17 Januari 2020

KUNCI PENYELESAIAN ADA DI TANGAN JUAN MATA?



Manchester United memulakan tahun 2020 dengan langkah kiri selepas mereka mengharungi tiga aksi di awal tahun baru dengan dua kekalahan dan satu keputusan seri. Tewas 0-2 kepada Arsenal pada aksi liga, diheret keperlawanan ulangan saingan Piala FA selepas seri tanpa jaringan ketika berdepan Wolverhampton dan tewas besar 1-3 kepada Manchester City pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Liga bukanlah cara yang sempurna untuk penyokong-penyokong United meraikan kedatangan alaf baharu.

Jadi sudah tentulah dengan cara apa sekalipun, aksi menentang Norwich City di Old Trafford pada Sabtu lalu merupakan aksi yang wajib dimenangi United. Akhirnya selepas alaf baharu memasuki hari kesebelas, United berjaya juga mengecap kemenangan. Apa yang penting, tiga mata penuh yang diraih ke atas Norwich City itu kembali menyalakan peluang United untuk mengejar kelompok empat teratas, manakala empat gol yang diledak ke gawang Tim Krull saya anggap sebagai satu bonus tambahan.

Aksi menentang Norwich City itu merupakan perlawanan yang sangat istimewa buat Marcus Rashford. Sepertimana yang anda tahu, sejak penampilan pertamanya pada 2016, ini adalah merupakan aksi ke-200 beliau dalam seragam merah United untuk semua kejohanan. Dah tambah manis, Rashford juga memilih tempat dan detik yang tepat untuk merayakan penampilan ke-200 beliau menerusi dua gol yang diledak ke gawang skuad The Canaries itu.

Dua gol yang dijaringkan Rashford ke gawang Norwich itu menyaksikan beliau sudah menjaringkan 14 gol dalam saingan liga musim ini. Jika prestasi sebegini berterusan, saya percaya Rashford mampu meletakkan dirinya sebagai pemain pertama selepas Robin Van Persie yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol semusim untuk United di peringkat liga. Selain Rashford, penampilan pemain muda seperti Brandon Williams juga sangat menarik perhatian, manakala Mason Greenwood pula terus membuktikan bahawa dirinya adalah peledak masa depan United.

Magis Mata

Penampilan terpuji yang dipamerkan pemain muda United seperti Rashford, Williams dan Greenwood antara sisi positif yang dapat anda lihat di sebalik kemenangan besar United ke atas Norwich itu. Namun begitu jangan lupakan juga sentuhan magis Juan Mata di bahagian tengah. Aksi menentang Norwich ini merupakan penampilan penuh pertama Mata untuk United dalam saingan liga musim ini.

Mungkin juga selepas mendengar keluh kesah penyokong-penyokong yang rimas dengan prestasi semasa Jesse Lingard, Solskjaer akhirnya akur dan memilih untuk menurunkan Mata dalam kesebelasan utamanya. Pendekatan Norwich yang bermain secara defensif memang sudah boleh dijangka sejak awal lagi, jadi keputusan Solskjaer menurunkan pemain tengah kreatif seperti Mata merupakan satu keputusan yang tepat.

Kreativiti, visi permainan dan kemampuan melakukan key passes antara kelebihan yang ada pada Mata. Keberadaan beliau di atas padang selama 90 minit tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk merosakkan koordinasi Norwich ketika mereka bertahan. Apa yang menariknya, Solskjaer tidak meletakkan Mata di posisi pemain tengah menyerang, iaitu posisi azalinya. Di belakang Anthony Martial, Solskjaer sebaliknya memilih Andreas Perreira, manakala Mata pula diberikan peranan untuk bergerak sebagai inverted winger (di sisi kanan).

Peranan sebagai inverted winger di sisi kanan diberikan kepada Mata kerana kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran tepat menerusi kaki kirinya. Lihat sahaja dua gol United menerusi Rashford dan Martial terhasil menerusi bantuan gol yang dilakukan Mata dari kaki kiri beliau. Satu keputusan yang sangat tepat dilakukan Solskjaer dengan tidak meletakkan Mata di posisi azalinya (pemain tengah menyerang), apabila bekas pemain Valencia dan Chelsea itu muncul `bintang perlawanan’ menerusi dua assist yang disumbangkannya dari sisi kanan.

Masih Bernilai

Setakat ini Mata hanya berpeluang tampil sebanyak 13 kali dalam saingan liga musim ini. Dari jumlah tersebut beliau cuma disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak lima kali. Aksi menentang Norwich City ini juga merupakan penampilan pertama Mata dalam kesebelasan utama United sejak 1 Disember 2019. Meskipun sering tersisih, Mata membuktikan kepada kita bahawa United sebenarnya masih memerlukan sentuhan kreatif beliau.

Sepanjang 90 minit aksi menentang Norwich, Mata melakukan 71 hantaran dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 90%. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mata dalam perlawanan ini saya harap menyedarkan Solskjaer bahawa warga Sepanyol berusia 31 tahun itu sebenarnya masih mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan United jika beliau diturunkan. Hal ini turut diakui Solskjaer dalam komentarnya selepas tamat perlawanan.

“Mata menunjukkan kualitinya. Dia memang luarbiasa. Dia mampu melakukan hantaran dan umpanan-umpanan silang yang sempurna. Jelas, dia adalah bahagian penting dalam pasukan kami. Kami juga mencipta lebih banyak peluang bila Mata bermain”, kata Solskjaer. Saya berharap apa yang dikatakan Solskjaer itu bukan sekadar kata-kata manis kerana Mata sememangnya wajar diberikan lebih peluang sepertimana yang pernah dinikmati Lingard sebelum ini.

Kualiti visi permainan Mata memang sudah lama kita ketahui, tetapi apa yang membuatkan beliau cukup bernilai (ketika aksi menentang Norwich) ialah United tidak memiliki stok playmaker tulen sepertinya. Selain itu Mata juga merupakan pemain kidal dan United sebenarnya tidak memiliki seorang pun pemain tengah menyerang yang memiliki kekuatan kaki kiri seperti beliau. Jadi, saya boleh anggap bahawa Mata adalah `elemen kejutan’ yang diberikan Solskjaer dalam usaha beliau memecah blok pertahanan Norwich.

Kunci Ditangan Mata?

Ketika ini United memerlukan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi mereka di atas padang. Tumpul kreativiti dan buntu dalam usaha memecah blok pertahanan rendah lawan antara masalah besar yang dihadapi mereka musim ini. Solskjaer cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini, jadi atas sebab itulah mengapa kini Bruno Fernandes kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Jika bukan Fernandes, kunci penyelesaian United boleh jadi datang dari dalam dan mungkin ia berada di tangan Mata.

Pada 2016, ketika Jose Mourinho datang, ramai yang meragui nasib Mata bersama United. Ramai pihak berpendapat bahawa nasib buruk yang menimpa Mata di Stamford Bridge ketika Chelsea di bawah kendalian Mourinho bakal berulang lagi. Di Stamford Bridge, Mourinho ketika itu lebih cenderung meletakkan Willian dan Oscar di bahagian tengah hingga menyebabkan Mata akhirnya memilih menyertai United pada Januari 2014. Bagaimanapun segala kebimbangan itu akhirnya cumalah spekulasi semata-mata.

Rupa-rupanya Mourinho memiliki rancangan lain untuk Mata, bahkan pengendali warga Portugal itu mengakui bahawa Mata adalah pemain penting untuk Chelsea dan juga United. “Untuk projek saya di Chelsea, dia (Mata) adalah pemain yang bagus. Untuk projek saya di Manchester United, dia adalah pemain yang sangat bagus”, kata Mourinho. Di sebalik segala keraguan tentang masa depan Mata di Old Trafford sebelum ketibaan Mourinho, beliau akhirnya berjaya melakukan 85 penampilan dari 122 aksi United di bawah kendalian The Special One.

Secara keseluruhannya, Mata menjaringkan 12 gol dalam saingan liga sepanjang era Mourinho di Old Trafford, atau puratanya beliau menjaringkan 0.28 gol per perlawanan. Angka ini nampak kecil tapi statistik tersebut sebenarnya lebih baik berbanding catatan yang dilakukan Mata sepanjang dua tahun setengah beliau menyarung jersi Chelsea (0.24 gol per perlawanan). Apa yang paling menariknya ialah, Mata sudah mula `diplotkan’ Mourinho untuk beroperasi di sisi kanan, posisi yang tidak pernah dimainkan beliau sebelum itu.

Adanya Wayne Rooney, Henrikh Mkhitaryan dan Paul Pogba menyebabkan peluang untuk Mata memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’ semakin terbatas, sedangkan menerusi peranan itulah beliau berjaya mencipta 55 bantuan gol sepanjang dua musim pertamanya di Stamford Bridge. Tambah menyukarkan keadaan, beliau juga terpaksa bersaing dengan Jesse Lingard dan Alexis Sanchez untuk slot dalam kesebelasan utama United. Semoga dengan menjunamnya prestasi Lingard, Mata berpeluang memainkan peranan lebih penting dalam strategi dan skema permainan yang ingin digunakan Solskjaer nanti.

Penutup

United sudah terbukti menghadapi kesukaran setiap kali mereka berdepan dengan kesebelasan yang mengamalkan pendekatan permainan secara defensif. Sudah tentu masalah ini bukanlah disebabkan kurangnya ketajaman di barisan serangan semata-mata, tetapi turut disumbangkan oleh faktor kurangnya kreativiti di bahagian tengah.

Adakah penampilan terpuji Mata ketika berdepan Norwich dan gol tunggal jaringan beliau yang membawa United ke pusingan keempat Piala FA satu isyarat jelas darinya kepada Solskjaer bahawa kunci penyelesaian kepada permasalahan United selama ini sebenarnya berada di tangan beliau? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan