Dua perlawanan, tiga mata penuh, lapan gol berjaya
dijaringkan manakala pintu gol David De Gea pula masih kekal bersih dari
dibolosi...jadi apa lagi yang mampu anda harapkan selain mengimpikan bahawa
musim ini mungkin menjadi musim terbaik United dalam tempoh empat tahun
terakhir. Musim lalu United mengharungi tiga perlawanan liga dengan tiga
kemenangan sebelum Manchester City mendedahkan kepada kita bahawa masih banyak
kelemahan dalam skuad yang perlu diperbaiki Jose Mourinho selepas The Citizens menang 2-1 di Old Trafford.
Dalam kegembiraan menyaksikan prestasi awal
musim yang ditunjukkan barisan Mourinho, saya tetap mengambil sikap
berhati-hati sambil tidak dibuai keyakinan terlalu tinggi bahawa United akan
menakluk pentas Liga Perdana pada musim kedua The Special One berada di Old Trafford. Meskipun begitu, prestasi
memberangsangkan yang dipamerkan United dalam dua perlawanan awal wajar
diberikan pujian selain satu bentuk amaran juga kepada pencabar-pencabar domestik
mereka bahawa The Red Devils kini
barisan yang wajar ditakuti.
Kekal
Dengan Barisan Yang Sama...
Barisan yang sama dan formasi yang sama ketika
mereka membenam West Ham United minggu lalu dikekalkan Mourinho di Stadium
Liberty semalam. Romelu Lukaku kekal sebagai lone striker di bahagian hadapan sambil Henrikh Mkhitaryan, Marcus
Rashford dan Juan Mata membentuk rangkaian sokongan di belakang. Paul Pogba dan
Nemanja Matic pula kekal dengan peranan mereka sebagai double pivot dalam melindungi benteng pertahanan yang dibarisi Phil
Jones, Eric Bailly, Antonio Valencia dan Daley Blind.
Swansea
Bertahan Secara Solid...
Apa yang cuba diterapkan Paul Clement dalam
permainan Swansea City semalam tidak ubah sepertimana yang pernah dilakukan
Hull City, Stoke City, AFC Bournemouth atau Burnley musim lalu menerusi taktik bertahan
mereka. Meletakkan hampir kesemua pemain di garisan paling rendah pertahanan
mereka pada awalnya tampak seperti strategi yang sangat berkesan dalam
meneutralkan kreativiti United ketika mereka menyerang.
Selepas bertahan secara solid hampir sepanjang
tempoh babak pertama, tembok pertahanan tuan rumah akhirnya berjaya diruntuhkan
juga menerusi gol jaringan Eric Bailly di minit ke-45. Tamat separuh masa
pertama, United mendominasi perlawanan menerusi sembilan percubaan yang
dilakukan mereka, mencipta 5 peluang jaringan gol manakala peratus ketepatan
hantaran mereka pula mencapai 89%.
Gol
Bailly Yang Merubah Perlawanan...
Gol pertama jaringan Bailly bukan sahaja
menambahkan lagi senarai penjaring United musim ini, tetapi lebih penting gol
itu juga sebenarnya merupakan kunci kepada perlawanan semalam. Gol itu
menyaksikan Swansea mengubah penampilan mereka di separuh masa kedua dengan
bermain secara terbuka berbanding aksi yang lebih defensif di babak pertama.
Perubahan mentaliti tuan rumah daripada
permainan defensif kepada lebih ofensif di
babak kedua turut menyaksikan mereka membuka ruang lebih besar di barisan
belakang. Hal inilah yang berjaya dimanfaatkan United apabila mereka menambah
tiga gol lagi di penghujung babak kedua menerusi Romelu Lukaku, Paul Pogba dan Anthony
Martial.
United
Sudah Keluar Dari Masalah Mereka?...
Masalah utama yang terpaksa dihadapi Mourinho
musim lalu ialah ketumpulan jentera serangan skuadnya kerana terlalu bergantung
kepada sosok Zlatan Ibrahimovic selaku penggempur utama. Ketika Ibra dikekang
pertahanan lawan, barisan hadapan United juga mendapati mereka berdepan
kesukaran dalam usaha menembusi pintu gol lawan.
Akhirnya sepanjang musim lalu, Unted cuma
mampu menjaringkan 54 gol dari 38 aksi liga, sekaligus menyaksikan mereka
muncul pasukan paling tidak produktif dalam menyudahkan peluang berbanding enam
lagi pasukan dalam kelompok tujuh teratas liga. Bagaimanapun situasi tampak
sudah berubah musim ini selepas United meledak lapan gol daripada dua
penampilan mereka di awal musim.
Di Old Trafford minggu lalu, mereka
menjaringkan empat gol hanya menerusi enam percubaan ke arah gawang lawan manakala
di Stadium Liberty semalam barisan kendalian Mourinho menjaringkan empat gol
dari tujuh percubaan yang dilakukan mereka. Selain kadar kejayaan dalam
menyempurnakan peluang yang tinggi, dari sisi lain pula, sangat menarik apabila
menyaksikan ada empat pemain berbeza dalam senarai penjaring United setakat
ini.
Pertimbangkan
Martial Dalam Kesebelasan Utama...
Sudah dua kali Anthony Martial mencetuskan
impak ketika masuk sebagai pemain gantian. Minggu lalu beliau menjaringkan satu
gol selain satu assist sumbangannya
membolehkan Paul Pogba menjaringkan gol keempat United ke gawang West Ham.
Semalam skrip hampir sama berlaku lagi di Stadium Liberty. Hanya lima minit selepas
beliau dimasukkan, United menjarakkan kelebihan mereka menerusi gol jaringan
Lukaku di minit ke-80.
Dua minit selepas itu giliran Pogba pula
meletakkan dirinya dalam senarai penjaring sebelum Martial sendiri menamatkan
pesta gol United menerusi jaringan yang dihasilkannya di minit ke-84. Secara
keseluruhannya, Martial beraksi selama 25 minit dari dua perlawanan awal United
musim ini namun impak kehadirannya dari bangku simpanan menyaksikan warga
Perancis ini sudah menjaringkan dua gol dan mencipta satu assist.
Mikhi
`Si Raja Assist’...
Satu lagi penampilan terpuji yang dipamerkan
Hernrikh Mkhitaryan semalam. Minggu lalu saya melabelkan beliau sebagai `Pusat Kreativiti
United’ menerusi peranan besar yang dimainkannya sepanjang aksi menentang West
Ham. Jika musim lalu beliau dilihat bergelut menyesuaikan diri pada musim
pertamanya di Liga Perdana untuk United, kini Mikhi lebih selesa memainkan
peranan selaku `pemain nombor 10’.
Dari dua perlawanan awal liga musim ini,
Mikhi sudah menyumbang empat assist,
mencipta enam peluang jaringan gol melakukan 100 hantaran dengan ketepatan
hantaran yang dilakukannya mencapai 90%. Satu-satunya perkara yang belum
dilakukan Mikhi ialah menjaringkan gol, namun saya percaya dengan bantuan sedikit
tuah dan masa, beliau bakal meledak gawang lawan selepas ini. Jika prestasi
sebegini mampu dikekalkan beliau, saya percaya Mikhi bakal meletakkan dirinya
sebagai `Raja Assist’ di Eropah atau
setidak-tidaknya di Liga Perdana.
Menyamai
Rekod 110 Tahun...
Kemenangan besar yang berjaya diraih United
semalam menyaksikan mereka berjaya menyamai rekod kelab yang bertahan selama
110 tahun. Lapan gol dan dua clean sheet
dari dua penampilan awal liga menyaksikan mereka menyamai catatan yang pernah dilakar
oleh barisan 1907 United. Selain itu lapan gol yang dihasilkan United menyaksikan
mereka berjaya menyamai pencapaian barisan kendalian Sir Alex Ferguson pada
2011.
Permulaan
Musim Yang Sempurna...
Persembahan terpuji yang dipamerkan anak-anak
buah Mourinho dalam dua aksi awal musim mereka boleh dianggap sebagai permulaan
yang sempurna. Selain dari enam mata penuh yang berjaya di kutip, memastikan
pintu gol kekal tanpa dibolosi dan lapan gol yang berjaya dijaringkan, sangat
menarik juga melihat bagaimana Lukaku menamatkan kemarau gol enam perlawanan ketika
beliau berdepan barisan The Swans.
Ini juga merupakan gol pertama Lukaku di
Stadium Liberty sejak kali terakhir beliau melakukannya bersama West Bromwich
pada November 2012. Selain itu jangan lupakan juga prestasi terpuji yang
ditunjukkan pemain-pemain lain seperti Nemanja Matic, Eric Bailly, Paul Pogba,
Marcus Rashford, David De Gea, Antonio Valencia dan Daley Blind sepanjang aksi
di Stadium Liberty semalam.
Bagaimanapun dalam kegembiraan menyambut satu
lagi kemenangan menyakinkan yang diraih semalam, Mourinho mengingatkan kepada
pemain-pemainnya bahawa saingan baru bermula dan masih ada perjalanan panjang yang
perlu diharungi. Musim lalu United meraih sembilan mata dari tiga aksi awal
mereka, tetapi lihat di mana kedudukan kelab dalam carta liga di penghujung
musim? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan