Sudah lebih setahun Ole Gunnar
Solskjaer menggantikan posisi Jose Mourinho selaku pengendali Manchester
United. Aksi menentang Liverpool di Anfield pada 16 Disember 2018 yang
berkesudahan United tewas 1-3 merupakan perlawanan terakhir Mourinho di bangku
pengurus, sebelum posisinya diambilalih Solskjaer. Pada awalnya Solskjaer
cumalah pengganti sementara selepas Mourinho dipecat berikutan prestasi buruk
yang dipamerkan United sepanjang tempoh fasa pertama musim 2018/19.
Di tangan Solskjaer, United
kemudiannya bangkit selepas itu apabila mereka mencatatkan enam kemenangan
berturut-turut dalam saingan liga sehinggalah aksi di Stadium Emirates yang
menyaksikan Arsenal memberikan kekalahan pertama kepada Solskjaer dari 12
penampilan beliau selaku pengendali United. Selaku legenda kelab dan pernah
bermain selama bertahun-tahun di bawah arahan Sir Alex Ferguson, Solskjaer
memang diharap dapat mengembalikan semula DNA permainan menyerang United yang
hilang di era Mourinho.
Pemecatan Mourinho walaupun
sudah dijangka tetapi tetap sedikit mengejutkan kerana beliau boleh dianggap
pengurus paling berjaya di Old Trafford selepas persaraan Fergie pada 2013
menerusi kejayaan menghadiahkan kejuaraan `treble kecil’ pada musim
2016/17 (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa). Meskipun mengakhiri
musim 2017/18 tanpa sebarang kejuaraan, Mourinho berjaya mengemudi United
menamatkan saingan liga di tangga kedua selain mara ke pentas final kejuaraan
Piala FA (tewas 0-1 kepada Chelsea).
Tanpa Kejuaraan Besar
Solskjaer tiba di Old Trafford
tanpa pencapaian besar yang boleh dibanggakan selain kejayaan beliau mengemudi
FK Molde menjuarai Tippeligaen dan Piala Norway. Jadi memang wajarlah beliau
cuma di letakkan sebagai pengendali sementara bagi membolehkan kelab mencari
pengurus berprofil tinggi yang lain sebagai pengganti Mourinho. Akhirnya
berbekalkan prestasi baik yang dipamerkan United selepas itu, beliau dilantik
secara tetap dengan harapan Solskjaer mampu meningkatkan kembali tahap
keyakinan para pemainnya.
Pada awalnya kehadiran
Solskjaer memberikan kita harapan bahawa United akan kembali bangkit dan
memperagakan corak permainan menyerang yang menarik menerusi pendekatan
gerakan-gerakan serang balas pantas. Segalanya bermula dengan sangat sempurna
buat Solskjaer, apabila United mengharungi 18 perlawanan dengan 16 kemenangan
dalam semua peringkat kejohanan. Paling epik tentunya kejayaan barisan
pemainnya memadam defisit dua gol untuk menyingkir Paris St Germain di pusingan
kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara.
Semua keputusan baik yang
diraih United berlaku ketika Solskjaer masih lagi memegang status sebagai
pengendali sementara. Selepas pengurusan kelab mengambil keputusan untuk
mengekalkan Solskjaer secara tetap, segalanya berubah secara drastik. Ketika
harapan penyokong yang mahu melihat United menamatkan saingan musim lalu di
kelompok empat teratas tinggi menggunung, kekalahan demi kekalahan yang dialami
barisan Solskjaer akhirnya menyaksikan mereka menamatkan saingan liga di tangga
keenam.
Sudah tentu kegagalan United
menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas akibat prestasi longlai di
penghujung musim mencetuskan perdebatan adakah keputusan pihak pengurusan
United memilih Solskjaer sebagai pengurus tetap satu tindakan yang tepat? Melihat
kepada track record Solskjaer sebagai pengurus serta prestasi United di
penghujung musim lalu, memang wajar untuk majoriti penyokong bimbang tentang
kemampuan beliau selaku pengendali The Red Devils berdepan cabaran musim
penuh pertamanya di Old Trafford.
Kelebihan Solskjaer
Berbanding Mourinho, Solskjaer
sebenarnya sangat beruntung kerana di belakangnya beliau menerima sokongan
penuh dari pihak pengurusan kelab. Contoh terbaik ialah bagaimana kelab
menerima permohonan Solskjaer untuk mendapatkan khidmat Harry Maguire dari
Leicester City biarpun harga yang diletakkan ke atas pemain pertahanan tengah
itu dilabel sesetengah pihak sebagai `tidak masuk akal’. Jika semusim
sebelumnya permintaan Mourinho untuk mendapatkan pertahanan tengah baharu
dipenuhi, ia mungkin boleh mengubah nasib warga Portugal itu di Old Trafford.
Dalam tempoh setahun, Solskjaer
pada pandangan saya lebih sukses berbanding Mourinho, terutamanya dalam hal
membeli pemain baharu. Kehadiran Maguire dan Aaron Wan-Bissaka berjaya meningkatkan
kualiti benteng pertahanan, manakala sisi sayap menerima impak yang besar
menerusi kehadiran Daniel James selaku prospek jangka panjang. Paling
mengejutkan tentunya penampilan James selaku rookie Liga Perdana
menerusi prestasi terpuji yang beliau pamerkan di sisi sayap United. Jadi tidak
salah jika saya katakan bahawa James adalah pembelian paling berbaloi dilakukan
Solskjaer musim panas tahun lalu.
Faham Dengan Falsafah Kelab
Sebagai bekas pemain dan diiktiraf
pula selaku legenda United, Solskjaer tentunya sangat faham dengan kehendak dan
falsafah kelab. United pada suatu ketika dahulu antara kelab Inggeris yang
sangat sukses mempromosikan bakat-bakat muda ke dalam skuad utama mereka. Di
bawah kendalian Solskjaer, United kini kembali cenderung ke arah itu. Ketika
aksi pra musim, Solskjaer membawa sebahagian besar pemain-pemain muda dalam
jelajah mereka di Oceania, Asia dan Eropah.
Aksi pra musim bukan sekadar
medan pendedahan pemain muda tetapi digunakan Solskjaer untuk menilai pemain
manakah yang layak diserap ke dalam skuad utama. Keyakinan Solskjaer terhadap
sistem akademi United dibuktikan beliau menerusi penampilan pemain-pemain muda
yang mula mencuri tumpuan. Paling memberikan kesan ialah penampilan Mason
Greenwood, James Garner, Brandon Williams dan peningkatan berterusan yang
dipamerkan Scott McTominay serta Marcus Rashford selaku aset masa depan kelab.
Peningkatan Yang Mula Kelihatan
Prestasi United musim ini tetap
membimbangkan. Adakalanya mereka bermain dengan sangat baik, dan ada kalanya
juga mereka bermain seperti sebuah kesebelasan bawahan liga. Bagaimanapun apa
yang menariknya selepas saingan liga menamatkan fasa pertamanya, United menang
ketika mereka berdepan Chelsea, Leicester City, Tottenham Hotspurs, Manchester
City selain mencatatkan keputusan seri ketika menentang Liverpool dan Arsenal.
Kekalahan kepada Arsenal dalam
aksi pusingan kedua liga yang berlangsung di Stadium Emirates pada Khamis lalu
sedikit mencalarkan rekod Solskjaer ketika beliau berdepan kelab-kelab big
six. Tetapi untuk seorang pengurus yang sangat `minima pengalaman’ dan
tiada pencapaian besar yang boleh dibanggakan, menewaskan kesebelasan yang
dipimpin pengurus hebat seperti Pep Guardiola dan Jose Mourinho tetap satu
pencapaian yang boleh dibanggakan.
Memang diakui bahawa United di
bawah kendalian Solskjaer selama setahun masih belum menunjukkan peningkatan
yang signifikan. Tetapi jika anda perhatikan dengan lebih teliti, tetap ada
beberapa sisi positif yang dipamerkan skuad The Red Devils sejak
ketibaan beliau pada Disember 2018 yang lalu. Untuk musim penuh pertamanya di
Old Trafford, posisi keempat atau kelima dalam carta liga adalah sasaran paling
realistik untuk dicapai Solskjaer, manakala satu kejuaraan meupakan satu bonus tambahan
dari beliau.
Optimisme Dan Sasaran 2020
Sepanjang tempoh sedekad ( dari
2009-2019), United berjaya menjulang dua kejuaraan liga, dua Piala Liga, satu
Piala FA, satu Liga Juara-Juara dan satu Liga Europa. Dalam tempoh tersebut
juga kita melihat tiga pengurus (David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho)
terpaksa berdepan pemecatan. Paling mengharukan tentunya melihat dominasi
United dalam saingan liga turut berakhir seiring dengan tamatnya era pengurusan
Sir Alex Ferguson di Old Trafford.
Tahun 2020 bakal menjadi tahun
yang mencabar buat Solskjaer. Di bahunya akan terpikul harapan tinggi
penyokong-penyokong yang mahu melihat United kembali bangkit selaku kelab
disegani di England. Solskjaer mengatakan beliau perlukan seorang atau dua lagi
pemain baharu untuk memperkuatkan skuadnya, jadi penyokong-penyokong ingin
melihat apa yang bakal beliau lakukan sepanjang jendela perpindahan pemain
pertengahan musim dibuka.
Meskipun statistik Solskjaer
selama setahun di Old Trafford lebih buruk berbanding Moyes, Van Gaal dan
Mourinho, tetapi Ed Woodward nampaknya tetap teguh berada di belakang
menyokongnya. “Ole sedang membina semula pasukan untuk tempoh jangka Panjang.
Kami yakin Manchester United akan kembali ke puncak bolasepak Inggeris suatu
hari nanti”, kata Woodward ketika diwawancara MEN Sports pada Disember tahun
lalu.
Saya suka dengan optimisme
Woodward ini, dan sebagai penyokong United saya juga yakin bahawa suatu hari
nanti barisan The Red Devils akan kembali ke puncak hierarki bolasepak
Inggeris sepertimana kata Woodward. Cuma persoalan paling besar adakah ketika
itu Solskjaer masih berada di kerusi pengurus United? Ya…saya harap begitu
kerana tiada yang paling indah bila melihat United kembali digeruni dan
dicemburui lawan menerusi sentuhan dari legenda mereka sendiri. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan