Teka teki tentang masa depan
Ashley Young berakhir selepas perpindahan pemain itu ke Inter Milan diumumkan
secara rasmi awal pagi Sabtu lalu. Inter mengesahkan bahawa pemain berusia 34
tahun itu menyertai mereka pada jendela perpindahan pertengahan musim menerusi
nilai perpindahan sebanyak €1.5 juta. Young diberikan kontrak selama setengah
musim dengan opsyen lanjutan kontrak selama semusim lagi jika Inter berpuashati
dengan prestasi dipamerkan bekas pemain Aston Villa itu.
Perpindahan ini juga akhirnya
merealisasikan hasrat Young untuk keluar dari Old Trafford pada Januari ini
meskipun awalnya Ole Gunnar Solskjaer menolak idea tersebut kerana beliau
berpendapat bahawa veteran itu yang juga merupakan kapten pasukannya masih
berada dalam perancangan beliau hingga akhir musim 2019/20. Di Old Trafford,
Young melakukan 261 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan
sejak ditandatangani Sir Alex Ferguson pada 2011 dan berjaya menjaringkan 19
gol.
Bersama skuad kendalian Antonio
Conte pula, Young akan diberikan jersi nombor 15 dan bakal bekerjasama semula
dengan bekas rakan sepasukannya di Old Trafford iaitu Romelu Lukaku dan Alexis
Sanchez. Menerusi akaun Twitter beliau, Young menulis, “Untuk United, anda
memberikan saya kesempatan bermain bersama legenda, memenangi trofi, bekerja
dengan pengurus terbaik dalam sejarah dan menjadi kapten. Terima kasih kerana
memberi saya peluang menjadi sebahagian dari sejarah sepanjang lapan setengah
tahun itu”.
Angin Baharu
Minat Conte terhadap Young
bukanlah perkara baharu kerana pengendali itu sudah memerhatikan potensi Young
sejak beliau masih mengendalikan Chelsea lagi. Di San Siro, Conte berpendapat
Young mampu memikul peranan sebagai salah seorang dari bek sayap dalam skema
formasi 3-5-2 yang digunakan beliau dalam permainan Inter. Kebolehan Young
untuk bermain lebih dari satu posisi juga bakal menjadi nilai tambah kepada
keberadaan beliau bersama skuad La Beneamata itu.
Sepertimana yang anda tahu,
Young bukanlah pemain Inggeris pertama menyarung jersi Inter. Pada musim
1961/62, Gerry Hitchens adalah pelopor pertama pemain Inggeris yang mengerah
kudrat bersama gergasi Itali itu. Apa yang menariknya, sama seperti Young,
Hitchens juga pernah bermain untuk Aston Villa. Langkah Hitchens kemudiannya
dituruti Paul Ince, 34 tahun selepas itu apabila beliau menyertai Inter dari
United pada tahun 1995 selepas Fergie melakukan rombakan besar-besaran dalam
skuadnya.
Meskipun berjaya membantu
United menjulang sepuluh trofi sepanjang karier beliau di Old Trafford, Ince
bagaimanapun gagal memenangi sebarang kejuaraan sepanjang dua musim beliau
menyertai Inter. Meskipun begitu, Ince adalah motivasi tambahan mengapa Young
memilih menyertai Inter. “Paul Ince adalah legenda. Jika saya boleh mengikut
jejaknya, itu sudah cukup membuatkan saya gembira. Saya berharap boleh
membuatkan penyokong gembira dan memenangi trofi di sini”, kata Young.
Serie A bakal menjadi pentas
dan `udara’ baharu buat karier Young, kerana sepanjang 17 tahun karier
profesionalnya, Young tidak pernah bermain di luar liga Inggeris. Adanya Lukaku
dan Sanchez di sana, bakal memudahkan lagi proses adaptasi Young terhadap
budaya bolasepak dan kehidupan di Itali. Lukaku boleh dijadikan rujukan terbaik
untuk Young apabila penggempur Belgium itu sudah memberikan impak kehadirannya
di San Siro apabila muncul penjaring terbanyak Inter setakat ini menerusi 18
gol yang dihasilkannya.
Bermulanya Karier Profesional
Young
Young memulakan kariernya bersama
Watford pada 2000 sebelum melakukan penampilan pertama bersama skuad senior The
Hornets itu pada 2003. Selama empat musim menyarung jersi Watford, Young
melakukan 98 penampilan dan menjaringkan 19 gol. Penampilan cemerlang Young
bersama Watford berjaya menarik minat Martin O’Niell untuk membawa beliau
beraksi di Villa Park. Pada musim panas 2007, Young menyertai Aston Villa
menerusi nilai perpindahan sebanyak £8 juta.
Penampilan cemerlang beliau
bersama Villa di posisi sayap kanan akhirnya menarik perhatian Steve McClaren
untuk menyenaraikan namanya dalam skuad kebangsaan England. Pada 16 November
2007, Young melakukan penampilan pertama bersama skuad The Three Lions
ketika mereka berdepan Austria dalam aksi persahabatan. Lima musim di Villa
Park, melakukan 190 penampilan dan menjaringkan 38 gol selain pernah dinamakan
sebagai PFA Young Player of The Year pada 2009, Young kemudiannya menyertai
United pada 2011.
Karier Di Old Trafford
Pada 14 Ogos 2011, Young
melakukan penampilan pertamanya secara rasmi dalam seragam merah United. Aksi
menentang West Bromwich Albion itu merupakan debut yang sempurna buat
Young apabila beliau berjaya menyumbangkan satu assist yang
disempurnakan Wayne Rooney. Meskipun Shane Long berjaya menyamakan kedudukan,
United akhirnya meraih tiga mata selepas Steven Reid menjaringkan gol sendiri
hanya sembilan minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat. Kredit untuk Young
atas penglibatan beliau hingga terhasilnya gol sendiri jaringan Reid itu.
Gol pertama Young untuk United
kemudiannya hadir ketika skuad The Red Devils itu mencatatkan kemenangan
besar (8-2) ke atas Arsenal dalam aksi yang dilangsungkan di Olf Trafford pada
28 Ogos 2011. Jika bukan kerana hatrik Wayne Rooney, Young pastinya akan
dinobatkan sebagai bintang perlawanan itu menerusi dua gol yang dijaringkannya
di minit ke-28 dan ke-90. Musim pertamanya di Old Trafford, Young menjaringkan
enam gol dan mencipta 11 assist dalam saingan liga dari 25 penampilan,
lantas membolehkan beliau merebut tempat dalam skuad Roy Hodgson ke pusingan
akhir kejohanan Euro 2012.
Selepas berakhirnya kempen Euro
skuad England di Poland dan Ukraine itu, prestasi Young mula menurun disebabkan
beberapa siri kecederaan yang dialaminya. Kecederaan juga akhirnya membataskan
penampilan Young pada musim terakhir Fergie sebagai pengendali di Old Trafford.
Saat Fergie memerlukan Young untuk melengkapkan formasi 4-2-3-1 beliau, Young pula
sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan. Kondisi Young tidak
lagi sama seperti dahulu dan secara beransur-ansur beliau hilang cengkaman
diposisi sayap kanan kepada Adnan Januzaj.
Bertukar Posisi
Ramai pihak yang menjangkakan
ketika kedatangan Angel Di Maria ke Old Trafford, karier Young bersama kelab
juga bakal berakhir. Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku kerana kedatangan
Di Maria seolah-olah memberi nafas baharu kepada karier Young. Di era Louis Van
Gaal yang sangat sinonim dengan formasi 3-5-2, Young diplotkan pengendali
Belanda itu untuk berperanan sebagai wingback. “Saya belum pernah
bermain sebagai bek sayap. Tetapi bolasepak menuntut untuk anda banyak
berfikir. Saya pernah bermain di banyak posisi dan itu banyak membantu saya”,
kata Young.
Di atas padang, Young
membuktikan bahawa kata-katanya bukan sekadar cakap kosong. Kemampuan
beradaptasi dengan cepat menerusi peranan baharu dalam skema formasi Van Gaal
membolehkan Young menguasai posisinya selaku bek sayap meskipun United ketika
itu memiliki beberapa pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut. Meskipun
masih bergelut dengan beberapa siri kecederaan yang dialaminya, Young sentiasa
menjadi pilihan Van Gaal untuk membarisi kesebelasan United ketika beliau
cergas.
Pada fasa awal kedatangan Jose
Mourinho pula, Young tidak banyak diberikan kesempatan bermain. Pada musim
2016/17, Young hanya melakukan 12 penampilan liga untuk United dengan catatan
hanya satu assist dan tanpa jaringan gol. Kejayaan menjulang trofi Liga
Europa seolah-olah menyuntik angin segar dalam karier Young. Pada musim kedua
Mourinho di Old Trafford, Young berjaya melakukan 30 penampilan liga, selain
menyumbang empat assist dan dua kali beliau berjaya meledak gawang
lawan.
Perubahan posisi dari pemain
sayap kepada bek sayap ketika era Van Gaal menyaksikan karier Young yang tampak
semakin malap menyala semula. Sama ada Mourinho mahu meletakkan beliau di sisi
kanan ataupun kiri, Young sentiasa mampu memainkan peranan baharunya itu dengan
berkesan. Tatkala Mourinho berdepan masalah kualiti barisan belakang skuadnya,
Young pula merupakan satu-satunya pertahanan paling konsisten yang dimiliki
beliau ketika itu. Membantu United menamatkan saingan liga musim 2017/18 di
tangga kedua, bukanlah sesuatu yang terlalu buruk untuk Young.
Sebagai seorang bek sayap,
catatan yang dilakukan beliau dibenteng pertahanan United juga sangat menarik
untuk diperhatikan. Untuk seorang pemain yang sebelumnya selama bertahun-tahun
berperanan sebagai pemain sayap, catatan 57 intercept dilakukan Young
sepanjang musim 2017/18 sebenarnya sangat mengagumkan. Catatan ini meletakkan
beliau di tangga ketiga sebagai pemain United paling banyak melakukan intercept
selepas Nemanja Matic (64) dan Chris Smalling (63).
Sebagai seorang bek sayap,
Young sudah tentu tidak terikat dengan kerja-kerja ketika bertahan. Bagaimanapun
kelemahan ketara yang dimiliki Young dalam situasi offensive ialah
kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran silang yang tepat. Sejak ketika
era beliau bersama Watford lagi, ketepatan hantaran silang Young tidak pernah
mencapai angka 50%. Malahan pada musim 2016/17, peratusan ketepatan hantaran
silang yang dilakukan beliau cuma 16% sahaja
Young bukanlah seperti David
Beckham yang mampu melakukan hantaran-hantaran silang `membunuh’ terus ke dalam
petak penalti lawan. Kekuatan sebenar dalam permainan beliau ialah kemampuan
melakukan dribble dan gemar menusuk masuk ke dalam petak penalti lawan
menerusi kelajuan yang dimilikinya. Pada usia 34 tahun, bermain pula di posisi
bek sayap untuk kesebelasan yang berdepan masalah di benteng pertahanan seperti
United, tentulah sukar untuk beliau mempamerkan prestasi sama ketika bersama
Watford, Villa atau ketika fasa awal kariernya di Old Trafford.
Titik Kelemahan United?
Aksi menentang Barcelona di
peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu memperlihatkan betapa
bergelutnya Young dalam melaksanakan tugasnya sebagai bek sayap. Ramai yang
mengatakan bahawa Young adalah titik kelemahan United dalam perlawanan itu. Di
pusingan pertama, beliau melepaskan sebelas hantaran silang tetapi tiada satu
pun yang tepat ke sasaran. Kelemahan inilah yang menyebabkan United selama ini
hilang kreativiti ketika mereka melancarkan serangan dari posisi yang diisi
oleh Young.
Bagaimana pula dengan kemampuan
bertahan yang dimiliki oleh beliau? Mengikut catatan WhoScored, sehingga aksi
ke-22 liga United musim ini, Young melakukan purata tackle 1.2 kali per
perlawanan. Catatan ini mengatasi angka yang dilakukan Harry Maguire (1.1 tackle
per perlawanan) dan Victor Lindelof (0.7 tackle per perlawanan). Selain
daripada itu, beliau juga berjaya mengatasi purata catatan intercept
yang dilakukan Lindelof (0.8 per perlawanan), apabila Young melakukan purata
0.9 intercept per perlawanan.
Terima Kasih Ashley Young
Disiplin dan kerja keras antara
faktor mengapa Young masih mampu bertahan hingga ke hari ini, juga penyebab
mengapa beliau masih mampu menarik minat kelab besar seperti Inter Milan dan
pengendali berprofil tinggi seperti Antonio Conte. Bagaimanapun agak malang
ketika fasa-fasa terakhir karier beliau bersama United, Young antara pemain
yang sering dijadikan `kambing hitam’ di sebalik prestasi tidak menentu
dipamerkan barisan The Red Devils.
Dari serangan berbaur perkauman
yang diterimanya pada April tahun lalu, kritikan tajam hanya kerana sekotak
permainan UNO yang dibawanya ke padang latihan, hinggalah kepada cercaan demi
cercaan yang dilemparkan penyokong setiap kali beliau beraksi di atas padang,
tetap dibalas Young dengan sebuah senyuman. Perpindahan Young ke Inter bukan
hanya menandakan berakhirnya era lapan tahun setengah pengabdian beliau di Old
Trafford, tetapi United turut kehilangan sosok seorang pemimpin di atas padang.
Young meminta untuk berpindah
kerana beliau sedar bahawa dirinya sudah tidak lagi layak bermain untuk United.
Pada usia 34 tahun, sudah tentu Young juga sedar bahawa dirinya tidak lagi
berada dalam perancangan Solskjaer yang mahu membina skuadnya berteraskan kepada
bakat-bakat muda. Serie A adalah medan yang cukup cocok untuk pemain berusia
seperti Young. Di sini pemain-pemain seperti Gianluigi Buffon, Zlatan
Ibrahimovic, Sergio Floccari, Rodrigo Palacio atau Franck Ribery yang jauh
lebih tua berbanding Young masih gagah memperagakan aksi mereka.
Anda mungkin memiliki seribu
alasan untuk membenci Young, tetapi satu hakikat yang tidak boleh anda sangkal
ialah betapa cintanya beliau kepada Manchester United. Beliau tidak pernah
peduli dengan cercaan yang diterimanya. Juga tidak pernah peduli meskipun
terpaksa keluar dari zon selesa untuk beralih ke posisi bek sayap. Dalam apapun
situasi dan tekanan yang diterimanya, Young sentiasa cuba memberikan `hanya
yang terbaik’ ketika beliau diamanahkan menyarung jersi keramat The Red
Devils.
Bilik persalinan United
pastinya akan terasa sedikit sepi, kerana di sana tiada lagi seorang pemain
yang memiliki sisi humourist dan juga motivator hebat yang mampu
merangsang semangat rakan-rakan sepasukan ketika mereka berada di bawah
tekanan. Young tidaklah sehebat Ryan Giggs, Roy Keane, Paul Scholes atau Wayne
Rooney. Tetapi untuk segala sumbangan yang sudah diberikannya selama lapan musim
setengah menyarung jersi United, berilah sedikit penghargaan dan penghormatan
kepada beliau. Semoga sukses di sana dan terima kasih untuk segalanya Ashley
Young…Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan