Aksi menentang Tottenham Hotspurs merupakan
perlawanan penting dan wajib dimenangi Manchester United. Penting bukan kerana
lawan yang dihadapi United ialah Spurs, kelab yang secara konsisten muncul
antara pencabar kejuaraan liga dalam tempoh dua atau tiga musim terakhir.
Juga bukan kerana mereka sebelumnya berkongsi
mata dengan United untuk mengekori Manchester City selaku pendahulu carta liga,
tetapi perlawanan ini penting untuk kita melihat sejauh mana karakter sebenar
barisan Jose Mourinho selepas kekalahan mengejutkan kepada Huddersfield minggu
lalu.
Ketika kritikan hadir selepas United
menampilkan corak permainan bertahan di Anfield dan kemudiannya kemenangan
tipis ke atas Benfica di Liga Juara-Juara turut dijadikan sasaran, kekalahan
kepada Huddersfield pula menyebabkan Manchester City berjaya mencipta jurang
lebih besar selaku pendahulu liga.
Jadi dalam apa cara sekalipun, United wajib
menewaskan Spurs. Bukan sahaja bagi memastikan City tidak terus meninggalkan
mereka terlalu jauh tetapi juga bagi menyuntik kembali motivasi dalam diri
pemain-pemain selepas kekalahan di Kirklees Stadium minggu lalu.
Disiplin
Ketika Bertahan...
Berdepan dengan Spurs, Mourinho dilihat
melakukan `mirror tactic’ dengan
menggunakan sistem tiga pemain pertahanan sepertimana Spurs. Meskipun semasa sidang
media sebelum perlawanan Mourinho menafikan bahawa beliau bakal menggunakan sistem
tersebut (tiga pertahanan), namun itulah sebenarnya yang berlaku sepanjang 90
minit perlawanan.
Disiplin ketika bertahan menerusi sistem tiga
pemain pertahanan yang diamalkan kedua-dua pasukan menyaksikan kurangnya peluang-peluang
berbahaya mampu dicipta. Banyak `tactical
foul’ yang berlaku dalam usaha kedua-dua pasukan menghalang lawan dari
melakukan `counter attack’ dan hasilnya
anda dapat saksikan aksi di babak pertama sedikit membosankan.
Pendekatan berhati-hati menyaksikan tiga
pertahanan United (Eric Bailly, Chris Smalling dan Phil Jones) jarang
meninggalkan garis pertahanan mereka hingga menyaksikan Spurs hanya mampu
melakukan percubaan-percubaan jarak jauh (sepuluh di babak pertama dan tiga di
babak kedua). Sepanjang perlawanan David De Gea melakukan lima penyelamatan
tetapi hanya dua percubaan lawan yang boleh dianggap berbahaya.
`Plan
B’ Mourinho...
Ketika menyaksikan betapa ketatnya perlawanan
dan kesukaran yang dihadapi barisan hadapan beliau untuk menembusi benteng
pertahanan Spurs, Mourinho melakukan perubahan ketika tempoh perlawanan berbaki
20 minit sebelum ditamatkan. Ternyata percaturan Mourinho mengeluarkan Marcus
Rashford dan memasukkan Anthony Martial berhasil selepas pemain Perancis itu
meledak gol kemenangan di minit ke-81.
Ini bukan kali pertama Martial meledak ketika
beliau dimasukkan sebagai pemain gantian dan gol ke gawang Hugo Lloris itu
bukan sahaja memberikan United tiga mata berharga tapi turut membuktikan bahawa
Mourinho sentiasa bersedia dengan `Plan B’ beliau setiap kali menyaksikan
barisan hadapannya buntu dalam usaha menembusi benteng lawan. Untuk rekod,
pemain-pemain gantian United sudah menjaringkan 10 gol sepanjang aksi liga
musim ini.
Old
Trafford Bukan Gelanggang Yang `Ramah’ Buat Spurs...
Kekalahan ini menyaksikan Spurs memanjangkan
`trend’ buruk mereka setiap kali
berkunjung ke Old Trafford. Dari 26 penampilan mereka di Old Trafford dalam saingan
liga, Spurs tewas 21 kali dengan kali terakhir mereka menewaskan United dalam
aksi yang dilangsungkan di `Theatre of
Dreams’ ialah lebih tiga tahun yang lalu.
Kemenangan ini juga sebenarnya menyaksikan
United meneruskan catatan baik mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri.
Sebaik tamat aksi menentang Spurs, United sudah melakarkan 37 aksi tanpa kalah
di Old Trafford dalam semua kejohanan menerusi 26 kemenangan dan 11 keputusan
seri sekaligus menyamai pencapaian mereka pada 2011.
Tanpa
Kane, Spurs Hilang Punca...
Benarlah apa yang dikatakan Rio Ferdinand
bahawa tanpa Harry Kane, Spurs bakal berdepan masalah besar. Dua hari sebelum
aksi menentang United, mereka ditunjukkan jalan keluar dari kejohanan Piala
Liga oleh West Ham selepas tewas 2-3 di Wembley.
Meskipun dalam perlawanan itu Moussa Sissoko
dan Delle Alli menemui sentuhan gol, ketiadaan Kane selaku peledak utama jelas
dirasai hingga menyaksikan West Ham melakukan kebangkitan untuk menempah tempat
di peringkat suku akhir. Di Old Trafford, Spurs sekali lagi berdepan masalah
yang sama.
Tanpa penyerang tulen, Mauricio Pochettino sebaliknya
mengarahkan Alli dan Son Heung-Min silih berganti memainkan watak sebagai
penggempur. Mungkin mengambilkira kelajuan yang dimiliki Son, Pochettino lebih
memilih meminggirkan Fernando Llorente di bangku simpanan berbanding meletakkan
beliau sebagai pengganti Kane.
Apa yang berlaku? Kecuali satu percubaan
berbahaya yang hadir dari kaki Alli di babak kedua menerusi ilham gerakan
Christian Eriksen, tidak banyak ancaman yang mampu dihadirkan Son mahupun Alli
dalam misi mereka menembusi pintu gol United. Akhirnya Son ditarik keluar dan
Spurs mula menggunakan Llorente sebagai penyerang tulen sepanjang baki 28 minit
tempoh sebenar perlawanan.
Rashford
Dan Martial...
Di permulaan musim, ramai meragui kemampuan
United untuk bergerak dari sisi sayap berikutan kegagalan Mourinho
menandatangani Ivan Perisic mahupun Gareth Bale. Meskipun begitu kegagalan United
dalam misi mereka mendapatkan Perisic atau Bale berjaya ditutup Mourinho
menerusi penampilan terpuji Martial dan Rashford di sisi sayap kiri.
Jika anda penyokong United dan bermain `Fantasy Premier League’, saya yakin anda
pasti berdepan dilema dalam memiliki sama ada Martial atau Rashford untuk diletakkan
di posisi sayap kiri dalam kesebelasan impian anda. Sukar bagi anda dalam
membuat pilihan bukan sahaja kerana mereka memiliki kemampuan setaraf, tetapi
kedua-dua pemain ini memang tidak dirancang untuk diturunkan serentak oleh
Mourinho.
Jika Rashford memulakan aksi terlebih dahulu,
Martial pula akan bertindak sebagai ‘supersub’
dan begitulah sebaliknya. Martial atau Rashford bukan sahaja memiliki kelajuan tetapi
turut dianugerahkan dengan `skill’
kawalan bola menarik dan itulah aset kepada permainan mereka. Meskipun bukan
pemain sayap tulen, kelajuan serta `skill’
mereka sebenarnya menjadi kekuatan United ketika melakukan gerakan dari sisi
sayap.
Meskipun gol yang dijaringkan Martial
bukanlah berpunca dari gerakan dari sebelah sayap, namun Mourinho membuktikan bahawa
keputusan beliau untuk menggunakan sama ada Martial atau Rashford sebagai `supersub’ sering berhasil. Ketika ramai menjangka
bahawa keputusan perlawanan bakal berakhir seri, Martial hadir selaku pemain
yang membezakan antara pasukan yang menang dan yang kalah menerusi gol keempat peribadinya
dalam saingan liga musim ini.
Kunci
Perlawanan...
Menyaksikan United bermain menentang kelab
besar lain seperti Liverpool dan Spurs sebenarnya menuntut kesabaran yang
tinggi. Di atas padang hal sama turut berlaku menerusi taktik yang digunakan
Mourinho. Pendekatan `perlawanan besar’ yang diamalkan Mourinho menyaksikan
United sering dilabel bermain secara bertahan atau `anti football’.
Mungkin `tidak cantik’ di mata sesetengah
individu, tetapi penting bagi Mourinho untuk melihat barisan pemainnya tidak
tewas ketika berdepan perlawanan besar dan penting. Secara peribadi saya
berpendapat United bukanlah bermain terlalu bertahan tetapi mereka sebenarnya cuma
menunggu lawan melakukan kesilapan dan itulah sebenarnya yang berlaku di
Anfield 14 Oktober lalu.
13 gol yang dijaringkan United musim ini
berlaku dalam tempoh 15 minit terakhir dan jika fakta itu boleh diambilkira, memang
ada kebenaran tentang apa yang saya sebutkan di atas. Semalam, kesabaran
menanti peluang selama 81 minit berhasil menerusi gol jaringan Martial.
Meskipun dilabel Mourinho sebagai `tendangan yang buruk’, tendangan itu
berakhir dengan gol yang indah. Gol yang membolehkan United meraih kemenangan
penting, serta gol yang meneruskan mimpi buruk Spurs di `Theatre of Dreams’. Glory Glory Manchester United!!!