Pada 22 Julai, 13 tahun yang lalu Sir Alex
Ferguson berjaya menandatangani salah seorang prospek bintang masa depan
England yang akhirnya muncul lagenda di barisan belakang The Red Devils. Pemain yang dimaksudkan sudah tentu idola saya, Rio
Ferdinand.
Rio bukan sekadar pemain pertahanan yang
tugasnya mengawal mana-mana penyerang berbahaya pasukan lawan atau melakukan
bentesan-bentesan keras bagi mematikan gerakan serangan lawan, tetapi lebih
dari itu beliau antara pemain pertahanan penuh karisma ketika beraksi di atas
padang.
Dianugerahkan dengan susuk tubuh yang tegap
dan tinggi, kekuatan fizikal mengagumkan, unggul dalam perebutan bola di udara
dan bijak meletakkan dirinya di posisi yang betul ketika mematahkan serangan
lawan, Rio adalah pertahanan idaman buat mana-mana pasukan ketika zaman
emasnya.
Akademi West Ham antara akademi bolasepak yang
sentiasa berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk bolasepak England,
dan Rio salah seorang dari produk yang
dilahirkan dari akademi tersebut selain Tony Cottee, Paul Ince, Michael
Carrick, Jermain Defoe, Joe Cole, Glenn Johnson dan sudah tentu Frank Lampard.
Pada usia 16 tahun, Rio memulakan karier
profesionalnya bersama West Ham United di mana beliau melakukan penampilan
sulungnya bersama skuad senior The
Hammers pada 5 Mei 1996 selepas masuk menggantikan Tony Cottee ketika
berdepan Sheffield Wednesday di gelanggang sendiri.
Ketika itu Rio antara pemain muda berbakat di
England jadi tidak hairanlah mengapa kelibatnya sering sahaja diintai oleh pencari
bakat dari kelab-kelab ternama Liga Perdana. United sebenarnya pernah
menunjukkan minat terhadap Ferdinand sebelum mereka akhirnya beralih kepada
Henning Berg pada musim panas 1997.
Prestasi cemerlang Rio bersama West Ham
menarik minat Leeds United yang ketika itu sering diletakkan antara pencabar
kejuaraan Liga Perdana. Pada Januari 2000, Leeds terpaksa membayar €26 juta
untuk membawa Rio beraksi di Elland Road sekaligus mencipta rekod perpindahan
England.
Bukan itu sahaja, wang sebanyak €26 juta yang
dibelanjakan Leeds menyaksikan Rio muncul pemain pertahanan termahal dunia
ketika itu. Bagaimanapun karier Rio hanya bertahan satu setengah musim sahaja
di Elland Road apabila United melancarkan percubaan kali kedua untuk
mendapatkan tandatangannya pada 2002.
Selepas lima tahun, Rio bukan lagi pemain
yang sama sejak kali pertama United menunjukkan minat mereka terhadap beliau
dan Sir Alex mengakui akan hakikat itu. Jika beliau mahukan salah seorang
pemain pertahanan terbaik dunia mengawal barisan belakang skuadnya, jalan terbaik
ialah dengan berbelanja besar.
€46 juta yang dibelanjakan United menyaksikan
Rio sekali lagi muncul pemain termahal England dan juga pertahanan termahal
dunia. Akhirnya pada 22 Julai 2002 Rio secara rasmi diperkenalkan sebagai
pemain United. Rekod sebagai pemain termahal dunia yang dipegang Rio bertahan
selama 12 tahun sebelum akhirnya dipecahkan David Luiz.
Walaupun keputusan Sir Alex berbelanja besar
untuk seorang pemain pertahanan dikritik ramai pihak ketika itu, Rio akhirnya
berjaya membuktikan bahawa nilai €46 juta yang dibelanjakan kelab untuk
khidmatya lebih daripada berbaloi.
Di Old Trafford, Rio bertahan selama 12 musim
dan selama itu jugalah beliau menjadi tonggak di benteng pertahanan serta berjaya
membantu kelab memenangi kejuaraan demi kejuaraan.
Sepanjang kariernya bersama United, Rio
bermain sebanyak 455 perlawanan, menjaringkan lapan gol, menjulang enam
kejuaraan Liga Perdana, satu kejuaraan Piala FA, enam kejuaraan Perisai
Komuniti, satu kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Kelab-kelab Dunia.
Selama tempoh 12 musim itu jugalah kita disajikan
dengan aksi dari seorang pemain pertahanan penuh bergaya, memiliki keyakinan
cukup tinggi ketika bola berada dikakinya, berkemahiran dan langsung tiada
simpati kepada mana-mana penyerang lawan.
Walaupun gaya permainan Rio agak keras namun
beliau bukanlah seorang pemain pertahanan yang gemar melakukan terjahan secara membabi
buta. Rio bijak menunggu detik terbaik ketika melakukan terjahan, jadi tidak
hairanlah mengapa hanya sekali beliau dilayangkan kad merah sepanjang 312
penampilannya di Liga Perdana untuk United.
Atas sebab itu jugalah mengapa Sir Alex
menamakan Rio dan bukannya Nemanja Vidic sebagai pilihan bersama Jaap Stam di
benteng pertahanan dalam kesebelasan terbaik United pilihan beliau.
Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya
dan begitulah juga halnya dengan Rio. Selepas 12 musim mengerah keringat dan
menabur bakti untuk United, beliau akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada
khalayak di Old Trafford pada 2014 dan menyertai Queens Park Rangers sebelum
bersara dari karier profesionalnya.
Jika 13 tahun lalu ramai yang mempertikaikan
tindakan Sir Alex memecahkan rekod perpindahan England saat beliau menandatangani
Rio, tapi akhirnya mereka terpaksa mengakui bahawa Rio adalah antara pembelian
terbaik pernah dilakukan pengendali lagenda itu.
Walaupun sudah setahun meninggalkan kelab dan
baru-baru ini beliau mengumumkan persaraanya, saya tidak akan pernah melupakan
kelibat dan sumbangannya ketika bersama United. Tidak sekali-kali juga saya akan
melupakan aksinya `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri
ketika zaman kemuncaknya.
Keras, lantang, licik, klinikal, bergaya dan
penuh karisma dalam permainannya, hanya itulah perkataan paling tepat untuk saya
berikan kepada Rio Gavin Ferdinand. Salah seorang pemain pertahanan terbaik
pernah saya saksikan bermain untuk The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan