25 Ogos 2017

MENANTI SEBARANG KEMUNGKINAN DUET ZLATAN IBRAHIMOVIC DAN ROMELU LUKAKU




Musim lalu Zlatan Ibrahimovic muncul antara pemain paling menyerlah dalam skuad United menerusi ketajaman beliau dalam menyempurnakan peluang di hadapan gawang lawan. Ketika ramai di antara kita percaya bahawa Ibra mampu melepasi angka 30 gol semusim, kecederaan serius yang dialaminya ketika United berdepan Anderlecht dalam kempen Liga Europa menyaksikan Ibra terpaksa berehat panjang dan melupakan baki saingan musim lalu.

Ibra tetap Ibra, pemain yang bukan sahaja sentiasa mengejutkan kita ketika menyaksikan aksinya di atas padang tetapi juga apa yang mampu dilakukannya di luar padang. Ketika saya sendiri percaya bahawa Ibra perlu melupakan sebarang aksi kompetitif sekurang-kurangnya hingga Januari nanti akibat kecederaan yang dialaminya April lalu, perkara sebaliknya pula berlaku.

ESPN dalam laporannya beberapa hari lalu menyebut bahawa Ibra akan kembali beraksi lebih awal dari yang dijangkakan, malah legenda Sweden itu sudah pun menandatangani perjanjian baharu yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford selama setahun lagi. Ini merupakan satu lagi berita menggembirakan untuk penyokong-penyokong United selepas kita disajikan dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan barisan pemain di peringkat awal saingan liga.

Aura Kepimpinan Ibra...

Pada usia 36 tahun, pernah beraksi di liga-liga utama Eropah dan juga tonggak utama negaranya menerusi 116 penampilan di peringkat antarabangsa sebelum bersara pada 2016, Ibra memang diakui pemain yang sarat pengalaman. Meskipun beliau tidak memakai armband di lengan, kepimpinan dan pengaruh yang diberikan beliau di atas padang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Perlu saya sebutkan sekali lagi bahawa sejak berakhirnya era Roy Keane di Old Trafford, United juga sebenarnya masih tercari-cari sosok seorang pemimpin `kepala angin’ yang mampu mendorong rakan-rakan sepasukan supaya bermain dengan baik ketika berada di atas padang menerusi winning mentality yang dimiliki beliau.

Selepas itu ada Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan kemudiannya Wayne Rooney yang silih berganti menggalas tugas selaku kapten United, tetapi Keano jelas pemain yang lebih istimewa dan berada di kelas tersendiri menerusi watak yang dimainkannya selaku seorang pemimpin dan tonggak pasukan. Keano dihormati rakan sepasukan serta ditakuti lawan, begitu juga dengan Ibra.

Kehadiran Ibra menerusi keegoan, keinginan untuk menang yang terlalu tinggi dan pengaruh yang beliau berikan sama ada di bilik persalinan mahupun di atas padang mengingatkan kita kembali kepada seorang lagi tokoh berpengaruh yang pernah memberikan impak sepanjang kariernya di Old Trafford. Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Eric Cantona.

Impak Kehadiran Ibra...

Kehadiran Ibra musim lalu di Old Trafford mencetuskan impak yang bukan sedikit untuk kelab. Dari penjualan jersinya yang mencecah nilai £75 juta hinggalah catatan statistiknya di atas padang menyaksikan beliau muncul antara sensasi baharu di Liga Perdana. Dari 28 penampilan liga, Ibra menjaringkan 17 gol untuk United selain menyumbang lima bantuan gol (assist) dan mencipta 41 peluang jaringan.

Atas sebab itulah meskipun United mengambil langkah untuk tidak mengekalkan beliau, kelab tetap memantau secara dekat perkembangan pemulihan Ibra. Mourinho tahu jika Ibra mampu pulih dan kembali di atas padang dalam tempoh terdekat, penyerang veteran itu bakal sekali lagi memainkan peranan penting dalam pemburuan kejuaraan United musim ini.

Lukaku Meledak Tapi Mourinho Masih Belum Puas...

Romelu Lukaku sudah meledak tiga gol dalam dua penampilan liga di awal musim sekaligus muncul penjaring terbanyak United setakat ini. Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh penggempur antarabangsa Belgium itu merupakan isyarat awal bahawa United boleh mengharapkan ketajaman beliau selaku pengganti Ibra dalam menyudahkan peluang di hadapan pintu gol lawan.

Empat gol sudah diledak Lukaku dalam aksi kompetitif bersama United setakat ini (satu gol di Piala Super Eropah dan tiga dalam saingan liga), namun Mourinho nampaknya masih belum berpuashati dengan kualiti yang ada di barisan hadapan skuadnya. Memandangkan peluang mendapatkan tandatangan Ivan Perisic atau Gareth Bale tampak seperti sudah berakhir, langkah mendapatkan semula Ibra sebelum jendela perpindahan pemain ditutup adalah lebih realistik.

Dengan kualiti sentuhan pemusnah serta pengalaman luas yang kita sedia maklum dimiliki Ibra, ditambah pula dengan kemampuan Lukaku sebagai pembekal gol secara konsisten, cuba bayangkan kemusnahan yang mampu dilakukan barisan hadapan United kepada benteng pertahanan lawan jika kedua-dua pemain ini berada di atas padang.

Ibra Dan Lukaku Dalam `Line Up’ Permulaan United?...

Secara peribadi saya berpendapat agak sukar untuk kita menyaksikan Mourinho menyenaraikan dua penyerang tengah (Ibra dan Lukaku) sekaligus dalam kesebelasan permulaan United. Satu fakta yang perlu diambilkira ialah Ibra dan Lukaku bukanlah pemain versatile seperti Wayne Rooney yang boleh memainkan peranannya dengan baik selaku `pemain nombor 10’ selepas ketibaan Robin Van Persie pada 2012.

Untuk itu sebarang kemungkinan bagi kita menyaksikan kedua-dua pemain ini disenaraikan dalam kesebelasan permulaan adalah tipis kecuali ada pertukaran strategi yang dilakukan Mourinho ketika permainan sedang berlangsung. Dengan adanya Lukaku yang jauh lebih muda, kuat, pantas serta tajam dalam menyudahkan peluang, saya fikir penyerang antarabangsa Belgium ini akan terus digunakan Mourinho sebagai lone striker dalam formasi 4-2-3-1 beliau.

Misi Yang Belum Selesai...

Bermula dengan kejuaraan Eredivisie bersama Ajax Amsterdam, kemudian Serie A ketika bersama Inter Milan dan AC Milan, La Liga untuk Barcelona dan terakhir di kota Paris bilamana beliau memenangi empat kejuaraan Ligue 1 ketika menyarung jersi Paris St Germain menjadikan Ibra antara segelintir pemain yang memiliki pencapaian unik dalam dunia bolasepak.

Jika pemain-pemain seusianya lebih memilih Amerika Syarikat, China atau Timur Tengah sebagai destinasi pilihan mereka sebelum bersara, Ibra pula bertindak sebaliknya dengan menjadikan Liga Perdana sebagai cabaran baharu untuk beliau nikmati selepas empat musim bergelumang dalam kancah saingan Ligue 1.

Musim lalu beliau memenangi medal kejuaraan Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa bersama United, namun kejayaan itu belum membuatkan Ibra puas. Untuk pemain yang memiliki ambisi setinggi gunung seperti Ibra, memenangi medal kejuaraan Liga Perdana adalah misi yang perlu beliau sempurnakan.

Bagi Ibra tiga kejuaraan yang beliau menangi musim lalu cuma permulaan kepada misi lebih besar iaitu memenangi kejuaraan liga bersama United. Jadi atas sebab itulah mengapa beliau memilih menyertai semula kelab walaupun diberitakan ada tawaran lumayan dari kelab-kelab Major League Soccer atau prospek menyertai semula AC Milan di Serie A.

Ibra sentiasa pemain yang mengagumkan tetapi lebih mengagumkan bila melihat bagaimana seorang pemain yang sudah berusia seperti beliau mampu pulih dengan cepat dari kecederaan serius dan memiliki keinginan yang cukup kuat untuk bermain di pentas tertinggi seperti Liga Perdana. “Selamat kembali Zlatan...ayuh selesaikan apa yang sudah anda mulakan”. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan