Beliau tiba di Old Trafford dari Estadio da
Luz dengan harapan tinggi kerana ramai penyokong-penyokong ingin melihat Victor
Lindelof mampu membentuk gandingan menggerunkan bersama-sama Eric Bailly di
benteng pertahanan Manchester United. Tidak dinafikan bahawa saya juga antara
yang teruja bila mengetahui bahawa kelab berjaya menandatangani Lindelof, salah
seorang pertahanan tengah yang dilabel paling menarik untuk disaksikan aksinya
di Eropah.
Untuk seorang lelaki yang datang dari tanah Viking,
sudah tentu saya mengharapkan sosok Lindelof ini mampu memberikan ketakutan
kepada mana-mana penyerang lawan menerusi kekuatan fizikal serta corak
permainan keras dimilikinya. Melihat kepada gaya permain Lindelof di Benfica,
tidak salah jika pada mulanya kita meletakkan impian mahu melihat kelahiran
semula duet mematikan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand menerusi gandingannya
bersama Bailly.
Ketika
Lewandoski Mengakui Kualiti Lindelof...
Bayern Munich dan Benfica pernah berdepan
antara satu sama lain di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim 2015/16.
Dalam aksi separuh akhir kedua yang dilangsungkan di Estadio da Luz, Bayern
menguasai penguasaan bola sebanyak 68% tetapi mereka akhirnya cuma mampu
mencatatkan keputusan seri (2-2) meskipun melepaskan tujuh percubaan tepat ke
arah gawang lawan.
Di akhir perlawanan, Bayern mara ke separuh
akhir (menerusi kelebihan aggregat 3-2), tetapi penampilan Lindelof bersama
Jardel Vieira di benteng pertahanan skuad Aguias
dipuji Robert Lewandowski. Meskipun kurang mengenali Lindelof, Lewandoski
mengakui sukar untuk beliau melepasi kawalan pemain yang akrab dengan gelaran Iceman itu sepanjang 180 minit aksi
timbal balik.
“Beliau bersama rakan gandingannya (Jardel)
bermain dengan sangat bagus. Sukar buat saya melepasi benteng pertahanan
mereka. Saya akui bahawa saya kurang mengenali mereka tetapi (Lindelof dan
Jardel) adalah contoh terbaik peningkatan kualiti dalam skuad Benfica”, kata
warga Poland itu. Pujian Lewandowski memang bersebab kerana sepanjang 180 minit
tempoh permainan, beliau hanya mampu melepaskan dua percubaan tepat.
Tipikal
Pertahanan Yang Diperlukan United...
Peluang beraksi bersama skuad senior Benfica
di pertengahan musim 2015/16 berikutan kecederaan yang dialami Luisao digunakan
sepenuhnya menerusi persembahan terpuji yang dipamerkan beliau di benteng
pertahanan. Di pasangan dengan Jardel yang lebih berpengalaman, Lindelof
menambat hati penyokong-penyokong Benfica menerusi ketenangan dan kematangan
beliau ketika mengawal benteng pertahanan.
Musim lalu beliau melakukan 32 penampilan
liga untuk Benfica dan dari jumlah tersebut Lindelof berjaya menjaringkan satu
gol, melakukan 1,617 hantaran dengan peratus ketepatan hantarannya mencapai
90%. Dalam situasi perebutan bola tinggi pula, beliau memenangi 69 dari 117
pertempuran di udara sekaligus catatan tertinggi berbanding mana-mana pemain
pertahanan di Primeira Liga.
Bagaimanapun satu hal yang paling menarik
bila bercakap tentang Lindelof ialah tentang kemampuan beliau `memegang’ bola
dikakinya. Dianugerahi dengan kayakinan yang cukup tinggi, beliau mengingatkan
saya kepada Rio Ferdinand, seorang legenda pertahanan United yang pada zaman
kemuncaknya mampu membina gerakan-gerakan dari bawah serta `bermain-main’
dengan penyerang lawan walaupun bola berada di zon bahaya.
Pasangan
Sempurna Untuk Bailly?...
Walaupun berdepan tempoh sukar sejak
perpindahan beliau ke Old Trafford, saya masih menaruh keyakinan untuk melihat
Lindelof-Bailly membentuk kombinasi mantap di benteng pertahanan United.
Mungkin bukan sekarang tetapi sekiranya Jose Mourinho masih percaya dengan
potensi, bakat serta kemampuan sebenar dimiliki warga Sweden ini sepertimana
beliau meletakkan kepercayaan kepada Marouane Fellaini, saya yakin jelmaan
Ferdinand-Vidic mampu dilahirkan semula.
Ketika Bailly memikat khalayak
penyokong-penyokong United menerusi kelajuan, sikap tiada kompromi terhadap
lawan melalui terjahan-terjahan kerasnya serta bijak merampas bola dari
penguasaan lawan, kehadiran Lindelof pula bagi saya melengkapkan duet ini.
Lindelof ialah tipikal `ball playing
centre back’ menerusi teknik kawalan bola yang bagus, tenang, berkeyakinan
dan bijak dalam membaca permainan. Jadi tidak hairanlah mengapa di awalnya
ramai meletakkan harapan tinggi bahawa gandingan Ferdinand-Vidic mampu
dijelmakan kembali.
Harapan
Untuk `Iceman’...
Masuk sebagai pemain gantian tetapi lima
minit selepas itu menyaksikan gawang sendiri dibolosi dan kemudiannya melakukan
kesilapan mudah hingga membenarkan lawan menjaringkan gol kedua tentulah mimpi
ngeri buat mana-mana pemain pertahanan. Semasa menyaksikan beliau masuk
menggantikan Phil Jones di Kirklees Stadium, terdetik di dalam hati bahawa
inilah masa yang tepat untuk Lindelof membuktikan potensi sebenar beliau.
Bagaimanapun takdir `bercerita’ sebaliknya
apabila penampilan kedua beliau dalam saingan liga berakhir dengan tragedi.
Jika tempoh selama tiga minit di Anfield tidak cukup untuk beliau membuktikan
keupayaannya, aksi menentang Huddersfield pula menjadi pengajaran berguna buat
Lindelof bahawa banyak lagi aspek yang perlu beliau perbaiki dalam permainannya
jika mahu berjaya di Liga Perdana.
Dengan tempo permainan di Liga Perdana yang
lebih laju dan fizikal berbanding Primeira Liga, apa yang mampu dilakukan
beliau ialah cuba menyesuaikan diri sepantas mungkin dengan corak permainan
United jika tidak mahu dilabel sebagai `pembelian yang gagal’. Secara peribadi
saya masih menaruh harapan agar Lindelof mampu beradaptasi dengan `dunia’
bolasepak Inggeris sekaligus muncul tembok kukuh benteng pertahanan United
suatu hari nanti.
Belajar
Dari Vidic...
Lindelof memiliki fizikal yang cukup sempurna
untuk seorang pemain yang bermain di posisi pertahanan tengah dan jika dilihat
pada statistiknya ketika bersama Benfica, beliau juga sangat dominan ketika di
udara. Sepertimana Ferdinand, Lindelof juga memiliki aset yang sangat berharga
dalam permainannya iaitu mampu melakukan `tackle’
yang bersih dan tepat. Jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang 45 penampilan
beliau bersama Benfica di musim 2016/17, Lindelof hanya dilayangkan kad kuning
sebanyak dua kali.
Meskipun memiliki ketinggai 6’ 2” dan berat
80kg, beliau juga sangat dikenali antara pertahanan tengah yang pantas, dan
kerana kepantasan yang dimilikinya juga menyaksikan Lindelof sering diberikan
peranan untuk bermain sebagai bek kanan ketika bersama skuad kebangsaan. Melihat
kepada potensi, bakat dan statistik beliau sebelum ini, agak mengejutkan
apabila melihat Lindelof bergelut dalam perjuangan beliau untuk `hidup’ dalam
dunia bolasepak Inggeris atau merebut posisi dalam kesebelasan utama United.
Bagaimanapun situasi ini bukanlah asing untuk
seorang pemain yang baru tiba di England. Jika anda masih ingat, Vidic juga
berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana
ketika peringkat awal penyertaan beliau bersama United. Dengan sedikit masa,
kesabaran dan kerja keras, pelaburan Fergie ke atas Vidic akhirnya berbaloi
selepas `Penyembelih Balkan’ itu berjaya membentuk duet pertahanan paling
menakutkan pernah disaksikan di Liga Perdana bersama Ferdinand. Jika Vidic berjaya melakukannya
mengapa tidak Lindelof. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan