29 Disember 2016

MANCHESTER UNITED YANG BERBEZA KETIKA CARRICK DI ATAS PADANG

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Michael Carrick....”wira tidak didendang”, “pemain yang sering dilupakan kehadirannya” atau apa sahaja. Bagaimanapun satu fakta yang tidak boleh diketepikan sejak beliau menyarung jersi Manchester United buat pertama kali pada 2006 ialah betapa pentingnya peranan yang dimainkan Carrick dalam era 4 pengurus berbeza di Old Trafford.

Musim ini walaupun pada awalnya Carrick tampak seperti bukan pilihan utama Mourinho di bahagian tengah namun beliau kembali di atas padang dan membuktikan kepada kita bahawa United masih lagi sangat-sangat perlukan sentuhan dan ketenangannya dalam mengawal tempo permainan.

Anda memuja Zlatan Ibrahimovic kerana ketajamannya dalam menyudahkan peluang, Paul Pogba kerana kekuatan serta tekniknya dan Ander Herrera kerana kemampuannya merosakkan tempo permainan lawan, tetapi United adalah skuad yang berbeza jika Carrick berada di atas padang.

Benarkah begitu? Jadi sebagai buktinya biarkan sahaja statistik berbicara. Musim ini tanpa kelibat Carrick, United hanya mampu menang 35.7% dari perlawanan-perlawanan mereka dalam semua kejohanan atau mengutip purata 1.35 mata satu perlawanan (5 kali menang, 4 seri dan 5 kekalahan).

Bagaimanapun sejak kembalinya Carrick dalam kesebelasan utama, peratusan kemenangan United meningkat kepada 85.7% dengan purata 2.71 mata yang berjaya dikutip dalam setiap perlawanan. Statistik ini diambil dari 12 kemenangan, 2 keputusan seri dan tanpa kalah ketika Carrick bermain sejak beliau tampil buat pertama kali ketika menentang Leicester City September lalu.

Carrick sudah menghampiri penghujung karier tetapi United nampaknya seperti tidak boleh kehilangan sentuhannya di atas padang. Selepas kelab menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh tiga musim terakhir, mereka nampaknya masih lagi bergantung harap kepada pemain yang sudah berusia seperti Carrick.

Kini timbul kebimbangan jika sesuatu berlaku kepada Carrick, siapa pemain yang sesuai dan mampu menggantikan tempatnya. Mencari pengganti pemain berkaliber seperti beliau bukanlah tugas yang mudah dan sementara itu berharaplah agar sesuatu yang buruk tidak menimpa `Mr Indispensable’ ini... Glory Glory Manchester United!!! - AJ

28 Disember 2016

TIGA PEMAIN UNITED YANG MENJADI BUALAN PENYOKONG SELEPAS BERAKHIRNYA AKSI MENENTANG SUNDERLAND


Zlatan Ibrahimovic

Ibra sekali lagi membuktikan kebenaran kata-katanya selama ini bahawa usia hanyalah angka semata-mata. Pentingnya Ibra kepada United bukan hanya diukur menerusi jumlah gol yang dijaringkannya tetapi juga peranan keseluruhan yang dimainkan beliau di atas padang.

Pada usia 35 tahun, beliau masih mampu menghadirkan pelbagai masalah kepada benteng pertahanan lawan dan aksi menentang Sunderland menjadi contoh terbaru mengapa Jose Mourinho tidak mampu kehilangan khidmat Ibra walau untuk satu perlawanan pun.

Gol diminit ke-82 yang dijaringkan Ibra ke gawang Sunderland merupakan gol ke-17 beliau dalam semua kejohanan setakat ini, manakala dua assist sumbangannya yang berjaya disudahkan Daley Blind dan Henrikh Mkhitaryan melengkapkan malam cemerlang beliau.

Paul Pogba

Sedikit demi sedikit Pogba sudah mula menunjukkan potensinya dan mengapa beliau layak menyandang status pemain termahal dunia. Perlawanan menentang Sunderland kelmarin antara prestasi terbaik yang dipamerkan Pogba sejak beliau pulang semula ke Old Trafford Ogos lalu.

Berbekalkan teknik yang bagus, kepantasan serta kekuatan yag dimilikinya, Pogba sentiasa memberikan masalah kepada benteng pertahanan lawan setiap kali beliau melakukan gerakan atau merancang serangan. Walaupun tidak menjaringkan gol, usaha tanpa kenal penatnya menyaksikan gol kedua United jaringan Ibra terhasil menerusi assist yang dilakukannya.

Henrikh Mkhitaryan

Walaupun cuma bermain sebagai pemain gantian, Miki masih mampu meninggalkan kesan mendalam sepanjang 30 minit aksinya di atas padang. Sudah tentu gol menerusi teknik scorpion kick yang dilakukan Miki menjadi tajuk bualan paling hangat di kalangan penyokong United selepas perlawanan selain prestasi bagus yang dipamerkan beliau sejak akhir-akhir ini.

Ketepikan sementara perdebatan sama ada Miki berada dalam posisi offside atau tidak ketika jaringan tersebut dihasilkan kerana apa yang penting ialah beliau kini antara pemain United paling menonjol. Selepas masuk menggantikan Jesse Lingard, kehadiran Miki menambahkan lagi kreativiti kepada permainan United dan hasilnya mereka menambah dua lagi gol selepas itu...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

27 Disember 2016

APA YANG MENYEBABKAN UNITED KINI LEBIH KONSISTEN?

Sejak kekalahan besar kepada Chelsea 23 Oktober lalu, United mengharungi 9 perlawanan terakhir mereka (dalam saingan liga) tanpa kalah. Kemenangan ke atas Sunderland malam tadi pula merupakan kemenangan keempat berturut-turut yang dicatat The Red Devils sejak 11 Disember lalu.

Apa yang menyebabkan perubahan kepada prestasi United walaupun pada awalnya mereka agak kurang konsisten hinggakan ramai yang mula meragui kemampuan barisan Jose Mourinho memberikan cabaran dalam perebutan kejuaraan liga?

Selain faktor Zlatan Ibrahimovic yang kembali menemui sentuhan golnya (Ibra sudah menjaringkan 8 gol dari 9 penampilan terakhir liga), Mourinho juga kini seolah-olah sudah menemui gandingan sesuai untuk beliau letakkan di bahagian tengah.

Pada 5 perlawanan (liga) terakhir United, Mourinho secara konsisten meletakkan trio Ander Herrera, Michael Carrick dan Paul Pogba dalam kesebelasan utamanya. Ramai pemerhati menganggap kombinasi tiga trio ini sebenarnya memberikan keseimbangan kepada permainan United.

Adakah Mourinho sudah menemui formula terbaik dalam usaha beliau menjadikan prestasi United lebih konsisten berbanding sebelumnya? Ya, itulah yang sedang berlaku sekarang. Dengan Carrick dan Herrera bertindak sebagai double pivot, Pogba pula kini lebih bebas ketika menyerang.

Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan tetapi beliau juga punya visi permainan yang bagus menerusi kemampuan melakukan hantaran, membaca permainan dan membangunkan serangan dari bawah. Kehadiran semula Carrick (selepas beliau terlepas 5 perlawanan awal liga) pelengkap kepada gandingan Pogba dan Herrera di bahagian tengah United.

Benarlah kata Mourinho sebelum ini bahawa kehadiran Carrick memberikan kesan yang besar kepada permainan dan prestasi Pogba. Semoga Mourinho sudah menemui formula dan cara terbaik untuk menjadikan United kembali sebagai pencabar kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat teratas...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

21 Disember 2016

HARIMAU YANG KEMBALI MENGAUM

Pada musim panas 2014, beliau tiba di Old Trafford berbekalkan reputasi menggerunkan selaku antara penyerang paling tajam ketika berada di dalam petak penalti lawan. Dan sudah tentu juga mana-mana penyokong United pastinya teruja mahu menyaksikan sendiri naluri pembunuh milik Radamel Falcao selepas beliau menjaringkan 155 gol dari 155 penampilan (dalam semua kejohanan) untuk FC Porto, Atletico Madrid dan AS Monaco.

Sebelum sepak mula saingan liga musim 2014-15 dimulakan, kita sudah mula membayangkan bagaimana ngerinya nanti benteng pertahanan lawan bila berhadapan jentera serangan United yang dibarisi Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Falcao. Rooney, Van Persie dan Falcao sudah membina reputasi mereka sejak bertahun-tahun selaku penggempur utama dalam saingan liga di Eropah, jadi tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong United meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada barisan Louis Van Gaal di awal musim.

Bagaimanapun harapan tinggi itu tidak menjadi kenyataan bilamana Falcao hanya mampu menjaringkan empat gol dari 26 penampilan liga untuk United. Dari jumlah tersebut pula, Falcao hanya bermain selama 90 minit dalam lima perlawanan, itupun ketika Van Persie mengalami kecederaan. Prestasi Falcao di Old Trafford tidak langsung menggambarkan bahawa beliau dahulunya pernah diletakkan antara penyerang paling tajam di Eropah.

Bagaimanapun ketika itu kita sebenarnya perlu bersikap realistik kerana Falcao baru sahaja pulih dari kecederaan lutut yang panjang hingga menyebabkan beliau terlepas aksi di pentas Piala Dunia 2014. Mungkin disebabkan masih trauma atau bersikap berhati-hati kerana bimbang kecederaan itu berulang, Falcao beraksi di bawah standard sebenar pada musim pertama dan terakhirnya di Old Trafford.

Prestasi Falcao menyebabkan Van Gaal tidak berminat mengekalkannya di Old Trafford, tambahan pula ketika itu beliau baharu sahaja mendapatkan Anthony Martial sebagai penggempur baharu. Bagaimanapun reputasi silam penyerang Colombia ini hampaknya masih menarik minat kelab besar England di mana Jose Mourinho yang baharu memenangi kejuaraan liga bersama Chelsea mengambil alih giliran mendapatkan khidmatnya pada musim panas 2015.

Bagaimanapun Falcao sekali lagi gagal memberikan impak kehadirannya di Stamford Bridge. Semusim bersama Chelsea, Falcao hanya bermain sepuluh perlawanan, menjaringkan satu gol sebelum akhirnya terpaksa pulang semula ke Stade Louis II. Lalu apa yang berlaku sejak kembalinya Falcao ke AS Monaco, kelab yang beliau tinggalkan selama dua musim sebagai pemain pinjaman di Old Trafford dan Stamford Bridge?

Musim ini selepas mengharungi 18 perlawanan, Monaco mengutip 39 mata, empat mata di belakang Nice selaku pendahulu liga. Ini merupakan catatan positif yang diraih kelab bimbingan Leonardo Jardim itu dalam tempoh beberapa musim terakhir di Ligue 1. Minggu lalu, mereka berjaya memungut tiga mata penuh ketika berdepan Girondin Bordeaux di gelanggang lawan dengan cara yang pada saya cukup fantastis.

Bukan kemenangan besar (4-0) yang diraih mereka menarik perhatian saya, tetapi peranan yang dimainkan Falcao di atas padang. Dalam aksi yang dilangsungkan di Nouveau Stade de Bordeaux itu, Falcao menghasilkan hatrik walaupun beliau cuma beraksi selama 70 minit. Kemenangan itu juga menyaksikan Monaco tidak tewas dalam lapan aksi terakhir mereka di Ligue 1.

Aksi menentang Bordeaux bukan satu-satunya prestasi terbaik yang dipamerkan Falcao musim ini kerana sejak awal lagi beliau sudah memberikan isyarat bahawa ketajamannya selaku penggempur masih belum pudar. Dua golnya ke gawang Fenerbahce pada aksi timbal balik pusingan kelayakan Liga Juara-Juara menghantar Monaco ke pusingan playoff.

Mereka kemudiannya melepasi halangan terakhir sebelum menuju ke saingan peringkat kumpulan selepas menyingkirkan Villareal dengan aggregate 3-1. Kecederaan (hamstring) yang dialami Falcao ketika berdepan Fenerbahce memaksa beliau berehat selama sebulan menyebabkan beliau terlepas tiga aksi awal liga bersama Monaco. Gol sulung Falcao di Ligue 1 musim ini dijaringkan beliau ketika membantu Monaco menewaskan Rennes di gelanggang sendiri 17 September lalu.

Walau bagaimanapun kecederaan kembali menghantui karier beliau apabila Falcao sekali lagi terpaksa menghabiskan masanya dibilik rawatan dan terlepas aksi selama dua bulan. Sepanjang tempoh itu juga Falcao berlatih bersendiran bagi memastikan sentuhannya sentiasa tajam, menjaga fizikalnya menerusi rutin harian di gimnasium agar beliau sentiasa bersedia bila kembali beraksi di atas padang kelak.

Kerja keras Falcao berhasil menerusi comeback beliau pada aksi kesepuluh Ligue 1 menentang Montpellier 21 Oktober lalu. Dalam perlawanan itu, Falcao menyumbang satu dari enam gol untuk Monaco sebelum beliau dikeluarkan diminit ke-64. Secara keseluruhannya Falcao sudah menjaringkan 11 gol dari sepuluh perlawanan sejak beliau kembali dari kecederaan walaupun jarang beraksi penuh 90 minit.

Setakat ini Falcao sudah menjaringkan 14 gol dari 16 penampilan (dalam semua kejohanan) untuk Monaco manakala hatrik yang dihasilkannya ke gawang Bordeaux pula merupakan hatrik pertama beliau sejak berpindah ke Stade Louis II. Prestasi terkini Falcao turut mengundang rasa teruja kepada David de Gea yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya di Old Trafford.

Menerusi akaun Twitter miliknya, de Gea menulis “The Tiger is on fire” (merujuk kepada gelaran El Tigre yang diberikan kepada Falcao) dimana selepas itu tweet tersebut telah di retweet lebih 2,000 kali. Hingga setakat ini, Falcao sudah menjaringkan 27 gol untuk Monaco selama dua musim beliau berada di Stade Louis II.

Kini Falcao hanya perlukan dua gol sahaja lagi untuk melangkaui catatan Thierry Henry (28 gol) yang menyarung jersi Monaco dari 1994 hingga 1999. Dengan prestasi semasa yang dipamerkan beliau, tiada masalah untuk El Tigre melewati catatan Henry yang juga merupakan idola beliau. Ligue 1 kini nampaknya medan terbaik untuk pemain-pemain seperti Falcao kembali mengasah `kuku’ kerana selain beliau, Mario Balotelli turut mempamerkan aksi terpuji bersama Nice.

Saya adalah peminat Falcao sejak beliau masih menyarung jersi Atletico Madrid. Jadi saya juga antara penyokong United yang cukup teruja bila mengetahui Van Gaal berjaya mendapatkan khidmatnya pada 2014. Saya ingin sekali menyaksikan kembali Radamel Falcao yang dulu, seorang penyerang yang boleh menterjemahkan sebarang peluang kepada jaringan gol. Semoga taring harimau ini masih tajam dan semoga El Tigre kembali mengaum ganas...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Disember 2016

BENARKAH MOURINHO SEMAKIN HILANG SENTUHAN MAGISNYA?

Keputusan seri di Goodison Park Isnin lalu merupakan keputusan seri keenam yang dicatatkan Manchester United dari 14 perlawanan awal mereka musim ini. Menyaksikan lawan menjaringkan gol di penghujung perlawanan memang menyakitkan, sama menyakitkan juga bila menyaksikan United sekadar berada di tangga keenam liga dan semakin jauh ditinggalkan Chelsea selaku pendahulu.

Sebelum ini United mencatatkan keputusan seri empat kali berturut-turut ketika mereka bermain di Old Trafford (menentang Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham) serta dua keputusan seri di gelanggang lawan (menentang Liverpool dan Everton). Selepas berakhirnya aksi menentang Arsenal 19 November lalu, Mourinho mengatakan bahawa United adalah pasukan paling tidak beruntung di Liga Perdana.

Ya, memang ada benarnya apa yang dikatakan Mourinho kerana ketika menentang Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham, United mendominasi perlawanan menerusi peluang dan jumlah percubaan yang mereka lepaskan ke arah pintu gol lawan. Ketika menentang Arsenal, United melakukan lima percubaan tepat dari 12 yang mereka lepaskan namun hanya satu menghasilkan gol.

Sementara Arsenal pula menjaringkan gol penyamaan menerusi satu-satunya shot on target mereka dan itupun berlaku diminit ke-89. Berkongsi mata dengan lawan selepas anda menguasai perlawanan memang mengecewakan dan empat keputusan seri (digelanggang sendiri) bermakna United cuma mampu mengutip empat mata dari 12 yang ditawarkan.

Mourinho kini hanya mampu mengeluh bila mengenangkan situasi yang dialami United ketika ini. Entahlah sama ada United memang tidak beruntung atau Mourinho sudah hilang sentuhan magisnya seperti yang disebut Samuel Eto’o baru-baru ini, tetapi perubahan perlu dilakukan beliau bagi mengelak United terus jauh ketinggalan di belakang musuh-musuh domestik mereka. 

Sepertimana kehidupan, bolasepak juga begitu, sentiasa berubah, bertranformasi dan berevolusi. Jika tidak berani melakukan perubahan dan ikut bertranformasi, anda akan ketinggalan di belakang. Dalam hal ini saya tertarik dengan pendapat bekas pemain Liverpool dan Tottenham Hotspurs, Jamie Redknapp. Apa yang dikatakan Redknapp?

Beberapa minggu lalu, Redknapp mengatakan bahawa strategi Mourinho sebenarnya mudah dibaca lawan dan mencadangkan agar beliau melakukan perubahan dalam formasi, strategi dan taktikal permainan United. Ya, memang ada kebenarannya apa yang dikatakan Redknapp kerana seperti yang saya sebutkan dalam posting sebelum ini, Mourinho perlu mencontohi apa yang dilakukan Antonio Conte bersama Chelsea.

Tidak perlu diperdebatkan tentang pencapaian silam Mourinho kerana beliau memang antara pengendali paling berjaya dalam era bolasepak moden. Bagaimanapun beliau tetap manusia biasa. Untuk sentiasa sukses, Mourinho juga perlu berubah dan melakukan perubahan seperti orang lain. Jadi apa yang perlu dilakukan Mourinho jika beliau mahu melihat United kembali mencabar dan tidak terus keciciran mata?

Memperbaiki Cara Bertahan

Sebelum tiba di Old Trafford, Mourinho memang cukup terkenal dengan taktik bertahannya. Apa sahaja yang berlaku di atas padang, apapun caranya, Mourinho hanya mahukan kemenangan. Persetan dengan corak permainan menghiburkan kerana apa yang penting bagi Mourinho ialah pasukannya keluar sebagai pemenang.

Bagaimanapun itu tidak berlaku sekarang kerana United sudah dibolosi sebanyak 16 kali (sebelum perlawanan menentang Spurs) meskipun dalam setiap perlawanan pintu gol mereka hanya menerima purata 9.33 percubaan dari pihak lawan.

Ketika United bertahan, strategi Mourinho ialah menggunakan zonal marking berbanding man to man marking yang diamalkan pengendali sebelumnya iaitu Louis Van Gaal. Dalam situasi defensif, formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Mourinho akan berubah kepada 6-3-1 yang mana dua pemain sayap United akan turut turun ke bawah.

Ketika inilah (saat dua winger turun membantu pertahanan) pemain-pemain berbahaya lawan seperti Eden Hazard, Phillipe Coutinho dan Kevin De Bruyne memanfaatkan masa dan ruang yang ada di sebelah kiri dan kanan. Lihat sajalah apa yang berjaya dilakukan tiga pemain ini (Hazard, Coutinho dan De Bruyne) ketika United berdepan Chelsea, Liverpool dan City sebelum ini.

Berbanding Mourinho, lawan-lawan beliau seperti Antonio Conte, Pep Guardiola, Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino memilih kaedah pressing secara berstruktur ketika bertahan. Dengan kaedah bertahan seperti ini, mereka sering sahaja berjaya memanfaatkan kealpaan lawan yang sedang menyerang menerusi taktik serang balas pantas.

Strategi counterpressing yang digunakan Spurs contohnya meningkatkan peluang mereka mendapatkan kembali penguasaan bola jauh di kawasan lawan (tekanan agresif di blok tinggi). Strategi ini bertujuan mencegah lawan dari membangunkan serangan dari bawah sekaligus menyebabkan mereka (lawan) hilang tempo ketika menyerang.

Meningkatkan Ketajaman Bahagian Hadapan

Musim ini United sekali lagi berbelanja besar selepas kelab berjaya menandatangani Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan. Kehadiran pemain-pemain seperti Ibra, Pogba dan Miki pada mulanya diharap mampu memberikan lebih kreativiti dan ketajaman ketika menyerang.

Setakat 14 perlawanan, pemain-pemain United sudah melepaskan 225 percubaan ke arah pintu gol lawan tetapi dari jumlah tersebut hanya 19 gol berjaya dijaringkan. Ibra pula muncul pemain paling banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan di Liga Perdana menerusi 64 `tembakan’ yang dilepaskannya.

Adakah statistik ini menunjukkan bahawa barisan hadapan United kurang tajam dan jika benar apa yang menyebabkan mereka kurang menjaringkan gol? Jika anda perhatikan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, lawan meletakkan pertahanan mereka di deep area ketika berdepan United, taktik sama yang digunakan Manchester City, Liverpool dan Arsenal.

Strategi bertahan yang digunakan lawan menyebabkan Ibra terpaksa kerap turun ke bawah bagi mendapatkan bola untuk membantu membangunkan serangan. Kekerapan Ibra untuk turun juga menyebabkan tekanan di benteng pertahanan lawan berkurangan walaupun United menguasai bahagian tengah.

Ibra sebenarnya lebih sesuai jika dibiarkan berada jauh di kawasan lawan bagi menyudahkan hantaran-hantaran sambil dibantu juga pergerakan-pergerakan dari pemain tengah mahupun dari kedua-dua bahagian sayap. Jadi untuk itu, Mourinho boleh memaksimakan pemain yang memiliki teknik bagus dan fizikal yang kuat seperti Pogba atau kreativiti Miki yang semakin menyerlah sejak akhir-akhir ini.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, Mourinho nampaknya terlalu bergantung kepada Ibra selaku penggempur. Saya faham situasi ini kerana Ibra tiba di Old Trafford berbekalkan reputasi penyerang yang menjaringkan 50 gol dari 51 penampilan di Perancis. Di peringkat liga, selain David De Gea, Ibra antara pemain yang kerap diturunkan Mourinho selama 90 minit.

Kualiti Ibra sebagai penggempur memang tidak perlu diragukan tetapi Liga Perdana tentunya berbeza berbanding Ligue 1. Mourinho nampaknya masih lagi percaya pada keberkesanan formasi 4-2-3-1 dengan Ibra sering bertindak berseorangan sebagai penggempur.

Ketika Ibra kemarau gol dalam tujuh perlawanan sebelum ini, Mourinho pula masih lagi kekal dengan formasi dan taktik yang sama. Meletakkan dua penyerang dalam petak penalti lawan perlu dicuba Mourinho bagi menambah peratusan peluang menjaringkan gol dan untuk itu apa yang dilakukan Laurent Blanc di PSG musim lalu boleh dijadikan panduan.

Di PSG, Ibra memang diletakkan sebagai penggempur utama Blanc tetapi dalam masa yang sama beliau juga meletakkan dua penyerang dalam petak penalti lawan untuk menambah produktiviti skuadnya dalam menghasilkan gol. Adanya Ibra tidak mengurangkan ketajaman Edinson Cavani dalam merobek gawang lawan di mana musim lalu penyerang Uruguay itu menjaringkan 25 gol dari 52 penampilan.

Kesimpulannya

Perubahan-perubahan yang disebutkan di atas tidak menjamin United akan menjaringkan banyak gol selepas ini atau mereka akan menang dengan margin gol yang besar. Jika PSG terlalu jauh, lihat pula apa yang dilakukan Southampton, Leicester City dan West Bromwich saat barisan penyerang mereka merobek gawang Burnley.

Oktober lalu, Tom Heaton (penjaga gol Burnley) tampak begitu kebal ketika beliau menafikan deretan peluang yang dicipta barisan hadapan United, namun lain pula ceritanya saat The Clarets berdepan Southampton, Leicester City dan West Bromwich.

United dengan barisan penggempur ternama gagal menembusi pintu gol Burnley tetapi Southampton, Leicester dan West Brom pula yang menggunakan kaedah dua penyerang berjaya menewaskan Heaton sebanyak tiga dan empat kali.

Kejayaan tiga pasukan ini menewaskan Burnley dengan jaringan besar bukan dibantu faktor nasib kerana Heaton juga sebenarnya bermain dengan cukup cemerlang sama seperti yang beliau pamerkan ketika berdepan United.

Jika masih enggan menggunakan dua penyerang, Mourinho tetap boleh memilih cara lain bagi memastikan barisan hadapannya lebih produktif. Dengan strategi yang tepat, penjaga gol terhandal dunia sekalipun mampu dibolosi.

Fakta bahawa pintu gol United sudah dibolosi 16 kali dari 14 perlawanan liga manakala barisan hadapan pula hanya mampu menjaringkan 19 gol sukar diterima jika diambilkira skuad yang Mourinho miliki dan wang yang sudah beliau belanjakan sepanjang musim panas lalu.

Saya bukan pakar taktikal cuma sekadar berkongsi pendapat sebagai penyokong United dan apa yang saya tulis dalam posting kali ini semuanya dikutip melalui pelbagai sumber pembacaan. Mourinho sudah membawa perubahan besar kepada gaya permainan United tetapi bagi saya itu belum cukup untuk menjadikan The Red Devils kembali ditakuti.

Apa yang perlu dilakukan Mourinho bagi mengubah nasib United selepas ini? Jawapannya ialah beliau perlu berani melakukan perubahan. Mourinho dibawa ke Old Trafford kerana beliau dilihat mampu mengubah semula nasib United dan hingga kini pun saya masih kekal optimis beliau mampu melakukannya.

Mungkin trofi Liga Perdana agak jauh dari jangkauan tetapi Mourinho masih ada pentas yang masih tersedia untuk beliau membuktikan kredibiliti dirinya. Memenangi Liga Europa, Piala FA atau Piala Liga dan membawa United beraksi semula di pentas Liga Juara-Juara musim depan adalah cara terbaik untuk Mourinho membuktikan bahawa beliau masih lagi “The Special One” bukan “The Ordinary One”...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

04 Disember 2016

SUDAH TIBA MASANYA MOURINHO PERCAYAKAN MIKI

Dua assist yang beliau sumbangkan ketika membantu Manchester United menewaskan West Ham awal pagi Khamis lalu menjadikan Henrikh Mkhitaryan antara pemain paling menonjol dalam perlawanan tersebut. Prestasi yang dipamerkan bekas pemain Borussia Dortmund itu saya anggap satu isyarat kepada Jose Mourinho bahawa Miki kini menuntut haknya diturunkan dalam kesebelasan utama United.

Selepas lama diketepikan kerana masalah kecederaan dan alasan kesesuaian strategi permainan, Miki menikmati aksi dalam kesebelasan permulaan buat kali kedua musim ini ketika United melayan kunjungan Feyernoord dalam saingan Liga Europa. Bagaimanapun kelibat Miki sekali lagi diketepikan ketika United berdepan West Ham dalam saingan liga di Old Trafford minggu lalu.

Perlawanan pusingan kelima Piala Liga awal pagi Khamis lalu merupakan kunjungan kedua West Ham ke Old Trafford selepas mereka berjaya memaksa United berkongsi mata dalam aksi liga yang dilangsungkan tiga hari sebelumnya. Mungkin menyedari skuadnya perlukan nafas baharu, Mourinho akhirnya terpaksa `berlembut’ apabila beliau memilih menurunkan Miki dalam kesebelasan utamanya buat kali ketiga musim ini.

Di Bundesliga, Miki sudah membuktikan kemampuannya sebagai seorang playmaker untuk Dortmund tetapi di Liga Perdana beliau masih belum teruji sejak menyertai United Julai lalu. Selain dari faktor kecederaan, Mourinho memberikan alasan strategi dan taktikal sebagai sebab mengapa beliau lebih banyak meletakkan Miki di bangku simpanan berbanding mengerah kreativiti pemain antarabangsa Armenia itu di tengah padang.

Dua assist sumbangan Miki ketika United menyingkirkan West Ham di pusingan kelima Piala Liga saya harap menjadi detik permulaan agar beliau diberikan lebih banyak peluang tampil dalam kesebelasan permulaan selepas ini. Agak malang jika kreativiti Miki tidak digunakan sebaiknya ketika United sendiri sedang bergelut memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga selepas sekadar berada di tangga ketujuh (sebelum aksi menentang Everton).

Saya tiada masalah dengan gaya menyerang United di bawah kendalian Mourinho cuma sedikit resah dengan kemampuan barisan hadapan melakukan penyudah walaupun mereka menguasai sepenuhnya perlawanan. Aksi menentang Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham dalam saingan liga adalah contoh bagaimana barisan hadapan yang pada awal musim digambarkan cukup menggerunkan hanya mampu menjaringkan 18 gol dari 13 perlawanan.

Untuk itu, kehadiran Miki yang memainkan peranan penting kepada kebangkitan semula Dortmund musim lalu selepas ditinggalkan Jurgen Klopp amat diperlukan Mourinho. Sebagai playmaker, Miki menyumbangkan 15 assist dalam saingan liga musim lalu selain 24 assist keseluruhan dalam semua kejohanan untuk Dortmund. Jumlah tersebut menyaksikan beliau muncul pemain paling banyak melakukan assist di Bundesliga.

Apa yang dilakukan Thomas Tuchel selepas beliau mengambilalih tugas di Signal Iduna Park musim lalu boleh dijadikan panduan kepada Mourinho sekiranya beliau mahu menyerlahkan potensi yang ada dalam diri Miki. Tuchel membuktikan bahawa Miki adalah pemain yang hebat menerusi beberapa penyesuaian yang dilakukan dalam strategi permainannya.

Dalam skema formasi 4-3-3 yang diterapkan Tuchel, Miki bertindak di sebelah kanan, Marco Reus disebelah kiri manakala Pierre Emerick Aubameyang berperanan sebagai penyerang tengah. Di bahagian tengah pula, Tuchel biasanya menggunakan Ilkay Gundogan dan Julian Weigl manakala Shinji Kagawa, Gonzalo Castro atau Christian Pulisic silih berganti diturunkan Tuchel mengikut kesesuaian strategi yang digunakan beliau.

Walaupun bermula di sebelah kanan, Miki diberikan kebebasan oleh Tuchel untuk bergerak lebih jauh ketengah atau lebih tepatnya di posisi pemain nombor 10 beroperasi. Sistem permainan Dortmund ini membolehkan Miki bebas untuk mara hingga ke bahagian tengah pertahanan lawan sambil dalam masa yang sama melakukan tugasnya secara efektif sebagai false winger.

Dalam perlawanan-perlawanan tertentu terutamanya di penghujung musim, Tuchel melakukan sedikit perubahan taktikal bilamana beliau sering menggunakan Eric Durm di sebelah kanan bahagian tengahnya. Durm yang biasanya bertindak sebagai fullback menawarkan kekuatan tambahan ketika bertahan di posisi sebelah kanan.

Dengan kecenderungan Miki untuk bergerak ke hadapan, sistem permainan Dortmund akan berubah dari 4-3-3 kepada 3-4-1-2 ketika mereka mengambilalih penguasaan bola dari lawan. Walaupun begitu, ini tidak bermakna Miki akan terlepas sepenuhnya dari tanggungjawab ketika bertahan. Statistik sepanjang tiga musim terakhir Miki di Signal Iduna Park menunjukkan beliau melakukan 278 rampasan bola dari kaki lawan pada jarak lingkungan 25m dari pintu gol sendiri.

Catatan yang dilakukan oleh seorang attacking midfielder seperti Miki ini di Bundesliga sebenarnya hanya mampu diatasi Daniel Baier yang bermain untuk FC Augsburg. Ketika bersama Dortmund, Miki melakukan tugas-tugasya sebagai pengumpan dengan cukup cemerlang untuk Aubameyang, kini beliau bermain bersama Zlatan Ibrahimovic pula dalam satu pasukan.

Kebiasaan Ibra yang gemar turun sedikit ke bawah bagi mendapatkan bola membolehkan Miki lebih bebas menyusup ke kawasan petak penalti lawan. Ketika berdepan West Ham Khamis lalu, Miki sudah menunjukkan bagaimana bahayanya beliau di kawasan lawan menerusi dua umpanan menarik yang berjaya disudahkan Ibra dan Anthony Martial.

Kini segalanya terpulang kepada Mourinho bagaimana caranya beliau mahu menyesuaikan sistem permainan United jika Miki diturunkan. Dalam keadaan sekarang tidak salah jika Mourinho menjadikan apa yang dilakukan Antonio Conte di Stamford Bridge sebagai panduan dan contoh terbaik. Selepas Chelsea meraih beberapa keputusan buruk di awal musim, Conte segera mengubah sistem permainan skuadnya dari 4-1-4-1 kepada 3-4-3.

Hasilnya Chelsea meraih keputusan yang mereka inginkan sejak kebelakangan ini hingga membolehkan The Blues berada di kedudukan teratas liga. Dalam beberapa perlawanan terakhir, Mourinho kerap menggunakan formasi 4-5-1 dengan menjadikan Ibrahimovic sandaran utama dalam usaha memburu gol. Formasi ini memang membolehkan United mendominasi permainan tetapi dalam masa yang sama mereka sukar menjaringkan gol.

Walaupun Mourinho nampaknya seperti sudah menyerah kalah bila berbicara tentang peluang United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, tetapi masih belum terlambat juga untuk beliau melakukan sesuatu bagi memperbaiki keadaan. Jika kejuaraan liga dianggap sudah terlepas dari jangkauan, misi layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan, mempertahankan kejuaraan Piala FA, memenangi Liga Europa buat pertama kali dan Piala Liga masih menjadi misi yang wajib diselesaikan Mourinho.

Jika di Stamford Bridge, Conte sudah menemui cara mengeluarkan prestasi terbaik pemain-pemainnya dengan meletakkan mereka di posisi dan formasi yang sesuai, saya harap Mourinho juga mampu melakukannya untuk United. Agak malang jika potensi besar yang dimiliki Miki tidak digunakan ketika Mourinho sendiri sedang tercari-cari cara terbaik bagaimana beliau mahu meletakkan United kembali sebagai pasukan yang digeruni di Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

27 November 2016

MICHAEL CARRICK...WATAK PENTING TETAPI KEHADIRANNYA SERING TIDAK DISEDARI

Lagenda Arsenal, Thierry Henry pernah menyebut bahawa “Anda tidak akan pernah menyedari peranan besar yang dimainkan Michael Carrick hinggalah selepas ketiadaannya”, manakala Carlos Queiroz pula menganggap United tanpa kelibat Carrick di atas padang umpama mendaki gunung Everest tanpa bekalan oksigen. Begitulah pentingnya peranan yang dimainkan veteran United itu dalam pasukan sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Tottenham Hotspurs lebih sepuluh tahun lalu.

Carrick kini sudah berusia 35 tahun tetapi sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau untuk United masih lagi diakui dan diiktiraf. Mourinho mengakui akan hakikat itu kerana peranan Carrick sebenarnya turut mempengaruhi permainan Pogba. Ketenangan Carrick mengawal permainan sebagai pemain tengah bertahan membolehkan Paul Pogba lebih bebas bergerak ke hadapan ketika menyerang. Beberapa hari lalu Jose Mourinho mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahukan agar Carrick kekal semusim lagi di Old Trafford.

Menentang Arsenal merupakan penampilan ketiga Carrick dalam saingan liga dan yang ketujuh dalam semua kejohanan setakat ini. Antonio Valencia dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan United/Arsenal tetapi sumbangan Carrick mengemudi jentera tengah tetap memukau. Agak menarik menyaksikan bagaimana Carrick `meneutralkan’ pergerakan Mesut Ozil sepanjang perlawanan di Old Trafford Sabtu lalu hingga memaksa playmaker Arsenal itu bergerak lebih jauh ke tepi.

Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan tetapi lebih dari itu beliau dianggap sebagai pemain yang bertanggungjawab mengawal tempo permainan United. Ketenangan ketika menguasai bola, bijak membaca permainan, tahu ke mana arah bola yang sepatutnya beliau hantar, bijak mengekalkan posisi bagi melindungi rakan di benteng pertahanan dan berada di posisi tepat ketika memintas hantaran lawan merupakan aset berharga kepada permainan Carrick.

Apa yang beliau lakukan ketika berdepan West Ham dalam perlawanan ulangan Piala FA di Boleyn Ground musim lalu adalah contoh terbaik dan paling hampir mengapa saya cukup mengagumi Carrick. Sepuluh minit pertama aksi menentang West Ham itu, Carrick berjaya memintas dua gerakan lawan yang berpotensi menghasilkan gol. Mungkin tidak ramai menyedari hal tersebut tetapi dua detik penting yang berlaku di awal permainan sebenarnya berjaya mengubah keputusan keseluruhan perlawanan.

Boleyn Ground menjadi satu lagi bukti bahawa Carrick sering sahaja melakukan kerja-kerja `sederhana’ seperti itu kerana beliau memang seorang pemain yang cukup bijak membaca gerakan lawan. Dan kerana `kerja-kerja sederhana’ yang sering dilakukannya itu jugalah United akhirnya berjaya menewaskan West Ham (2-1) untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya menjulang Piala FA di pentas final buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Awal dekad 2000, saat Gilberto Silva memainkan peranan penting untuk Arsenal dan Claude Makelele untuk Chelsea, United pula masih tercari-cari pengganti Roy Keane yang kian berada di penghujung karier. Anehnya ketika Silva dan Makelele sudah membuktikan betapa pentingnya peranan seorang pemain tengah bertahan, Sir Alex pula melakukan eksperimen dengan meletakkan Alan Smith (seorang penyerang) di posisi yang ditinggalkan Roy Keane.

Ketiadaan pemain berpengaruh seperti Keano jelas dirasai dan Smith bukanlah pengganti sepadan kepada Captain Marvel itu di bahagian tengah. Pada pertengahan musim 2005-06, Sir Alex melakukan kejutan dengan menandatangani Patrice Evra dan Nemanja Vidic berbanding mencari pemain baharu sebagai pengganti Keano. Ya memang benar, menerusi kekuatan di benteng pertahanan, United menamatkan saingan liga di tangga kedua tetapi itu juga bermakna mereka sudah tiga musim ketandusan gelaran liga.

Menyaksikan Chelsea mendominasi saingan selama dua musim berturut-turut, penyokong-penyokong pula mula tertanya-tanya apakah langkah yang bakal dilakukan Sir Alex untuk meletakkan kelab kembali di tempat teratas. Akhirnya pada musim panas 2006, Sir Alex mendapatkan seorang pemain tengah bertahan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Keano dan pemain yang saya maksudkan ialah Michael Carrick. Carrick juga satu-satunya pemain baharu yang ditandatangani Sir Alex pada musim panas 2006.

Kedatangan Carrick rupa-rupanya tidak mampu meredakan kegelisahan penyokong-penyokong kerana mereka sebenarnya mengharapkan agar Sir Alex membawa masuk pemain yang memiliki reputasi setaraf Keano. Kegelisahan penyokong-penyokong United ketika itu mudah difahami kerana Carrick dan Keano begitu kontra, baik dari segi personaliti mahupun corak permainan di atas padang.

Carrick tidak memiliki permainan keras dengan emosi meledak-ledak seperti Keano malah fizikalnya juga bukanlah tandingan kepada Silva atau Makelele yang lebih berotot. Jadi apa yang menyebabkan Sir Alex menawarkan £18 juta kepada Spurs untuk mendapatkan tandatangan Carrick ketika itu? Jawapannya ialah apa yang mampu ditawarkan Carrick di atas padang berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele.

Seperti Makelele, Carrick juga gemar bergerak secara terus ke hadapan tetapi jangkauan umpanan-umpanan yang dilakukannya lebih luas dan tepat berbanding bekas pemain Chelsea itu. Kerana kemampuan membaca gerak bola yang bagus, gaya bertahan Carrick juga berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele. Carrick lebih gemar memintas hantaran lawan (intercept) berbanding melakukan terjahan-terjahan keras dalam usaha merebut kembali bola dari penguasaan lawan.

Pendekatan permainan Carrick menyaksikan beliau mencatatkan purata jumlah hantaran, ketepatan hantaran dan intercept yang lebih tinggi berbanding mana-mana pemain tengah Inggeris hampir setiap musim. Musim pertamanya di Old Trafford, Carrick berjaya membantu United kembali menjulang trofi Liga Perdana  (2006-07) sekaligus menghapus keraguan di kalangan penyokong-penyokong tentang kemampuan beliau mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan Keano.

Ketika Arsenal dan Chelsea masih bergelut mencari pengganti Silva dan Makelele, United yang diperkuatkan Carrick serta Paul Scholes di bahagian tengah berjaya menjulang kejuaraan liga musim berikutnya (2007-08 dan 2008-09) selain trofi Liga Juara-Juara edisi 2008. Sejak itu, Sir Alex mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan Carrick untuk United dengan melabelkan beliau sebagai pemain tengah terbaik di England.

Musim lalu United menang 14 perlawanan mereka ketika Carrick bermain tetapi malangnya hal yang sama tidak berlaku musim ini kerana beliau lebih banyak direhatkan kerana faktor kecederaan. Faktor usia mungkin mempengaruhi kecergasan Carrick tetapi usia juga tidak pernah memudarkan visi permainan beliau. Menyedari kemampuan dan pentingnya peranan Carrick, Mourinho menurunkan beliau selama 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir United.

Kejayaan Itali menjulang trofi Piala Dunia 2006 bukan hanya dibantu faktor ampuhnya pertahanan mereka, tetapi kerana adanya deep-lying playmaker seperti Andrea Pirlo yang berperanan sebagai regista. Dalam skuad Itali pimpinan Marcelo Lippi ketika itu, Pirlo boleh diumpamakan seperti seorang `komposer’ di hadapan garisan pertahanan Itali. Xabi Alonso dan Sergio Busquets pula memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Sepanyol menjulang tiga kejuaraan besar (Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012).

Alonso dan Busquets diiktiraf antara pemain tengah bertahan terbaik dalam era bolasepak moden dan sudah memenangi hampir semua trofi kejuaraan utama dalam karier mereka. Jika Itali memiliki Pirlo, Sepanyol ada Alonso serta Busquets, Jerman pula beruntung kerana memiliki Bastian Schweinsteiger yang berada di kemuncak prestasi ketika membantu Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia 2014.

Jika bukan kerana `ikhsan’ FIFA yang memberikan anugerah pemain terbaik kejohanan (Piala Dunia 2014) kepada Lionel Messi, Basti saya kira adalah calon paling layak memenanginya. Messi mungkin pemain paling sempurna tetapi prestasi cemerlang Basti sepanjang kejohanan Piala Dunia 2014 sepatutnya melayakkan beliau dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun nasib Carrick tidak sebaik Pirlo, Alonso, Busquets mahupun Basti. Carrick cemerlang di peringkat kelab menerusi peranan dan sumbangan yang dimainkan beliau bersama United tetapi sering `dilupakan’ dalam skuad Three Lions. Ketika Pirlo, Alonso, Busquets dan Basti menjadi watak penting kepada skuad kebangsaan masing-masing dalam kejohanan-kejohanan besar, Carrick pula menghabiskan musim panasnya dengan bercuti saat Piala Dunia atau Euro rancak berlangsung.

Saya masih mengingati bagaimana meriahnya media-media Inggeris memberikan puji-pujian atas kejayaan England layak ke Piala Dunia 2014 selepas mereka menewaskan Poland (2-0) dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan di Wembley. Kebanyakan pujian-pujian tersebut juga terarah kepada Carrick sambil mereka meletakkan beliau sebagai calon terbaik mengemudi bahagian tengah Three Lions di Brazil nanti.

Bagaimanapun nasib Carrick seperti sudah boleh diramal dan akhirnya nama beliau tercicir dari penerbangan ke Brazil. Saya tidak terkejut dengan keputusan Roy Hodgson mengugurkan nama Carrick kerana memang lumrah bagi kebanyakan pengurus berbangsa Inggeris yang lebih gemar menggunakan pemain dengan emosi meluar-luap, sanggup berlari dari pintu gol sendiri ke pintu gol lawan dan melakukan terjahan tanpa kompromi sebagai pilihan mereka.

Carrick bukan jenis pemain seperti itu kerana cara beliau bermain lebih teknikal dan taktikal. Beliau tidak memerlukan kelajuan atau menunjukkan emosi yang meluap-luap di atas padang seperti kebanyakkan pemain Inggeris lain tetapi cukup dengan keupayaannya membaca gerak lawan, hantaran-hantaran tepat ke kawasan lawan dan visi permainan yang mengagumkan. Jadi ada sebab mengapa Andrew Murray dari Four Four Two meletakkan beliau sebagai pemain yang memiliki kemampuan teknikal paling bagus berbanding mana-mana pemain Inggeris.

Sepertimana kata Xabi Alonso, bolasepak Inggeris memang sukar difahami kerana mereka sering meminggirkan pemain berkemahiran seperti Carrick, pemain yang mampu membuatkan pasukan dan rakan-rakannya bermain dengan baik. Benarlah kata Alonso kerana ketika Carrick sedang menghabiskan tempoh cuti musim panasnya di pantai Barbados, skuad England pula terpaksa pulang awal apabila mereka sekadar berada di tangga tercorot Kumpulan D di Brazil.

Walaupun pada 2014 Daily Mail pernah melabelkan Carrick sebagai `Andrea Pirlo England’ tetapi saya tidak mahu berlebihan dalam mengiktiraf sumbangan beliau. Mungkin Carrick sebagus Pirlo, mungkin juga tidak tetapi apa yang saya tahu, beliau merupakan salah seorang pemain tengah terbaik United pernah saya saksikan. Ketepikan dahulu tentang spekulasi masa depan Carrick kerana buat masa ini saya hanya mahu menikmati aksi `wira tidak didendang’ ini sementara beliau masih menyarung jersi United...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

20 November 2016

ANGGAP SAJALAH TUAH MASIH TIDAK MENYEBELAHI KITA

Sejak dilantik menggantikan tempat Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United, Jose Mourinho sudah mengharungi 22 perlawanan (termasuk perlawanan pra musim) setakat ini. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya membawa United menang sebanyak 11 perlawanan, tewas lima kali dan seri empat kali. Dalam saingan liga pula, United sekadar berada di tangga keenam selepas mengharungi 12 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool selaku pendahulu.

Paling perit dan luka yang pastinya masih berdarah ialah kekalahan besar 0-4 kepada Chelsea di Stamford Bridge 23 Oktober lalu. Kekalahan besar ini tentunya mencetuskan tandatanya sejauh mana kemampuan United di bawah kendalian Mourinho mencabar kejuaraan liga musim ini. Ditangani oleh seorang pengurus lagenda dan berprofil tinggi seperti Mourinho, dengan deretan bakat-bakat bolasepak hebat dalam kesebelasan utama, apa lagi yang kurang hinggakan United terpaksa bergelut sebegini rupa di awal musim?

Mourinho saya yakin tidak menjangka keadaan akan menjadi begitu sukar buatnya di awal musim dan tiga kekalahan serta empat keputusan seri dalam saingan liga bukanlah permulaan yang bagus. Setakat ini saya masih beranggapan bahawa United di bawah kendalian Mourinho sebenarnya kurang bernasib baik atau lebih tepatnya tuah tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlawanan hingga tercicir beberapa mata penting.

United boleh menjaringkan tiga atau empat gol ketika menentang Stoke City tetapi mereka akhirnya sekadar menamatkan perlawanan di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Begitu juga halnya ketika berdepan Burnley. United menguasai perlawanan secara total (menentang Burnley) tetapi tetap hampa apabila sekadar mengutip satu mata. Tuah sekali lagi tidak memihak United semalam apabila jaringan lewat permainan Oliver Giroud menafikan peluang buat The Red Devils memungut mata penuh di gelanggang sendiri.

Tiada apa yang kurangnya kepada persembahan United semalam selain faktor tuah yang tidak menyebelahi anak-anak buah Mourinho. Mereka menguasai statistik di atas padang, melakukan beberapa percubaan yang berpotensi menghasilkan gol, sentiasa memberikan tekanan kepada lawan tetapi akhirnya tetap gagal meraih mata penuh. Selepas ini tugas berat menanti Mourinho bagi memastikan United tidak terus ketinggalan dari kelompok pasukan yang berada di tangga teratas liga.

Semalam riak wajah Mourinho jelas tidak seceria berbanding ketika beliau mengendalikan United buat pertama kali ketika berdepan Wigan Athletic dalam perlawanan pra musim Julai lalu. Pada perlawanan `salam perkenalannya’ itu, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menitikberatkan penguasaan bola dengan memberikan peranan selaku pemain nombor 10 kepada Henrikh Mkhitaryan.

Corak permainan United ketika berdepan Wigan lebih mirip kepada apa yang pernah diterapkan Louis Van Gaal tetapi penguasaan bola mereka lebih direct dan dalam tempo yang tinggi. Pemain-pemain muda United warisan Van Gaal pula bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut sekaligus menghadirkan harapan kepada Mourinho bahawa musim pertamanya di Old Trafford akan berjalan dengan lancar.

Tapi itu cerita empat bulan lalu kerana Mourinho kini saya yakin mula menyedari betapa sukarnya menguruskan kelab bernama Manchester United. Masalah sebenar Mourinho bukan sekadar taktikal, tuah dan ketatnya persaingan di Liga Perdana tetapi bagaimana caranya beliau mahu menghakis bayang-bayang Sir Alex Ferguson dari `tubuh’ Manchester United. Hal inilah yang gagal dilakukan David Moyes dan Van Gaal hingga mengakibatkan mereka terpaksa disingkirkan.

Selepas penyingkiran Van Gaal, United memberikan kontrak lumayan selama tiga tahun kepada Mourinho apatah lagi ketika itu beliau masih menganggur selepas dipecat sebagai pengurus Chelsea. Dibekalkan dengan dana yang cukup besar, Mourinho tanpa berlengah menandatangani Eric Bailly, Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba sambil merombak susunan staf kejurulatihan kelab.

Van Gaal dan Mourinho keluar dari kebiasaan Sir Alex apabila mereka membelanjakan wang yang begitu banyak untuk membeli pemain-pemain baharu. Semasa era Sir Alex sebagai pengurus, adalah satu keajaiban jika beliau membelanjakan £70 hingga £90 juta hanya untuk seorang pemain tetapi itulah yang dilakukan Van Gaal serta Mourinho. Van Gaal membelanjakan lebih £60 juta untuk sosok bernama Angel Di Maria manakala Mourinho pula memecahkan rekod dunia bila beliau membawa pulang Paul Pogba ke Old Trafford.

Jika dilihat rekod silam Van Gaal dan Mourinho, mereka memang dianggap orang yang tepat bagi menggalas tugas besar selaku penerus legasi gemilang yang pernah ditinggalkan Sir Alex. Baik Van Gaal mahupun Mourinho, mereka memiliki jejak kejayaan yang mengagumkan serta punya falsafah bolasepak sendiri yang menjadikan mereka sebagai antara pengurus paling berjaya.

Ricardo Carvalho yang juga merupakan bekas anak didik Mourinho percaya, beliau mampu mengembalikan semula kegemilangan United malah lebih dari itu Carvalho meletakkan bekas mentornya itu sebagai `Sir Alex Ferguson Baru’. Benarkah begitu? Jika dilihat rekod kejayaan Mourinho sebagai pengurus, saya tanpa ragu akan mengatakan bahawa beliaulah orang yang tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan yang hilang selama tiga musim sejak persaraan Sir Alex.

Menyaksikan cara United bermain di bawah kendalian Mourinho setakat ini, saya akui ada perubahan besar berbanding skuad United di bawah kendalian Van Gaal. Cuma seperti yang saya sebutkan tadi, hanya tuah yang masih tidak menyebelahi United meskipun mereka bermain dengan baik. Semalam (menentang Arsenal) perkara yang sama berlaku lagi apabila United dinafikan dari memungut tiga mata penuh meskipun mereka bermain baik sepanjang perlawanan.

Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Stoke, Burnley dan Arsenal? Akhirnya kita terpaksa mengakui dalam bolasepak selain prestasi baik di atas padang, faktor tuah adakalanya turut memainkan peranan besar dalam menentukan nasib sesebuah pasukan. Itulah yang terpaksa Mourinho dan anak-anak buahnya hadapi sekarang sambil berharap tuah akan segera mendampingi mereka semula dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.

Masih terlalu awal untuk Mourinho dihakimi dan masih terlalu awal juga untuk menafikan peluang United kembali mencabar kejuaraan liga yang kali terakhir mereka menangi pada 2013. Walaupun sedikit kecewa dengan satu lagi keputusan seri semalam namun saya kekal optimis bahawa United akan bangkit dan kembali mencapai kemenangan. Sambil itu berharaplah agar tuah tidak akan lagi menjauhi Mourinho dan anak-anak buahnya selepas ini...Glory Glory Manchester United!!! - AJ