28 Mei 2017

REVIEW MUSIM 2016/17 (BAHAGIAN 1): BERMULANYA ERA MOURINHO



Selepas dua musim berada di Old Trafford, Louis Van Gaal akhirnya dipecat meskipun di musim terakhirnya, beliau berjaya meletakkan semula trofi Piala FA di dalam kabinet kejuaraan United. Berjaya mengemudi kelab memenangi kembali Piala FA selepas 12 tahun tetap gagal menyelamat karier Van Gaal sebagai pengurus United apatah lagi corak permainan The Red Devils di bawah kendalian beliau menjadi sasaran kritikan hebat dari para penyokong.

Pada Mei 2016, kelab akhirnya mengumumkan Jose Mourinho sebagai pengganti Van Gaal sekaligus beliau muncul pengurus ketiga United pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Meskipun enam bulan sebelumnya beliau dipecat sebagai pengurus Chelsea, pihak pengurusan United tetap melihat Mourinho sebagai individu paling berpotensi untuk mengembalikan semula era kegemilangan kelab dan menjadikan barisan The Red Devils kembali ditakuti.

Langkah Awal Mourinho...

Sebagai pengurus berprofil tinggi, Mourinho tidak berdepan masalah mendapatkan pemain-pemain ternama yang beliau inginkan. Langkah pertama yang beliau lakukan ialah menandatangani Eric Bailly dari Villarreal bagi mengukuhkan benteng pertahanan United. Pada awal bulan Julai, giliran Zlatan Ibrahimovic pula tiba di Old Trafford menerusi perpindahan percuma selepas penyerang unggul Sweden itu mengambil keputusan meninggalkan kota Paris.

Selepas berpuas hati dengan kekuatan benteng pertahanan dan ketajaman di barisan hadapan menerusi kehadiran Bailly dan Ibra, tiba pula masanya untuk beliau menambahkan kreativiti di bahagian tengah. Untuk itu, beliau mengarahkan radarnya ke Signal Iduna Park pula dengan menjadikan Henrikh Mkhitaryan sebagai sasaran.

Tarikan United sebagai antara kelab besar Eropah serta aura Mourinho sebagai pengendali tidak mampu ditolak Mikhi dan pada 6 Julai 2016, beliau akhirnya menandatangani kontrak bersama kelab, hanya lima hari selepas ketibaan Ibra. Sebulan selepas itu, Mourinho melakukan pembelian paling sensasi sepanjang musim panas lalu apabila beliau berjaya membawa kembali Paul Pogba ke Old Trafford.

Khabar-khabar angin tentang kemungkinan kembalinya Pogba ke pangkuan kelab selepas empat tahun beliau meninggalkan Old Trafford yang dibualkan selama berbulan-bulan oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan. United melepaskan Pogba secara percuma pada 2012 tetapi mereka terpaksa memecahkan rekod perpindahan dunia milik Gareth Bale untuk mendapatkan kembali khidmat pemain tengah itu.

Pemain Yang Dilepaskan...

Sepanjang musim lalu, Mourinho melakukan `pembersihan’ dengan melepaskan tujuh pemain dari skuad utama United. Victor Valdes, Memphis Depay, Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger antara pemain senior yang menjadi mangsa. Manakala sembilan pemain muda pula diberikan peluang untuk bertebaran mencari pengalaman dengan menyertai kelab-kelab liga bawahan domestik mahupun sekitar Eropah.

Trofi Pertama...

Selepas menamatkan kempen pra musim mereka, tiba waktunya buat Mourinho menguji sejauh mana kemampuan barisan yang dimilikinya untuk mengharungi musim kompetitif yang panjang. Leicester City selaku juara bertahan Liga Perdana muncul ujian pertama United sebelum menghadapi musim baharu dan trofi Perisai Komuniti ditawarkan sebagai ganjaran kepada pemenang.

Aksi yang dilangsungkan di Wembley pada 7 Ogos itu menyaksikan United keluar sebagai pemenang menerusi ledakan Jesse Lingard dan Zlatan Ibrahimovic manakala Jamie Vardy pula menjaringkan gol tunggal The Foxes. Kejayaan menjulang trofi Perisai Komuniti juga boleh dianggap langkah kanan buat Mourinho pada musim pertamanya di Old Trafford.

Kejuaraan Piala Liga Kelima...

Selepas kejayaan mengemudi kelab memenangi trofi Perisai Komuniti, Mourinho meneruskan `sentuhan emasnya’ apabila sekali lagi berjaya membawa barisan United mara ke Wembley. Kali ini Piala Liga pula menjadi buruan dan Southampton menjadi lawan mereka di final. Dalam laluan ke final kali ini, United menyingkirkan Northampton Town, Manchester City, West Ham dan Hull City.

Meskipun kelab-kelab seperti Arsenal, Chelsea dan Manchester City mengambil pendekatan dengan menurunkan barisan `kedua’ mereka dalam kejohanan ini, Mourinho pula melihat Piala Liga sebagai kejuaraan penting yang wajib United menangi. Akhirnya menerusi dua gol jaringan Ibra dan satu gol sumbangan Lingard, United menewaskan Southampton (3-2) di final.

Ini merupakan kejuaraan Piala Liga pertama United dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir mereka menjulang trofi tersebut pada 2010 dan juga kejuaraan kelima sepanjang sejarah kelab. Bagi Mourinho pula, kejuaraan Piala Liga kali ini merupakan kejuaraan keempat beliau sebagai pengurus (3 kali bersama Chelsea) sekaligus menyamai pencapaian Brian Clough dan Sir Alex Ferguson.

Prestasi United Dalam Saingan Liga...

United bermula dengan baik dalam saingan liga selepas mereka mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut ketika menentang Bournemouth, Southampton dan Hull City. Bagaimanapun keyakinan di awal musim untuk menyaksikan kelab kembali mencabar kejuaraan liga disentap jiran sekota selepas United tewas 1-2 dalam aksi `Manchester Derby’ yang dilangsungkan di Old Trafford pada 10 September 2016.

Selepas aksi `Manchester Derby’, United mengharungi 34 perlawanan liga dengan catatan 15 kemenangan, 15 keputusan seri dan empat kekalahan. Sudah tentu kekalahan 0-4 ketika barisan Mourinho berkunjung ke Stamford Bridge merupakan kekalahan terbesar yang dialami mereka dalam saingan liga musim lalu.

Sepanjang saingan liga musim lalu, United menang 18 perlawanan, seri 15 dan kalah lima kali. 18 kemenangan yang diraih barisan Jose Mourinho itu menyaksikan mereka merakam catatan negatif pada musim pertama beliau di Old Trafford. Catatan ini sebenarnya merupakan catatan kemenangan terendah dalam semusim yang diraih kelab dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana.

Untuk rekod pada musim 1990-91, United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson cuma mencatatkan 16 kemenangan dalam saingan liga, tetapi catatan kemenangan terendah itu sebenarnya berlaku semusim sebelum Liga Perdana diperkenalkan. Manakala pada musim 2013-14 dan musim 2015-16 pula United mencatatkan 19 kemenangan ketika kelab di bawah kendalian David Moyes dan Louis Van Gaal.

Rekod negatif ini juga sebenarnya turut dibantu oleh banyaknya keputusan seri (16 kali) yang dicatatkan United terutamanya ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri. Sepuluh keputusan seri ketika United beraksi di Old Trafford satu kerugian yang sangat besar dan penyebab utama mengapa mereka gagal berada di kedudukan posisi empat teratas.

United Beradaptasi Dengan Taktik Mourinho...

Jika anda mengimpikan United bermain bolasepak menarik di era Mourinho, lupakan sahaja hasrat itu kerana bagi beliau kemenangan mengatasi segalanya. Atas sebab itulah mengapa beliau sering dilabel sebagai seorang pengurus yang `pragmatik’ dalam dunia bolasepak kerana sering mengetepikan permainan menarik demi sebuah kemenangan.

Terpulang kepada mana-mana individu untuk menilai apa itu permainan bolasepak menarik kerana hal ini sebenarnya agak subjektif untuk dibincangkan. Sebagai contoh, ketika ramai yang memuji corak permainan tiki taka Barcelona di era Pep Guardiola sebagai mempesonakan, Massimo Moratti pula beranggapan sebaliknya.

Bagi bekas Pengerusi Inter Milan itu, tiki taka yang meresap dalam permainan Barca sangat membosankan untuk ditonton. Menurut Moratti, beliau lebih gemar menyaksikan permainan bolasepak pantas menerusi tiga atau empat kali umpanan yang kemudiannya disudahkan dengan percubaan ke arah gawang lawan.

Secara peribadi, saya beranggapan corak permainan United musim lalu jauh lebih menarik berbanding era Van Gaal. Cuma masalah terbesar yang dihadapi United ialah kebergantungan mereka kepada sentuhan penyudah Ibra dan kurangnya ketajaman dalam menyudahkan peluang hingga menyaksikan mereka mencatat 15 keputusan seri.

Jika aspek ketajaman penyudah dapat diperbaiki dan United berjaya menandatangani pemain sesuai untuk diletakkan di barisan hadapan, percayalah musim depan Mourinho bakal memiliki skuad yang lebih lengkap dan kuat berbanding apa yang beliau miliki sekarang.

Musim lalu, United secara perlahan-lahan sudah mula beradaptasi dengan falsafah bolasepak Mourinho. Sejak kekalahan besar 0-4 di Stamford Bridge pada bulan Oktober, United kemudiannya mengharungi tempoh enam bulan tanpa sebarang kekalahan dalam saingan liga.

Keputusan seri yang dicatatkan ketika berdepan Swansea City 30 April lalu membolehkan United melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 25 perlawanan. Angka itu juga menyaksikan mereka berjaya meleburkan rekod 24 perlawanan tanpa kalah yang dilakukan barisan 2010-11 pimpinan Sir Alex Ferguson.

25 perlawanan tanpa kalah merupakan rekod baru kelab, tetapi lebih daripada itu saya melihat United sebenarnya sudah mula menyerap falsafah bolasepak Mourinho hingga menyaksikan mereka muncul pasukan yang sukar dikalahkan. Lihat juga bagaimana aksi mereka di pentas final Piala Liga dan Liga Europa.

United tidak mempamerkan corak permainan menarik ketika mereka menewaskan Southampton di final Piala Liga dan hal yang sama juga berlaku di final Liga Europa, tetapi akhirnya The Red Devils tetap keluar sebagai pemenang selepas mereka memanfaatkan kelemahan lawan menerusi strategi tepat yang digunakan Mourinho.


Bagi penyokong United yang menitik beratkan corak permainan bolasepak menarik, anda mungkin boleh memaafkan Mourinho selepas melihat dua kejuaraan major berjaya dimenangi kelab pada musim pertama beliau sebagai pengurus selain tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan