Tanggal 8 Januari 2012 semakin
hampir, tarikh di mana perhitungan dengan Manchester City di gelanggang lawan
bakal berlangsung. Memandangkan United dan City ketika itu sedang bersaing
hebat dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, aksi pusingan ketiga Piala FA
yang dilangsungkan di City of Manchester Stadium ini adalah medan terbaik untuk
kedua-dua pasukan menguji sejauh mana kekuatan mental mereka dalam mengharungi
baki saingan domestik yang semakin sengit.
Bagaimanapun kali ini Fergie
tidak seghairah sepertimana aksi-aksi sebelumnya menentang `Jiran Yang Bising’ itu. Apa
tidaknya kerana selain terpaksa berdepan skuad bimbingan Roberto Mancini yang
sedang on fire, beliau juga terpaksa memikirkan bagaimana caranya untuk
menampung ketiadaan beberapa pemain utamanya yang mengalami kecederaan. Atau
lebih tepatnya aksi pada tanggal 8 Januari 2012 itu bukanlah detik yang tepat
untuk Fergie membawa `skuad tempangnya’ ke City of Manchester Stadium.
Menambahkan lagi kebimbangan
Fergie, dua aksi terakhir United dalam saingan liga ketika itu berakhir dengan
kekalahan. Pada 31 Disember 2011, mereka tewas (2-3) kepada Blackburn Rovers di
Old Trafford dan empat hari selepas itu giliran Newcastle United pula membuatkan
muka Fergie merah padam selepas The Red Devils diaibkan menerusi
kekalahan (0-3) yang dialami mereka di St James Park. Berbanding United, City
pula dalam mood terbaik kerana mereka baharu sahaja menewaskan Liverpool (3-0)
di gelanggang sendiri.
Kebimbangan Fergie menjelang
kunjungan United ke City of Manchester Stadium itu memang ada asasnya, kerana
selain hilang khidmat beberapa tonggak utamanya kerana masalah kecederaan, beliau
juga perlu memikirkan cara bagaimana mahu memotivasikan para pemainnya selepas
dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga. Sudah tentu tragedi kekalahan
besar (1-6) kepada City di Old Trafford dalam aksi liga pada 23 Oktober 2011
masih lagi kuat menghantui benak fikiran Fergie.
Apakah solusi Fergie bagi
menampung ketiadaan Anderson, Darren Fletcher, Darron Gibson dan Tom Cleverley
menjelang pertembungan Manchester Derby nanti? Phil Jones, Park Ji-Sung,
Ryan Giggs dan Luis Nani antara pemain yang pernah dicuba Fergie untuk mengisi
kelompongan di bahagian tengah. Tidak cukup sekadar itu, Fergie juga
mempromosikan beberapa pemain muda dari akademi seperti Ravel Morrison, Paul
Pogba dan Larnell Cole sementara menunggu Anderson, Fletcher, Gibson dan
Cleverley keluar dari bilik rawatan.
Kejutan Tak Terduga
Ketika ramai pihak berteka teki
tentang pemain mana yang bakal digunakan Fergie untuk bertindak selaku
penggerak jentera tengah skuadnya di City of Manchester Stadium nanti, beliau
rupa-rupanya sudah memiliki rencana lain dalam benak fikirannya. Rencana dalam
fikiran Fergie kali ini bukan rencana sebarangan, kerana ia bakal memberikan
kejutan bukan sahaja kepada penyokong United tetapi juga pengikut bolasepak
England.
Kali ini Fergie tidak akan
memberikan tugas kepada pemain out of position seperti Jones, Ji-Sung,
Nani atau Giggs untuk mengetuai jentera tengah United. Atau mempertaruhkan
pemain muda seperti Pogba untuk bertempur dengan David Silva atau Samir Nasri
di bahagian tengah. Jadi kejutan apakah sebenarnya yang bakal diberikan Fergie,
bukan sahaja kepada penyokong-penyokong United tetapi juga kepada Roberto
Mancini nanti?
Secara diam-diam Fergie
rupa-rupanya menjalankan misi sulit bagi memujuk pemain yang tujuh bulan
sebelumnya sudah pun mengumumkan persaraan. Pemain yang saya maksudkan ialah
Paul Scholes. Pada 31 Mei 2011, Scholes yang ketika itu sudah pun berusia 36
tahun mengumumkan secara rasmi persaraannya, sekaligus mengakhiri era 18 tahun
beliau sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan United.
Sehingga ke hari perlawanan,
bukan sahaja penyokong-penyokong, malah pemain-pemain United juga tidak dapat
menghidu kejutan yang bakal berlaku. Hal tersebut pernah disebut Wayne Rooney
selepas berakhirnya aksi menentang City itu. “Berkenaan Scholes, ia sesuatu
yang sangat mengejutkan. Kami tidak tahu langsung sehinggalah ketika kami
berada di bilik persalinan. Sangat bagus untuk kami memiliki kembali pemain
dengan kualiti sepertinya”, kata Rooney.
Kembali Dari Persaraan
Rancangan Fergie untuk memujuk
Scholes supaya keluar dari persaraan memang disimpan beliau dengan serapi yang
mungkin. Malahan keputusan Scholes untuk bermain menentang City hanya dibuat
sehari sebelum berlangsungnya perlawanan. “Dia (Fergie) tidak memberitahu pemain
lain kerana mahukan situasi tetap tenang. Sebelum bertandang ke gelanggang
City, dia mengarahkan saya untuk menginap di hotel berasingan. Malam sebelum
perlawanan dia hanya duduk di meja dengan segelas wain dan mengarahkan saya
agar berdiam diri”, imbas Scholes.
“Kemudian saya pergi ke stadium
keesokan harinya. Saya agak gugup bila memikirkan apa yang bermain dalam
fikiran rakan-rakan sepasukan nanti. Kemudian saya pergi ke bilik persalinan
dan mendapati jersi saya sudah disediakan. Saya didaftarkan sebagai pemain
gantian dalam perlawanan itu”, kata Scholes. Kembali semula dari persaraan
bukanlah satu keputusan mudah buat Scholes. Malahan rancangan untuk kembali
bermain sudah dibincangkan beliau bersama Fergie sejak bulan September 2011
lagi.
Demi memelihara tahap
kecergasannya, Scholes menjalani latihan bersama skuad U-23 United.
Bagaimanapun ketika itu kehadiran beliau lebih dilihat sebagai mentor buat
pemain-pemain muda United terutamanya mereka yang bermain di posisi tengah.
Kerinduan Scholes untuk kembali beraksi dan mengetuai jentera tengah United
tidak dapat dibendung lagi. Apatah lagi ketika itu beliau melihat United sedang
dilanda krisis kecederaan yang sangat kritikal membabitkan para midfielder
mereka.
“Pada Disember, saya merasakan kondisi
kecergasaan saya sudah berada pada tahap terbaik, manakala kelab pula berdepan
krisis kecederaan hingga memaksa Fabio da Silva bermain di bahagian tengah.
Saya merasakan inilah waktu yang tepat untuk kembali bermain. Sehari sebelum
aksi pusingan ketiga Piala FA menentang City, saya mendapat panggilan dari
Fergie. Jersi nombor 22 sudah disediakan untuk saya kerana nombor 18 digunakan
oleh Ashley Young”. Kata Scholes lagi.
Untuk kembali bermain, Scholes
tentunya memerlukan sepasang boot baharu. Memandangkan kontrak dan
tajaan bersama Nike sudah pun tamat, Scholes terpaksa membeli boot
baharu di butik sukan tempatan. Pilihan Scholes tetap sama iaitu jenama Nike
dari siri T90 yang berharga £50 pound. Walau bagaimanapun dengan harga cuma £50
pound, Scholes hanya mendapat Nike T90 Shoot IV, meskipun dahulu beliau
menggunakan Nike T90 Laser IV iaitu versi paling mahal dan terbaik dalam siri
T90 keluaran Nike.
Scholes Kembali, Pogba Tersisih
Penampilan pertama Scholes
selepas kembali dari persaraan berakhir dengan sangat manis apabila United menewaskan
City (3-2) menerusi dua gol jaringan Wayne Rooney dan satu sumbangan Danny
Welbeck. Scholes dimasukkan Fergie pada minit ke-59 menggantikan Luis Nani
selepas United selesa mendahlui lawan (3-1).
Bagaimanapun jaringan Sergio Aguero enam minit selepas Scholes
dimasukkan tetap gagal menyelamatkan City dari tersingkir di pusingan ketiga
kempen Piala FA musim (2011/12).
Jika penyokong-penyokong
gembira dan teruja menyambut kepulangan semula Scholes, Paul Pogba pula tidak
begitu. Kembalinya Scholes dari persaraan menyebabkan peluang Pogba untuk
menikmati minit permainan lebih banyak bersama skuad utama semakin terbatas. Kecewa
dan menyedari bahawa sukar untuk beliau merebut tempat bersama skuad utama
United selepas kepulangan semula Scholes dari persaraan, Pogba akhirnya memilih
menyertai Juventus pada musim panas 2012.
Penutup
Secara keseluruhannya Scholes
melakukan 21 penampilan untuk United pada baki saingan musim 2011/12 dalam
semua kejohanan selepas beliau kembali dari persaraan. Daripada jumlah
tersebut, 17 penampilan dilakukan Scholes dalam saingan liga. Kembalinya
Scholes dari persaraan bukan sahaja memberikan semula kekuatan di bahagian
tengah tetapi turut meningkatkan kembali moral pasukan.
United memberikan saingan hebat
kepada City dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga hingga ke perlawanan
terakhir. Gol kemenangan minit akhir perlawanan dari Sergio Aguero ke gawang
Queens Park Rangers pada aksi terakhir saingan liga membolehkan City muncul
juara Liga Perdana menerusi perbezaan gol meskipun barisan kendalian Roberto
Mancini itu dan United terikat dengan jumlah mata yang sama (89 mata).
Menyedari bahawa United masih
lagi menagih sentuhan genius-nya di bahagian tengah, Scholes kemudiannya
melanjutkan khidmat baktinya di Old Trafford selama semusim lagi. Akhirnya
selepas berjaya membantu kelab kembali menjulang trofi Liga Perdana pada musim
2012/13, Scholes mengumumkan persaraan buat kali kedua. Kali ini pada usia 38
tahun, Scholes benar-benar bersara.
Bukan hanya Scholes, malah United
juga turut kehilangan sentuhan seorang lagi legenda hidup mereka apabila Fergie
turut mengambil langkah yang sama dengan mengumumkan persaraannya. Scholes dan
Fergie akhirnya memilih waktu yang tepat untuk bersara kerana mereka
meninggalkan kelab selepas berjaya meletakkan kembali Manchester United di
takhta kejuaraan Liga Perdana.
Secara keseluruhannya Scholes
melakukan 718 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan sepanjang
kariernya di Old Trafford. Kembali dari persaraan pada usia 36 tahun, dan
semusim selepas itu berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana adalah penutup paling sempurna dan indah
untuk karier Scholes. Si Genius ini adalah antara penyesalan terbesar Zinedine
Zidane dalam kariernya kerana takdir tidak pernah menemukan mereka beraksi
dalam satu pasukan. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan