16 Oktober 2017

PENDEKATAN `PERLAWANAN BESAR’ ALA MOURINHO




Sudah dua hari berlalu namun perbincangan tentang strategi permainan United yang digunakan Jose Mourinho ketika berdepan Liverpool di Anfield, Sabtu lalu masih hangat dibincangkan penyokong kedua-dua pasukan. Memang benar, sama seperti anda saya juga sedikit kecewa menyaksikan aksi keseluruhan yang dipamerkan United dalam perlawanan North-West Derby itu namun dalam masa yang sama pendekatan digunakan Mourinho di Anfield bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Jika anda impikan perlawanan menarik menerusi corak berbalas serangan, klasik dan akan diingati buat tempoh yang panjang, anda ada sebab yang kukuh untuk berasa kecewa sebaik Martin Atkinson meniup wisel penamat. Anti klimaks...itu adalah perkataan paling tepat untuk menggambarkan perjalanan keseluruhan perlawanan Liverpool-United itu kerana hampir sepanjang 90 minit United lebih berminat mengamalkan pendekatan untuk `tidak kalah’.

Formula Anti Gegenpressing...

Seperti yang saya sebutkan di atas, pendekatan Mourinho ketika berdepan Liverpool tempohari bukanlah mengejutkan. Bagi seorang pengendali pragmatis seperti beliau, memastikan skuadnya tidak kalah dalam perlawanan besar merupakan hal yang wajib dilaksanakan. Mourinho seperti yang anda tahu merupakan seorang jurutaktik yang mana strategi permainannya bergantung kepada kekuatan lawan yang bakal beliau hadapi.

Sebelum skuadnya bertolak ke Merseyside, saya percaya dalam fikiran Mourinho sudah tertanam bahawa United tidak boleh bermain terbuka dalam menghadapi corak permainan penuh energy Liverpool menerusi falsafah gegenpressing yang ditanam Jurgen Klopp. Jadi tidak hairanlah di Anfield anda dapat saksikan Mourinho mengarahkan pemain-pemainnya bermain lebih kedalam dan memaksa lawan lebih banyak melakukan gerakan-gerakan dari sisi sayap.

Tanpa kelibat Paul Pogba yang menjadi nadi kepada kelancaran gerakan-gerakan United serta Marouane Fellaini, apa yang boleh dilakukan Mourinho selain mengarahkan Nemanja Matic dan Ander Herrera bermain di zon selamat demi melindungi empat rakan mereka di benteng pertahanan. Mourinho turut mengakui bahawa set pemain tengah yang dibawanya tidak mampu menyaingi kekuatan trio Jordan Henderson-Emre Can-Giorgino Wijnaldum.

Menyedari bahawa Liverpool sering berdepan masalah ketika berdepan lawan yang mengamalkan corak permainan defensif, Mourinho menurunkan sedikit `darjat’ United di Anfield menerusi pendekatan bermain secara bertahan sambil menanti sebarang peluang untuk menghukum kesilapan lawan. Meskipun pendekatan beliau dikritik ramai pihak, satu mata yang berjaya dibawa pulang dari gelanggang dan lawan yang sukar seperti Liverpool tetap satu keputusan yang positif.

Barcelona Pun Tak Mampu Tembusi Benteng United...

Gagal menang ketika bermain di gelanggang sendiri selepas menguasai sebahagian besar perlawanan tentulah satu kekecewaan yang besar buat Klopp. Bahasa tubuh beliau selepas tamat perlawanan menceritakan segalanya tambahan pula Liverpool perlukan kemenangan agar tidak tercicir terlalu jauh dari kelompok pencabar kejuaraan liga.

Selain percubaan jarak dekat Joel Matip yang berjaya diselamatkan David De Gea, Liverpool berdepan kesukaran dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan United sepanjang perlawanan. Di hadapan wartawan, Klopp meluahkan kekecewaannya dengan menyebut bahawa kesebelasan terbaik seperti Barcelona pun pasti berdepan kesukaran menembusi tembok pertahanan United.

“Anda tidak mungkin mencipta banyak peluang ketika menentang United. Hal itu hampir mustahil untuk kami lakukan. Barcelona diwaktu zaman kemuncak mereka pun tidak akan mampu melakukannya (jika berdepan United sekarang). Dengan corak permainan seperti ini, anda akan saksikan United tidak banyak mengalami kekalahan musim ini”.

Menentang Liverpool bukan satu-satunya perlawanan besar yang perlu diharungi United dalam saingan domestik, jadi sudah tentu anda akan menyaksikan lebih banyak lagi aksi-aksi defensif yang dipamerkan barisan Mourinho (terutamanya ketika mereka bermain di gelanggang lawan) saat berdepan Chelsea, Manchester City, Arsenal ataupun Tottenham Hotspurs nanti.

Misi Yang Berjaya Di Anfield?...

Ada pihak yang melabelkan United bermain seperti pasukan picisan menerusi strategi `parkir bas’ yang digunakan Mourinho ketika berdepan Liverpool manakala bukan sedikit dari kalangan Kopites yang kecewa dengan keputusan seri 0-0 tempohari. Liverpool merupakan `lawan besar’ pertama yang dihadapi United dalam saingan liga musim ini dan ditambah faktor bermain di gelanggang lawan, Mourinho setidaknya mahukan satu mata untuk di bawa pulang.

20 mata dari lapan perlawanan dan berada di tangga kedua liga tentunya satu pencapaian yang jauh lebih baik berbanding musim lalu (14 mata dari lapan perlawanan). Meskipun `anti klimaks’, secara peribadi saya tetap berpuashati melihat United masih kekal dengan rekod tanpa kalah mereka sebaik berakhirnya pertempuran di Anfield tempohari atau dalam kata lain yang lebih tepat, United tidak tewas kepada seteru abadi mereka itu di kubu lawan.

Statistik sepanjang perlawanan (kecuali jaringan gol) secara total memang memihak Liverpool, tetapi pada kenyataannya strategi Mourinho yang mengarahkan pemain-pemainnya berada dalam kedudukan yang rapat ketika bertahan, tutup ruang, biarkan lawan mencipta peluang asalkan tidak berbahaya dan cuba memanfaatkan kelekaan mereka akhirnya menyaksikan Klopp dan penyokong-penyokong Liverpool frustasi di akhir perlawanan.

Misi Berbeza...

United sekali lagi akan beraksi di luar Old Trafford hujung minggu ini dan lawan yang bakal mereka hadapi kali ini ialah Huddersfield Town, kelab tangga ke-12 liga. Sudah tentu strategi yang bakal digunakan Mourinho pada kunjungan ke Kirklees Stadium tidak sama dengan apa yang beliau gunakan ketika berdepan Liverpool tempohari kerana tiga mata penuh ialah misi yang wajib disempurnakan United Sabtu ini.

Jamie Carragher mengatakan bahawa mentaliti Mourinho ketika datang ke Anfield ialah untuk pulang dengan satu mata tetapi hujung minggu ini saya percaya United akan kembali bermain secara terbuka demi sebuah kemenangan. Jika satu mata yang berjaya di bawa pulang dari Anfield dianggap satu keputusan positif, `bencana’ pula adalah perkataan paling tepat jika barisan Mourinho keciciran mata di Kirklees Stadium nanti. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan