Jose Mourinho menamatkan musim pertamanya di
Old Trafford dengan cara yang boleh saya anggap `hampir sempurna’ selepas
barisan kendalian beliau menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam
sejarah kelab. Meskipun kejayaan di Stockholm awal pagi tadi tidak mampu menandingi
pencapaian `Treble 99’, musim ini United tetap berjaya menambah tiga trofi
dalam kabinet kejuaraan mereka di bawah era Mourinho.
Perisai Komuniti, Piala Liga dan kejuaraan
Liga Europa yang berjaya dimenangi musim ini boleh dianggap sebagai `Treble
Kecil’ dan sudah tentu kejayaan menjulang trofi Liga Europa merupakan langkah
pertama United untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Selepas
sekadar menamatkan saingan liga di tangga keenam, kejuaraan Liga Europa penting
buat Mourinho untuk memadam kehampaan dalam saingan liga domestik.
Pengalaman
Akhirnya Menjadi Penentu...
Meskipun pada awalnya timbul sedikit keraguan
tentang kemampuan kelab menangani cabaran barisan muda Ajax Amsterdam, pengalaman
akhirnya menjadi jurang pemisah paling ketara antara pasukan yang menang dan
yang kalah di Friends Arena awal pagi tadi. Sepertimana dijangka sejak awal,
Ajax menerusi pendekatan `Totaalvoetbal’
mereka mendominasi penguasaan bola walaupun di awal permainan United jelas barisan
yang lebih berbahaya.
Ajax kendalian Peter Bosz mempamerkan
permainan bolasepak ofensif yang sangat menghiburkan tetapi kekurangan
pengalaman menyebabkan mereka seperti hilang idea setiap kali masuk ke dalam
petak penalti lawan. Kredit juga wajar diberikan kepada barisan pertahanan
United yang berjaya mengunci setiap pergerakan Kasper Dolberg hinggakan `Next
Van Basten’ itu `hilang’ sepanjang 62 minit aksinya di atas padang.
Ajax sangat bagus ketika memberikan tekanan
dan ketika melakukan gerakan, tetapi secara peribadi saya menganggap United
lebih berbahaya ketika mereka memiliki peluang. Sepanjang perlawanan Ajax
menguasai 64% penguasaan bola, mencipta 12 peluang jaringan dan melepaskan 17
percubaan berbanding United (36% penguasaan bola, mencipta lima peluang dan
melakukan 7 percubaan).
Bagaimanapun United memanfaatkan sepenuhnya
peluang terhad yang mereka perolehi walaupun lawan menguasai segenap penjuru
padang menerusi sentuhan Paul Pogba dan Henrikh Mkhitaryan di minit ke-18 dan
48. Melihat kegagalan barisan hadapan Ajax memanfaatkan peluang sepanjang
permainan, saya menganggap United sebenarnya sudah menjulang trofi Liga Europa
sebaik Pogba menjaringkan gol pertama lagi.
Akur
Sajalah Klaassen...
Kapten Ajax, Davy Klaassen mengkritik
permainan bertahan United dan hantaran-hantaran lambung yang dilakukan mereka
sepanjang permainan. Ya, saya akui ini bukanlah permainan terbaik, juga bukan
permainan menghiburkan yang dipamerkan barisan kendalian Mourinho terutamanya
dalam perlawanan akhir seperti ini.
Bagaimanapun sebelum menunding jari kepada
pasukan lawan, Klassen sepatutnya terlebih dahulu menyalahkan rakan sepasukan
di barisan hadapan yang gagal menghadirkan ancaman kepada Sergio Romero sebagai
penyebab utama mengapa Ajax bungkam di Friends Arena.
Mereka menguasai lebih 60% perlawanan dan
mencipta lebih banyak peluang tetapi United jelas pasukan yang lebih efektif
ketika berada di hadapan pintu gol lawan. Atau lebih tepatnya barisan kendalian
Mourinho tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan meskipun lawan menguasai
sebahagian besar permainan.
Akhirnya akur sahajalah Klaassen bahawa
pemenang dalam permainan bolasepak ditentukan menerusi jumlah gol yang dijaringkan
bukannya peratus penguasaan bola atau berapa banyak peluang yang berjaya anda
cipta. Mungkin kedengaran sedikit tidak adil tetapi itulah bolasepak, kerana
pasukan yang bermain bolasepak menarik tidak semestinya keluar sebagai
pemenang.
Sentuhan
Mourinho...
“Anda
mahukan trofi....maka saya akan berikan anda trofi”. Kedengaran agak angkuh
tetapi Mourinho sudah membuktikan kejayaan beliau memberikan trofi kepada kelab
yang dikendalikannya. Saya tidak mahu menoleh kepada rekod silam Mourinho,
kerana beliau memang terbukti antara pengendali paling berjaya didunia menerusi
deretan trofi yang berjaya beliau menangi.
FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid
pernah menjadi saksi keberhasilan Mourinho dan kini beliau melakukannya lagi
bersama United. Pada musim pertamanya di Old Trafford, Mourinho berjaya
mengemudi kelab memenangi tiga kejuaraan selain mengotakan janjinya untuk
membawa United kembali bersaing di Liga Juara-Juara.
Kejayaan di Stockholm awal pagi tadi juga
menyaksikan Mourinho muncul pengendali pertama United yang berjaya memenangi
dua kejuaraan besar (Piala Liga dan Liga Europa) pada musim pertama. Rekod
Mourinho di pentas akhir 14 kejuaraan besar pula ialah 12 kemenangan dan dua
kekalahan dengan peratus kemenangan di final mencapai 85.7%.
Trofi Liga Europa yang beliau menangi bersama
United awal pagi tadi juga menyaksikan Mourinho sudah memenangi empat kejuaraan
Eropah sekaligus meletakkan diri beliau dalam kelompok elit bersama-sama
Giovanni Trappatoni, Sir Alex Ferguson, Bob Paisley dan Nereo Rocco selaku
pengurus paling banyak memenangi trofi di pentas Eropah.
Sindiran
Mourinho Untuk Pasukan Di Tangga Ke-2, Ke-3 Dan Ke-4 Liga...
Mourinho memilih untuk meletakkan United kembali
ke pentas Liga Juara-Juara dengan cara yang berisiko. Melepaskan misi merebut
posisi empat teratas dengan membiarkan Liverpool, Manchester City dan Arsenal
bersaing sesama sendiri pada baki aksi penghujung musim demi memberikan fokus
kepada final Liga Europa akhirnya membuahkan hasil lumayan.
Selaku pemenang, United secara automatik
bakal beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tanpa perlu mengharungi
perlawanan `play off’ terlebih
dahulu. Mourinho akhirnya berjaya mencapai misinya manakala kejayaan United
menjulang trofi Liga Europa meletakkan mereka sebagai kelab Inggeris paling
berjaya menerusi koleksi 45 kejuaraan major.
Selepas tamat pertarungan di Friends Arena,
Mourinho secara sinis mengatakan bahawa beliau lebih gemar meletakkan United di
pentas Liga Juara-Juara musim depan atas tiket selaku juara Liga Europa
berbanding menamatkan saingan liga di posisi kedua, ketiga atau keempat liga.
Bagi Mourinho memenangi kejuaraan satu hal yang cukup penting dan kini
perjudian beraninya berhasil.
Tiada
Siapa Peduli United Menamatkan Saingan Liga Di Tangga Keenam...
Kejayaan menjulang trofi Liga Europa akhirnya
memadam segala kehampaan di liga domestik selepas kelab sekadar menamatkan
saingan di tangga keenam. Dan kejayaan ini juga menandakan bahawa United bakal
kembali semula ke pentas Liga Juara-Juara selepas tersisih selama semusim.
Melihat skuad bimbingan Mourinho menjulang
trofi Liga Europa di atas podium di Friends Arena, segala rungutan, segala
kritikan dan segala keluhan dari penyokong-penyokong selama ini tentang
kegagalan United menamatkan saingan liga di posisi empat teratas terhapus sama
sekali.
Selepas berakhir pertarungan final di Friends
Arena awal pagi tadi, tiada siapapun peduli bahawa United cuma kelab di tangga
keenam sebaik Liga Perdana menamatkan saingan Ahad lalu dan jika tanpa trofi
ini (Liga Europa), mereka sebenarnya tidak layak beraksi di saingan Liga
Juara-Juara.
Apa yang kita tahu sekarang ialah United
merupakan juara Liga Europa yang baharu, bakal bermain di Liga Juara-Juara dan
kelab Inggeris paling berjaya menerusi koleksi terkumpul trofi `major’ yang mereka menangi. Selain itu
jangan lupakan juga prospek pertembungan antara United dan pemenang Liga
Juara-Juara bagi merebut trofi UEFA Super Cup, 9 Ogos nanti di Skopje...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan