19 Ogos 2017

MUSIM LALU POGBA DINILAI HANYA MENERUSI TANDA HARGA YANG DIMILIKINYA



Penampilan beliau musim lalu sering dijadikan sasaran kritikan kerana dikatakan tidak mencapai `standard’ sebagai pemain termahal dunia. Ya...tanda harga dan gelaran sebagai pemain termahal dunia menjadikan Pogba sasaran mudah `bedilan’ dari para pengkritiknya meskipun secara keseluruhan prestasi beliau pada musim pertamanya sejak kembali semula ke Old Trafford bukanlah terlalu buruk.

Semusim berlalu, Pogba bukan lagi pemain termahal dunia kerana gelaran tersebut kini disandang Neymar selepas Paris St Germain membelanjakan €200 juta bagi membawa bintang Brazil itu berhijrah ke kota Paris. Selepas gelaran sebagai pemain termahal dunia yang disandangnya terlucut, Pogba mengakui bahawa kini beliau lebih `relaks’ ketika beraksi di atas padang.

Semuanya Kini Tentang Bolasepak...

Berbanding musim lalu, Pogba mengakui bahawa kini soalan-soalan yang dilontarkan wartawan lebih tertumpu kepada hal-hal di dalam padang berbanding luar padang. Bercakap kepada media, Pogba berkata, “Sekarang soalan pertama yang anda lontarkan kepada saya ialah tentang hal bolasepak. Dulu lebih banyak tentang harga. Jadi anda boleh lihat perbezaannya”.

Menjaringkan Lebih Banyak Gol...

Selepas berjaya menjaringkan 9 gol untuk United musim lalu, Pogba meletakkan sasaran mahu menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol pada penampilan musim keduanya sejak kembali semula ke Old Trafford. Jangan lupakan juga fakta bahawa 9 percubaan yang dilakukan Pogba ke gawang lawan sepanjang saingan musim 2016/17 singgah di palang dan tiang gol. Jadi dengan bantuan sedikit tuah, saya percaya sasaran 20 gol semusim yang beliau letakkan kali ini mampu direalisasikan.

Sasaran...

Memenangi medal kejuaraan Liga Perdana merupakan sasaran utama yang diletakkan Pogba musim ini. Sudah empat musim United gagal membawa pulang semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford sejak kali terakhir Sir Alex Ferguson dan barisan pemainnya menjulang kejuaraan tersebut pada 2013 meskipun kelab melakukan tiga pertukaran di posisi pengendali (David Moyes, Louis Van Gaal dan kini Jose Mourinho).

Persembahan bagus yang ditampilkan United sepanjang kempen pra musim mereka dan aksi pembukaan liga ketika berdepan West Ham memberikan kita harapan bahawa kemarau empat tahun itu mampu ditamatkan musim ini. Meskipun masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar barisan Mourinho mencabar kejuaraan liga, prestasi yang ditampilkan Pogba di awal musim bakal menyaksikan beliau memainkan peranan penting dalam pemburuan kejuaraan United.

Kini Lebih `Bebas’...

Pogba mengakui bahawa kehadiran Nemanja Matic membolehkan beliau lebih fokus dalam merencanakan gerakan-gerakan serangan tanpa terbeban lagi dengan kerja-kerja defensif. Tidak sepertimana musim lalu, anda dapat saksikan beliau kini lebih bebas di atas padang ketika pemain yang memiliki kualiti defensif bagus seperti Matic berada dibelakangnya.

Menurut Brian McClair yang juga merupakan legenda United, Mourinho memerlukan seorang pemain tengah bertahan untuk diletakkan di belakang Pogba bagi memaksimakan peranan pemain berusia 24 tahun itu sebagai `pusat gerakan’ The Red Devils ketika mereka menyerang.

Jadi keputusan Mourinho menandatangani seorang defensive midfielder yang sudah terbukti terutamanya dalam saingan Liga Perdana seperti Matic dianggap satu langkah yang tepat, meskipun sebelumnya timbul sedikit perdebatan tentang wang yang dibelanjakan kelab dan umur bintang Serbia itu yang dianggap bukan lagi muda.

Kemampuan Pogba ialah tentang hal melancarkan serangan, melakukan gelecekan, mencipta peluang dan melepaskan percubaan, jadi kekerapan bergerak jauh di zon 8 sepertimana musim lalu sebenarnya menyekat potensi sebenar beliau atau lebih tepatnya Pogba berada di posisi yang salah. Untuk lebih sukses di Old Trafford, McClair menyarankan agar Pogba bermain lebih kerap di kawasan final third lawan.

Kapten Masa Depan...

Baru berusia 24 tahun tetapi Pogba antara pemain muda yang sarat pengalaman dimiliki United. Empat musim di Serie A, pernah beraksi bersama-sama kelompok pemain terbaik dunia seperti Andrea Pirlo, Arturo Vidal, Leonardo Bonucci dan Gianluigi Buffon dalam skuad Juventus menjadikan Pogba pemain yang jauh lebih bagus berbanding ketika beliau meninggalkan Old Trafford tujuh tahun lalu.

Ketika ini armband ketua pasukan menjadi milik Michael Carrick namun pada usia 36 tahun, saya percaya ini adalah musim terakhir beliau bersama kelab. Untuk itu Pogba sudah disebut-sebut sebagai kapten masa depan United. Menurut Chris Bailey (jurnalis bolasepak), Pogba mampu menjadikan diri beliau kapten terbaik United selepas era Roy Keane.

Karakter kedua-dua pemain ini boleh diumpamakan seperti langit dan bumi. Keano seorang pemain yang sukar dijangka dan emosinya sentiasa `meledak’ manakala Pogba pula lebih relaks serta banyak tersenyum. Namun satu persamaan antara kedua-dua pemain ini ialah aura kepimpinan dan pengaruh yang mampu mereka berikan kepada rakan-rakan ketika beraksi di atas padang.

Pada usia 24 tahun, Pogba antara prospek jangka panjang yang dimiliki kelab ketika ini selain Romelu Lukaku, Marcus Rashford dan Anthony Martial. Dan pada usia yang boleh dianggap muda, banyak lagi potensi dalam diri beliau yang boleh dimaksimakan. Untuk itu saya percaya dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi, Pogba bakal meletakkan dirinya di kedudukan di mana Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berada sekarang. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan