Bukan Manchester City, bukan Chelsea, bukan
Arsenal dan bukan juga Tottenham Hotspurs tetapi Manchester United akhirnya
menerima kekalahan pertama mereka musim ini kepada kelab kerdil Huddersfield
Town hasil jaringan Aaron Mooy dan Laurent Depoitre. Meskipun cuba bangkit
menerusi gol lewat Marcus Rashford (diminit ke-78), tempoh baki 12 minit masa
sebenar permainan tidak cukup buat barisan Jose Mourinho untuk
sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata.
Sepanjang 90 minit tempoh permainan, United
menguasai penguasaan bola (78%) tetapi dua kesilapan mudah yang dilakukan Juan
Mata dan Victor Lindelof menyaksikan mereka ketinggalan dua gol di babak
pertama. Mata dan Lindelof mungkin sahaja boleh dipersalahkan atas kesilapan
yang mereka lakukan namun hakikat sebenarnya ialah kekalahan United di Kirklees
Stadium turut dibantu oleh tumpulnya jentera serangan mereka.
Strategi
Bijak Wagner...
Berdepan United, David Wagner mengubah
formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya kepada 4-1-4-1 dengan meletakkan dua ball winning midfielder beliau iaitu Jonathan
Hogg dan Danny Williams di bahagian tengah. Dua pemain ini bukanlah pemain
utama The Terriers kerana Hogg cuma diturunkan
dalam kesebelasan permulaan buat kali keempat musim ini manakala Williams pula
mengambilalih kekosongan ditinggalkan Philip Billing yang mengalami kecederaan.
Mooy pula yang biasanya membentuk double pivot bersama Billing pula diarahkan
untuk bermain lebih ke depan bagi memberikan sokongan kepada Depoitre, Tom Ince
dan Elias Kachunga. Keberkesanan peranan yang dimainkan Hogg dan Williams dalam
perlawanan ini berjaya membataskan pergerakan jentera tengah United lantas memaksa
mereka melepaskan umpanan-umpanan terus ke dalam petak penalti lawan atau
melakukan gerakan-gerakan dari sisi sayap.
Statistik sepanjang perlawanan menyaksikan
Hogg melakukan tiga intercept dan
lima tackle bersih (dari enam yang
dilakukannya) manakala Williams pula melakukan lima tackle bersih selain mencipta satu peluang jaringan gol. Dalam
situasi defensif pula, Wagner mengarahkan sepuluh pemainnya berkampung di
kawasan sendiri bagi meminimumkan sebarang peluang yang cuba dicipta United.
Pendekatan ini menyukarkan Ander Herrera ataupun Mata sebagai perencana gerakan
hingga menyaksikan mereka gagal mencipta sebarang peluang jaringan gol.
Respon
Mourinho...
Menyaksikan United hilang kreativiti
sepanjang babak pertama, Mourinho melakukan respon pantas dengan melakukan dua
pertukaran di babak kedua apabila beliau memasukkan Rashford dan Henrikh
Mkhitaryan bagi (menggantikan Mata dan Anthony Martial). Kehadiran Rashford dan
Mikhi tidak banyak membawa perubahan manakala Wagner pula kekal dengan strategi
beliau hingga memaksa United bermain hantaran bola tinggi serta umpanan-umpanan
silang dari sebelah sayap.
Jadi tidak hairanlah mengapa di penghujung
permainan anda dapat melihat Chris Smalling kerap naik ke atas untuk menerima
hantaran-hantaran bola tinggi, tugas yang sebelumnya sering dimainkan Marouane
Fellaini manakala Romelu Lukaku pula terpaksa bergerak melebar sama ada di sisi
kiri mahupun kanan. Meskipun gagal menjaringkan gol, umpanan yang dilakukan
Lukaku dari sebelah kanan berjaya disudahkan Rashford untuk sekadar merapatkan
kedudukan.
Tiga
Perlawanan Tanpa Gol...
Lukaku ditandatangani Mourinho untuk beliau
letakkan sebagai penggempur utama United bagi menggantikan posisi Zlatan
Ibrahimovic. Ketiadaan Ibra yang terpaksa berehat panjang tidak ditangisi
penyokong-penyokong United kerana penyerang antarabangsa Belgium itu membuktikan
bahawa nilai £75 juta yang dibelanjakan kelab untuk khidmatnya bukanlah terlalu
mahal selepas beliau meledak tujuh gol dari sembilan penampilan liga setakat
ini.
Bagaimanapun sejak kali terakhir beliau meledak
gawang lawan ketika berdepan Crystal Palace 30 September lalu, Lukaku sudah
mengharungi tiga perlawanan (termasuk aksi Liga Juara-Juara) tanpa sebarang
gol. Prestasi Lukaku mungkin sedikit meresahkan tetapi dengan pendekatan
bertahan yang diamalkan ketika berdepan Liverpool selain kurangnya umpanan-umpanan
berkualiti yang dibekalkan untuknya antara penyumbang kepada kemarau gol beliau
dalam tiga aksi terakhir.
Tidak
Layak Untuk Satu Mata...
Selepas berakhirnya aksi di Kirklees Stadium,
Mourinho tidak dapat menyembunyikan kekecewaan beliau dengan sikap yang
ditunjukkan barisan pemainnya. Menurut Mourinho ini adalah sikap paling teruk
dipamerkan pemain-pemain United sejak beliau mengambil alih pengurusan kelab
dari tangan Louis Van Gaal.
Untuk menyaksikan skuadnya tewas kepada lawan
yang tidak pernah memenangi sebarang perlawanan sejak bulan Ogos tentulah hal
yang menyakitkan tetapi sikap yang ditunjukkan pemain-pemainnya sepanjang 90
minit lebih menyakitkan. Menurut Mourinho barisan pemainnya tidak memiliki keinginan,
motivasi dan sikap agresif untuk cuba memenangi perlawanan ini berbanding
lawan.
“Saya sangat kecewa dan jika saya berada di
pihak anda (penyokong) saya juga akan berasa kecewa. Saya lebih suka kalah
kepada lawan yang memiliki kualiti atau permainan lebih bagus berbanding kami.
Tetapi kami kalah kerana sikap. Kami boleh menjaringkan gol kedua tetapi kami
sebenarnya tidak layak untuk mendapat satu mata pun”.
Masa
Untuk Perbaiki Segala Kekurangan...
Ketika pemain-pemain Huddersfield meraikan
kemenangan pertama mereka ke atas United dalam tempoh 65 tahun, penting buat
Mourinho dan skuadnya melupakan segera kekalahan semalam. Secara keseluruhan
aksi semalam, United memang tidak bermain dengan baik malah persembahan mereka juga
menerima kritikan hebat dalam dua perlawanan sebelumnya (menentang Liverpool
dan Benfica).
Mujurlah United tidak kalah di Anfield dan
ketika berdepan Benfica di Liga Juara-Juara pula mereka tetap menang meskipun tidak
bermain dengan baik. Nemanja Matic, Antonio Valencia, Juan Mata dan Anthony
Martial semuanya bermain di bawah prestasi sebenar semalam, manakala saya masih
menunggu Herrera mempamerkan semula prestasi terbaiknya yang pernah menyaksikan
beliau muncul antara watak utama dalam skuad United musim lalu.
Aksi menentang Tottenham Hotspurs hujung
minggu ini akan menjadi pentas terbaik untuk United kembali membuktikan bahawa
mereka adalah antara pencabar serius kejuaraan liga. Tetapi sebelum itu, aksi
pertengahan minggu berdepan Swansea City di Stadium Liberty juga tidak kurang
pentingnya kerana ia akan menjadi misi barisan Mourinho mempertahankan
kejuaraan Piala Liga mereka.
Seperti sudah tertulis, Spurs yang dianggap
antara barisan paling menarik untuk disaksikan aksi mereka di Liga Perdana adalah
lawan paling tepat untuk menguji sejauh mana kekuatan mental barisan pemain Mourinho,
manakala kemenangan di Stadium Liberty bukan sahaja meletakkan United di suku
akhir malah bakal menyuntik motivasi tambahan sebelum aksi liga menentang
Spurs.
Lebih kurang sebulan yang lalu, Mourinho pernah
mengatakan bahawa beliau ingin melihat United kalah kerana kekalahan akan
menguji sejauh mana kekuatan mental yang dimiliki pemain-pemainnya. Kini
`harapan’ Mourinho sudah tertunai dan sudah tentu sepertimana beliau, kita juga
ingin melihat bagaimana kemampuan pemain untuk bangkit selepas kekalahan `tidak
terduga’ yang dialami semalam. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan