22 Mei 2017

PREVIEW FINAL LIGA EUROPA: MAMPUKAH BARISAN BERPENGALAMAN UNITED MENANGANI `TOTAALVOETBAL’ AJAX



Bagi penyokong-penyokong Manchester United ini merupakan perlawanan `terbesar’ bagi mereka dalam tempoh enam tahun sejak kali terakhir barisan kendalian Sir Alex Ferguson beraksi di pentas final Liga Juara-Juara pada 2011. Meskipun `kegilaannya’ mungkin tidak setanding ketika kita menyaksikan barisan United beraksi di empat pentas final Liga Juara-Juara sebelum ini, Liga Europa kini menjadi kejuaraan terakhir dan kejuaraan yang wajib dimenangi barisan The Red Devils bagi menyelamat musim `serba tidak kena’ mereka.

Semuanya berpunca dari kegagalan mereka berada di posisi empat teratas Liga Perdana bagi membolehkan kelab beraksi kembali di Liga Juara-Juara musim depan sama ada menerusi slot automatik atau perlu mengharungi perlawanan play off. Jadi misi di Friends Arena nanti boleh juga dianggap `misi hidup dan mati’ United musim ini kerana kegagalan di final bakal menjadi penamat paling tragik pada musim pertama Mourinho di Old Trafford.

Pertembungan Antara Dua Darjat...

Ketika undian peringkat separuh akhir dilakukan bulan lalu, saya secara peribadi memilih Olympique Lyon sebagai lawan United di pentas final. Bagaimanapun Ajax menerusi barisan pemain-pemain muda melakukan kejutan selepas mereka menyingkirkan Lyon untuk mara ke Friends Arena. Ini merupakan kejutan kedua yang dilakukan barisan Peter Bosz selepas kejayaan mereka melepasi halangan Schalke 04 di peringkat suku akhir menerusi cara yang cukup dramatik.

Berbanding United yang dibarisi nama-nama besar, saya yakin tidak ramai di antara kita yang mengenali siapa Kasper Dolberg, Amin Younes, Justin Kluivert atau Mathijs de Ligt dalam skuad Ajax hinggalah selepas kejayaan mereka menyingkirkan skuad lebih berpengalaman seperti Schalke dan Lyon dalam laluan ke final. Berbanding United yang dibentuk hasil dari pelaburan besar, Bosz pula membangunkan Ajax menerusi bakat-bakat muda kelahiran akademi mereka.

Ketika United masih tercari-cari rentak sebenar yang pernah menyaksikan mereka diletakkan antara pasukan digeruni di Eropah suatu ketika dahulu, Ajax pula bertunjangkan barisan muda muncul antara pasukan paling menarik disaksikan aksi mereka dalam saingan Liga Europa musim ini. Lihat bagaimana agresifnya anak-anak muda Ajax ini bermain menerusi falsafah `totaalvoetbal’ sekaligus mengingatkan saya kembali kepada skuad 1995 mereka yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara di Vienna.

Reputasi Mourinho Menjadi Pertaruhan...

Langkah Mourinho melepaskan misi posisi empat teratas di penghujung musim agar skuadnya lebih fokus pada final Liga Europa dianggap satu perjudian yang besar oleh para pengkritiknya. Krisis kecederaan pemain, jadual padat selain persaingan sengit empat penjuru membabitkan United, Manchester City, Liverpool dan Arsenal untuk dua lagi slot di posisi empat teratas sebenarnya menganggu rencana Mourinho di liga domestik.

Kini reputasi Mourinho selaku antara pengendali unggul dipertaruhkan sepenuhnya sebaik barisan pemainnya melangkah masuk ke Friends Arena nanti. Jika berjaya menjulang trofi Liga Europa, Mourinho bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pengurus United pertama berjaya memenangi kejuaraan tersebut, tetapi kejayaan di Friends Arena juga akan menutup segala `kegagalan’ beliau pada musim pertamanya di Old Trafford.

Antara Pragmatisme Mourinho Dan `Totaalvoetbal’ Ajax...

United di bawah era Mourinho saya anggap pasukan yang sukar diramal. Adakalanya mereka bermain bolasepak menyerang yang menarik, adakalanya mereka juga membosankan. Lihat bagaimana aksi mereka pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir di Old Trafford menentang Celta Vigo sebagai contoh terbaik. Di Old Trafford, United memiliki segala kelebihan dalam tangan dan boleh membunuh perjuangan Celta lebih awal tetapi mereka akhirnya memilih untuk bermain secara bertahan hingga membenarkan lawan menguasai permainan.

Mourinho sering dilabel sebagai seorang `pengurus yang pragmatik’ kerana bagi beliau kemenangan adalah jauh lebih penting walaupun barisan kendaliannya tidak mempamerkan corak permainan bolasepak menarik. Falsafah Mourinho sudah menyerap masuk dalam permainan United di mana hasilnya mereka pernah mengharungi tempoh enam bulan tanpa kalah dalam saingan liga sejak kali terakhir tewas di Stamford Bridge Oktober tahun lalu.

Ajax pula kini dianggap bukan lagi tergolong dalam kelompok kelab gergasi Eropah walaupun 22 tahun lalu mereka pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara menerusi barisan `hampir sempurna’ yang dimiliki Louis Van Gaal. Jika dibandingkan skuad juara 1995 Ajax dengan barisan yang ada sekarang tentulah jurangnya umpama langit dan bumi. Meskipun begitu, Bosz berjaya mengangkat prestasi Ajax berbekalkan bakat muda cetek pengalaman tetapi memiliki `energy’ dalam permainan mereka.

Di bawah kendalian Frank de Boer, beliau menerapkan falsafah penguasaan bola dalam permainan Ajax tetapi dalam masa juga mereka kelihatan agak lambat ketika menyerang hingga memberikan lawan waktu yang cukup untuk menutup ruang. Bosz bagaimanapun mengubah pendekatan tersebut sebaik beliau mengambil alih posisi pengendali dari de Boer. Corak permainan Ajax kini lebih pantas, bermula ketika mereka merebut penguasaan bola, aliran bola yang lebih lancar dari sisi ke sisi hinggalah ketika mereka memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.

Meskipun tewas kepada Feyenoord dalam perebutan kejuaraan Eredivisie musim ini, Ajax di bawah kendalian Bosz mencipta purata 15.19 peluang dan menjaringkan 2.29 gol per perlawanan, sekaligus melangkaui catatan dua musim terakhir ketika mereka di bawah kendalian de Boer. Sangat menarik untuk kita saksikan bagaimana Mourinho yang dilabel sebagai `pragmatik’ menerusi barisan lebih berpengalaman yang beliau miliki menangani pendekatan ‘totaalvoetbal’ yang diamalkan Bosz di final nanti.

Pertembungan Rashford Dan Dolberg...

Marcus Rashford membuktikan bahawa beliau merupakan prospek penyerang masa hadapan United menerusi penampilan mempesonakan sejak mengambil alih posisi Zlatan Ibrahimovic selepas bintang Sweden itu terkeluar dari baki saingan musim ini akibat kecederaan. Selain boleh bertindak sebagai penyerang tengah, Rashford juga boleh memainkan peranannya di sisi kiri atau kanan bila diperlukan.

Dianugerahkan dengan skill kawalan bola yang sangat bagus sambil dibantu kepantasan ketika melakukan larian, Rashford merupakan tipikal penyerang yang gemar berdepan satu lawan satu dengan pertahanan lawan sebelum beliau menewaskan mereka. Bijak meletakkan dirinya di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang antara aset yang dimiliki Rashford dalam permainannya.

Lenggoknya ketika memecah masuk ke kubu lawan tidak langsung menggambarkan bahawa Rashford hanyalah pemuda yang baru berusia 19 tahun, jadi bayangkan kemusnahan apa yang mampu beliau lakukan terhadap mana-mana pertahanan lawan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Di Friends Arena nanti, saya jangkakan Rashford bakal diberikan perhatian khusus oleh Davinson Sanchez.

Jika United memiliki Rashford sebagai sandaran di barisan hadapan, harapan Ajax pula sudah pasti diletakkan di bahu Kasper Dolberg selaku penggempur. Seusia dengan Rashford, Dolberg dilabel sebagai `Marco Van Basten Baharu’ kerana kemampuan beliau menjaringkan gol dari pelbagai situasi. Perpindahan Arkadiusz Milik ke Napoli membuka ruang buat Dolberg merebut tempat dalam kesebelasan utama Ajax pimpinan Bosz.

Label sebagai `Van Basten Baharu’ yang diberikan kepada beliau bukan sebarangan kerana selain memiliki postur tubuh mirip penyerang terbilang Belanda itu, sebagai penyerang Dolberg juga memiliki pergerakan yang sangat bagus sama ada dengan atau tanpa bola. Sama seperti Rashford, Dolberg bukan sahaja boleh bertindak sebagai penyerang tengah tetapi juga boleh bergerak dari sebelah tepi malah kadangkala digunakan Bosz sebagai `playmaker’.

Formasi Dan Kesebelasan United...

Kecuali Eric Bailly yang terlepas perlawanan akhir ini kerana penggantungan, dijangkakan tidak banyak perubahan dilakukan Mourinho terhadap kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan nanti. Jika diberikan peluang memilih, saya lebih gemar melihat Phil Jones dan Daley Blind bergandingan di posisi pertahanan tengah, Antonio Valencia serta Matteo Darmian berperanan sebagai bek kanan dan kiri manakala Sergio Romero pula akan dipertaruhkan sebagai penjaga gawang.

Di bahagian tengah pula menerusi formasi 4-3-2-1, trio Marouane Fellaini, Ander Herrera dan Paul Pogba akan membarisi posisi tersebut sambil Henrikh Mkhitaryan serta Jesse Lingard bergerak di sisi kanan dan kiri. Sudah tentu Marcus Rashford yang memiliki kelajuan serta kawalan bola bagus akan menjadi sandaran utama Mourinho selaku penggempur di bahagian hadapan.

Formasi Dan Kesebelasan Ajax...

Jika Mourinho tidak dapat menurunkan Eric Bailly akibat penggantungan, begitu juga dengan Bosz yang kehilangan khidmat Nick Viergever di posisi bek kiri. Viergever terpaksa melupakan hasrat bermain di final Liga Europa kerana layangan kad merah yang diterima beliau ketika berdepan Lyon di Parc Olympique Lyonnais, 12 Mei lalu. Jika dilihat kepada kesebelasan yang diturunkan Bosz pada aksi terakhir Eredivisie menentang Willem II, besar kemungkinan Jairo Riedewald yang baru berusia 20 tahun akan mengisi posisi ditinggalkan Viergerver.

Menerusi formasi 4-3-3 yang sering digunakan Bosz, beliau dijangka bakal meletakkan kuartet Joel Veltman, Davinson Sanchez, Mathijs de Ligt dan Jairo Riedewald di benteng pertahanannya. Jika dilihat kepada kecenderungan Bosz ketika berdepan perlawanan-perlawanan penting musim ini, beliau hampir pasti memilih trio Davy Klaassen, Lasse Schone dan Hakim Ziyech untuk mengisi posisi di bahagian tengah. Sementara Bertrand Traore, Kasper Dolberg dan Amin Younes pula akan melengkapkan formasi Bosz selaku trio di barisan hadapan.

Perhitungan Terakhir...

United menamatkan saingan musim 2016-17 di posisi keenam liga, manakala Ajax pula terpaksa menerima hakikat barisan muda mereka tewas tipis kepada Feyenoord dalam perebutan kejuaraan Eredivisie. Jika diambilkira kedudukan United dalam carta liga, mereka tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan tetapi kejuaraan Liga Europa akan memberikan tiket kepada The Red Devils kembali bersaing bersama gergasi-gergasi Eropah yang lain di pentas tertinggi itu.

Ajax pula sudah tentu mahukan kejuaraan ini (Liga Europa) bagi mengubat luka akibat kegagalan menjulang kejuaraan Eredivisie selepas tewas melalui perbezaan hanya satu mata kepada Feyenoord. Jika diimbas rekod silam, Mourinho tidak pernah tewas kepada Ajax dalam enam pertemuan ketika beliau bertindak selaku pengendali Real Madrid (kesemua enam pertemuan itu berlaku di Liga Juara-Juara). Dan semoga rekod baik itu diteruskan beliau di Friends Arena nanti kerana suasana serta tekanan bermain di final bukanlah terlalu asing buat beliau.

Bagaimana barisan kendalian Mourinho bermain atau strategi yang bakal digunakan beliau ketika berdepan Ajax nanti itu soal kedua, kerana penting untuk United menutup tirai musim ini selaku juara baharu Liga Europa. Perisai Komuniti dan Piala Liga bukanlah ukuran terbaik untuk kelab sebesar United yang dikemudikan oleh pengendali berprofil tinggi seperti Mourinho. Semoga pada detik 25 Mei ini, barisan The Red Devils membuktikan bahawa mereka adalah lawan yang terlalu besar buat barisan muda Ajax dan kejuaraan Liga Europa petanda bahawa gergasi ini sudah bangkit dari tidurnya...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan