09 Oktober 2017

KISAH FERGIE DAN RAFA...SECEBIS DARI KISAH PANJANG PERSETERUAN MANCHESTER UNITED DAN LIVERPOOL




Perseteruan antara Sir Alex Ferguson dan Rafa Benitez antara perseteruan dua pengendali paling terkenal di dunia. Meskipun mungkin tidak sehebat perseteruan panjang dan sengit yang pernah membabitkan Fergie dan Arsene Wenger, kehadiran Rafa di bumi Inggeris pada 2004 membuka era baharu kepada perseteruan United dan Liverpool.

Rafa datang ke England berbekalkan reputasi hebat selaku pengendali yang berjaya memecah monopoli Real Madrid dan Barcelona di La Liga. Valencia di bawah kendalian beliau berjaya menjulang kejuaraan liga sebanyak dua kali (musim 2001/02 dan 2003/04) selain Piala UEFA (2004) atau sekarang lebih dikenali sebagai Liga Europa.

Kehadiran Rafa di Anfield diharap mampu memecah dominasi United dan Arsenal serta Chelsea selaku kuasa baharu bolasepak Inggeris. Jika di Sepanyol beliau mampu menyingkirkan monopoli Barca dan Real, mengapa tidak di Liga Perdana. Mungkin itu antara perkara yang berlegar di kepala kalangan Liverpudlian atau Kopites saat Rafa diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus ke-17 The Reds.

“Keajaiban Istanbul” vs “Romantisme Nou Camp”...

Rafa gagal memecah dominasi Chelsea, Arsenal dan United dalam saingan liga sepertimana yang beliau lakukan ketika menyingkirkan Barca dan Real di La Liga apabila Liverpool sekadar menamatkan saingan di tangga kelima pada musim pertama beliau di Anfield. Bagaimanapun kejayaan paling agung hadir pada tanggal 25 Mei 2005 menerusi kejayaan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara di Istanbul.

“Keajaiban di Istanbul”, itu frasa paling tepat untuk menggambarkan kebangkitan hebat mereka dalam memadam kelebihan tiga gol yang dimiliki AC Milan. Kebangkitan itu antara keajaiban paling indah yang berlaku dalam bolasepak selain “Romantisme Nou Camp” yang menyaksikan barisan Fergie menyentap ego Bayern Munich di final enam tahun sebelumnya.

Meskipun tiga tahun selepas itu Fergie dan barisan pemainnya sekali lagi menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow, kemenangan ke atas Chelsea itu masih meletakkan kelab di belakang Liverpool selaku kelab Inggeris paling berjaya di Eropah. Kegagalan dalam dua aksi final kepada Barcelona selepas itu menyaksikan United gagal menyamai pencapaian Liverpool di Eropah.

Kemuncak Sengketa Fergie dan Rafa...

Sepanjang tempoh enam musim Rafa di Anfield, musim 2008/09 menyaksikan persaingan paling sengit membabitkan United dan Liverpool dalam saingan liga. Dibarisi nama-nama seperti Javier Mascherano, Fernando Torres, Xabi Alonso, Dirk Kuyt, Jamie Carragher, Pepe Reina, Steven Gerrard dan Alvaro Arbeloa, barisan Rafa saya anggap barisan lebih kuat berbanding skuad dimiliki Houllier ketika beliau tewas dalam perebutan kejuaraan liga kepada Arsenal enam tahun sebelumnya.

Bagaimanapun kesilapan demi kesilapan yang dilakukan kelab Merseyside itu menjelang tahun baharu menyebabkan kedudukan mereka sebagai pendahulu sedikit demi sedikit terhakis. Tiga keputusan seri yang dicatatkan barisan Rafa sepanjang aksi bulan Januari (berdepan Stoke City, Everton dan Wigan Athletic) menyaksikan kedudukan mereka di tangga teratas liga dirampas United.

Berbanding Liverpool, United pula memulakan tahun baru dengan prestasi lebih konsisten selepas mereka menang sembilan perlawanan liga berturut-turut. Akhirnya sebarang harapan Rafa untuk muncul pengurus pertama membawa pulang trofi kejuaraan liga ke Anfield sejak 1990 ditamatkan Fergie menerusi keputusan seri yang dicatatkan United ketika berdepan Arsenal pada 16 Mei 2009.

United muncul juara musim tersebut menerusi perbezaan empat mata, tetapi lebih menarik persaingan sengit antara kedua-dua kelab itu bukan hanya di atas padang tetapi juga melibatkan perang mulut antara Fergie dan Rafa di luar padang. Kemuncak kepada perseteruan mereka, Fergie melabelkan Rafa sebagai `lelaki yang menyedihkan’ selepas warga Sepanyol itu berkali-kali menyerang beliau di hadapan wartawan.

Menurut Fergie, kesilapan terbesar Rafa ialah menjadikan perseteruan mereka di atas padang kepada permusuhan peribadi dan itu antara faktor utama mengapa Liverpool tewas kepada United. “Sekali anda membuatkannya (perseteruan) menjadi peribadi, anda tidak boleh berpatah balik. Saya memiliki rekod cemerlang di belakang saya tetapi Rafa masih mengejar trofi dan dalam masa yang sama berusaha menangani saya. Itu bukan satu tindakan yang bijak”.

Persamaan Nasib Rafa dan Keegan...

Musim 2008/09 merupakan musim terbaik untuk Rafa menamatkan kemarau kejuaraan liga di Anfield sepanjang karier beliau sebagai pengurus The Reds. Musim itu juga menyaksikan mereka dua kali menewaskan United (di Old Trafford dan Anfield) dalam saingan liga, mendahului perlumbaan merebut kejuaraan liga sepanjang separuh musim tetapi akhirnya kecewa di sebabkan kesilapan sendiri.

Apa yang berlaku kepada Rafa mengingatkan saya kepada nasib Kevin Keegan ketika beliau mengendalikan Newcastle United pada musim 1996/97. Newcastle yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Peter Beardsley, David Batty, Les Ferdinand, John Beresford, Faustino Asprilla, David Ginola dan ditambah pula dengan pembelian sensasi ke atas Alan Shearer menjadikan mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan liga musim tersebut.

Meskipun pada satu ketika mendahului United dengan kelebihan 12 mata, kesibukkan Keegan menangani beberapa siri perang psikologinya dengan Fergie menyaksikan fokus beliau terhadap misi kejuaraan liga tersasar. Di penghujung musim Eric Cantona menjulang trofi Liga Perdana keempatnya bersama United selepas barisan Fergie menamatkan saingan liga tujuh mata di hadapan Newcastle yang berada di posisi kedua.

Persengkataan Fergie dan Rafa antara persengkataan paling terkenal membabitkan dua pengendali dalam dunia bolasepak dan itu juga mungkin persengkataan paling sengit membabitkan Fergie dengan mana-mana pengurus Liverpool. Akhirnya pada 2010 Rafa meninggalkan Anfield di mana posisi beliau kemudiannya diambil alih Roy Hodgson manakala Fergie pula berjaya mengemudi United menang dua lagi kejuaraan liga sebelum bersara pada 2013.

Perseteruan Yang Semakin Redup...

Pemergian Rafa pada 2010 juga memberikan kesan kepada pertarungan North-West Derby. Meskipun masih lagi aksi yang ditunggu-tunggu saban musim, pertarungan dua kelab ini tidak sepanas ketika dua lelaki ini (Fergie dan Rafa) berada di tepi padang. Roy Hodgson hanya bertahan separuh musim manakala tempoh 16 bulan Kenny Dalglish di Anfield terlalu singkat untuk memacu kembali persengketaan beliau dengan Fergie.

Brendan Rodgers pula mungkin terlalu naïf untuk Fergie jadikan lawan jadi pertarungan antara United dan Liverpool sejak 2010 tidaklah setegang berbanding ketika kelab Merseyside itu ditangani Roy Evans, Houllier dan Rafa. Mungkinkah ini antara faktor penyebab mengapa Fergie mengumumkan persaraannya empat tahun lalu, tatkala beliau mendapati tiada lagi seteru setanding selepas pemergian Rafa manakala gelora sengketa beliau dengan Arsene Wenger pula semakin reda? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan