelab gergasi di Liga
Perdana membawa Kane keluar dari White Hart Lane.
ALEXANDRE
LACAZETTE
Olympique Lyon memang tidak pernah
mengeluarkan kenyataan mahu menjual Lacazette tetapi Herbert Fournier juga
pernah menyebut jika ada mana-mana kelab sanggup membayar €50 atau €60 juta,
beliau sedia mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berusia 24 tahun ini.
27 gol dari 31 penampilan liga membolehkan
beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu sekaligus
mengetepikan nama-nama besar lain seperti Zlatan Ibrahimovic dan Edinson
Cavani. Jadi tidak hairanlah mengapa Lacazette muncul antara nama paling
`panas’ sepanjang pasaran perpindahan kali ini.
Saya meminati gaya permainan Lacazette, terpesona
dengan kelicikannya menyusup di belakang pertahanan lawan dan cara bagaimana
beliau menjaringkan gol. Atas sebab itulah saya berharap ada usaha dari Van
Gaal untuk mendapatkan khidmat pemain ini. Jika berjaya, Lacazette adalah
`Pembelian Mengejutkan’ bagi saya.
THOMAS
MULLER
Selepas berjaya mendapatkan khidmat Bastian
Schweinsteiger, fokus United sekali lagi terarah kepada Bayern Munich apabila
kini giliran Thomas Muller pula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
Jika benar apa yang dilaporkan media tentang pemburuan United ke atas Muller, ia
saya anggap satu berita yang memang mengejutkan.
Meskipun Muller diberitakan kurang berpuas
hati dengan peranan yang dimainkannya dalam pasukan sejak Pep Guardiola
menggantikan Jupp Heynckes, kita juga terpaksa mengakui bahawa beliau masih
lagi aset berharga buat juara Bundesliga itu.
Atas sebab itulah mengapa saya melihat
peluang membawa pemain ini menyarung jersi United cukup tipis (jika benar ada
usaha mendapatkan khidmat beliau) meskipun Bayern sebelumnya `bermurah hati’
melepaskan Schweinsteiger ke Old Trafford.
Walaupun peluang mendapatkan khidmat pemain
sebagus Muller saya anggap tipis, namun saya masih berharap ada keajaiban dan
kejutan bakal berlaku. Sepertimana Schweini, Muller juga ada hubungan yang baik
dengan Van Gaal ketika beliau mengendalikan Bayern pada 2009.
Saya berharap faktor (hubungan baik antara
Van Gaal dan Muller) ini boleh membantu selain laporan bahawa United juga sedia
membayar berapa sahaja nilai yang diletakkan Bayern ke atas pemain ini. Adakah
wang sebanyak £120 juta mampu memaksa Bayern melepaskan seorang lagi pemain
terbaik mereka ke Old Trafford?
Akhir sekali mungkin ada yang mengatakan
mengapa saya tidak meletakkan Karim Benzema sebagai pemain berpotensi dalam
`Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal sedangkan pemain ini juga antara nama `panas’
yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
Jawabnya mudah kerana Benzema sudah dikaitkan
dengan minat United ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex Ferguson lagi.
Bukan rahsia juga bahawa Sir Alex merupakan peminat Benzema sejak beliau masih
bersama Lyon sebelum akhirnya memilih berpindah ke Santiago Bernabeu berbanding
Old Trafford.
Perancangan Rafa Benitez yang mahu meletakkan
Cristiano Ronaldo sebagai penyerang tengah juga seolah-olah isyarat bahawa
tempoh keemasan Benzema bersama Los
Blancos bakal berakhir. Jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika musim
panas ini Real meletakkan beliau dalam senarai pemain yang ingin dijual.
Cuma apa yang menjadi persoalan sekarang
ialah kelab mana bakal dipilih Benzema jika beliau meninggalkan Santiago
Bernabeu nanti. Arsene Wenger antara pengendali yang diberitakan serius mahu
mendapatkan tandatangan Benzema, tetapi jika kali ini beliau memilih Old
Trafford selepas 6 tahun lalu pernah menolak tawaran Sir Alex, perpindahan ini bagi saya
bukanlah satu `Pembelian Mengejutkan’…Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan