Bermacam-macam reaksi yang timbul selepas
Manchester United tewas dua kali berturut-turut dalam saingan liga. 7 Mei lalu,
rekod 25 perlawanan tanpa kalah mereka berakhir di tangan Arsenal selepas
barisan kendalian Jose Mourinho tewas 0-2 di Emirates. Seminggu selepas itu,
kunjungan United ke London sekali lagi berakhir dengan kekalahan, kali ini
mereka tewas pula di tangan Tottenham Hotspurs yang bermain buat kali terakhir
di White Hart Lane.
Sebelum itu, United mencatatkan dua keputusan
seri (berturut-turut) ketika mereka berdepan Manchester City dan Swansea City
yang menyaksikan misi Mourinho mahu meletakkan kelab di posisi empat teratas
kian kabur. Akhirnya dua kekalahan yang dialami United pada dua aksi terakhir
mereka menguburkan terus sebarang harapan mahu menyaksikan kelab bersaing di
Liga Juara-Juara musim depan menerusi tiket empat pasukan teratas.
Dilema
Mourinho...
Jadual padat yang terpaksa dihadapi skuadnya
ditambah pula dengan beberapa siri kecederaan yang menimpa pemain-pemain
utamanya, menyaksikan Mourinho mula berpaling dari misi beliau untuk meletakkan
United di posisi empat teratas. Kecederaan serentak yang dialami Zlatan
Ibrahimovic dan Marcos Rojo ketika United berdepan Anderlecht 21 April lalu
menjejaskan percaturan beliau dalam saingan liga.
Dengan baki pemain utama yang cergas semakin
berkurangan serta jadual padat sepanjang April lalu yang terpaksa dihadapi
United, Mourinho sedar sukar untuk barisan pemain-pemainnya mengekalkan fokus
bersaing di dua pentas berbeza dalam satu masa. Akhirnya posisi empat teratas
terpaksa dilupakan dan Mourinho mula melakukan penggiliran pemain secara
drastik pada dua aksi terakhir United di Liga Perdana.
Liga
Europa Jalan Terakhir Ke Liga Juara-Juara...
Ketika pintu beraksi ke Liga Juara-Juara
menerusi tiket empat teratas Liga Perdana sudah tertutup rapat, Murinho
nampaknya perlu memikirkan apa sahaja cara yang perlu untuk membawa United
keluar sebagai pemenang dalam aksi final Liga Europa di Friends Arena, 25 Mei
ini.
Ganjaran beraksi di Liga Juara-Juara sebagai
pemenang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan Mourinho, tambahan pula
United sendiri tidak pernah memenangi trofi ini dalam sejarah mereka.
Kesempatan ini juga peluang buat beliau mencipta nama sebagai pengurus pertama
United yang berjaya memenangi trofi ini.
Paling
Sibuk Di Eropah Dalam Tempoh Dua Bulan Terakhir...
Sepanjang April hinggalah ke perlawanan akhir
Liga Europa nanti, United terpaksa mengharungi 16 perlawanan sebelum menutup
tirai kempen musim ini, sekaligus menyaksikan mereka muncul barisan paling
sibuk berbanding mana-mana pasukan di liga utama Eropah yang lain. 16
perlawanan dalam jangka waktu 54 hari atau lebih tepatnya United terpaksa
bermain purata satu perlawanan dalam tempoh 3.76 hari.
Juventus dan Real Madrid, dua finalis Liga
Juara-Juara musim ini pula berkongsi kedudukan di tangga kedua apabila mereka
terpaksa mengharungi 16 perlawanan dalam jangka masa 63 hari (purata satu
perlawanan dalam tempoh 3.93 hari). Manakala Ajax pula, lawan United di pentas
final Liga Europa nanti memiliki purata satu perlawanan dalam tempoh 4.42 hari.
Melepaskan
Posisi Empat Teratas Satu Tindakan Bijak?...
Gagal berada di posisi empat teratas tetap
mencalar imej United selaku kelab besar di Liga Perdana, tambahan pula selepas
menyaksikan begitu banyak wang yang sudah dilaburkan Mourinho untuk
memperkuatkan skuadnya musim ini. Bagaimanapun dalam situasi sekarang, Mourinho
selaku pengendali terpaksa memilih misi mana yang harus beliau letakkan di
tempat teratas.
Dengan skuad `tempang’ yang dimilikinya
berikutan krisis kecederaan beberapa pemain utama, selain jadual padat yang
terpaksa diharungi barisan pemainnya, Mourinho melihat Liga Europa jalan paling
realistik untuk membawa United kembali beraksi di Liga Juara-Juara. Kedudukan
dalam carta liga dan persaingan sengit untuk perebutan posisi tempat teatas
menyukarkan lagi misi United menamatkan musim ini selaku empat pasukan terbaik
Liga Perdana.
Jadi suka atau tidak, United terpaksa
melupakan posisi empat teratas dengan membiarkan Manchester City, Arsenal dan
Liverpool bersaing sesama sendiri merebut dua lagi slot yang tinggal. Motivasi
United di pentas domestik sudah berkubur dan itulah yang dipamerkan The Red Devils pada dua aksi terakhir
mereka ketika menentang Arsenal dan Spurs.
Agak mengecewakan melihat bagaimana hambarnya
permainan United dalam dua perlawanan itu, tetapi dalam masa yang sama kita
perlu mengakui bahawa peluang menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena
nanti jauh lebih penting berbanding menamatkan musim di posisi keempat liga.
Hanya kejuaraan Liga Europa mampu menjawab pertanyaan sama ada bijakkah
tindakan Mourinho melepaskan posisi empat teratas?
Fokus
Kini Terarah Di Friends Arena...
Sama ada United menang atau tidak pada baki
dua aksi mereka dalam saingan liga selepas ini, hal tersebut bagi saya tidak
penting lagi. Ketika Ajax yang menjadi lawan United di final Liga Europa sudah
menamatkan saingan Eredivisie lebih awal dan memiliki tempoh sepuluh hari untuk
membuat persiapan rapi, Mourinho pula mendapati barisan pemainnya masih lagi terpaksa
bersaing di liga domestik.
Jika Mourinho mahu memberikan penampilan
penuh kepada beberapa pemain mudanya, dua perlawanan terakhir liga adalah waktu
terbaik untuk beliau melakukannya. Bagaimanapun saya berharap misi United yang
tamat lebih awal di liga domestik tidak akan menjejaskan momentum mereka
menjelang aksi final Liga Europa nanti.
Menamatkan saingan liga di tangga keenam,
selain kejuaraan Piala Liga dan Perisai Komuniti yang berjaya dimenangi mungkin
pencapaian yang cemerlang untuk kelab seperti Everton atau Southampton, tetapi
tidak bagi United. Tangga keenam ialah kegagalan untuk kelab yang punya sejarah
gemilang seperti United tetapi mujur jugalah trofi Piala Liga memberikan kita
sedikit penawar.
25 Mei ini, Mourinho berpeluang untuk menutup
`cerita dukanya’ di liga domestik dengan syarat skuad kendalian beliau wajib
menang pertempuran menentang Ajax di Friends Arena dan menjulang trofi Liga
Europa di sana. Kejuaraan Liga Europa dengan slot automatik ke Liga Juara-Juara
sebagai ganjaran merupakan misi terakhir yang perlu disempurnakan The Red Devils bagi menyelamatkan musim
mereka.
Sebelum penilaian dilakukan pada musim
pertama Mourinho bersama kelab, biarkan dahulu beliau fokus mempersiapkan
barisan terbaiknya dan memikirkan strategi paling berkesan bagi memerangkap
skuad muda Ajax di final nanti. Cukuplah cuma semusim gagal beraksi di Liga
Juara-Juara kerana kita mahu melihat United kembali beraksi di pentas tertinggi
kelab-kelab Eropah itu musim depan kerana di sanalah mereka sepatutnya berada.
Pada 26 Mei 1999, Samuel Kuffour menangis
bagaikan anak kecil di Nou Camp selepas kemenangan yang hampir dalam genggaman
diragut oleh United secara dramatik. Sembilan tahun selepas itu giliran John
Terry pula terpaksa ditenangkan rakan-rakan sepasukannya di Moscow sebaik Edwin
Van der Sar menafikan sepakan penalti terakhir Nicholas Anelka. Adakah selepas
sembilan tahun giliran barisan muda Ajax pula menangis dan kota Stockholm menjadi
saksi tangisan kegagalan mereka di pentas final?...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan