Tiada mana-mana penyokong yang
mahu melihat pasukan mereka kalah, begitu juga dengan saya. Ya…satu lagi
kekalahan dialami Manchester United dalam aksi liga mereka, dan kali ini mereka
tewas kepada kesebelasan yang sedang dalam perjalanan menjulang trofi liga
pertama mereka dalam tempoh 30 tahun. Liverpool memang kelihatan begitu superior
musim ini dan kelihatannya mereka juga mampu mengulangi pencapaian skuad Invincible
Arsenal pada musim 2003/04.
Dari 22 aksi liga setakat ini,
Liverpool merakam 21 kemenangan dan satu keputusan seri. Nampaknya United masih
lagi muncul satu-satunya pasukan yang berjaya membuatkan barisan kendalian
Jurgen Klopp itu keciciran mata. Saat mereka memulakan aksi di Anfield awal
pagi tadi, tidak banyak sebenarnya harapan yang mampu diberikan kepada barisan
kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk mengulangi pencapaian mereka ketika
memaksa Liverpool berkongsi mata pada Oktober lalu.
Liverpool merupakan sebuah
kesebelasan yang serba lengkap di setiap posisi, dan mereka juga merupakan
pasukan favourite apatah lagi bila beraksi di Anfield. United akhirnya
tewas 0-2 menerusi gol jaringan Virgil Van Dijk dan Mo Salah, tetapi penampilan
keseluruhan anak-anak buah Solskjaer dalam perlawanan ini tetap wajar diberikan
pujian. Jadi meskipun dalam duka, saya tetap berpuashati dengan prestasi
keseluruhan United di Anfield.
Martial Yang Masih Sama
Sepertimana kata Solskjaer
selepas tamat perlawanan, United memberikan reaksi yang sangat baik terutamanya
pada sepuluh minit pertama permainan ketika lawan memberikan tekanan. Sepanjang
90 minit permainan, United bermain sepertimana mereka sepatutnya bermain.
Meskipun sedar lawan memiliki segala kelebihan di segenap segi, United masih
mampu bermain secara terbuka, melakukan build up dan beberapa kali
berjaya mencipta peluang jaringan gol.
Mungkin jika tidak kerana
kegopohan Anthony Martial menyempurnakan peluang terhidang di hadapan pintu gol
lawan, United sepatutnya boleh pulang ke Old Trafford dengan satu mata. Peluang
yang terhidang di minit ke-58 itu sepatutnya meletakkan nama Martial dalam
senarai penjaring perlawanan ini. Tetapi malangnya peluang terbaik itu
disia-siakan beliau menerusi satu percubaan liar yang melambung tinggi.
Agak malang, Martial yang
memikul peranan sebagai penyerang utama hanya mampu melepaskan tiga percubaan
dan hanya satu daripadanya menepati sasaran. Sepanjang musim ini, Martial
direkodkan sudah melepaskan sekurang-kurang enam peluang terbaik untuk
menjaringkan gol, manakala purata jaringannya dalam setiap perlawanan pula cuma
sebesar 0.47 gol per perlawanan.
Selaku penyerang, Martial
sepatutnya belajar daripada Van Dijk bagaimana caranya mahu menjadi wira dalam
perlawanan penting. Memetik catatan dari Opta, pertahanan tengah Liverpool itu
sudah menghasilkan lapan gol dalam saingan liga sejak beliau berpindah ke
Anfield pada Januari 2018. Catatan itu juga menyaksikan beliau muncul pemain
pertahanan paling banyak menjaringkan gol di Liga Perdana.
Krisis Penyerang
Ketiadaan Marcus Rashford dalam
perlawanan ini merupakan satu kehilangan yang besar buat barisan hadapan
United. Bukan sahaja ketiadaan Rashford menyebabkan kemampuan United untuk
menghasilkan gol berkurangan, malah daya serangan mereka juga terjejas. Saya
tiada masalah dengan kemampuan United ketika mereka melakukan buildup,
kerana Martial dan Andreas Perreira nampaknya melakukan tugas mereka dengan
cukup baik.
Bagaimanapun tanpa seorang finisher
sebagus Rashford, segala usaha yang dilakukan United untuk cuba menembusi pintu
gol lawan menjadi sia-sia. Tambah memeritkan, mereka juga turun ke Anfield
tanpa kelibat Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah. Ketika
Rashford dijangkan hanya akan kembali beraksi dalam tempoh enam minggu lagi,
Solskjaer nampaknya tiada pilihan lain selain mengaktifkan pencarian dalam
bursa perpindahan pertengahan musim bagi mendapatkan pengganti Rashford di
jentera serangan.
Sasaran Solskjaer nanti
tentunya untuk jangka pendek kerana sukar sebenarnya memancing pemain utama
dari pasukan lain pada pertengahan musim. “Jika anda kehilangan pemain seperti
Pogba, McTominay dan Rashford, anda
pastinya akan terjejas. Kami mungkin akan melihat sebarang peluang
mendapatkan pengganti pada Januari ini. Namun ianya hanya untuk jangka masa
pendek. Kami tidak akan mengubah sasaran pemain yang sudah kami tetapkan dalam
senarai perbelanjaan musim panas kami”, kata Solskjaer.
Taktik Solskjaer
Andy Robertson dan Trent
Alexander-Arnold antara nadi kekuatan Liverpool. Dua fullback ini antara
watak penting dalam skema permainan Liverpool sama ada dalam situasi defensif
mahupun ofensif. Belajar dari apa yang dilakukan Tottenham Hotspurs saat mereka
berdepan Liverpool minggu lalu, Solskjaer menggunakan pendekatan formasi
3-4-1-2 di Anfield. Dua bek sisi United diisi Aaron Wan-Bissaka serta Brandon
Williams untuk berdepan dengan Robertson dan Alexander-Arnold.
Dari segi pemainan, saya akui Robertson
dan Alexander-Arnold punya kualiti lebih baik. Bagaimanapun kredit tetap wajar
diberikan kepada Wan-Bissaka dan Williams kerana berjaya mengekang setiap
pergerakan yang cuba dilakukan Robertson serta Alexander-Arnold dari sisi kiri
dan kanan. Tidak banyak hantaran-hantaran lintang yang mampu dilakukan dua fullback
Liverpool ini, jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat `pertempuran’ lebih
banyak tertumpu di bahagian tengah.
Penutup
Apa yang dapat anda perhatikan
dalam perlawanan ini ialah Liverpool kehilangan intensiti dalam permainan
mereka sepanjang 20 minit terakhir permainan. Ya…mereka berjaya menambah gol
kedua di penghujung permainan menerusi Mo Salah, tetapi gol itu berlaku selepas
hampir kesemua pemain-pemain United berada dalam petak penalti lawan dalam
usaha memburu gol penyamaan.
Ketika berdepan Spurs minggu
lalu, perkara yang sama juga berlaku. Bukan mahu menidakkan kemampuan
Liverpool, tetapi jika Spurs dan United mampu menurunkan kesebelasan terkuat
mereka terutama membabitkan pemain di barisan hadapan, saya yakin mereka
sekurang-kurangnya akan berjaya memaksa skuad kendalian Jurgen Klopp itu keciciran
mata.
Liverpool unggul menerusi
perbezaan 16 mata di tangga teratas berbanding Manchester City. Tetapi harus juga
diingat bahawa mereka masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. Dengan
baki 16 perlawanan yang dimiliki mereka, Liverpool tampak seperti tidak lagi
mampu disekat untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga mereka.
Dari barisan pertahanan
hinggalah ke barisan penggempur, Liverpool adalah kesebelasan yang sangat
dicemburui ketika ini. Tiada mana-mana pasukan yang pertahanan mereka mampu
menyumbangkan banyak gol dan assist sepertimana dilakukan Van Dijk,
Alexander-Arnold dan Robertson. Van Dijk sudah mengumpul empat gol musim ini,
manakala kombinasi Alexander-Arnold dan Robertson pula sudah menyumbang tiga
gol serta mencipta 15 assist.
Ketika trio Salah, Mane dan
Firmino tidak setajam musim sebelumnya, Klopp sangat beruntung kerana punya
solusi lain untuk menggegar gawang lawan. Iaitu menerusi tiga pertahanan beliau
yang sangat produktif ketika ini. Melihat kepada prestasi Liverpool setakat
ini, saya percaya mereka tidak akan tergelincir lagi sepertimana musim-musim
sebelumnya. Buat penyokong United, redhalah kerana trofi Liga Perdana sedang
menuju ke Anfield. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan