Jendela perpindahan pertengahan musim bagi saingan bolasepak England sudah berjalan hampir dua minggu. Bermula
dari 1 Januari hinggalah ketika artikel ini ditulis, terdapat lima kelab Liga
Perdana yang menggunakan kesempatan pada bursa perpindahan pemain pertengahan
musim untuk menguatkan skuad
masing-masing dengan menandatangani pemain baharu. Kelab yang saya maksudkan
ialah Aston Villa, Crystal Palace, Liverpool, Sheffield United dan Watford.
Dan sehingga artikel ini
ditulis juga, penyokong-penyokong Manchester United masih lagi didendangkan
dengan rumours demi rumours tentang minat kelab terhadap beberapa
pemain yang Ole Gunnar Solskjaer percaya boleh menguatkan skuad kendaliannya.
Nama-nama seperti Bruno Fernandes, Donny Van de Beek, James Maddison, Sean
Longstaff dan Jadon Sancho antara yang hangat disebut-sebut oleh
penyokong-penyokong United bakal mendarat di Old Trafford pada Januari ini.
Ketika tempoh jendela
perpindahan pemain pertengahan musim bagi Liga Perdana masih berbaki lebih
kurang dua minggu lagi sebelum ditutup, apakah agaknya kesudahan semua rumours
yang mengaitkan minat United terhadap Fernandes, Van de Beek, Maddison,
Longstaff atau Jadon Sancho ini? Adakah nanti berita-berita sensasi ini akan
berakhir sebagai `berita sampah’, dan Solskjaer pula akhirnya akan berjuang mengemudi
United menamatkan baki saingan musim ini dengan aset sedia ada dimilikinya?
`Ketidak pastian’ adalah frasa
paling tepat menggambarkan hal ini, sama ada ketika kita bercakap tentang
prestasi pasukan atau cerita tentang adanya pemain baharu yang bakal kelab
tandatangani. Ketika kejutan berikutan kegagalan United mendapatkan tandatangan
Erling Braut Haaland masih belum reda, adakah kita akan sekali lagi dikecewakan
bila akhirnya kelab memutuskan untuk tidak menandatangani mana-mana pemain
baharu sepanjang tempoh bursa perpindahan pertengahan musim berlangsung?
Solskjaer sudah menegaskan
sebelum ini bahawa `beliau hanya akan bergerak’ jika mendapati ada pemain yang
sesuai untuk dibawa masuk. “Perpindahan akan berlaku jika kami mendapati ada
pemain yang sesuai pada bursa perpindahan kali ini. Jika ada pemain yang tepat,
maka kami akan melakukan pembelian. Mendapatkan pemain sasaran? Mungkin tidak
kerana tiada kelab mahu melepaskan pemain utama mereka pada bulan Januari”,
kata Solskjaer selepas aksi menentang Arsenal di Emirates minggu lalu.
Contohilah City
Apa yang dikatakan Solskjaer
selepas United tewas (0-2) di Stadium Emirates itu boleh dianggap seperti
`tidak masuk akal’. Di Stadium Emirates, beliau mengakui bahawa barisan
pemainnya bermain dengan sangat buruk manakala Mikel Arteta pula menunjukkan bahawa Arsenal berada pada
tahap berbeza berbanding United. Sepanjang 90 minit aksi di Stadium Emirates
itu, Arsenal kembali mempamerkan corak bolasepak sebenar mereka. Arteta
menggunakan pendekatan taktik counter-press hingga menyebabkan
kesebelasan United gagal mengembangkan permainan mereka.
Jadi tidak hairanlah mengapa
sepanjang babak pertama permainan, United hanya mempu melepaskan satu percubaan
tempat kearah Bernd Leno menerusi kaki Marcus Rashford. Prestasi yang
ditunjukkan barisan United ketika mereka berdepan Manchester City dalam aksi
pertama peringkat separuh akhir Piala Liga juga sepatutnya menjadi indicator
jelas bahawa bursa perpindahan pemain kali ini patut digunakan sepenuhnya oleh
Solskjaer untuk memperkuatkan skuadnya dengan menandatangani pemain baharu.
Bursa perpindahan pemain pada
bulan Januari sepatutnya menjadi waktu yang tepat untuk United melakukan
penilaian separuh musim dan melihat sektor mana yang patut mereka perkuatkan
bagi memastikan skuad cukup kompetitif mengharungi baki saingan musim ini. Sama
ada anda suka atau pun tidak, kita akhirnya terpaksa mengakui bahawa Manchester
City sebenarnya antara kelab yang sangat berjaya dalam melakukan kerja-kerja
merekrut pemain baharu, terutamanya dalam tempoh beberapa musim terakhir.
Selepas berjaya menjulang trofi
Liga Perdana pada musim 2017/18, Pep Guardiola mendedahkan rahsia bagaimana
suksesnya City dalam urusan mereka. “Saya berbincang dengan staf saya. Saya
juga berbincang dengan Txiki (Begiristain) dan juga Ferran (Sorriano) mengenai
hal kewangan kelab. Perbincangan ini sentiasa berterusan sebelum kami
memutuskan sisi baik dan buruk, umur, karakter, serta bagaimana mereka boleh
beradaptasi dengan corak permainan kami. Selepas semuanya ok, barulah kami cuba
dapatkan pemain yang kami inginkan”, kata Guardiola dalam rancangan Monday
Night Football.
Beruntungnya City kerana
memiliki sosok seperti Txiki Begiristain dan Ferran Sorriano dalam organisasi
mereka. Begiristain sepertimana yang anda tahu berperanan sebagai Pengarah
Bolasepak (Director of Football) manakala Sorriano pula bertindak selaku
CEO. Selaku bekas pemain yang pernah melakukan 313 penampilan untuk Barcelona, ilmu
bolasepak beliau tentunya melangkaui seorang bekas akauntan seperti Ed
Woodward. Sementara itu Sorriano pula memiliki Master of Business
Administration (MBA) serta disokong track record yang cukup
cemerlang dalam bidang korporat.
Pembelian Bijak City Di Bulan
Januari
City juga pernah menunjukkan
kepada kita bahawa bulan Januari adalah waktu yang paling tepat untuk merekrut `pemain
yang tepat’ bagi memperkuatkan pasukan. Jika anda masih ingat, pada penghujung
tahun 2017 mereka berdepan krisis kecederaan di posisi pertahanan tengah hingga
memaksa Guardiola merekrut Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao pada
pertengahan musim. City membayar £57 juta kepada Bilbao tetapi paling penting
lihatlah impak yang diberikan Laporte kepada benteng pertahanan City selepas
ketibaannya di Stadium Etihad.
Laporte cepat belajar serta
beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris dan paling penting kehadiran
beliau di Stadium Etihad akhirnya menamatkan pencarian Guardiola untuk
pengganti jangka panjang kepada Vincent Kompany. Sekali lagi karakter permainan
serta kemampuan seseorang pemain itu untuk beradaptasi dengan corak permainan
pasukan dijadikan indicator utama oleh Guardiola ketika beliau memilih
untuk merekrut Laporte dari Bilbao. Malangnya kecederaan yang dialami Laporte
pada September tahun lalu turut menjejaskan peluang City mempertahankan
kejuaraan Liga Perdana yang mereka menangi musim lalu.
United dan Perpindahan
Pertengahan Musim
Bulan Januari bukanlah waktu
yang terlalu buruk untuk merekrut pemain baharu. United dan perpindahan bulan
Januari juga bukanlah terlalu asing kerana ketika era Fergie, beliau pernah
merekrut Nemanja Vidic, Patrice Evra, Louis Saha dan Henrik Larsson (pinjaman).
Vidic dan Evra adalah pembelian terbaik pernah dilakukan Fergie pada bulan
Januari. Namun begitu Fergie juga pernah melakukan beberapa siri kesilapan
ketika beliau cuba mendapatkan `peluru tambahan’ untuk skuadnya pada
pertengahan musim. Dong Fangzhou, Rodrigo Possebon, Manucho, Zoran Tosic,
Ritchie de Laet, Frederic Vesseli dan Anders Lindegaard adalah kegagalan yang
saya maksudkan.
Selepas era Fergie berakhir,
United menandatangani tiga pemain pada pertengahan musim. David Moyes membawa
masuk Victor Valdes dan Juan Mata pada Januari 2014, manakala Jose Mourinho pula
melakukan pembelian sensasi pertengahan musim dengan merekrut Alexis Sanchez
dari Arsenal. Malangnya Sanchez tidak sempat bermain dibawah arahan Mourinho
kerana warga Portugal itu dipecat hanya 35 hari sebelum United mengumumkan
secara rasmi perpindahan bintang antarabangsa Chile itu ke Old Trafford.
United Yang Tidak Efisien
Manchester City bukan sahaja sudah
menguasai bandar Manchester tetapi mereka juga sudah meninggalkan United
terlalu jauh dalam hal pengurusan. Ditangan Woodward, United tidak lagi efisien
dalam bursa perpindahan pemain. Bukan hanya United kerana kelab seperti Chelsea
sebenarnya juga berdepan masalah yang sama. Pada Januari tahun lalu, Maurizio
Sarri mengeluarkan kenyataan mengejut berkaitan perpindahan Christian Pulisic
ke Stamford Bridge. “Saya tidak tahu apa-apa tentang perpindahan Pulisic
semalam. Kelab hanya bertanya pendapat saya tentang beliau beberapa bulan yang
lalu, dan hari ini saya diberitahu bahawa perjanjian sudahpun dimeterai”, kata
Sarri.
Sebelum itu Jose Mourinho dan Antonio
Conte juga berdepan situasi serupa ketika Chelsea membeli Andriy Shevchenko dan
Ross Barkley. Shevchenko ditandatangani Chelsea dari AC Milan pada 2006 atas
kehendak Roman Abramovich manakala Conte pula pernah menyatakan rasa terkejut
beliau atas pembelian Barkley dari Everton. Di Old Trafford, Mourinho sekali
lagi berdepan situasi sama dan kali ini Woodward pula adalah dalangnya. Kenyataan
yang dikeluarkan Woodward pada November 2018 memang jelas menunjukkan bahawa
kuasa membeli pemain secara mutlak berada ditangan beliau.
“Kami tidak membeli pertahanan
tengah pada musim panas lalu. Memang terdapat perbezaan pendapat antara
pengurus dan pihak pengurusan. Kadangkala saya yang akan berkata tidak (untuk
membeli pemain baharu), meskipun ia bukanlah mudah. Untuk berlaku adil saya
memang ingin selalu menyokong pengurus tetapi pendapat pihak pengurusan juga
patut diambilkira”, kata Woodward. Ketika Mourinho meletakkan Harry Maguire,
Toby Alderweireld atau Diego Godin dalam radar buruannya, United pula
sebaliknya menandatangani Fred, Diogo Dalot dan Lee Grant, manakala Alexis
Sanchez pula tiba pada pertengahan musim.
Penutup
City sudah mengajar kita
bagaimana suksesnya mereka dalam pasaran perpindahan pemain. Meskipun wang
bukanlah masalah buat mereka, namun wang juga adakalanya tidak mampu `membeli
kesuksesan’. Ketika Guardiola, Begiristain dan Sorriano semakin sukses membina
kekuatan City, di Old Trafford pula Woodward tidak henti-henti dijadikan
sasaran kebencian penyokong-penyokong United. Chant provokasi dari
penyokong ketika aksi menentang Norwich City kelmarin adalah ekspresi terbaharu
bagaimana bencinya mereka kepada sosok bernama Ed Woodward ini.
Jangan kecewa sekiranya anda
mendapati United tidak menandatangani mana-mana pemain baharu sepanjang bursa
perpindahan pertengahan musim kali ini, kerana itu bermakna Solskjaer merasakan
bahawa tiada `pemain yang tepat’ untuk beliau bawa masuk ke dalam skuadnya. Nasihat
terakhir dari saya, jika anda tidak mahu dikecewakan, jangan letakkan harapan
terlalu tinggi kerana kita sebenarnya sudah biasa hidup dalam `ketidak pastian’
sejak persaraan Sir Alex Ferguson tujuh tahun yang silam. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan