Manchester United masih tercari-cari
kejuaraan liga pertama mereka sejak kali terakhir barisan Sir Alex Ferguson
melakukannya pada 2013, manakala Liverpool pula berdepan kemarau jauh lebih
lama sejak Alan Hansen muncul kapten terakhir The Reds yang berjaya
menjulang trofi tersebut lebih 27 tahun lalu ketika mereka berada di bawah era
pengurusan Kenny Dalglish.
Empat musim ditinggalkan Fergie, United
kelihatan bergelut dalam usaha mereka untuk keluar dari bayang-bayang silam
kesan dari kejayaan gemilang yang pernah dicipta hasil dari sentuhan emas
legenda hidup mereka itu. Selepas kegagalan David Moyes dan Louis Van Gaal,
kini di bahu Jose Mourinho pula diletakkan harapan agar beliau mampu meletakkan
kelab kembali ke landasan gemilang.
Di Anfield pula kita sudah menyaksikan
sembilan individu silih berganti duduk di kerusi pengurus sejak kejayaan Fergie
mengemudi barisan musim 1992/93 United menjulang kejuaraan liga pertama dalam
tempoh 26 tahun. Dari sembilan individu itu, hanya Gerard Houllier, Rafa
Benitez dan Brendan Rodgers muncul pengendali paling hampir membawa The Reds menamatkan kemarau panjang
kejuaraan liga mereka.
Mourinho
vs Klopp...
Kini United dan Liverpool ditangani dua
pengendali yang dianggap antara paling berkarisma dalam dunia bolasepak. Jurgen
Klopp tiba di Anfield pada 2015 bagi menggantikan tempat Brendan Rodgers,
manakala impian Mourinho untuk duduk di kerusi pengurus United menjadi
kenyataan selepas beliau dinamakan sebagai pengganti Louis Van Gaal tahun lalu.
Meskipun usia Mourinho dan Klopp hanya
dibezakan empat tahun, namun falsafah bolasepak mereka umpama langit dan bumi.
Sehingga musim lalu, Liverpool di bawah kendalian Klopp mempamerkan corak
permainan berintensiti tinggi dan ketat menerusi tekanan yang mereka berikan
kepada lawan, atau dalam sebutan lainnya corak permainan seperti ini lebih
dikenali sebagai `gegenpressing’.
Meskipun falsafah ini bukanlah hal yang baru
dalam dunia bolasepak, pendekatan Klopp menerusi taktik gegenpressing menyaksikan Borussia Dortmund menamatkan kemarau
sembilan tahun mereka dengan menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2011. Mereka
kemudiannya berjaya mempertahankan kejuaraan liga pada 2012 di samping trofi
DFB Pokal untuk dipamerkan di Borusseum.
Bolasepak Mourinho pula lebih konvensional hinggakan
beliau sangat terkenal dengan label `pragmatik’ kerana pendekatan permainan
bertahannya atau istilah yang lebih popular taktik `parkir bas’-nya. Aksi
menentang Stoke City 10 September lalu bukti terbaru bagaimana seorang bernama Jose
Mourinho ini sanggup `membakul sampahkan’ corak permainan bolasepak menarik
demi sebuah kemenangan.
Ketepikan sebentar segala tanggapan negatif
terhadap Mourinho kerana kayu ukur sebenar untuk menilai kejayaan seorang
pengendali itu ialah jumlah trofi yang berjaya mereka menangi dan untuk itu
beliau sudah membuktikannya. Musim lalu Mourinho mengemudi United memenangi
tiga kejuaraan selain tiket beraksi di Liga Juara-Juara menerusi kejayaan
menjulang trofi Liga Europa.
Situasi
Semasa...
United memulakan musim ini dengan cemerlang
menerusi enam kemenangan dan satu keputusan seri yang mereka catatkan sekaligus
menyaksikan dua posisi teratas liga dikuasai kelab dari Manchester. Pencapaian
Liverpool jika diambilkira dari tujuh aksi mereka musim ini pula mengalami
penurunan berbanding musim lalu selepas mereka sekadar berada di kedudukan
ketujuh liga dengan tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan.
Kerapuhan benteng pertahanan merupakan
masalah paling besar yang perlu diatasi Klopp dan dengan prestasi terkini yang
ditunjukkan barisan hadapan United, wajar ada kebimbangan dalam diri beliau
menjelang aksi North-West Derby
ke-172 ini. Kenyataan yang dikeluarkan Alberto Moreno bahawa Sergio Aguero,
Alvaro Morata dan Harry Kane penyerang lebih unggul berbanding Romelu Lukaku
pula saya anggap sekadar perang psikologi menjelang aksi penting ini.
Kecederaan
Pemain...
Aksi perlawanan antarabangsa bakal memberikan
kesan besar kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan Mourinho dan Klopp
nanti. Ketika Marouane Fellaini muncul pemain terbaru yang menyertai Zlatan
Ibrahimovic, Marcos Rojo dan Paul Pogba di bilik rawatan, United menerima dua
berita gembira selepas Romelu Lukaku dan Phil Jones disahkan cukup cergas untuk
aksi di Anfield nanti. Di kem Liverpool pula, mereka menerima khabar buruk
selepas Sadio Mane dilaporkan bakal terlepas aksi Sabtu ini kerana mengalami
masalah hamstring.
Tatkala peluang Klopp menurunkan Mane hampir
mustahil, tahap kecergasan Phillipe Coutinho dan Roberto Firmino juga bakal
menjadi sorotan utama. Sebaik tamat tugasan bersama skuad kebangsaan, dua
bintang Brazil ini akan mengharungi penerbangan jauh dan akan hanya tiba di
Melwood pada hari Khamis (12 Oktober), dua hari sebelum aksi menentang United
berlangsung. Dua gol dari tiga penampilan untuk Liverpool bukti betapa
pentingnya kelibat Coutinho, jadi
menarik untuk melihat adakah Klopp sedia mempertaruhkan kecergasan
bintang Brazil ini untuk aksi Sabtu nanti?
Detik
Penting Herrera...
Ketiadaan Pogba dan Fellaini membuka peluang
buat Ander Herrera merasai aksi dalam kesebelasan utama dan sudah tentu beliau
akan membentuk gandingan bersama Nemanja Matic di bahagian tengah United. Inilah
masa paling tepat untuk kita menyaksikan kembali Herrera bermain selama 90
minit kerana bahagian tengah United perlukan pemain seperti beliau untuk
memberikan lebih `energy’.
Di Anfield nanti saya jangkakan Mourinho akan
menggunakan formasi 4-2-3-1 dan jika itu berlaku Matic akan kekal sebagai pivot manakala Herrera akan bergerak lebih
ke atas di blok serangan United. Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata dan Marcus
Rashford pula akan membentuk tiga rangkaian pemain di belakang Romelu Lukaku
selaku pemegang peranan pemain nombor 9.
Herrera antara pemain paling cemerang musim
lalu kerana peranan berkesan yang dimainkannya dalam situasi bertahan mahupun
menyerang. Aksi menentang Chelsea di Old Trafford musim lalu, Mourinho
menggunakan Herrera untuk mengunci setiap pergerakan Eden Hazard dan di Anfield
nanti tugas yang sama akan dimainkan beliau sekali lagi. Kali ini sasarannya
sudah tentu Coutinho, pemain paling berbahaya yang dimiliki The Reds.
Ujian
Paling Getir...
Dalam situasi apapun meraka berada, Liverpool
tetap pasukan berbahaya buat United tambahan pula mereka beraksi di hadapan
penyokong sendiri. Liverpool juga adalah kelab besar pertama yang dihadapi
United dari lapan aksi liga mereka setakat ini, jadi sudah tentu aksi menentang
The Reds bakal memberikan gambaran
awal sejauh mana kemampuan United untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.
Permusuhan antara dua kelab ini mungkin tidak
sehebat ketika era Sir Matt Busby/Bill Shankly, Fergie/Dalglish atau
Fergie/Rafa namun hakikatnya pertembungan antara United dan Liverpool tetap
menarik untuk disaksikan. Selain El
Clásico di La Liga atau Der Klassiker
di Bundesliga, aksi North-West Derby
ini juga masih lagi `acara penting’ yang ditunggu peminat bolasepak seluruh
dunia, tidak kira di mana posisi United atau Liverpool berada. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan